Episod : WAYANG
Zaman 70-80an , menonton wayang macam hendak pergi pesta fun fair. Awal-awal lagi sudah bersiap-siap ke panggung wayang. Di Pelabuhan Klang hanya ada dua buah panggung wayang . Panggung REX dan Panggung CATHAY . Kedua-dua panggung ini sudah usang dan tidak digunakan lagi.
Ada filem Cina , Tamil , Hindustan , Melayu dan Inggeris . Filem dari Indonesia juga dikira filem Melayu. Dulu ada seorang lelaki Cina kalaulah tak silap dia ini bisu akan menunggang basikal dan membuang kertas iklan filem yang akan ditayangkan di panggung wayang. Budak-budak flat mengejar basikal dan berebut-rebut mengutip kertas iklan yang berwarna merah jambu atau biru laut. Dulu tak ada whatsapp seperti sekarang berita sampai macam roket.
Paling gempar filem Hindustan . Sanggam , Ya Dun Ki Barat , Bobby menjadi kegilaan makcik-makcik. Berbondong-bondong penduduk flat ke panggung wayang . Pintu panggung wayang daripada kayu , kerusi kayu , langsir biru gelap menutup pintu masuk keluar. Harga tiket atas lebih mahal daripada duduk bawah . Tikus-tikus berkejar-kejaran di bawah kaki . Sisa-sisa makanan dibuang merata-rata di lantai.
Dulu tak ada 'popcorn' yang ada kuaci hitam atau kuaci belang . Air laici atau air nanas ikat tepi. .Bagi yang berduit membeli satay sotong. Biasanya aku dan adik-beradik aku kalau hendak menonton wayang akan bersiap-siap makan nasi di rumah jadi tak ada apa-apa nak dibeli di gerai-gerai luar panggung wayang . Tiket dijual pada hari filem ditayangkan. Kalau filem ditayangkan pukul 6.00 petang , tiket dijual pukul 3.00 atau 4.00 petang .
Ada juga tayangan pagi biasanya tak ramai orang . Lebih banyak filem dewasa. Golongan pakcik ramai menonton tayangan pagi . Kalau tayangan filem petang atau malam lebih ramai ditonton famili. Kalau filem 'box office' , tiket wayang laris macam pisang goreng. Tukang beli tiket dah 'stand by' awal-awal . Mereka sanggup bersesak-sesak di lorong ke kaunter tiket yang boleh muat satu orang untuk dilalui. Lubang kaunter tiket kalau belum dibuka akan ditutup dengan papan yang boleh sorong tolak.
Penjual tiket perempuan Cina duduk di ruang dalam dan sekali sekala menjerit kerana pembeli tiket bertolak-tolak dan menjerit-menjerit Tokey panggung memang buat duit zaman itu. Harga tiket ikut kedudukan kerusi di dalam pangggung . Paling murah kerusi paling depan harga tiket tak sampai seringgit tapi kena mendongaklah sepanjang tayangan sampai lenguh tengkuk.
Penonton yang hendak mengirim membeli tiket akan menghulurkan duit di celah-celah kekisi lorong tiket. Ada upah kepada tukang beli tiket. Kadang-kadang awal-awal lagi budak-budak muda yang tak ada kerja meronda-ronda di kawasan flat untuk mengambil upah beli tiket wayang .
Wayang filem Inggeris yang paling aku tidak lupa ialah filem GREASE (1978) lakonan John Travolta dan Olivia Newton John.Aku baru darjah 5 diajak sepupu aku menonton filem GREASE di Panggung REX . Sampai berdarah-darah tangan berebut-rebut membeli tiket. Aku hanya menunggu di luar panggung . Memang gila budak-budak muda zaman itu meniru stail rambut, baju kemeja kotak-kotak dan seluar jeans macam pelakon GREASE.
Filem Hindustan pun layan juga tetapi biasanya
makcik-makcik yang ramai ke panggung. Walaupun sepatah haram tak faham bahasa Hindi tapi kedengaran sosek-sosek tahan hingus menangis . Apabila cahaya terang nampaklah muka-muka makcik yang menangis. Pelakon-pelakon Hindustan pulak cantik-cantik bak bidadari . Zeenat Aman , Hema Malini , Mumtaz , Sairabanu dan Vyjayanthimala . Pelakon lelaki Rajesh Khana , Dhamendra dan adik-beradik Kapoor.
Filem Cina banyak cerita Kung Fu . Hero Jackie Chan . Master Kung Fu berabut putih panjang dan bertocang ,janggut misai kening semua putih. Bulu kening panjang sampai ke pipi. Aku kurang gemar filem Cina sebab penonton di dalam panggung suka bising semasa hero berlawan dengan gang penjahat. Biasanya , kes berebut perempuan yang pakai baju layang-layang punca pergaduhan.
Filem Tamil aku tak layan sangat di panggung wayang kecuali filem hitam putih di televisyen . Sivaji dan MGR memang pelakon
hebat
zaman itu. Kalau filem Cina , Tamil , Hindustan dan Melayu banyak ditayangkan di Panggung CATHAY. Panggung REX banyak filem Inggeris seperti GREASE dan BLUES BROTHER. Aku ikut pergi panggung kalau ada orang belanja beli tiket 'free'.Filem Melayu yang popular zaman itu filem arahan Jins Samsudin. Semua tajuk filem ada perkataan 'ESOK' . 'Menanti Hari Esok' , 'Esok Masih Ada' dan 'Tiada Esok Bagimu' . Tambahan pula pelakon Azean Irdawaty dan Norkumalasari. Lagu-lagu Uji Rashid mendayu-dayu. Filem Ali Setan dan Mekanik tidak kurang
hebat
. Apabila sudah meningkat remaja filem seperti AZURA menjadi kegilaan muda mudi. Motosikal RD menjadi ikutan remaja yang datang daripada keluarga ada-ada. Ada seorang budak Kampung Sungai Aur meronda-ronda dalam kawasan flat dengan RD kuningnya. Dia punya 'eksen' .Kawan sebaya aku pun ada membeli sebuah motosikal RD kerana berjaya masuk universiti selepas mendapat keputusan SPM yang cemerlang. Mula-mulanya aku tidak perasan sangat kenapa emak kawan aku masam kalau aku datang rumah kawan aku . Suatu hari aku kena 'sound' dengan emak kawan aku. "Makcik tak nak kau datang-datang sini lagi ganggu anak makcik nak belajar ," kata emak kawan aku .Semasa itu aku sudah bekerja sebagai 'cleaner' di Ibu Pejabat LPK . Sejak itu, kawan aku pun tak pernah datang menjenguk aku di rumah seperti kebiasaannya. Aku memilih untuk berkawan dengan burung-burung camar di jeti Pelabuhan Klang!
Hanya beberapa tahun lalu , kawan aku datang mencari aku melaluu kawan-kawan lain untuk menjemput aku ke majlis kahwin anaknya. Melalui kawan-kawan aku mengetahui kawan aku itu tidak habis belajar di universiti. Tidak tahu mengapa. Aku pulak jenis tak faham sama ada orang suka ke tak suka ke , aku berkawan macam biasa. Biasanya , aku akan tahu melalui cerita kawan. Pernahlah aku terserempak dengan seorang kawan aku yang berjawatan Timbalan Pengarah kakitangan kerajaan dengan kawan-kawannya di sebuah restoran. Aku menyapa kawan aku tapi kawan aku buat-buat tidak mengenali aku. Entahlah perasaan aku ketika itu.
"Maaf ye saya tak kenal . Kawan ke apa ?," kata kawan aku itu dan kawan-kawannya semua memandang aku . Aku berasa malu tetapi aku cepat melupakan hal itu kerana selepas aku gagal SPM , jadi 'cleaner' cuci jamban pejabat aku kira muka aku ini sudah cukup tebal! .Sesiapa pun aku berani berdepan kerana aku menganggap semua orang adalah sama saja. Hanya kita saja yang membeza-bezakan kerana kedudukan , gelaran dan harta. Semua ini wayang juga.
Paling seronok apabila wayang pacak di flat. Beberapa hari sebelum tayangan van Jabatan Penerangan sudah membuat pengumuman dari blok ke blok. Ramailah penduduk flat yang turun menyaksikan wayang pacak. Tali layar diikat pada tiang dua buah blok. Tapak wayang pacak sebelah kedai Aci antara blok E dan blok F. Masing-masing yang datang hendak menonton membawa kertas surat khabar , ada juga yang membawa tikar bantal. Kebiasaannya tayangan malam minggu. Masa itulah hendak tengok anak-anak gadis flat . Aku memerhatikan ' M' dari jauh.
Ada sekali filem BRUCE LEE ditayangkan . Tengah-tengah asyik melayan tiba-tiba ribut pun sampai dengan hujan lebat. Bertempiaran semua yang menonton wayang pacak. Tinggallah BRUCE LEE cabar-mencabar lawan dan berlawan dalam hujan ribut. Pegawai Jabatan Penerangan duduk diam di dalam van menunggu hujan reda.
Pengaruh wayang kini semakin kurang tambahan pula harga tiket mahal. Suasana wayang pacak sudah lama dilupakan . Kini, panggung wayang di dalam rumah . Macam-macam ada !
Comments
Post a Comment