Episod : TERSURAT
Hari ini 28 Julai 2021 genap 32 tahun aku melayari bahtera kehidupan di lautan yang bergelombang . Setelah hampir dua tahun mengenali hati budi akhirnya ikatan janji menjadi kenyataan . Aku memilihnya menjadi suri hatiku. Kata-kata rindu berganti sayang .
Hari segala penghulu telah menjadi saksi penting suatu ikatan dua hati yang akan terikat selama-lamanya seperti janji yang dicurahkan setiap kali bertentang mata. Persediaan rapi selama sebulan membeli cenderamata untuk dibuat hantaran di atas dulang berkain renda dan sedondon. Hati sedikit gelisah kerana hasratku untuk bercuti pada hari yang penting itu tidak dibenarkan oleh majikanku. Jarum jam berasa begitu perlahan .
Akhirnya , pada jam 7.00 petang , aku dibenarkan pulang ke rumah. Bagaikan tidak memijak tanah aku berlari ke stesen bas Klang di bawah Great Wall agar tidak terlepas bas MARA KLANG-BANTING . Di dalam perut bas, fikiran menjadi runsing memandang aku perlu sampai di Kampung Meru pada jam 9.00 malam. Jarum jam menunjukkan 7,45 malam dan aku harus berjalan kaki pulang ke rumah selepas bas berhenti di stesen Pelabuhan Klang.
Sekali lagi, aku berlari-lari anak dan tiba di rumah sekitar jam 8.15 malam. Semua ahli rombongan sudah bersedia di halaman rumah. Guru Al-Quranku Ustaz Mohd. Noor juga sudah menanti di ruang tamu. Pada rancangan awalnya, sebelum rombongan bertolak diadakan majlis khatam Al-Quran dan doa selamat ringkas. Setelah aku bersiap serba ringkas , selesai majlis yang dirancang secara ala kadar kerana kesuntukan masa , akhirnya rombongan menghantar pengantin tiba di Kampung Meru hampir 9.30 malam.
Kaum keluarga sebelah pihak perempuan sudah menunggu di ruang tamu. Aku dinikahkan oleh bapa mentuaku Haji Solahuddin sambil disaksikan mata dan telinga wakil kedua-dua pihak keluarga. Selesai acara pernikahan dengan sekali lafaz , akhirnya dua jiwa telah disatukan. Berseri-seri wajah isteriku saat datuk saudaranya mengaminkan doa kesyukuran . Ikrar taklik dan tandatangan diturunkan pada beberapa helai borang sambil ditandatangani para saksi masing-masing . Usai segala urusan pernikahan , semua tetamu dihidangkan makanan dan minuman oleh tuan rumah .
Aku dibawa ke bilik pengantin untuk menyarung cincin . Nasi ayam jamuan pertama dihidangkan dan dilayan oleh isteriku pada malam pernikahan itu. Hampir jam 11.30 malam , semua yang hadir memohon diri dan aku juga melambai-lambai meninggalkan perkarangan rumah kerana atas permintaan keluargaku majlis persandingan akan diadakan enam bulan akan datang untuk disamakan dengan adik perempuanku.
Jadilah aku 'perindu sepi' sepanjang perjalanan pulang ke rumah . Malam itu aku dan isteri hanya berbual-bual di telefon menunggu siang keesokan harinya. Seawal jam 8.00 pagi Sabtu, aku sudah melangkah ke stesen bas untuk ke sekolah. Tiada cuti istimewa. Itulah pengorbanan dan terkorban namanya. Pada tahun 80-an, telefon bimbit barangan eksklusif dan mahal. Hanya telefon awam menjadi talian pengikat kasih.
Selang dua hari pernikahan , aku dan isteri bertemu di stesen bas Klang kerana kami sudah berjanji akan ke Port Dickson, Negeri Sembilan. Honeymoon separuh masak !. Berbekalkan sebulan gaji RM200.00 , kami menaiki bas lompat-lompat dan akhirnya sampailah ke Pantai Port Dickson sekitar tengah hari. Di situ sebuah konsert Ramli Sarip akan berlangsung pada malamnya. Kelihatan Ramli Sarip sedang membuat latihan bersama band Sweet Charity.
Setelah bersiar-siar di pantai berdua-duaan sempat merakam gambar kenang-kenangan dengan sebuah kamera KONICA. Hari telah lewat petang , kami perlu bergegas ke stesen bas untuk pulang ke Klang. Sekiranya kami lewat sampai di Klang , bas sudah tamat perkhidmatan . Selamat tinggal Port Dickson. Selamat tinggal Honeymoon. Sepanjang perjalanan , ada kegusaran bersarang di hati andainya kami terlepas bas akhir. Kami tiba tepat jam 11.00 malam di stesen bas Klang. Bas KSOC perjalanan akhir ke Meru mula hendak bertolak. Kami sempat menaiki bas dan tiba di Pekan Meru sekitar jam 11.45 malam. Bas tidak menghantar penumpang hingga Batu 8 selepas jam 11.00 malam. Tiada kereta prebet sapu.
Akhirnya , aku mengajak isteriku berjalan kaki dari Pekan Meru ke Batu 7 sebelum jambatan Bukit Kapar. Menapak selangkah demi selangkah sambil mengendong sebuah beg pakaian yang dibeli di Lorong Jalan Taiping. Malangnya dalam perjalanan pulang . tali beg telah putus. Sebenarnya , aku sudah ditipu oleh penjual beg kerana tali beg itu distapler dan dibalut selotap yang sama warna dengan beg itu. Aku memikul beg itu dengan isteriku melangkah pulang ke rumah mentuaku dalam kesunyian dan kegelapan jalan raya. Kebetulan aku sudah membawa pakaian untuk bekerja keesokan hari kerana aku tidak diberikan cuti khas . Apalah malangnya nasib mendapat majikan seperti ini tetapi aku bersyukur dengan gaji RM200 sebulan cukuplah makan minum kami .
Orang lain mempunyai motosikal aku pula mempunyai dua kaki yang masih mampu berjalan dan mengejar bas ulang - alik dari Klang ke Pelabuhan Klang. Selepas enam bulan , aku disandingkan dengan berpasangan adikku. Dua pengantin satu pelamin. Gajiku dinaikkan RM50.00 sebulan kemudian. Tiada cara lain untuk menyara isteri dan membayar rumah sewa melainkan kerja 'overtime;. Aku menaiki bas dan turun bas ke rumah pelajarku untuk mengajar tuisyen dengan bayaran RM15 sebulan.
Setahun kemudian , lahirlah puteriku yang pertama sebagai bukti cinta kami.. Puteriku dibelai dengan kasih sayang secukupnya.. Puteri kami akan dijaga oleh kakak iparku dan pada hujung minggu kami pulang ke Pelabuhan Klang melawat keluargaku. Puteriku kupeluk sepanjang perjalanan dengan menaiki bas. Selang dua tahun, kami dianugerahi seorang lagi puteri . Rancangan untuk membeli sebuah motosikal mulai terasa. Akhirnya, dengan bantuan ibuku aku dapat membeli sebuah motosikal 'second hand' . Malangnya motosikal yang kubeli tunai RM1500.00 setiap hari mengalami kerosakan peston dan aku sudah ditipu kerana membeli sebuah motosikal yang sudah rosak. Namun, aku gagahi juga menunggang motosikal itu untuk berulang alik dengan isteriku yang bekerja di Klang sebagai kerani syarikat menjual mesin fotostat.
Melalui ihsan pemilik syarikat mesin fotostat, aku membuat kerja 'overtime' di situ.. Pendapatan bulanan aku sedikit bertambah dan kami membuat keputusan membeli sebuah motosikal Suzuki RC80 secara berhutang . Keadaan motosikal lama amat membahayakan nyawa kami kerana kerosakan peston menyebabkan enjin berhenti secara tiba-tiba dan tayar tidak berpusing. Beberapa kali aku dan isteri hampir terperosok di bawah perut lori. Ada ketikanya , aku terpaksa menolak motosikal yang meragam dari batu 5 ke Pekan Meru untuk membaiki motosikal.
Pertambahan ahli keluarga bermakna pertambahan kos sara hidup. Kami berjimat-cermat dalam berbelanja. Apabila tiba Hari Raya , aku terpaksa berulang -alik dua tiga kali untuk membawa puteriku-puteriku dan isteri pulang ke Pelabuhan Klang. Usaha isteriku untuk meminjam kereta tidak pernah berhasil dan aku meminta isteriku berhenti meminta-minta. Cukuplah sekali. Tunggangan pertama , aku dan puteri sulungku dan sebuah beg diikat di bahagian tempat duduk belakang. Tunggangan kedua , aku dan isteri serta puteri keduaku pula namun kami cukup bahagia berempat di atas sebuah motosikal.
Setahun kemudian , lahirlah puteriku yang ketiga. Aku sudah mempunyai pekerjaan yang lebih baik di sekolah baharu dengan gaji yang lebih lumayan RM900.00 sebulan ditambah gaji mengajar tuisyen RM350.00 dan gaji kerja 'part time ' di syarikat mesin fotostat sebanyak RM250.00 sebulan. Aku membeli sebuah kereta Kancil kelabu tetapi isteriku yang memandu kerana aku tidak mempunyai lesen kereta. Selepas enam bulan kemudian , barulah aku mempunyai lesen memandu . Hidup kami sekeluarga bertambah lengkap selepas aku membeli sebuah rumah kos sederhana. Aku mula menetap di Klang mulai tahun 1994.
Di syarikat mesin fotostat tempat aku bekerja disediakan insentif elaun menjual mesin fotokopi. Aku pergi dari sebuah pejabat ke sebuah pejabat tidak kira berapa tingkat bangunan kakiku tetap menapak satu persatu anak tangga. Dari sekolah ke sekolah . Dari kilang ke kilang . Motosikal itulah yang menjadi kuda dengan semangat waja bagaikan besi. Hasil daripada kerja keras dan doa yang tidak pernah putus akhirnya aku mampu membeli sebuah Proton Aeroback. Hasil jualan mesin fotostat sangat lumayan kerana setiap mesin yang terjual aku akan menerima komisen RM300.00 dan setiap bulan aku berjaya menjual hampir 5 buah mesin sekurang-kurangnya.
Rezeki Allah tidak pernah putus, akhirnya aku membeli sebuah rumah di Bandar Bukit Tinggi Klang untuk keselesaan keluargaku yang semakin bertambah . Sebagai membalas 'dendam' kerana 'honeymoon' separuh masak aku membeli sebuah Toyota UNSER untuk memudahkan kami pergi bercuti dan dapatlah kami 'honey moon' selepas 11 tahun usia perkahwinan kami. di seluruh negara. Kini , segala pahit getir menjadi kenangan manis dalam album kehidupan kami. Selamanya hidup kita akan diuji kerana dunia ini hanyalah pentas ujian dan di sana nanti kita akan mendapat balasannya.
Laluilah hidup ini dengan penuh ketabahan dan keyakinan serta kesungguhan. Tiada yang mudah untuk dicapai. Kata orang "angan-angan menjadi kenyataan" tetapi bagiku tiada istilah angan-angan . Kita perlu meletakkan suatu matlamat bukan sekadar angan-angan. Usahlah berkecil hati saat kita tidak dipandang orang tetapi bersangka baiklah. Kesedihan tidak menyelesaikan masalah. Setiap orang berhak menikmati kehidupan yang baik dan bahagia dengan usaha gigih tanpa melupakan Allah Maha Kaya. Ingatlah rumput di bumi yang kita pijak. Jangan pinggirkan orang lain di sekeliling kita kerana mereka lebih menderita daripada kehidupan yang pernah kita lalui. Kejayaan dan kesenangan hanyalah sekadar pinjaman sementara yang akan kita tinggalkan selama-lamanya. Didiklah anak-anak kita menyayangi orang lain yang memerlukan bantuan dan perhatian kita. Sedikit yang kita beri segunung Allah ganti.
Kepada isteriku , terima kasih kerana menerima aku daripada 'ZERO'. Dulu aku pernah dikecewakan kemudian kau hadir membawa kebahagiaan . Semuanya sudah tersurat di sisin-Nya.
Comments
Post a Comment