Episod : JOGET LAMBAK
Sekarang
orang panggil ‘ Poco- poco ‘ iaitu tarian beramai-ramai tetapi dulu terkenal
dengan joget lambak. Tuan rumah yang berkemampuan mengupah sebuah band untuk bermain
muzik seawal jam 11.00 pagi hingga 3.00 petang . Pemain-pemain muzik
budak-budak kampung setempat . Kelengkapan alat muzik band memang lengkap dan
mereka yang bermain muzik seperti pemain professional.
Berbagai-bagai
jenis lagu dimainkan selalunya lagu-lagu popular zaman itu seperti lagu Sweet
Charity , Flybaits , Caffree , Gingerbrade , dan lagu-lagu penuanyi solo
seperti Jamal Abdillah , Sharifah Aini dan Uji Rashid. Mereka mempunyai
penyanyi tetap lelaki dan perempuan . Ada juga yang berbakat akan membuat
penampilan sambil diiringi band jemputan .
Kalau
duduk di meja berdekatan band memang menjerit-jerit apabila bercakap. Tuan
rumah biasanya akan menyediakan khemah khas yang terpisah daripada khemah
jamuan makan untuk kumpulan band. Di flat LPK pun ada joget lambak . Siangnya ,
semua penduduk turun bergotong-royong membantu tuan rumah di tempat memasak.
Tukang masak orang flat juga. Tiada ‘wedding planer ‘ zaman 70-an dan 80-an.
Hanya semangat tolong-menolong sahaja sesama jiran. Suasana gotong-royong
memang meriah dengan gelak ketawa.
Anak-anak
muda menolong menyusun kerusi meja . Meja dilapik plastik dan beberapa orang
anak dara menjadi penanggah . Kebiasaannya Kak Norma, arwah Che Li dan Chik Amy
yang akan menyusun kerja-kerja penanggah dan penyambut tetamu. Mereka aktif di
flat LPK dan selalunya bantuan mereka akan digunakan untuk menguruskan majlis
yang diadakan.
Selepas
jam 4.00 petang , tetamu-tetamu yang datang mulai surut. Makcik-makcik yang
bertugas di khemah lauk-pauk akan membungkus makanan untuk dibawa balik. Memang
ada ‘peruntukan khas’ untuk mereka yang datang bergotong-royong dan penanggah
yang bertugas membawa balik lauk-pauk ke rumah. Bagi yang sudah pulang awal
juga akan mendapat ‘berkat’ daripada tuan rumah dihantar oleh anak tuan rumah
sambil menjemput mereka datang ke majlis potong kek pada sebelah malamnya. Pasangan
pengantin berbusana ala Inggeris dengan pengantin lelaki berpakaian kota dan
pengantin perempuan bergaun kembang. Hanya sebelah siang pengantin berbusana
Melayu tradisional. Semasa sesi bergambar di rumah pengantin berbelas-belas
baju digayakan daripada Sari, Cheongsam , Kimono , Punjabi Suit dan Tradisonal
jawa.
Selepas
Isyak , sudah kedengaran bunyi band muzik bergema. Lampu khemah
terang-benderang . Kanak-kanak berkejar-kejaran sambil bermain di sekitar
khemah. Pada sebelah malam , hanya majlis potong kek dan bergambar di pelamin .
Lagu-lagu yang dimainkan siang tadi diulang lagi sebelah malam. Ada juga
lagu-lagu tradisional seperti lagu-lagu zapin dan dondang sayang .
Pasangan
pengantin akan memotong kek dan diikuti dengan tarian mengikut rentak muzik
pemain band. Barulah bermula joget lambat. Tidak kira tua atau muda
masing-masing ‘melepaskan geram’ berjoget lambak pada malam itu. Kiranya ,
joget lambak sebagai penutup majlis. Lampu-lampu akan dipadamkan di sebahagian
khemah jadi suasana joget lambak dalam keadaan kelam.
Riuh-rendah
dengan drum dan gitar Karen . Gelak ketawa mereka yang menonton melihat makcik
pakcik berjoget lambak. Stail joget Pak Maun pun ada . Anak-anak muda dengan gaya
tarian moden. Anak-anak dara tolak-menolak oleh kawan-kawan disuruh menari .
Malu tapi mahu. Malam joget lambak tarian bebas. Lagu ‘ Black Magic Women’ pun
dijogetlambakkan dengan tarian tradisional. Makcik pakcik peduli apa .
Satu
demi satu lagu silih berganti . Pemain band melayan tetamu yang berjoget lambak
hingga jam 12.00 malam. Lantunan muzik
bergema antara blok-blok flat . Suasana bertambah riuh rendah apabila makcik
pakcik menunjukkan skil menari zaman pop yeh yeh. Tidak hairanlah zaman itu
makcik pakcik yang kaki surau pun terjebak dengan joget lambak. Macam menonton
filem-filem P. Ramlee di bawah khemah dengan gaya yang melucukan.
Begitulah
suasana joget lambak zaman itu tetapi sekarang sudah berbeza. Joget lambak
diadakan secara tertutup di dalam dewan majlis oleh ahli-ahli keluarga. Band
majlis kahwin juga semakin kurang mendapat tempat kecuali di majlis-majlis
tertentu . Tuan rumah lebih gemar mengupah DJ untuk memutarkan lagu-lagu
pilihan keluarga pengantin dan ‘karaoke’ menjadi santapan halwa telinga jika
suara penyanyinya merdu atau pecah gegendang telinga kalau penyanyinya menyumbangkan
lagu…
Comments
Post a Comment