Episod : PENJUAL UBAT
Dulu-dulu
semasa tinggal di Flat LPK Pelabuhan Klang , setiap bulan sekali ada seorang
penjual ubat dinamakan minyak pelali. Botolnya bulat dan ada yang jenis empat
segi lebih kurang saiz tapak tangan. Minyaknya berwarna hitam dan baunya agak
harum tetapi sedikit pelik.
Si
Penjual ubat bukan orang tempatan dan dibantu isterinya yang berwajah aktres
Hindustan. Penjula ini menaiki sebuah kereta dan akan memasang meja lipat di
hujung blok C seperti stesen tetapnya di situ. Lagu Hindustan silih berganti
melalui tepi speaker yang dipasang di atas bumbung kereta. Lagu Hindustan itu
umpama signal kedatangan penjual minyak pelali.
Berbondong-bondong
kaum ibu membeli minyak pelali dan si penjual memang fasih berbahasa Melayu
tetapi isterinya agak pendiam barang kali dia tidak pandai berbahasa
Melayu.Satu lagi kepandaian si penjual ubat ialah bermain alat muzik arkodian.
Kebiasaanya si penjual memutarkan lagu-lagu hits Hindustan daripada filem-filem
‘box office’ seperti Sanggam , Ya Dun Ki Barat , Qurbani , dan Kati Patang .
Kaum
ibu akan berlama-lama di situ untuk melayan lagu-lagu Hindustan . Anak-anak
yang ikut bersama-sama ibu mereka sekadar hendak bermain pasir dan longkang di
tepi blok C. Perniagaan minyak pelali memang laris macam pisang goreng panas.
Ibuku peminat setia minyak pelali dan akan membeli sebotol untuk digunakan di
rumah .
Minyak
pelali ini memang mujarab. Sekali sap uterus baik . Luka jatuh basikal , luka
kepala kena kayu konda kondi . luka jari kaki main bola atas jalan tar atau
luka kena api main pondok-pondok belakang flat akan baik selepas disapu minyak
pelali. Luka terkoyak sekejap saja akan tercantum kembali. Minyak pelali memang
‘power’ sungguh.
Budak-budak
zaman 70-an dan 80-an memang lasak . Ada-ada saja permainan ciptaan dimainkan.
Dari kayu menjadi konda kondi. Getah gulung pun jadi. Guli pitir pun ada musim
. Main gambar . Kalau musim layang-layang penuh di padang budak-budak main
layang-layang. Boleh dikatakan balik sekolah main. Maghrib balik semua berlari
balik rumah. Kemudian, siap-siap pergi mengaji di rumah tok guru yang mengajar.
Paling top di Flat LPK ialah Ustaz Ajis atau dikenal Pak Ajis dan Ustazah
Aisyah .
Murid-murid
Pak Ajis dan Ustazah Aisyah memang power. Kebetulan anak Pak Ajis artis popular
ketika itu . Siapa yang tak kenal Effa Rizan ? Kemudian, anak Pak Ajis kahwin
dengan arwah Dato Dahlan Zainudin @ Del. Jarang sekali kelihatan Effa Rizan
berada di rumah barang kali dia tinggal di Kuala Lumpur. Sekali-sekala Effa
Rizan balik ke Flat, makcik-makcik Flat akan datang mengendeng di tingkap untuk
melihat artis popular. Budak-budak apa tau , main , gaduh dan televisyen .
Kalau bukan Ultraman , Giant Robot , Superman atau Batman. Semuanya hitam putih
selepas televisyen warna dicipta baharulah tahu suit Ultraman Merah Putih yang
dipakai Kapten Goh.
Penjual
minyak pelali sudah lama meninggal dunia. Flat LPK pun sudah menyembah bumi
tetapi menyimpan banyak kenangan manis. Kawan-kawan Melayu, Cina , India .
Benggali semua ada. Main bersama-sama dan sekolah bersama-sama . Aku sendiri
mempunyai sahabat karib bangsa Tionghua sejak sekolah hingga sekarang . Kami
bergilir-gilir mengayuh basikal.
Penjual
ubat paling ramai di Pasar Malam Pelabuhan Klang . Depan bangunan UMBC (Untuk
Melayu Bagi Cina ) atau Restoran Abdullah memang pot penjual ubat. Macam-macam
ada. Ada buat sakit gigi. Ubat kuat lelaki . Ubat pemikat . Kebiasaannya,
penjual ubat akan menggantung ‘microphone’
di leher dengan tali rafia. Pelbagai gaya dapat dilihat dan bunyi didengar .
Ada yang menyeramkan dan ada yang melucukan .
Paling
‘rare’ seorang penjual ubat membawa sebuah kotak kayu bagaikan keranda. Seorang
lelaki atau perempuan kurang pasti berbadan kurus dengan rambut mengerbang
menutup seluruh muka berbaring di dalam kotak itu. Kata si penjual ubat yang
berbaring itu merupakan jasad orang yang telah mati. Orang ramai berkerumun
membentuk bulatan macam sebuah tasik.
Si
penjual ubat mengeluarkan bunyi seperti ribut dan kadang-kadang bunyi dentuman bagai guruh di langit.
Penggunaan alat pembesar suara secara maksimum menghasilkan bunyi-bunyi itu.
Dari 30 minit sampai sejam. Dari sejam sampai dua jam. Jasad orang mati yang
dijanjikan akan bangun tak bangun-bangun. Semua yang ada kena temberang si
penjual ubat.
Pada
zaman dulu , penjual ubat seperti penjual minyak pelali memang laku. Apa saja
dijual mesti laku selain penjual kitab agama dari rumah ke rumah . Nenek aku
yang tinggal di Kuala Lumpur juag berniaga kain batik , keropok, budu secara
ansuran . Namun, kenangan indah sewaktu zaman kanak-kanak tetap tersemat di
hati walaupun zaman kini semakin banyak perubahan . Budak Flat legend !
Comments
Post a Comment