Episod : BALAK 


" Kalau tak dikawal penebangan balak ni boleh jadi tanah runtuh , " kata Tuk Ketua . Semua mata memandang tajam ke arah Tok Ketua. Masing-masing sedar akan kata-kata Tuk Ketua seperti menikam belakang mereka. Mereka berbisik sesama sendiri sambil mengerut dahi.
"Macam ni Tuk Ketua . Sebenarnya , kawasan hutan itu untuk dibangunkan resort . Penduduk kampung juga akan mendapat manfaat nanti , " ujar salah seorang Pegawai Syarikat Tebang-Menebang Sdn . Bhd. Tuk Ketua terus terdiam tanpa menyambung kata-katanya. 

Setibanya di rumah , Mak Kiah menyambut Tuk Ketua di tangga. Namun , Mak Kiah menyedari wajah suaminya tidak seceria biasa. Mak Kiah membiarkan Tuk Ketua melabuhkan punggung di kerusi rotan . Sebentar kemudian , Mak Kiah keluar ke ruang tamu sambil menatang sedulang air teh -O dan semangkuk mi kari. Sepiring pisang goreng masakan kegemaran suaminya. 

"Kenapa , bang , " tanya Mak Kiah setelah berdiam diri sejak kepulangan suaminya. Tiada jawapan daripada suaminya. Tuk Ketua memandang jauh ke luar tingkap. Kelihatan berbalam-balam Gunung Yong yang masih menghijau dengan pokok-pokok . Di situlah juga kawasan tadahan hujan yang membekalkan sumber air penduduk di kampung itu.

"Abang , " sapa Mak Kiah lagi. Suaminya melepaskan keluhan panjang . Lamunannya terhenti.

" Abang risau kalau kerja-kerja penebangan balak di Gunung Yong akan menyebabkan kampung kita ini ditenggelami banjir, " luah hati Tuk Ketua. Mulut Mak Kiah ternganga mendengar penjelasan suaminya. 
"Abang tak bantah ke ?," tanya Mak Kiah lagi. Suaminya diam dan membiarkan Mak Kiah menantikan jawapan.

"Tak ada daya abang nak bantah . Mereka langsung tidak pedulikan kebimbangan abang . Mereka berjanji penduduk kampung akan mendapat faedah sama , " kata suami Mak Kiah panjang lebar. Mak Kiah bingkas bangun ke dapur dan meninggalkan suaminya termanggu-manggu di situ. Tuk Ketua memikirkan kalau berlaku banjir sudah pasti akan mengancam nyawa dan memusnahkan harta benda penduduk kampung . 

Sebulan kemudian , hampir setiap hari lori-lori balak keluar masuk di kampung itu. Tuk Ketua akan membuat aduan kepada pihak berwajib agar kegiatan menebang pokok balak dihentikan serta-merta. Pagi-pagi lagi, Tuk Ketua telah sampai di pejabat Dato Seri  . Namun , nasib Tuk Ketua agak malang kerana Dato Seri sedang bermesyuarat . Tuk Ketua sempat mengintai ke dalam pejabat Dato Seri  ketika dua orang pekerja caterer menyorong troli berisi sarapan . Dato Sri tersandar di kerusi empuk sambil dikelilingi juak-juaknya . Masing-masing mengangguk tanpa menggeleng . 

Tuk Ketua menemui seorang penyambut tetamu di luar pejabat Dato Sri. Sepucuk surat bertukar tangan . Tuk Ketua berpesan sungguh-sungguh kepada penyambut tetamu pejabat Dato Sri supaya menyampaikan surat aduannya kepada Dato Sri. Wajah penyambut tetamu kelat . Barangkali , setiap hari beratus-ratus surat sampai di tangannya dan dia terpaksa melayan semuanya sama rata. Tuk Ketua beredar dari pejabat Dato Seri dan menunggang motosikal pulang ke rumahnya. 

Sepanjang perjalanan , Tuk Ketua berselisih dengan lori-lori balak . Hati Tuk Ketua bergetar . Tuk Ketua tidak putus-putus berdoa agar anak-anak buahnya selamat daripada malapetaka. Malam itu, guruh berdentam-dentum silih berganti. Kebimbangan Tuk Ketua semakin memuncak . Hujan lebat turun mencurah-curah sejam yang lalu dan tiada tanda-tanda akan berhenti. Tuk Ketua mundar-mandir di ruang tamu . 

Tiba-tiba, rumah Tuk Ketua bergegar kuat . Bunyi dentuman kuat bagai menyentap jantung Tuk Ketua. Kedengaran suara riuh-rendah di luar rumah . Anak-anak buah Tuk Ketua berkumpul di hadapan rumah Tuk Ketua .
"Tuk macamana ni?," tanya Pak Karim cemas.

" Kamu semua pulang ke rumah dan berkemas. Barang-barang berharga dan dokumen simpan di tempat selamat," arah Tuk Ketua. Semua yang berkumpul pulang ke rumah tergesa-gesa. Dentuman kuat menggegarkan rumah-rumah di kampung itu. Bunyi deruan arus deras diikuti dentuman yang kuat menyerbu kampung . Kedengaran jeritan di sana sini. Tuk Ketua terjun ke bawah rumah . Kampung dilanda banjir kilat yang sebelum ini tidak pernah berlaku. Pokok-pokok balak sebesar dua tiga pemeluk dihanyutkan arus deras banjir lalu menghentam rumah-rumah penduduk dan kenderaan yang diparkir di hadapan rumah. 

Beberapa buah kereta dan motosikal turut dihanyutkan banjir yang semakin menggila. Penduduk kampung meredah banjir dalam kegelapan malam. Masing-masing hendak menyelamatkan diri ke kawasan lebih tinggi. Tuk Ketua bersama-sama anak-anak buahnya bertarung nyawa pada malam malang itu. Tuk Ketua berasa amat kesal kerana kebimbangan yang disuarakannya sebelum ini telah menjadi kenyataan. 

"Syarikat Tebang-Menebang Sdn. Bhd, mesti dipertanggungjawabkan , " dengus hati kecil Tuk Ketua . Tangan Mak Kiah dipegang erat menuju ke pusat pemindahan bencana alam . Pada malam itu , Tuk Ketua dan anak-anak buahnya berlindung di pusat itu. Kelibat Dato Seri tidak kelihatan dan juga juak-juaknya. Hati Tuk Ketua berasa kesal yang amat. Namun , Tuk Ketua menjanlankan amanah di bahunya memastikan anak-anak buahnya selamat dan selesa di pusat itu . 

Keesokan hari , semua penduduk kampung dibenarkan pulang ke rumah masing-masing . Suara jeritan dan tangisan silih berganti setelah melihat kerosakan yang berlaku . Ada rumah yang roboh dihentam pokok balak . Kereta-kereta tersangkut di celah-celah pokok balak dan rosak sepenuhnya . Mereka kebingungan dengan apa yang telah terjadi . Rumah Tuk Ketua juga mengalami kerosakan teruk dan tiang rumah telah patah disondol pokok balak . Hati Tuk Ketua bertambah geram terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab menggondolkan Gunung Yong..

Sekonyong-konyong muncul segerombolan pacuan empat roda ke kawasan kampung . Dato Seri turun dari kereta 4X4 yang baru dibelinya sambil para wartawan mengerumuninya untuk ditemu ramah . Beberapa orang pegawai Syarikat Tebang-Menebang Sdn.Bhd . turut sama menyertai gerombolan Dato Seri. Tuk Ketua mendekati gerombolan yang ramai itu untuk mendengar penjelasan Dato Seri.

" Dato Seri , adakah kejadian ini disebabkan pembalakan haram yang berlaku ?," tanya seorang wartawan . Dato Seri tersenyum kambing. Pegawai-pegawai Syarikat Tebang - Menebang Sdn .Bhd. turut tersengih mendengar soalan wartawan tadi.

"Sebenarnya, tiada aktiviti pembalakan di kawasan Gunung Yong . Hanya penebangan pokok yang berlaku di situ," jawab Dato Seri sambil menunjuk ke arah Gunung Yong . Semua wartawan dan mereka yang berkumpul di situ memandang sama Gunung Yong yang telah musnah dan pokok-pokok balak bergelimpangan di tebing dan di kaki Gunung Yong. 

" Kejadian ini ada kaitan dengan sains dan teknologi , " sambung Dato Seri dengan penuh yakin . 

"Sebenarnya , terdapat sebuah kawasan tadahan hujan di atas sana . Hujan semalam berlaku secara tiba-tiba dan tidak dijangka. Seperti saya katakan tadi hal ini ada kaitan dengan sains dan teknologi , " sambung Dato Seri lagi. Juak-juak Dato Seri mengangguk-angguk tanda setuju . Dato Seri bergambar dengan pegawai-pegawai Syarikat Tebang-Menebang Sdn.Bhd. sambil menunjukkan isyarat ibu jari tanda bagus dan berlalu meninggalkan Tuk Ketua dan penduduk kampung yang terlibat . 

Tuk Ketua mendekati kereta Dato Seri sambil menghulurkan tangannya untuk bersalam. 

"Siapa ni ?," tanya Dato Seri.

"Saya Tuk Ketua kampung ini." jawab Tuk Ketua.

'Hah , bagus-bagus . Jangan lupa undi saya , " kata Dato Seri lalu menutup pintu kereta pacuan empat rodanya dan berlalu pergi. Tuk Ketua memandang gerombolan Dato Seri sambil mengetap bibir . Kerosakan rumah dan harta benda penduduk kampung tidak disentuh oleh Dato Seri tadi sebaliknya undi penduduk kampung sahaja diharapkan . 

" Cukuplah kali ini, " bisik hati Tuk Ketua menuju pulang ke rumah  dengan harapan yang kosong.


  

 

Comments