Episod : HARI KONVOKESYEN

Saat dinanti-nantikan akhirnya tiba setelah sekian lama berjuang dan berkorban segala-galanya. Aku menerima sepucuk surat daripada pejabat pentadbiran UPM berkaitan tarikh hari konvokesyen dan sidang yang ditetapkan. Terasa penat lelah selama empat tahun berulang alik ke pusat pembelajaran , peperiksaan dan kampus di Serdang.

Aku ke kampus UPM untuk menyewa jubah dan hud di sebelah dewan (DK) . Kebanyakan bakal siswazah sudah beratur ketika aku sampai. Usik – mengusik sesama rakan menjadikan suasana gembira dan meriah. Maklumlah, mahasitua kata kawanku. Sebenarnya , selepas peperiksaan akhir semester yang berlangsung di dewan UNISEL , Shah Alam kami tidak lagi bertemu seperti biasa pada hujung minggu di pusat pembelajaran UITM Seksyen 17.

Dua orang mahasiswa perempuan yang masih muda turut beratur untuk mengambil jubah. Ada dua tiga rakan lelaki yang usik-mengusik . Sekali mahasiswa perempuan itu mencuba jubah untuk siswazah PhD. Semua terdiam dan tersipu-sipu malu. Hah, padan muka kita baru degree dia sudah PhD. Kami hampir ketawa melihat kawan-kawan yang mengusik tadi terkaku.

Setelah mengisi borang , aku membawa pulang jubah dan hud mengikut ukuran badan  yang ada di stor simpanan jubah. Hati bagai dibuai-buai sepanjang perjalanan pulang dari Serdang ke Klang. Senyum sendirian dan melayan lagu yang berputar dari radio. Terkenang-kenang memori manis sesam rakan seperjuangan dan prof-prof yang mengajar di kampus. Sepanjang perjalanan senyuman tidak lekang. Walaupun lebuh raya sesak namun hati berasa gembira.

Aku mendapat dua keping kad undangan untuk tetamu yang dibenarkn masuk ke dewan cancelor. Bermakna ibu dan isteriku akan menjadi tetamu. Semua anakku seramai lima orang kubawa sama dan mereka akan menunggu aku di luar dewan sepanjang majlis konvo berlangsung .  Sementara anak-anakku akan diawasi oleh dua orang rakan karibku.

Aku sampai di perkarangan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi agak awal. Banyak kenderaan bertali arus menuju ke dewan sambil dibantu oleh pengawal keselamatan kampus dan sukarelawan yang terdiri daripada mahsiswa dan mahasiswi. Terdapat gerai-gerai menjual makanan, minuman, cenderamata dan jambangan bunga . Lebih kurang jam 2.00 petang , semua yang terlibat diarahkan beratur di luar dewan mengikut fakulti masing-masing .

Kami sempat bergambar di pintu masuk dengan menggunakan telefon bimbit masing-masing dan ada juga yang membawa kamera sendiri. Wajah berseri-seri bagaikan pengantin hendak berarak. Seorang demi seorang memasuki dewan dengan bangga dan mengambil tempat duduk seperti yang ditetapkan oleh para petugas. Bakal-bakal siswazah yang muda-muda melihat kami sambil tersenyum-senyum kerana kumpulan kami hampir semuanya sudah berumur , beruban dan boroi. Tapi, ada aku kesah !

Dalam kumpulan kami yang paling tua berumur 60 tahun . Seorang mahasiswi wanita yang amat aku kagum melihat kesungguhannya hadir ke kampus untuk mengejar cita-citanya.  Setiap kali kami menghadiri sesi perjumpaan dengan Prof. di kampus , wanita itu tetap setia hadir walaupun kulihat dia sangat lelah menghadapi semua ini namun semangatnya tidak pernah luntur. Kami pernah memberikan tepukan gemuruh kepadanya sewaktu kuliah berlangsung kerana kesungguhannya menimba ilmu.

Acara bermula perarakan masuk Naib Cancelor , Profesor-profesor dan dif-dif kehormat sambil diiringi bentara majlis. Semua yang hadir diminta berdiri sewaktu lintas perarakan berlangsung. Acara pembukaan majlis dengan bacaan doa dan kemudian diselangselikan dengan ucapan oleh Naib Cancelor yang berjubah hijau. Usai ucapan , majlis dimulakan dengan pengumuman nama-nama siswazah untuk naik ke pentas bagi menerima ‘scroll’ kosong kerana watikah hanya diambil di pejabat fakulti masing-masing.

Ibu bapa dan ahli keluarga berasa kagum melihat anak-anak mereka di atas pentas yang ditayangkan melalui layar gergasi manakala kami mahasitua ditemani ibu bapa , isteri atau suami. Giliran kami pula untuk naik ke pentas . Kami diarahkan beratur di tepi dewan sambil dibantu oleh seorang petugas wanita membentulkan jubah dan hud supaya kelihatan kemas dan segak . Seawal lagi kami sudah dimaklumkan bahawa terdapat 3 orang jurugambar yang akan merakam detik bersejarah dalam album kehidupan . Hati berdebar-debar . “Senyum pandang kamera , “ kata petugas wanita yang cekap menjalankan tugas. Apabila nama diumumkan , petugas wanita itu akan mengarahkan kami menaiki pentas , “ Ok, GO ! Ok. GO!.” Seorang demi seorang telah menerima ‘scroll’ masing-masing.

Akhirnya , nama aku diumumkan oleh juruacara majlis. Hampir jatuh air mataku di atas pentas tapi kutahan juga. Wajah dan suara arwah ayahku terngiang-ngiang . Entah mengapa aku teringat kepada arwah. Meskipun arwah seorang buta huruf tetapi pelajaran anak-anak menjadi keutamaannya. Sewaktu bersekolah rendah aku akan duduk di atas palang basikal yang dikayuh oleh ayahku dan setia menunggu aku di tepi kelas . Arwah akan menemaniku selama beberapa hari dan kemudian aku akan berdikari semasa di sekolah. Memori itu menerjah tiba-tiba . Hati bertambah sebak namun aku tetap tersenyum sewaktu berdiri di hadapan Naib Cancelor. Suatu kepuasan dan kegembiraan yang sukar kugambarkan dengan kata-kata . Impian setelah 19 tahun menanti peluang untuk menjejakkan kaki ke menara gading.

Pada akhir majlis , siswazah yang menerima diploma melompat kegembiraan dan menarik perhatian hadirin dan tepukan bergemuruh bergema di setiap ruang dewan. Seorang professor membuat pengumuman khas : “ Saya dengan ini mengisytiharkan majlis konvokesyen telah selamat disempurnakan bagi Kelas 2008” . Sekali lagi tepukan gemuruh bergema dan masing-masing bersalam-salaman dan ada yang berpeluk-pelukan. Acara perarakan meninggalkan dewan berlangsung dengan penuh adat dan tertib.

Di luar dewan , acara bergambar bersama-sama rakan dan keluarga memenuhi setiap ruang. Aku juga tidak ketinggalan merakam detik-detik manis sebagai kenang=kenangan . Aku berpesan kepada anak-anakku agar terus belajar bersungguh-sungguh dalam pelajaran dan menjadikan aku sebagai inspirasi mereka. Aku bersyukur ke hadrat Ilahi kerana tiga orang puteriku dan puteraku telah  berjaya menamatkan pengajian degree masing-masing.

Sebelum bertolak pulang selepas majlis konvo , satu jamuan ringan disediakan di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi. Kami mendapat cenderamata replica sebilah keris kecil sebagai simbol semangat sejati. Tiada jalan pintas untuk mencapai cita-cita melainkan doa dan usaha yang tidak pernah padam.

 

 

Comments

Popular posts from this blog