Episod : NUAR
Aku
mengenali Nuar melalui sepupuku. Kami mula berkawan sejak aku masih di bangku
sekolah menengah sekitar tahun 1984. Nuar lebih tua daripada aku tetapi perbezaan
itu tidak menjadi hakangan aku berkawan dengan Nuar. Nuar berasal dari Pulau Pinang dan sudah menetap
lama di Pelabuhan Klang. Walau bagaimanapun , loghat Pulau Pinangnya memang
pekat.
Kerja
rutinnya sebagai jurugambar bebas sepenuh masa dan Nuar mempunyai sebuah studio
mini di sebuah kedai tingkat atas di persimpangan lampu isyarat di hadapan
panggung Rex lama. Kelebihan yang ada pada Nuar ialah dia mempunyai ‘networking’
yang sangat luas . Pada masa lapang, aku akan berjalan kaki dari rumahku di Flat
LPK ke studio mininya . Di situlah kami banyak menghabiskan masa bersembang dan
aku layankan saja Nuar yang suka bersembang dan berkongsi tip-tip menjadi
peniaga berjaya.
Pengetahuan
Nuar tentang politik tanah air ketika era 80-an sangat aku kagumi. Bermula
daripada Nuar , aku meminati bidang politik dan mengambil tahu tentang politik
sehingga selepas tamat STPM , aku dipilih menjadi ahli jawatankuasa parti
politik pemerintah cawangan Pelabuhan Klang. Kebetulan Nuar juga antara ahli
parti pemerintah yang aktif.
Pengalaman
Nuar dalam bidang jurugambar tiada tandingan dan mereka yang tinggal di
Pelabuhan Klang rata-rata mengenali Nuar. Aku suka ke studio mini Nuar kerana
di situ tersimpan beribu-ribu foto yang dirakam oleh lensanya .Daripada
foto-foto biasa sehinggalah foto-foto peribadi yang tidak pernah tersiar di
mana-mana surat khabar atau majalah, termasuklah foto-foto pemimpin politik pada
masa itu. Antara album yang paling aku suka ialah album Tun Dr. Mahathir semasa
melakukan lawatan ke Afrika dan Nuar menjadi jurugambar peribadi Tun. Aku boleh
duduk leka berjam-jam di studio mini Nuar melihat foto-foto yang mempunyai ‘sentimental
value’.
Malahan,
aku juga dibenarkan membelek album-album foto peristiwa dan keluarga diraja
Selangor yang dirakamnya semasa bertugas . Aku berasa bertuah dapat melihat sendiri
foto-foto peribadi pemimpin-pemimpin pada zaman itu. Keterujaan aku disebabkan
minat aku dalam bidang seni sama ada seni kreatif , seni lukisan dan seni foto.
Nuar seorang yang sangat mesra . Apabila bercakap dengan Nuar, dia akan
mengulangi kata-kata atau ayat-ayatnya berulang kali seperti sudah menjadi
habitnya.
Nuar
memanggil aku Hang sebelum aku menjadi guru . Selepas aku bergelar guru, Nuar
memanggil aku sebagai Cikgu.
“Aku
dengan Hang dah berkawan lama . Jadi, sekarang Hang dah jadi Cikgu. Aku kena
hormat kat Hang sebagai Cikgu. Aku panggil Hang..Cikgu, “ kata Nuar ketika kami
berbual-bual kosong di studio mininya. Itulah keperibadian Nuar yang sangat
merendah diri dan menghormati rakan sama ada muda mahupun tua. Sesiapa sahaja
yang mengenali Nuar akan berasa seronok berbual dengannya. Kata-kata yang
selalu disebutnya ‘ kita ikut arahan ‘. Apa-apa sahaja perkara yang
dilakukannya atau cerita aku pasal kerja aku dia akan berkata ‘ kita ikut
arahan ‘.
Suatu
hari semasa berbual-bual di tangga masjid, Nuar mendekati aku.
“
Hai, laju Cikgu. Nak pergi mana? Duduklah dulu bersembang , “ kata Nuar dengan
loghat Pulau Pinang. Apabila bercakap Nuar suka ketawa dan tersenyum-senyum. Kebiasaan ini memang sudah
sebati dengan dirinya. Sepanjang persahabatan kami Nuar tidak pernah sekali pun
menunjukkan wajah muram atau sedih. Nuar sentiasa ramah dan tersenyum apabila
berbual-bual. Kalau terserempak di mana-mana , dari jauh wajahnya kelihatan
muram tetapi apabila sudah bertentang mata serta-merta dia menjadi begitu
peramah dan gembira
‘ Tak
boleh Nuar , orang rumah aku suruh beli barang dapur, “ kataku tergesa-gesa.
“Tak
pa. Tak pa. Selesaikan dulu. ‘ Kita ikut arahan’,” kami ketawa berdekah-dekah
di tangga masjid. Aku sudah menganggak Nuar akan berkata begitu. Semasa
bertugas , Nuar menjadi seorang yang serius. Tugas mesti dijalankan dengan
betul.
“Kita
kalau dapat tugasan , mesti buat sehabis baik . Orang keluar duit bayar kita.
Kita tak boleh buat kerja main-main. Itu semua arahan. ‘Kita ikut arahan’ , “
kata Nuar kepadaku yang sudah kuanggap seperti mentor aku kerana banyak nasihat yang
berguna diberikan kepada aku. Memandangkan aku sudah mula berjinak-jinak dalam
perniagaan pembekalan barangan keperluan pejabat melalui pesanan ‘LO’ pada
pertengahan tahun 90-an. Aku juga mempunyai sebuah pejabat sendiri di tingkat
atas pejabat UMNO Pelabuhan Klang bersebelahan pasar raya Zulseng (lama). Banyak
tip perniagaan yang dikongsinya kepada aku dan sehingga kini menjadi pedoman
aku dalam berinteraksi dengan pelanggan-pelanggan aku. Tip-tip yang tiada
ditulis di dalam buku tetapi lahir dari hati !.
“Kita
buat kerja kena ikhlas. Orang tak ikhlas tak pa tapi kita kena ikhlas.
Insyallah, semua boleh jadi. Kerja kena buat betul-betul. ‘Kita ikut arahan ‘, “
kata Nuar kemudian dia akan ketawa . Kalau bersembang dengan Nuar memang tidak
kering gusi walaupun apa-apa yang diucapkannya perkara yang sangat penting dan
bernilai tetapi Nuar akan mengulang kata-katanya berkali-kali. Akhirnya, aku
sudah terbiasa dan dapat menerima dengan gaya perbualan Nuar.
Satu
lagi kelebihan Nuar yang aku nampak, solat Subuhnya berjemaah tidak pernah
tinggal. Solat-solat waktu lain seperti orang lain yang bekerja kalau
berkesempatan akan singgah berjemaah di masjid. Kebetulan rumahnya di hadapan
masjid dan dia juga salah seorang ahli jawatankuasa masjid . Nuar sangat konsisten
solat Subuh berjemaah di masjid. Kelebihan yang ada pada Nuar yang Allah
berikan kepadanya sebagai hamba terpilih.
Sejak
zaman sekolah hinggalah aku sudah bercucu, kami masih menjadi kawan karib.
Sehinggalah pada suatu Subuh , aku tidak melihat Nuar di masjid. Aku bertanya
kepada jemaah lain dan mereka memberitahu Nuar terjatuh di hadapan rumahnya.
Kaki Nuar tercedera dan kebetulan Nuar menghadapi masalah kencing manis. Agak
lama juga Nuar berulang-alik ke hospital untuk merawat luka kecederaan pada
kakinya. Hari demi hari, kesihatan Nuar semakin terjejas tetapi Nuar tetap ceria
dan suka bersembang.
“Masuklah,
Cikgu , “ pelawa isteri Nuar ketika aku dan isteri datang melawatnya di rumah.
“Macamana,
Nuar?,” tanyaku dan melihat Nuar duduk di kerusi di tepi pintu.
“Macam
inilah , “ jawab Nuar perlahan. Aku berasa simpati kepada Nuar melihatkan
keadaan dirinya ketika itu.
‘Hang
pergi klinik berapa kali? , “ tanyaku lagi. Isteri Nuar sedang berbual-bual
dengan isteriku di ruang tamu.
“Kena
pergi cuci luka. ‘Kita ikut arahan’,” kata Nuar perlahan semacam ada kesedihan
yang terbuku di hatinya.
“Aku
ada bawa ubat-ubat aku yang aku tak pakai lagi. Hospital bagi bekalan banyak .
Kaki aku lepas ‘accident’ dah baik. Hang pakailah ubat-ubat aku ni. Ada ubat
sapu. Kain ‘gosh’. Alkohol swap. Kalau Hang nak tongkat aku nanti aku bawa bagi
Hang pakai, “ kataku sambil menujukkan ubat-ubatan di atas meja di depan Nuar.
Nuar tersenyum dan ada raut kegembiraan pada wajahnya. Aku menunjukkan
cara-cara mencuci luka pada kaki Nuar kerana aku mempunyai pengalaman merawat
sendiri kecederaan pada kaki aku hampir satu tahun setengah.
“Insyallah
, kaki Hang boleh baik. Banyakkan berdoa,” kataku lagi.
Setelah
beberapa lama berbual, aku dan isteri meminta diri untuk pulang.
“Hang
jaga diri,” kataku sambil memeluk Nuar yang duduk di kerusi. Nuar diam saja
seolah-olah mahu aku lebih lama bersembang dengannya.
“Nanti
senang-senang aku datang lagi. Hang bagi tau lah Hang nak apa, “ kataku
mengakhiri perbualan kami.
Selang
seminggu, seperti biasa aku ke masjid menunaikan tanggungjawab fardhu.
“Cikgu,
Nuar masuk ICU Hospital Klang, “ kata seorang jemaah masjid kepadaku usai solat
Subuh . Aku berasa terkejut kerana rasanya aku baru berjumpa Nuar dan dia
kelihatan ‘OK’.
Selepas
selesai kelas tuisyen , aku bergegas ke Hospital Tengku Ampuan rahimah Klang
(HBTAR). Aku naik ke tingkat 2 , beberapa orang sedang duduk di ruang legar sambil
berbual-bual. Kawasan tingkat 2 itu menempatkan Wad ICU dan memang sentiasa ada pelawat .Di luar pintu
bilik ICU , seorang pengawal keselematan
wanita beruniform putih sedang duduk di atas kerusi.
“Encik mau jumpa siapa?,” tanya pengawal itu.
“Saya
mau jumpa kawan saya,” kataku.
“Anuar
?,” tanya pengawal itu lagi.
“Ya,
Anuar, “ aku mengiyakannya.
“Dia
sudah meninggal, Encik,” kata pengawal keselamatan itu. Terasa jantungku luruh
tiba-tiba. Sedih yang tidak terkata. Mataku berkaca. Teringat aku tentang
pertemuan aku dengan Nuar tempoh hari. Rupa-rupanya, itulah kali terakhir aku
berjumpa Nuar . Persahabatan yang sudah terjalin lebih 30 tahun. Aku dibenarkan
masuk oleh pengawal keselamatan dan sekujur jenazah sahabatku Nuar sedang
diuruskan oleh beberapa orang ahli keluarganya. Aku telah kehilangan seorang
lagi sahabat sejati dan seorang ‘abang’ yang banyak menitipkan kata-kata
nasihat kepadaku. Semoga roh Nuar dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama
orang-orang beriman . Amin Ya Rabbal Alamin.
Comments
Post a Comment