Episod :
ISYTIHAR PERANG
Aku
ingat-ingat lupa punca tercetusnya perang ini . Aku dan beberapa orang kawanku
sudah membuat perancangan rapi untuk isytihar perang pada petang itu. Kami
sudah membuat keputusan untuk berkubu di dalam longkang besar bersebelahan ‘gate’
keluar masuk . Pada firasat aku, kedudukan kami amat strategik.
Sejak
beberapa hari sebelum perang , aku dan kawan-kawan sudah mengumpul senjata
buatan sendiri . Peluru-peluru sudah kami kumpulkan dari serata kawasan
memandangkan kekuatan pasukan kami tidaklah sekuat pasukan musuh kami. Namun ,
aku dan kawan-kawan aku telah membuat latihan peperangan secara senyap-senyap
bagi mengelakkan musuh-musuh kami dapat menghidu keberadaan kami.
Semua
senjata kepunyaan kami sorok dicelah pokok besar di tepi padang yang menuju ke
deretan rumah-rumah papan. Aku mengarahkan anggota-anggota pasukan aku tidak
membawa pulang senjata masing-masing kerana bimbang akan dirampas oleh pihak
musuh atau rancangan kami dapat dihidu oleh mereka yang menyokong musuh-musuh
kami. Aku tidak mahu ada gunting dalam lipatan.
Hari
demi hari , kami menunggu masa yang sesuai untuk membuat ‘ambush’ musuh kami .
Serangan pertama yang berlaku beberapa bulan lalu menyebabkan beberapa anggota
pasukan aku telah melarikan diri kerana ketakutan . Walaupun mereka sudah
dipujuk supaya kembali bergabung dengan pasukan tetapi mereka tetap enggan
terlibat dalam peperangan kali ini.
Aku
menjangkakan peperangan kali ini amat sengit. Persiapan yang cukup rapi akan dapat
mengalahkan musuh-musuh kami. Aku mengingatkan anggota-anggota pasukan aku agar
lebih berhati-hati dan tidak bertindak semberono bagi mengelakkan kecederaan. Anggota-anggota
sebelum ini ada yang mengalami kecederaan di mata menyebabkan biji matanya
berdarah dan anggota malang itu tidak lagi menyertai pasukan aku.
Aku
menambahkan beberapa keping papan di bahagian hadapan kubu agar terlindung
daripada pandangan musuh kami atau tali barut mereka yang sentiasa berkeliaran.
Tali barut mereka tidak mengira umur malah kanak-kanak juga dijadikan tali
barut dengan diberikan upah oleh ketua musuh kami.
Sehari
sebelum terjadi peperangan , aku melakukan rondaan di kawasan berhampiran musuh
untuk mengintip kekuatan mereka . Ketua mereka dan beberapa anggota pasukan
musuh tidak menyedari kehadiran aku kerana penyamaran aku sukar untuk dikesan.
Tiada sebarang senjata di tangan mereka atau di sekeliling mereka dan aku
percaya mereka sudah menyembunyikan senjata-senjata mereka di tempat yang
selamat. Walau bagaimanapun, aku
mengambil sikap berjaga-jaga dan sentiasa berpesan kepada anggota-anggota
pasukan aku agar cakna dengan kehadiran orang asing di kawasan kami.
Petang
itu , cuaca cerah . Hanya awal pagi itu hujan turun renyai-renyai tetapi tidak
lama . Kawasan kubu kami masih elok dan tidak terjejas kerana senjata kami yang
disorok di pokok besar sudah kami simpan di kubu kami. Menjelang beberapa hari
sebelum hari raya tahun yang lalu , pasukan kami telah diserang hendap dengan
beberapa serangan mengejut dan menyebabkan kecederaan kepada beberapa orang
anggota pasukan kami. Namun , kali ini kami sudah cukup bersedia untuk
menghadapi serangan .
Seorang
anggota pasukan kami yang ditempatkan di atas sebatang pokok di tepi ‘gate’
memberitahu kehadiran pasukan mush kami lengkap dengan senjata masing-masing .
Aku mengarahkan pasukan aku bersedia untuk menghadapi peperangan yang aku
jangkakan amat sengit . Aku sendiri memiliki dua senjata selaras senapang dan
sepucuk pistol .
Serangan
pertama daripada pihak musuh tidak mencederakan sesiapa dalam kalangan anggota
pasukan aku. Aku mengarahkan anggota-anggota aku menyerang balas. Pasukan musuh
meniarap di atas rumput dan sesetengahnya bersembunyi di belakang gelung simen.
Betul seperti sangkaan aku , musuh-musuh kami telah mengetahui kedudukan kami
di kubu yang kami bina .
Aku
teringat beberapa hari yang lalu, seorang kanak-kanak bermain-main di kubu kami
dan aku telah menghalaunya dari kawasan itu. Aku yakin , kanak-kanak itulah
yang membocorkan rahsia kami kepada pihak musuh . Aku mencapai selaras senapang
aku lalu memasukkan peluru dan menembak ke
arah pasukan musuh . Anggota-anggota
pasukan aku telah menyerang balas dengan hebat . Kedua-dua pasukan saling
berbalas tembakan tanpa henti dengan bekalan peluru yang mencukup .
Peperangan
itu tiba-tiba terhenti apabila salah seorang ibu anggota pasukan musuh telah
turun padang dan memarahi anaknya itu. Senapang kayu dan pistol kayunya telah
dipatahkan oleh ibunya . Peluru-peluru buah ceri yang dipetik di tepi ‘gate’
yang menjadi tempat persembunyian anggotaku turut dibuang . Kanak-kanak yang
menjadi tali barut pasukan musuh sedang asyik menjilat aiskrim kon dengan
rakusnya. Hatiku bertambah geram.
Aku segera membuang senapang dan
pistol kayu ke dalam longkang . Semua yang terlibat dalam peperangan itu turut
dimarahi si ibu kerana bermain hingga maghrib .
“Dah tak ingat nak balik rumah . Entah hantu polong berkeliaran kat padang ni
merasuk korang . Hari tu anak si Senah dah kena mata nasib baik tak buta “
bebel si ibu sambil memulas telinga anaknya. Berakhirlah peperangan petang itu yang
telah dirancang dengan teliti sebelum ini. Peluru dawai yang dibengkokkan dan
penuh di dalam poket seluar masing-masing dibuang ke dalam longkang besar.
Anggota
aku yang masih di atas pokok ceri juga melompat turun setelah dibebel oleh si
ibu tadi. Semua yang berada di medan perang itu pulang dengan rasa cuak dan
bimbang sekiranya si ibu tadi mengadu kepada ibu bapa kami . Terlintas di
fikiranku getah paip yang akan singgah di belakang aku. Kebimbangan itu turut
dirasai oleh mereka yang berperang tadi. Nasiblah kena bantai sampai rumah
nanti.
Comments
Post a Comment