Episod : SARKIS

 

Sudah sekian lama , rakyat negera Fintu Belakang (FB) dahagakan hiburan . Musibah sejenis wabak penyakit berbahaya menyebabkan mereka dilarang keluar rumah malahan membuka pintu dan tingkap juga tidak dibenarkan.  Semua rakyat akur dengan perintah pemimpin negara FB.

Namun begitu , berita gembira yang didengar oleh mereka bahawa  sekumpulan ahli sarkis akan berkunjung ke negara FB untuk membuat persembahan khas. Rakyat sudah tidak sabar-sabar lagi setelah bertahun-tahun dikurung bagai haiwan peliharaan.

Hari yang dinanti-nantikan pun tiba. Sekumpulan ahli sarkis muncul di tengah-tengah khalayak rakyat. Ahli-ahli sarkis sudah diberikan suntikan ubat kebal daripada apa-apa penyakit berbahaya. Hanya rakyat yang sudah mendapat suntikan ubat kebal dibenarkan menonton di gelanggang persembahan dan selebihnya hanya menonton melalui kaca televisyen.

Persembahan sarkis kali ini lebih istimewa kerana dua ekor haiwan yang luar biasa dan tidak pernah dipertontonkan kepada manusia akan membuat persembahan. Keterujaan rakyat untuk menyaksikan persembahan sarkis sudah tidak dapat ditahan-tahan. Buktinya , setiap hari rakyat bercerita tentang persembahan sarkis.

Akhirnya , tibalah hari persembahan sarkis yang dijanji-janjikan. Masing-masing mengadap kaca televisyen dengan penuh minat . Seorang demi seorang ahli sarkis masuk ke gelanggang persembahan. Dua ekor haiwan luar biasa yang dibawa masuk dengan suara yang nyaring memekakkan gegendang telinga.

Haiwan-haiwan luar biasa ini hanya membising di tempat khas yang disediakan dan sesekali diboo oleh penonton-penonton yang hadir sama di tepi gelanggang. Haiwan yang berkaki dua dan berbulu putih di dagu dan kepala yang paling kuat bising . Seorang ahli sarkis barang kali penjaganya hanya tersenyum melihat haiwan itu membuat bising di dalam gelanggang.

Persembahan dimulai dengan ketua sarkis membuat sedikit ucapan ringkas tanda hormat. Hanya seketika suasana aman di gelanggang sebelum bermulanya persembahan sebenar bunyi suara bising lagi hiruk-pikuk bagaikan tidak terkawal. Para penonton menghentakkan kaki ke lantai sebagai tanda protes dengan kelakuan menjengkelkan yang ditunjukkan oleh ahli-ahli sarkis.

Persembahan sarkis bermula dengan seorang ahli menunjukkan skil melompat dari sebuah kerusi dari sebuah kerusi yang lain sambil penonton mengeboo persembahan yang hambar bagai indah khabar daripada rupa. Seekor haiwan yang tidak bernama menyeringaikan taringnya memarahi penonton yang seakan hilang sabar menyaksikan persembahan itu. Haiwan itu tidak berhenti-henti meronta-ronta minta dilepaskan daripada rantai namun sang ketua sarkis tetap memegang rantai yang mengikat leher haiwan itu dengan kuat sehingga haiwan itu tertunduk diam di hadapan ketuanya.

Seorang ahli sarkis bangkit dari kerusi yang didudukinya lalu membuat lompatan ke dinding kaca yang dipasang oleh penganjur sarkis. Namun persembahannya turut mendapat kecaman penonton dan ahli sarkis malang itu tertunduk malu. Sebelum persembahan diadakan sudah ada berita kurang menyenangkan tentang ahli sarkis yang turut membuat persembahan itu dikatakan melakukan perbuatan yang bertentangan dengan norma manusia tulen. Barang kali, ahli sarkis itu cuba hendak menebus kembali kesalahan yang tidak pernah diakuinya dan cuba mendapatkan sokongan penonton kembali.

Persembahan demi persembahan berlalu dan penonton masih tidak berpuas hati. Tibalah giliran dua ekor haiwan untuk membuat persembahan di tengah-tengah gelanggang. Kedua-dua haiwan itu berjalan mendabik dada dan tidak henti-henti membuat bising. Kedua-duanya juga adalah jenis haiwan spesies yang sama iaitu berkaki dua dan berbulu putih di dagu tetapi kepalanya ditutup dengan sejenis penutup yang berwarna hitam.

Para penonton ketawa sinis melihat kedua-dua ekor haiwan yang garang itu tetapi sudah terlalu tua. Perlahan dan mulutnya mengomel-ngomel sesuatu yang kurang difahami. Kedua-dua haiwan itu didudukkan di atas kerusi khas dan wajah kesombongan haiwan-haiwan ini menjelikkan hati para penonton yang menyaksikan persembahan.

Ketua sarkis hanya melihat kedua-dua ekor haiwan itu dengan senyuman. Kedua-dua haiwan itu pula apabila melihat ketua sarkis akan menundukkan kepada dan membongkokkan badan sedikit sebagai tanda hormat yang amat. Ketua sarkis itulah yang memberikan tempat dan makan setiap hari . Haiwan yang seekor lagi lebih istimewa kerana mendapat perhatian istimewa daripada ketua sarkis kerana haiwan itu diberikan kandang khas.

Persembahan berlalu begitu cepat seperti tiada hentinya menimbulkan kemarahan penonton yang hadir di gelanggang. Para penonton mahukan persembahan yang padu dan mantap. Seminggu sebelum persembahan ketua sarkis sudah membuat perutusan khas dan berjanji akan membuat persembahan yang luar biasa tetapi sebaliknya berlaku.

Setelah hampir tiga jam. Persembahan sarkis tamat dengan penuh kontroversi. Para wartawan cuba mendapat penjelasan ketua sarkis tetapi ketua sarkis sudah menghilangkan diri lebih awal. Ahli sarkis paling kanan terpaksa menjawab bagi pihak ketua sarkis namun para wartawan tidak berpuas hati dengan penjelasan. Dua ekor haiwan tadi lalu di belakang para wartawan yang sedang berkumpul sambil mengeluarkan suara bising namun ditertawakan oleh para wartawan. Mereka tidak berasa takut tetapi lucu dengan aksi kedua-dua ekor haiwan tua yang berbulu putih itu.

Persembahan akan diadakan pada hari minggu yang akan datang seperti dijanjikan oleh ahli kanan sarkis . Namun wajah para wartawan seperti kurang berpuas hati kerana ahli sarkis kanan seolah-olah mempermain-mainkan mereka yang sudah menunggu lama tetapi jawapan diberikan tidak pasti . Hanya kedengaran “NO” daripada kalangan mulut ahli sarkis kanan.

Rakyat negara FB sangat kecewa dan berasa mereka ditipu oleh ahli-ahli sarkis. Walaupun ahli-ahli sarkis berjanji akan membuat persembahan yang lebih menarik tetapi rakyat mendesak agar penganjur mencari ahli-ahli sarkis yang lebih berpengalaman dan berkemampuan untuk menghiburkan rakyat negara FB.

Akhirnya ,  ahli-ahli sarkis kembali ke tempat mereka dan berkumpul dengan ketua sarkis. Dua ekor haiwan yang sudah tua akan diganti dengan haiwan yang lebih muda dan lincah supaya air muka ketua sarkis tidak dimalukan lagi di khalayak rakyat negara FB.

Apa yang dinanti-nantikan oleh rakyat negara FB ialah kemunculan ahli-ahli sarkis baharu yang akan mewarnai gelanggang persembahan . Rakyat sudah muak dengan sandiwara ahli-ahli sarkas yang gagal membuat persembahan terbaik apatah lagi cemerlang. Penganjurlah yang memikul tanggungjawab besar untuk melakukan perubahan sebelum rakyat negara FB bangkit !

Comments

Popular posts from this blog