Episod : RAYA DULU-DULU

 

Pertengahan tahun 70-an sewaktu darjah 5 , sebulan berpuasa amat meletihkan kerana masa bermain tidak pernah berhenti. Sudah menjadi kebiasaan , apabila menjelang bulan Ramadan banyak gerai menjual makanan dan minuman akan dibuka. Namun begitu , keluarga aku kurang berbelanja membeli makanan dan minuman di gerai atau bazar depan Pasar Besar Pelabuhan Klang kerana kurang berkemampuan. Duit ketika itu ‘sangat mahal’.

Juadah makanan yang dijual ialah kuih-muih yang dimakan setiap hari . Pulut panggang , apam balik , mi goreng, mi hoon goreng , kuih kasui dan banyak lagi makanan lain dijual. Penduduk flat juga turut berniaga di Pasar Besar Pelabuhan Klang di pintu masuk pasar. Seawal jam 3.00 petang bazar Ramadan sudah mula dibuka.

Keluarga Pakcik Ya blok A antara peniaga yang berniaga di bazar Ramadan depan Pasar Besar Pelabuhan Klang sambil dibantu anak-anaknya yang rajin berniaga. Keluarga Pakcik Ajis dan Makcik Yah dibantu anak-anak mereka Ayong dan Mastura. Kegigihan orang dulu-dulu mencari rezeki kerana kos sara hidup sebagai pekerja LPK tidak mencukupi. Ada juga yang berniaga di depan rumah sahaja.

Suasana menjelang hari raya semakin terasa. Kebanyakan rumah sudah mula memasang lampu kelip-kelip di hadapan pintu. Keluarga aku tidak pernah memasang lampu kelip-kelip kerana tidak mampu untuk membeli barang perhiasan itu. Ibuku hanya menukar sarung kusyen dan langsir baharu.

Great Wall Pelabuhan Klang menjadi tumpuan untuk membeli pakaian baju seluar atau kasut di kedai Bata. Ada juga yang membeli kasut di kedai kayu tepi stesen bas Pelabuhan Klang. Pak Din paling sibuk mengambil upah menggunting rambut budak-budak flat dan orang dewasa. Ada juga yang ke pekan Pelabuhan Klang untuk bergunting rambut. Kegembiraan tidak dapat digambarkan apabila penduduk flat beramai-ramai ke pecan membeli barang-barang keperluan hari raya. Great Wall menjadi tumpuan selain Pasar raya ZulSeng untuk membeli segala persiapan menyambut Hari Raya. Baju Melayu sedondon dan songkok dibeli di pasar malam Pelabuhan Klang depan Restoran Langkapuri. Pakcik yang menjual songkok dan kitab-kitab agama menjadi tumpuan.

Pada malam terakhir Ramadan, hampir semua penduduk Flat akan tercongok depan televisyen menantikan pengumuman tarikh hari raya oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Melayu. Kaum ibu sudah menunggu sejak petang untuk memasak redang , kuah kacang dan nasi impit. Sekiranya pengumuman tidak jadi raya , semua bahan masakan akan disimpan untuk dimasak keesokan hari. Saat dinanti-nantikan pun tiba dan bertambah saspens.  Tepat jam 8.30 malam pembaca berita Harjit Singh Hullon dan Wan Chik Daud memberikan laluan untuk siaran  pengumuman raya. Muncul Pengumuman Khas . “Setelah diperkenankan oleh Majlis Raja-raja  , saya selaku Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dengan ini mengisytiharkan tarikh Hari Raya Puasa pada ……” .  Zaman sekarang tarikh hari raya sudah ditanda di dalam kalendar tak ada saspens lagi.

Suara hiruk-pikuk kedengaran di seluruh blok Flat LPK apabila hari raya akan disambut esok. Kaum ibu meneruskan acara masak memasak di dapur. Ibuku akan membuat nasi impit. Caranya, nasi dimasak lembik kemudian dibungkus dengan kain ‘ nepkin’ dan diletakkan di atas bekas dulang. Kumudian, batu giling diletakkan di atasnya menjadi betul-betul berat untuk semalaman. Akulah tukang angkat batu giling yang seberat lebih 10 kilo !. Takbir raya kedengaran di surau, radio dan televisyen. Kanak-kanak lelaki mahupun perempuan sudah bersiap-siap dengan baju Melayu dan baju kurung untuk mengikuti rombongan takbir raya dari pintu ke pintu. Bayangkan 10 buah blok dan setiap blok empat tingkat dan 24 pintu rumah !. Setiap rumah akan dikunjungi kecuali beberapa kerat rumah orang Cina dan India dan seorang Benggali selebihnya rumah orang-orang Melayu.   

Malam takbir raya saja boleh kumpul RM10.00 hingga RM15.00 ringgit. Rata-rata yang memberi duit raya 10 sen atau 20 sen. Ada juga yang menghulurkan 5 sen. Berapa-berapa sen pun kami sapu !. Rombongan takbir raya selesai lebih kurang 1.00 pagi .

Keesokan hari , selesai solat sunat hari raya di surau , berbondong-bondong berhari raya di setiap blok. Ada juga rumah ‘tertutup’ apabila diserbu kanak-kanak. Setiap rombongan sampai berbelas-belas orang . Itu belum lagi kanak-kanak dari Kampung Sungai Aur, Flat Taman Kem, Flat Kastam, Flat Bomba, atau Flat Polis. Suasana kemeriahan hari raya disambung ke malam . Duit raya digunakan untuk membeli mercun dan bunga api.

Apabila cuti sekolah berakhir , kemeriahan hari raya kembali surut. Apabila umur menginjak remaja , amalan kunjung-mengunjung menjadi hambar. Mungkin faktor malu . Hanya kanak-kanak yang masih mengutip duit raya dari rumah ke rumah. Suasana hari raya dulu dan sekarang jauh berbeza. Sekarang kanak-kanak , remaja dan orang dewasa asyik melayan ‘handphone’ . Kemeriahan hanya terasa dalam ‘facebook’ atau ‘ whatsapp’. Dulu lain sekarang lain.

Comments

Popular posts from this blog