Episod : VAKSIN 

Hampir setiap hari sejak Februari 2021, aku menyemak aplikasi MySejahteraku kalau-kalau tarikh vaksin aku sudah ditetapkan namun hampa. Sehinggalah aku disahkan positif covid selepas melakukan sweb test pada 1 Jun 2021. Aku menerima pesanan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya melakukan kuarantin kendiri di rumah. Pada 2 JUN 2021 , aku menerima pesanan daripada KKM supaya melakukan ujian kali kedua iaitu PCR di Klinik Kesihatan Pelabuhan Klang. Selesai ujian , aku diberikan sehelai surat arahan kuarantin dan ' dihadiahkan' seutas gelang. 

Bermulalah episod kuarantin kendiri di rumah . Aku melakukan aktiviti harian di tingkat atas manakala anak isteriku di tingkat bawah. Hanya makanan dan minuman dihantar di hadapan pintu. Apabila tiba masa kelas tuisyen dalam talian terhibur sedikit kerana dapat berbual-bual . Menjelang malam. perasaan bosan akan bertandang dan kadangkala mata sukar untuk lelap. Begitulah rutin harian selama beberapa hari.sehinggalah berlaku situasi mencemaskan pada 6 JUN 2021. 

Sebaik sahaja bangun untuk solat subuh , tangan kananku amat sakit dan siku tidak dapat dibengkokkan. Perasaan bimbang menjalar di setiap urat tubuhku. Adakah aku diserang TIA (serangan strok ringan )  seperti yang berlaku pada November 2019. Aku memberitahu isteriku melalui 'whatsapp' apa yang berlaku pada pagi itu. Aku menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah Klang untuk mendapatkan nasihat dan tindakan yang sepatutnya aku ambil. Memandangkan aku dalam kategori kuarantin Covid , aku dibenarkan ke Hospital Besar Tengku Ampuan Rahimah, Klang (HBTAR) untuk mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan tetapi hanya aku seorang sahaja dibenarkan memandu ke hospital.

Dalam keadaan tangan kanan tidak dapat dibengkokkan hanya tangan kiri memegang stereng . Kebetulan kereta auto tidaklah begitu sukar untuk mengawal kenderaan. Selepas aku mempakir kereta di tempat parkir , aku terus menuju ke Jabatan Kecemasan dalam keadaan kesakitan kerana setiap kali aku cuba membengkokkan tangan rasa kesakitan yang amat sangat di bahagian siku. 

Di kaunter Jabatan Kesihatan , aku menyerahkan kad pengenalan dan diarahkan masuk ke bilik khas yang bertulis " Bilik Covid " . Di dalam bilik itu, semua petugas memakai PPE. Aku diminta duduk dan kemudian tekanan darahku diambil selepas 30 minit menunggu untuk diperiksa. Muncul seorang doktor wanita menemu ramah aku tentang keadaan aku . Doktor memegang siku dan bagaikan hendak melompat kerana kesakitan pada bahagian siku. Doktor memberitahuku bahawa kemungkinan aku mengalami kekejangan otot yang ringan. Aku diberikan slip surat dan di bahagian farmasi aku dibekalkan ubat tahan sakit (Pain Killer) dan sejenis krim.

Setiba di rumah , aku menyambung kuarantin kendiri di dalam bilik. Pada 7 JUN 2021 aku disahkan negatif selepas ujian PCR tetapi aku masih diwajibkan menghabiskan tempoh kuarantin sehingga 11 JUN 2021. Usai kuarantin, aku ke Pejabata Kesihatan Daerah Klang Botanic yang hanya kurang 10  minit dari rumahku. Setiba di sana , aku ke bahagian bangunan utama dan di situ dibuka sebuah bilik operasi untuk kes Covid dan kaunter "potong gelang" . Lega rasanya apabila gelang telah dipotong yang menjadi temanku selama 10 hari. 

Tarikh untuk suntikan vaksin masih belum tertera pada aplikasi MySejahtera. Ada pendapat mengatakan aku perlu menunggu selama 3 bulan untuk disuntik selepas kuarantin tetapi menurut pegawai kesihatan daerah sebaliknya. Aku dibenarkan menerima suntikan vaksin jika sudah mempunyai tarikh di dalam aplikasi MySejahtera. Sementera itu, isteriku telah lengkap menerima dua kali vaksin . Aku masih menunggu sehinggalah pada suatu hari aku memeriksa aplikasi MySejahtera . Tarikh 18 Julai 2021 aku akan menerima suntikan vaksin di World Trade Center (WTC) pada jam 2.30 petang.

Aku telah meminta bantuan menantu lelakiku untuk menghantarkan aku ke WTC pada tarikh berkenaan kerana masalah aku ' buta arah jalan'. Walaupun guna waze , aku selalu tersesat jalan.Pernah isteriku memberitahu aku bahawa aku "tidak akan pergi jauh " dan dia tidak bimbang.. Kata-kata yang sangat mendalam dan tersirat.Aku hanya melemparkan senyuman tawar. Pada tarikh suntikan vaksin , aku ke rumah anakku di bandar Shah Alam dan selesai solat Zohor , kami bergerak ke Kuala Lumpur melalui Lebuh raya Persekutuan  Jalan lengang seperti diserang garuda . Setibanya di pintu gerbang Darul Ehsan kereta mulai bergerak perlahan kerana terdapat Sekatan Jalan raya oleh PDRM untuk memeriksa keabsahan kebenaran pergerakan merentas daerah. Beberapa buah kereta telah diarahkan ke tepi jalan dan pemandunya pula diperiksa di bawah khemah khas serta surat saman dikeluarkan serta-merta. 

Kami meneruskan perjalanan ke WTC dan tiba selepas kurang 40 minit pemanduan dari Shah Alam ke Kuala Lumpur. Menantu yang memandu Toyota Vios memasuki kawasan parkir tetapi disebabkan arahan papan tanda tidak mencukupi jadi terpaksalah kami "tawaf" bangunan WTC dua kali. Seorang penjaga parkir sedang duduk ' bersantai' di lorong level 2 . Aku bertanyakan arah ke Aras 4 Station 1 tetapi dia seolah-olah tidak berminat untuk bersembang. Aku juga tidak pasti sama ada dia melihat aku atau melihat sebelah aku tetapi tiada sesiapa di sebelah aku. Barulah aku sedar akan kekurangannya kerana masalah ' juling'.

Akhirnya , sampai juga aku di pintu pendaftaran untuk suntikan vaksin. Beberapa orang anggota Polis Simpanan Persekutuan (FRU) mengawal kawasan di situ. MySejahteraku diimbas dan diarahkan ke Aras 4, Dewan Tun Razak. Sesampai di Aras 4, aku diarahkan oleh sukarelawan ke Dewan Merdeka tempat suntikan dilakukan oleh pegawai perubatan. Aku diberikan borang untuk diisi dan nombor giliran. Selepas menunggu hanya 5 minit, nombor giliran aku pun tiba. Aku dan beberapa orang yang bakal disuntik bergerak ke ruang suntikan dan di situ beberapa buah meja disediakan dan aku ditanya beberapa soalan seperti masalah alahan ubat , pengalaman pembedahan atau serangan jantung. Besi di dalam kaki kiriku tidak menghalang aku menerima suntikan vaksin.

Setelah itu , aku diarahkan ke bilik suntikan . Terdapat dua orang pegawai perubatan di dalam bilik itu . Pegawai yang akan menyuntik aku agak terkial-kial mencari tempat yang sesuai untuk menyuntik di lengan kiriku kerana terdapat parut kesan kemalangan yang agak besar. Pegawai perubatan menunjukkan picagari yang berisi 0.5ml AstraZaneka . Akhirnya, selepas dua kali disapu ' alchohol sweb ' pegawai perubatan melakukan suntikan dan aku melihat dengan jelas vaksin disuntik ke dalam lenganku. Sebaik sahaja jarum suntikan ditarik sekali lagi pegawai perubatan menunjukkan picagari yang sudah kosong.Aku diarahkan mengimbas bar kod di tepi meja untuk pengesahan penerimaan vaksin pada hari itu. Selesailah urusan suntikan vaksin yang ditunggu-tunggu hampir enam bulan.

Aku diminta  menunggu di ruang menunggu oleh petugas sukarelawan. sebelum disahkan penerimaan vaksin di dalam sehelai borang dan kad. Aku bercadang untuk merakam memori "Saya Sudah Divaksin" di luar Dewan Merdeka tetapi berpuluh-puluh orang sedang beratur menunggu giliran dan aku membatalkan niat aku. Ketika melalui ruang bawah, terdapat beberapa lagi stesen bergambar " Saya Telah Divaksin' . Aku seorang diri untuk merakam gambar . Seorang gadis muda yang bergaya sedang selfie di stesen bergambar lalu aku menyapa gadis itu dan menawarkan khidmat membantunya merakam gambar di situ. Selepas gilirannya bergambar kini giliran aku pula bergambar. Ruang stesen itu agak rendah sedangkan ketinggian aku 173cm maka terpaksa aku membongkok untuk bergambar.

"Terima kasih, bang ," kata gadis itu.
"Sama-sama kasih juga tolong ambil gambar saya ," kataku tersenyum.
"Siapa nama awak ?," tanyaku.

"Rohani," katanya tersenyum .
"Sedap nama tu macam nama nenek saya , " balasku dan Rohani ketawa kecil. 

Kami berpisah untuk pulang ke destinasi masing-masing . Sempat juga aku meronda sekitar Kuala Lumpur sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Shah Alam dan petang itu anakku memasak gulai tempoyak ikan patin dan nasi panas. 

 

Comments

Popular posts from this blog