Episod : CERITA SINI HABIS SINI 

Tengah hari itu , aku menerima arahan ibuku supaya pergi ke rumah makcikku . Tak lain tak bukan , untuk mendapatkan bekalan. Tanpa bekalan ini boleh menyebabkan ketagihan yang serius. Walaupun aku agak penat kerana baru pulang dari sekolah , aku gagahkan juga kaki melangkah ke rumah makcikku. Aku memakai sepasang baju track yang dibeli di kedai papan Rantau Panjang , Kelantan . 'Track suit' itu dikira pakaian sukan rasmi 'Tomoi" di pekan rantau Panjang .

Selangkah demi selangkah akhirnya aku sampai juga di rumah makcikku. Selepas mengetuk pintu , sepupuku membuka pintu dan menyruh aku masuk ke dalam. Aku memberitahu makcikku hajat kedatangan aku untuk mengambil bekalan yang dipesan oleh ibuku. Dalam diam-diam, makcikku ke dapur dan membongkok mengambil bekalan itu lalu membalutnya dengan kertas surat khabar sambil berpesan supaya membawa bekalan itu dengan hati-hati. Aku hanya mengangguk tanda faham. 

Sepupuku mengingatkan aku tentang 'game tomoi' yang akan diadakan pada hujung minggu itu. Aku sebenarnya sudah malas untuk bertumbuk berterajang dengan memakai 'glove yang berat itu. Semua peralatan dibeli di Rantau Panjang sewaktu kami pulang ke Kelantan. Akhirnya , aku bersetuju untuk masuk gelanggang pada hari dijanjikan . 

Dengan berhati-hati , aku membawa bekalan itu agar tidak tercicir atau jatuh. Di dalam hatiku, sudah tentu ibuku berasa risau kerana aku belum pulang lagi ke rumah. Tengah hari itu cuaca panas terik ditambah dengan 'track suit' berwarna merah bertulis 'TOMOI' yang aku pakai bagaikan tubuhku dipanggang cahaya matahari. 

Aku menuruni tangga dengan berhati. Langkah kuatur satu persatu . Malang tidak berbau. Pada langkah tangga kedua , kakiku tergelincir lalu aku terjelepuk di atas tangga. Bekalan yang dibungkus kertas surat khabar terlepas dari tanganku. 

"Prangggg..." 

Bunyi yang sangat kuat . Hancur berderai . Habis tubuhku basah kuyup bagai disimbah secebuk air. Bekalan yang kubawa sudah berkecai sebelum sempat sampai di rumah . Aku segera bangun sementara tiada sesiapa yang nampak kejadian itu. Aku cepat-cepat melangkah pulang ke rumah dan sesekali berlari-lari anak . Aku berasa takut dan berdebar-debar. Takut kalau-kalau ada yang tahu kejadian itu angkara perbuatan aku. Kalau-kalau orang yang turun naik tangga terpaksa mencari tangga lain untuk turun naik . 

Sesampai di rumah, ibuku sudah menunggu di muka pintu . 

"Apa dah jadi ?" tanya ibuku .

"Mana barang yang mok minta ?" soalan yang bertalu-talu . 

"Orang jatuh atas tangga tadi ," kataku berterus terang . Ibuku menepuk dahi kerana bekalan yang sepatutnya kubawa pulang akhirnya terbarai di tangga. 

"Macamana kalau nak makan tak ada budu , " kata ibuku seakan kempunan.

Sebotol budu yang jatuh terhempas di tangga tadi tinggal kenangan .!

Comments

Popular posts from this blog