Episod : DIPANGGANG API  

 

Belajar sambil bekerja amat memenatkan . Kecekalan dan semangat untuk mencapai cita-cita saja menjadi bekalan untuk meneruskan pengajian di university. Tambahan pula, aku sudah berkeluarga dan mempunyai lima orang anak yang masih bersekolah menengah dan rendah. Namun , aku gagahkan jua mengharungi segala kekangan dan kesuntukan masa yang meranjau.

Setahun selepas menjadi mahasiswa UPM , sekolah swasta tempat aku mengajar telah ditutup . Sekolah ini adalah anak syarikat SEGi College dan pihak syarikat hendak menubuhkan sebuah universiti swasta di Damanasara. Sebelum itu , enam bulan sebelum penutupannya kami tenaga pengajar sudah menghidup perkara ini akan berlaku. Pihak syarikat tidak berpuas hati dengan keuntungan dan perbelanjaan yang tinggi di sekolah. ‘Nasi sudah menjadi bubur’ .Akhirnya, semua kakitangan termasuk tenaga pengajar, kerani dan kakitangan am diberhentikan kerja.

Otak aku ligat berfikir cara bagaimana untuk membiayai kos pengajian yang berbaki tiga tahun lagi. Selama ini aku membayar yuran pengajian menggunakan simpanan sendiri . Pada masa yang sama , aku sudah menjalankan kerja ‘part time’ mengajar kelas tuisyen di sekitar Klang dan Shah Alam. Sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan keperluan rumah, bayaran komitmen rumah , kereta , bil utiliti dan perbelanjaan persekolahan anak-anak aku. Semuanya aku tanggung sendiri demi mengejar cita-cita dan melayari bahtera keluarga. Sementalahan , isteriku suri rumah sepenuh masa. Aku membuat keputusan untuk membuka sebuah pusat tuisyen sendiri di bandar Klang.

Sepanjang proses permohonan mendapatkan lesen pusat tuisyen , aku ‘dilawati’ oleh sekumpulan anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) bersama-sama sebuah lori besar menanti di bawah bangunan.

“Asalamuailaikum , Encik. “

“Waialaikumsalam. Ye, Tuan boleh saya bantu.”

“Begini Encik, kami mendapat aduan Encik menjalankan pusat tuisyen tanpa lesen . Jadi, kami datang untuk menjalankan tugas ,” kata salah seorang pegawai dan dikelilingi beberapa orang anggota penguatkuasa.

“Sebenarnya saya masih dalam proses memohon lesen, Tuan,” kataku beterus terang.

“Baiklah, kalau Encik kata begitu. Saya akan datang semula untuk membuat pemeriksaan ,” kata pegawai itu sambil berlalu meninggalkan bangunan yang aku sewa. Hatiku berasa lega kerana jika silap langkah semua peralatan seperti kerusi, meja , papan putih , perabot pejabat akan ‘dibawa’ pulang ke stor MPK. Aku segera menelefon pihak Pejabat Pendidikan Daerah Klang untuk bertanyakan permohonan lesen aku.

Aku bersyukur semua urusan untuk membuka pusat tuisyen akhirnya berjaya. Aku menulis sendiri kertas kerja sebagai syarat permohonan lesen pusat pendidikan swasta dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Pejabat Pendidikan Daerah Klang, aku sendiri turun naik Ibu Pejabat Bomba daerah Klang , aku juga memanjat tanggan Pejabat Kesihatan daerah Klang bagi mendapat surat sokongan . Akhirnya , semua urusan dipermudahkan Allah dan urusan terakhir mendaftarkan PUSAT TUISYEN SISWA di Suruhanjaya Syarikat Malaysia di Shah Alam.     

Jadual kerja aku sangat padat kerana pagi aku mengajar tuisyen di rumah orang. Tengah hari aku mengajar di pusat tuisyen atau di rumah orang hingga maghrib. Selepas maghrib aku menyambung kerja mengajar tuisyen di pusat tuisyen hingga jam 10.30 malam. Usai kelas tuisyen aku pulang ke rumah dan bersiap-siap menyediakan ‘ assignment’ dan kadangkala terlajak hingga 2-3 pagi. Begitulah rutin harianku manakala Sabtu dan Ahad aku ke pusat pembelajaran di UiTM Shah Alam menghadiri kuliah.

Situasi ini sebenarnya bertambah rumit apabila kedengaran sosek – sosek. Betul, aku tidak hadir dalam apa-apa majlis diadakan oleh sanak-saudara seperti kenduri-kendara atau majlis perkahwinan. Isteriku dan anak-anak menjadi wakil. Majlis selalunya diadakan pada hari Sabtu atau Ahad . Aku tidak mahu ketinggalan kuliah atau lebih tepat ponteng kuliah. Manakala, kelas tuisyen aku tidak mahu membatalkannya kerana itulah sumber pendapatan kami sekeluarga. Biarlah apa orang kata ‘ isteri saja datang suami tak datang macam dah taka da suami . Berdesing telinga aku tapi aku anggap itu seperti angina lalu semata-mata. Aku dan isteriku lebih memahami hal rumah tangga kami.

Apabila tiba hari peperiksaan semester, aku tidak tidur hingga pagi. Pulang ke rumah , aku sudah set minda aku topik atau subjek apa yang aku perlu ulang kaji. Aku masih mengamalkan teknik menulis nota ringkas yang kuamalkan semasa mengambil STPM pada tahun 1985-1986 dulu dan teknik itu amat serasi dengan aku. Sementara, menunggu pelajar-pelajar tuisyen datang aku akan membuka modul , membaca dan menulis nota-nota ringkas di atas kertas kajang yang kulipat menjadi empat bahagian .

Sudah menjadi kebiasaan aku, jika mengulangkaji lewat malam hingga pagi aku akan mendengar lagu-lagu sentimental daripada laptop atau ‘handphone’ aku. Mataku akan menjadi segar dan aku bukan jenis minum kopi untuk menahan mengantuk . Sampai Subuh aku berjaga dan selepas Subuh aku menyambung membaca dan kemudian bersiap-siap ke pusat peperiksaan PJJ . Peperiksaan diadakan di tempat-tempat yang berbeza-beza . Kadang-kadang di UNISEL , pusat pembelajaran UiTM atau Bangunan Baitulmal Kuala Lumpur. Sekali atau dua kali sahaja peperiksaan diadakan di kampus UPM .

Begitulah aku bertahan selama empat tahun pengajian hinggalah aku bergraduat pada tahun 2008. Selepas itu , giliran anak-anak aku  pula menyambung pengajian di universiti dan bergraduat di UIAM, UMS dan Kolej MARA. Hanya tinggal yang bongsu melanjutkan pengajian di Kolej. Empat tahun penuh cabaran bagaikan dipanggang api!.

Comments