Episod : LASTIK
Lastik
salah satu alat permainan paling popular semasa zaman kanak-kanak tahun 70-an.
Kebanyakan alat permainan dicipta sendiri dengan kreativiti masing-masing .
Dahan pokok bercabang dijadikan kayu lastik. Tali lastik daripada tiub tayar basikal.
Getah dan kulit kasut bahagian belakang antara bahan untuk membuat lastik. Hampir
semua kanak-kanak lelaki mempunyai lastik . Semasa ke destinasi masing-masing
menyimpan lastik di dalam poket seluar.
Di
tempat tinggal aku, terdapat tangki-tangki minyak di luar pagar Flat LPK. Tangki
CALTEX selalu menjadi sasaran aku dan kawan melastik lalu menghasilkan bunyi
encho. “Piungg Piungg Piunggg”. Apabila pengawal keselamatan datang , kami akan
lari tetapi sebenarnya padang Flat dan tangka Caltex dipisahkan dengan pagar
dawai jadi pengawal keselamatan hanya memarahi kami dan menghalau kami.
Kami
akan berpindah ke kawasan tangki FELDA. Melastik tangki bertalu-talu
menggunakan batu kerikil atau guli. Kebiasaanya batu kerikil yang kami kutip di
tepi jalan kerana harga guli seplastik 50 sen lebih kurang 10-12 biji sangat
mahal.Belanja wang saku sekolah pun hanya 20 sen dan kadang-kadang 50 sen.
Puas
melastik tangki FELDA, kami bergerak ke
Sungai Aur. Terdapat pangkalan jeti nelayan di situ dan jambatan kayu hingga gigi
air sungai. Pantai yang berselut menjadi tempat ketam kecil dan ikan belacak
naik ketika air surut. Tahukan, apa sasaran lastik kami. Ketam dan ikan belacak
kami lastik . Bukan untuk ditangkap dibela ketam dan belacak tapi untuk
suka-suka. Nampak kejam tapi zaman kanak-kanak itulah keseronokan yang ada.
Satu
persatu ikan belacak kena lastik tapi ketam cepat-cepat masuk ke dalam lubang
menyorok. Kami terpaksa menunggu dengan diam dan apabila ketam keluar lubang
semula bertubi-tubi batu lastik dilepaskan. Apabila bosan melastik ikan belacak
dan ketam , kami menyusun tin-tin kosong sebaris di atas palang jambatan.
Bagaikan cerita Cowboy ‘High Chappral’ , kami melastik tin-tin kosong dan
bersorak apabila batu lastik mengena sasaran . Apabila hari sudah lewat petang
, barulah kami bergerak pulang ke rumah dengan berjalan kaki 5-6 orang dalam satu
kumpulan.Suasana petang di kawasan tangka sangat sunyi hanya kedengaran ‘ srek
srek srek ‘ bunyi selipar. Kalau nasib tidak baik kami akan dikejar anjing yang
dilepaskan oleh pengawal keselamatan yang dengki.
Apa lagi
kami buka langkah seribu dan pagar separas dada pun boleh lepas dengan sekali
lompat. Longkang seluas dua kangkang pun lepas hanya sekali lompat. Kami akan
ketawa berdekah-dekah jika ada kawan yang kantoi digonggong anjing kerana
lompatannya tidak lepas dan hanya mampu menangis sehingga terkeluar hingus dan
terkencing .
Ada
hari- hari tertentu kami mencari ikan pelaga. Memang zaman itu ikan pelaga hidup
di dalam lopak-lopak air di kawasan belukar berhampiran tangki FELDA. Lastik
kami sorok di dalam poket seluar. Budak-budak yang baru belajar main lastik
akan menggantung lastik di leher. Macam budak-budak ! Kami tidak pernah pulang
tangan kosong . Seekor dua ikan pelage di dalam botol dibawa balik dan
kadang-kadang ikan puyu. Kami tidak begitu gemar memancing dan sehingga hari ini
aku tidak gemar memancing. Pernah sekali aku diajak kawan-kawan di kawasan taman
pergi memancing di Bagan Pelabuhan Klang. Dari pukul 12.00 malam hingga 5.00 pagi
, seekor ikan pun tak dapat dan balik tangan kosong !.
Mandi
sungai memang dilarang keras oleh ibu bapa. Sehingga kini aku tidak pandai
berenang walaupun sejak lahir dibesarkan di Pelabuhan Klang. Kami selalunya bermain
lastik pada hari citi sekolah Sabtu dan Ahad. Hari persekolahan tidak
dibenarkan bermain. Jadi, pelajaran diutamakan namun keseronokan zaman
kanak-kanak dinikmati.
Lastik
juga digunakan untuk melastik buah mangga . Pokok mangga di belakang rumah
orang menjadi sasaran. Tembakan yang tepat menyebabkan buah mangga jatuh
bergolek di atas bumbung rumah. Sesekali tuan rumah akan keluar dan memarahi
kami tetapi kami akan kembali semula dan melastik. Kenakalan kami hanyalah
keseronokan kanak-kanak . Tiada permainan seperti zaman sekarang dengan
pelbagai gajet.
Larangan
orang tua dipatuhi terutama yang membahayakan nyawa seperti berenang di sungai
atau laut ( Tanjung Harapan ) dan keluar jauh dari rumah. Sekali kejadian,
semasa aku asyik melastik ikan belacak, salah seorang kawan aku menolak aku
dari atas jambatan menyebabkan aku terjatuh ke dalam selut. Sedikit demi
sedikit selut menarik selipar aku ke dalam dan aku segera ditarik naik ke atas
oleh kawan-kawan aku. Baju seluar penuh selut. Baunya busuk.
Kami
singgah di luar pagar tangki FELDA kerana di situ terdapat sebuah pili bomba .
Kami membuka pili bomba dan mandi di situ beramai-ramai. Jika berlaku masalah
tiada air di flat , kaum ibu akan membasuh dan mandi di situ juga sambil mengheret
anak-anak sama. Tempat itu menjadi pot untuk mandi .Kebimbangan mulai terlintas
di hati apabila aku pulang ke rumah berkaki ayam. Seliparku sudah ditelan
selut.
Tiada
cara untuk mengelak daripada ibuku yang tegas. Paip getahlah singgah di badanku
. Sekali libas menggeliat dan lari ke dalam rumah. Telinga kena tebal tahan dibebel
tapi tidak lama. Biasanya di rumah ada selipar lama yang boleh disarung pakai.
Aktiviti melastik akan disambung keesokan harinya di tempat yang sama dengan
kawan-kawan yang sama.
40
tahun sudah berlalu zaman kanak-kanak dan remaja. Kawan-kawan yang sama-sama
melastik ikan belacak dan anak ketam , mandi di pili bomba , melastik buah mangga
, tangki CALTEX dan tangki FELDA masih lagi berhubungan hingga kini. Ada yang
menjadi doktor , ahli politik dan ahli perniagaan bergelar Datuk Sri. Sesekali
berjumpa , cerita zaman kanak-kanak menjadi bualan dengan gelak tawa. Tiada
perbezaan antara kami . Masing-masing saling menghormati dan membantu
kawan-kawan yang memerlukan bantuan. Itulah zaman kanak-kanak menyeronokkan dan
bebas seperti burung camar yang melayah di laut lepas .
Comments
Post a Comment