EPISOD: MAHASISWA TUA
Sengaja aku memilih tajuk kisahku ini Mahasiswa Tua kerana aku memulakan pengajian di universiti semasa usiaku sudah menjangkau 37 tahun. Semangat untuk memasuki universiti tidak pernah padam selepas aku gagal Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 1984. Berbelas-belas tahun aku menanti peluang ini dan akhirnya dengan takdir-Nya aku berjaya juga menjejakkan kaki di Universiti Putra Malaysia pada tahun 2004. Itulah rezeki di tangga namanya.
Walaupun , Kursus Pengajian Jarak Jauh (PJJ) tetapi aku sangat berpuas hati mendapat peluang kedua dalam hidupku. Tambahan pula, bidang Bahasa Melayu memang menjadi minatku yang paling utama dan sekali gus aku dapat menambahkan ilmu pengetahuanku tentang penulisan sastera. Bagiku , inilah lesen besar sebagai seorang penulis kecil seperti aku.
Kuliah diadakan pada setiap hari Sabtu petang dan Ahad pagi hingga petang . Masa hujung mingguku selama empat tahun pengajian di UPM hanya menghadiri kuliah. Masa cuti semester sahaja aku mempunyai masa bersama keluarga pada hujung minggu. Biarlah kegagalan 1984 menjadi suatu kenangan pahit dan kini aku sedang menikmati kenangan manis sebagai seorang mahasiswa tua.
Ada juga suara-suara sumbang terhadap mahsiswa PJJ seperti aku tetapi ada aku kisah. Paling penting ilmu yang dapat aku timba dan gali sebanyak-banyaknya di UPM. Profesor-profesor dan para tutor yang berdedikasi dan berkaliber banyak membantu kejayaanku. Masihku ingat beberapa orang profesor yang mengajar aku seperti Prof.Dr.Ahmad Musanif, Prof. Arbaie , Prof Dr, Ibrahim , Prof .Arbak Othman dan Prof. Dato Dr, Jayum Jawan yang mengajar Perlembagaan Negara serta Prof . Dr. Muati yang petah berpidato diselit dengan lawak jenakanya yang bersahaja. Tabik spring, Prof !.
Suasana di dewan kuliah (DK) sangat meriah apabila kami berjumpa tiga bulan sekali sebagai takwim wajib PJJ. Masing-masing membawa pelbagai cerita dan gelak ketawa. Hampir 95% mahasiswa dan mahasiswi di dewan kuliah ini ialah guru-guru sekolah kerajaan. Hanya 5% ialah guru-guru sekolah swasta seperti aku dan tutor bebas. Perkongsian cerita kami berbeza-beza apabila masuk bab cerita sekolah kerana pengalaman bekerja di institusi yang berbeza.
Pernah sekali kuliah , ketika itu subjek Bahasa Arab. Aku memang kantoi bab Bahasa Arab kerana tidak pernah bersekolah agama semasa sekolah rendah. Pada awal tahun 70-an , sekolah agama terhad . Bukan seperti sekarang , ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah agama sama ada sesi pagi atau petang . Sosek-sosek kawan-kawan bercerita itu ini sambil menunggu Prof.Dr.Rauf masuk ke dewan. Kami juga tidak pernah mengenali wajah Prof.kerana ini kuliah pertama kami dengan Prof. Dr. Rauf.
"Mana Prof. ni tak sampai-sampai. Dah petang ni. nanti nak balik Muar," getus kawan sebelahku. Aku hanya mengangguk sambil tersenyum. Suasana bertambah riuh-rendah. Kalau di sekolah kami suruh murid diam tapi di dewan kuliah siapa yang boleh suruh guru-guru diam. Aku hampir tergelak sendiri melihat suasana ' huru-hara ' di dalam dewan kuliah.
Tiba-tiba , seorang lelaki bercermin mata dan berbadan gempal bercakap-cakap dalam Bahasa Arab. Lelaki itu turun dari kerusi tingkat atas dewan menuruni anak tangga menuju ke bahagian hadapan dewan. Betullah, aku tak tahu Bahasa Arab dan sepatah haram aku tak faham apa lelaki tiu cakap. Hanya di akhir ayat , lelaki itu menyebut perkataan " Syaiiittoonn" dengan nada suara panjang.
"Kamu semua faham apa saya cakap?," tanya lelaki itu tersenyum dan hampir serentak semua menjawab " Syaiitoonnn" dan ketawa berdekah-dekah. Lelaki itu memperkenalkan diri sebagai Dr. Rauf. Beliau anak kepada Almarhum Tuan Guru Hasan Azahari , pakar Al-Quran. Prof.membaca marhum ayat tadi dan masing-masing melongo mendengar penjelasan Prof.
Sekali peristiwa , aku tidak pasti subjek apa, masing-masing diberikan tugasan mengikut nombor metrik. Kertas tugasan diberikan seorang sehelai. Macam-macam suara kedengaran saat kertas tugasan sampai di tangan. Aku pula mendapat tugasan yang bertajuk "Undang-undang Keluarga Islam : Poligami". Ah, sudah !. Aku pun bertanya kepada Prof,. serba sedikit tentang 'assigment' yang perlu dibuat .
Keesokan hari, aku melangkah ke Pejabat Agama Daerah Klang. Sebuah bangunan kayu dan nampak keuzurannya. Beberapa orang sedang duduk di pangkin kayu di hadapan kaunter. Ada yang menangis. Ada yang berdiri sambil bercekak pinggang. Ada yang memandang dinding dengan pandangan kosong. Aku mendekati meja kaunter dan memberi salam.
"Asalamuailaikum," kataku kepada seorang kakitangan lelaki yang bertugas dan memakai songkok. Sudah menjadi peraturan kakitangan pejabat agama wajib memakai songkok.
"Ya , encik . Boleh saya bantu?," tanya kakitangan itu dengan sopan tetapi wajahnya sedikit serius.
"Saya datang nak minta borang poligami," kataku. Oleh sebab suaraku agak kuat maklumlah Cikgu , banyak mata memandang aku secara tiba-tiba. Yang menangis tadi bertambah kuat esakannya.
"Siapa yang nak poligami,?" tanya kakitangan itu semula.
"Tak pasti lagi , tuan," kataku tersenyum.
"Encik cakap betul-betul , " kata kakitangan itu dengan suara sedikit nyaring.
"Betullah, Encik , " kataku lagi.
"Encik masuk ke dalam berjumpa dengan Ustaz, " arah lelaki itu dan aku masuk ke dalam ruang pejabat dan berjumpa dengan seorang Ustaz yang sedang duduk di mejanya. Kakitangan di pejabat itu memandang aku kerana Ustaz itu bertanggungjawab berkaitan poligami. Selepas memberikan salam , aku dipersilakan duduk. Aku memberitahu tujuan aku datang ke situ untuk mendapatkan borang poligami bagi tujuan penyediaan 'assingment'sambil menunjukkan kad metrik UPM. Ustaz yang sangat mesra itu melayan aku dengan baik dan memberi aku pinjam buku berkaitan Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor.
"Ye, nanti abang balik makan tengah hari, " kata Ustaz apabila telefon berdering. Ustaz meletakkan gagang telefon bimbitnya dan tersenyum memandang aku.
" Nanti Ayang keluar dengan kawan-kawan ye. Abang balik rumah makan dengan kakak," kata Ustaz kepada seorang kerani perempuan di sebelahnya. Wanita itu hanya tersenyum dan memandang aku. Aku bingung seketika, Kakak kemudian Ayang . barulah aku faham makna poligami. Itu belum cerita aku bawa balik borang poligami ke rumah . Aduhai.
Aku sengaja meletakkan borang poligami di atas meja 'master bedroom'. Borang itu terbaring lesu dan bisu. Isteriku masuk ke bilik dan keluar bilik dengan wajah masam dan 'membimbangkan'. Aku segera mencapai kunci motosikal dan keluar mengajar kelas tuisyen di bandar Klang. Malam itu aku pulang ke rumah sekitar jam 10.30 dan di atas meja tiada makanan di bawah tudung saji. Isteriku di dalam bilik. Aku ke dapur dan mencapai sebungkus maggi dan memasak maggi sebagai makan malam.
Selesai makan , aku membaca surat khabar dan menonton televisyen. Jarum jam dinding menunjukkan pukul 1.00 pagi. Aku masuk ke bilik isteriku sudah tidur (aku agak-agak sahaja). Selepas mandi , aku pun terus merebahkan badan di atas katil dan beberapa ketika aku sudah terlelap. Keesokan pagi, selepas solat Subuh aku bersiap-siap hendak ke sekolah. Isteriku menyiram pokok bunga di halaman rumah .
Aku segera menghidupkan enjin motosikal dan berlalu pergi ke sekolah di bandar Klang. Isteriku tidak menoleh kepadaku dan mencium tanganku seperti kebiasaannya. Aku hanya tersenyum semoga 'prank' aku menjadi kali ini. Di sekolah , aku mengajar seperti biasa dan pada waktu rehat aku membelek buku modul untuk persediaan peperiksaan semester tidak lama lagi.
Aku teringat kenangan yang melucukan semasa menghadiri kuliah Prof. Dr, Muati. Bilik kuliah penuh melimpah ke lantai . Prof berkata ' 6464' dalam loghat Kelantan walaupun Prof berasal dari Kedah menceritakan kisah kemalangan jalan raya sepasang suami isteri orang Kelantan. Bergema seluruh dewan dengan ketawa apabila Prof. menceritakan ketika pasangan mangsa kemalangan membuat laporan polis dalam loghat Kelantan. Itulah kehebatan Prof, Muati berpidato tak kering gusi dan penuh ilmiah . Sekarang , aku mengikuti pidato Prof.Muati melalui saluran 'Youtube' sahaja.
Sekembali aku dari kelas tuisyen, isteriku sudah berkurung di dalam bilik. Kali ini hatiku sangat berdebar-debar. Aku masuk ke bilik awal. Isteriku tidur mengiring dan menoleh aku apabila pintu bilik terkuak.
"Borang apa tu?," tanya isteriku.
"Borang poligami," kataku masih membiarkan isteri berteka-teki.
"Siapa punya?," tanyanya lagi.
"Saya," jawabku ringkas.
Aku kasihan melihat wajah isteriku seakan hampir menangis. Aku segera menjelaskan perkara yang sebenar. Borang itu hanyalah sebahagian daripada 'asingment' aku. Malam itu . tubuhku 'disengat' cubitan di seluruh badan ...
Comments
Post a Comment