SEBENTUK CINCIN DI JARI

Oleh: CHE AZMI CHE WIL

 

Aku hanyalah seorang gadis biasa yang berasal dari kampung. Aku dibesarkan oleh emak dan ayahku dengan penuh tanggungjawab serta kasih sayang yang tidak pernah luak. Aku dididik oleh mereka supaya menghormati orang tua lebih daripada segala-galanya. Setiap tindakan dan keputusan adalah di tangan emak dan ayah aku.

Aku hanya mampu mendapat keputusan sederhana dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM ) di sekolah. Kegagalan aku mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM adalah kerana kelalaian aku sendiri . Aku akui aku kurang memberikan tumpuan dalam pelajaran . Emak dan ayahku telah memberikan aku peluang untuk belajar kerana mereka amat mementingkan pelajaran kepada aku dan  abang serta kakakku.

Aku bukanlah dikategorikan sebagai pelajar pandai. Selepas SPM , aku telah bekerja di sebuah kilang yang terletak tidak jauh dari rumahku. Bermula dari situlah , aku mula mengenalinya. Pada mulanya, terkedu aku melihat wajahnya yang seperti pernah hadir di dalam mimpiku namun lama-kelamaan wajah itulah yang sering bermain di ruang mataku.

 

Jejaka yang bernama Rizal kupanggil ‘abang’ itu amat mesra denganku. Entahlah. Aku sendiri kurang pasti , mengapa ? Namun , hubungan kami kian akrab hari demi hari. Sebagai remaja belasan tahun , tentulah usik-mengusik sudah menjadi mainan di bibir kawan-kawan aku setiap kali aku berada di tempat kerja aku. Aku membahasakan diriku kepada Rizal sebagai ‘adik’.

Kemesraan antara aku dan Rizal dapat dihidu oleh beberapa orang rakan rapatku . Aku menjadi bahan usikan mereka. Namun, aku gembira pabila rakan-rakanku mengaitkan aku dengan Rizal . Aku berasakan bahawa setiap hariku sangat ceria. Kalau hujung cuti , perasaan aku gelisah teringat kepada Rizal.

Di tempat kerja yang sama , ada seorang ‘supervisor’ yang sangat tegas, Hishamnya. Sikap aku yang gila-gila bahasa , kadang-kadang membuatkan Hisham tersenyum . Senyuman itulah yang kurasakan paling mahal daripada Hisham kerana Hisham seorang yang sukar melemparkan senyuman. Satu daripada sebab aku sengaja mengusik Hisham adalah kerana senyumannya . Pada aku , Hisham memiliki senyuman manis dan cukup mengetarkan hati seorang gadis seperti aku. Ketika Hisham di dalam bilik mesyuarat , aku sering mengusiknya . Ya, aku sengaja mengusiknya. Aku sengaja ingin tahu sejauh mana ketegasan Hisham. Rupa-rupanya , di dalam hati Hisham ada taman !

 

Aku hampir tergelak apabila Hisham masuk ke dalam bilik ‘meeting’, akulah akan menjadi mangsanya. Aku seolah-olah dapat menghidu bahawa Hisham menyukai aku. Rakan-rakanku selalu mengusik aku kononnya Hisham telah jatuh hati kepada aku. Berderailah ketawa kami apabila aku dibahankan oleh rakan-rakanku semasa makan di kantin kilang.

“Aku ingatlah, Hisham itu syok kat kau, “ kata Rosni rakan karibku.

“Eh, kau jangan macam-macam, Rosni, “ aku cuba menepis.

“Ala, kau tengoklah. Kalau Hisham masuk ‘ meeting’, kaulah yang disapanya. Kaulah yang ditanya. Kaulah…,” sambung Rosni lagi.
“Kaulah apa?,” aku mendesak Rosni menghabiskan kata-katanya.
“Kaulah , kekasihnya !,” pecah ketawa antara kami dan aku juga hampir menitiskan air mata kerana kata-kata Rosni itu melucukan. Namun, di sudut hatiku terdetik sesuatu tentang Hisham !

Aku sentiasa menjaga pergaulan aku di tempat kerja kerana itulah pesan ayahku. Ayahku sangat menjaga aku bukan kerana mahu mengongkong aku tetapi sayang akan aku melebihi adik-beradik lain. Ayahku hanyalah seorang buruh kasar. Setiap hari ayahku akan menghantar dan menjemputku pulang ke rumah seusai tamat waktu kerja. Aku tidak mahu dianggap sebagai anak yang tidak mengenang budi hanya semata-mata kerana inginkan kebebasan seperti rakan-rakanku yang lain.

“ Kenapa ayah kau hantar dan ambil kau setiap hari?,” tanya Kamariah rakan sekerjaku sewaktu kami menunggu Hisham masuk ke bilik ‘meeting’.
“Aku takutlah kalau naik bas ,” jawabku ringkas .

“Kenapa pulak?”, tanya Kamariah lagi.

“Yelah, aku takut nak tekan loceng macam menyeramkan sangat ,” kataku dengan dahi yang berkerut.

“Loceng pun kau takut dengan Hisham kau tak takut,” kata Kamariah sambil ketawa kecil.
“Kau ni memangkan ,” aku hendak mencubit paha Kamariah tetapi cepat-cepat dia mengelak.
Hisham menolak daun pintu dan mengambil tempatnya. Sebagai ‘supervisor’ , Hisham sangat serius dalam memastikan semua kerja yang diamanahkan berjalan dengan lancar. Aku memandang Hisham dengan senyuman dan Hisham cuba melarikan wajahnya ke luar tingkap. Aku tahu Hisham menahan ketawa apabila melihat gelagat aku.

 

Hubungan antara aku dan Rizal seperti hari-hari biasa. Rizal terlalu baik kepadaku. Walaupun , wajah Rizal macam sombong tapi aku tetap hendak berkawan dengannya.. Setiap hari , aku cuba  untuk mendekati Rizal kerana aku berasa selamat ketika bersama Rizal.

Hisham telah melantik aku sebagai penolong ‘ supervisor’. Pada mulanya, aku menolak pemilihan itu tetapi hatiku sendiri tidak mampu menolaknya kerana Hisham. Aku pulang ke rumah dengan perasaan bercampur baur.

Pada hari itu , tanpa disengajakan aku  terlihat Hisham sedang bersendirian makan di kantin . Aku duduk betul-betul bertentangan dengan meja Hisham. Aku memandang mata Hisham . Dalam ketegasannya Hisham mempunyai hati yang sangat lembut. Barang kali aku sahaja yang menyedarinya kerana mata Hisham seakan-akan berkata-kata apabila aku memandangnya. Aku hanya tersenyum sendiri.

Emaklah insan paling gembira apabila aku memberitahunya bahawa aku dilantik sebagai  penolong ‘ supervisor’ di tempat aku bekerja. Bermakna bertambahlah sedikit gaji bulanan aku dengan elaun sebagai ‘ supervisor’... Aku tidak mahu membebankan emak dan ayah aku jadi setiap hari aku mengumpul wang sakuku. Aku berasa bersyukur kerana emak dan ayahku banyak mendorong aku bekerja dengan bersungguh-sungguh.

Pada suatu hari , aku amat terkejut kerana Rizal memberitahu aku bahawa dia akan berhenti kerja kerana telah mendapat peluang pekerjaan di tempat lain. Aku terdiam seketika kerana aku tidak menyangka Rizal akan berhenti kerja . Ada juga terlintas di hatiku bahawa Rizal seperti  menghidu sesuatu tentang hubungan aku yang semakin akrab dengan Hisham. Lidahku menjadi kelu untuk berkata-kata . Aku berasa Rizal sangat mengambil berat tentang diriku.  .
“Abang ‘ telah mendapat pekerjaan baharu di tempat lain, “ kata Rizal berterus-terang kepadaku. Aku hanya mampu menahan air mata yang bergenang di bibir mata. Aku berasa akan kehilangan Rizal. Sukar bagiku untuk menggambarkan perasan aku pada saat itu. Segala-galanya berubah begitu pantas.

 

Keesokan hari seperti biasa , aku hadir ke tempat kerja tetapi Rizal tidak aku temui. Aku terpaksa menerima hakikat bahawa Rizal telah tiada untuk aku bermanja seperti seorang ‘adik’. Hari demi hari kebosanan membelenggu perasaan aku. Hisham seakan-akan sedar perubahan pada diri aku yang kurang bercakap atau menyakatnya seperti selalu.  Baru kutahu apa erti perpisahan. Aku menjadi murung beberapa ketika.

 

Pada suatu pagi , ketika aku sedang menolong emak menanam pokok bunga di halaman rumah , sebuah motosikal posmen membelok ke rumahku.
“Pin!Pin!Pin!. Posmen membunyikan hon motosikalnya. Aku menyambut sepucuk surat daripada tangan posmen itu.
“Surat siapa tu, Mia?,” tanya emak menoleh sekejap kepadaku.
“Surat Mia, emak,” kataku sedikit melaung.

“Daripada siapa ?,” tanya emak lagi.
“Daripada kawan Mia, “ balasku segera. Aku sebenarnya tidak tahu pengirim surat tersebut . Emakku mencabut rumput-rumput yang tumbuh meliar di dalam pasu. Aku berlari-lari anak ke bilikku. Hatiku berdebar-debar dan tertanya-tanya tentang pengirim surat misteri itu. Pada masa itu, kampungku belum mempunyai kemudahan telefon.

“Eh, surat ‘abang’,” bisikku . Senyuman terukir kerana gembira menerima surat daripada Rizal setelah terputus hubungan seketika. Sejak itu , aku dan Rizal saling berutus surat bertanya khabar dan bercerita tentang diri masing-masing. Hatiku kembali berbunga. Wajah aku tidak lagi muram dan kawan-kawan aku turut menumpang gembira melihat keceriaan aku. Hanya kawan-kawan karibku sahaja yang tahu bahawa Rizal selalu mengirim surat kepada aku.

 

Tanpa kusangka Hisham sudah mempunyai teman baru. Sebenarnya, aku terserempak dengan Hisham di perhentian bas di luar kilang. Aku hanya melihatnya dari jauh . Aku dapat berasakan kebahagiaan Hisham di samping teman barunya tak ubah bagai dua merpati sejoli. Aku terpaksa menerima hakikat bahawa Hisham telah menemukan kebahagiaannya. Aku hanya mampu berdoa semoga Hisham akan berbahagia di sisi teman baharunya itu.  Lewat hari itu, aku pulang ke rumah dengan linangan air mata yang bercucuran . Ayah tidak menyedari keadaan aku ketika itu.

 

Aku telah berpindah ke tempat kerja yang baharu selepas hampir lima tahun bekerja di kilang lama. Hisham telah menitipkan kata-kata perangsang kepada aku agar berusaha dengan bersungguh-sungguh dan sentiasa menjaga diri sebelum aku melangkah kaki pada hati terakhir aku bekerja di kilang itu.  Jauh di sudut hatiku aku enggan berpisah dengan Hisham tetapi takdir hanya Tuhan yang tahu. Sejak berpindah ke tempat kerja baharu, aku tidak lagi menemui Hisham atau dihubungi oleh Hisham.  Aku cuba belajar melupakan Hisham manakala Rizal masih setia mengirimkan surat kepadaku. Hanya surat-surat Rizal menjadi temanku. Apabila aku berasa bosan bersendirian di rumah , aku akan membuka lipatan surat daripada Rizal dan membacanya sepuas-puas hati. Aku berdoa agar dipertemukan seorang suami sebaik Rizal.

Aku terputus hubungan dengan Rizal  hampir setahun kemudian kerana rumah aku terlibat dalam kejadian banjir besar. Rumah yang aku diami sejak kecil musnah sama sekali. Aku dan keluarga hanya tinggal sehelai sepinggang. Kami sekeluarga terpaksa berpindah rumah. Hubungan aku dengan Rizal telah terputus seketika. Barangkali, Rizal masih mengirimkan surat kepada aku dengan alamat rumah lama tetapi aku kini sudah berpindah jauh dari rumah asalku . Kebetulan, semua surat kiriman Rizal turut musnah . Aku pula tidak pernah menyimpan alamat Rizal melainkan alamat yang tertera pada surat-surat kirimannya. Aku juga bukanlah seorang pemberani untuk keluar rumah . Lebih-lebih lagi , emak sangat mengawasi aku dan melarang aku keluar rumah sesuka hati.. Aku hanya berulang-alik ke tempat kerja dan dihantar oleh ayah setiap hari. Aku juga sudah terputus hubungan dengan kawan-kawan aku di tempat kerja lama.

 

Aku cuba memohon berbagai-bagai pekerjaan lain yang lebih baik dan sesuai dengan kelayakan SPM aku namun nasib tidak menyebelahi aku. Sementara aku menjadi pekerja kilang atau gelaran popular ‘ Minah Karen ’ , aku juga mengambil tanggungjawb membantu emak di rumah. Emak yang bekerja dengan sebuah jabatan kerajaan tidak banyak mempunyai masa di rumah. Jadi, emak mengharapkan aku untuk menguruskan hal ehwal di rumah termasuk memasak untuk kami sekeluarga.

Aku tidak pernah terfikir soal jodoh. Pada aku jodoh di tangan Tuhan. Ada juga kawan-kawan sekerja yang mengusik aku ketika bertugas di QA.

“Eh. Mia. Kau ni bila nak kahwin ?” tanya Zainab sambil tersenyum.

‘Alah Nab , jodohkan di tangan Tuhan. Belum ada lagi,” kataku tenang dan membalas senyuman Zainab.

“Kalau dah ada teman tu cepat-cepatlah kahwin,” kata Zainab lagi disambut derai ketawa rakan-rakan lain. Walaupun kami masih baharu berkawan tetapi kemesraan antara kami seperti sudah lama terjalin. Aku begitu seronok bekerja di kilang baharu ini.
Aku hanya tersenyum mendengar celoteh Zainab. Wajah Rizal muncul di ruang mataku. Aku hanya tersenyum sendiri. Wajah Rizal juga kadang-kadang muncul . Aku sebenarnya malas untuk memikirkan soal kahwin. Apabila diasak oleh kawan-kawan tentang kahwin aku cuba mengelak memberikan jawapan kerana aku sendiri tidak pasti perasaan sebenar Rizal terhadap aku. Entah-entah, aku ini hanyalah dianggap sebagai adik angkat sahaja tetapi aku pula yang terhegeh-hegeh bagai hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Bertepuk sebelah tangan.

Entah macamana, suatu hari posmen membelok ke rumah aku. Dari jauh, aku sudah terdengar bunyi hon motosikal posmen. Kebiasaannya surat yang dihantar oelh posmen ialah surat-surat emak atau abang. Aku seakan-akan mengenali tulisan tangan pada sampul surat itu. “Rizal”, detik hatiku. Rupa-rupanya, salah seorang pekerja di kilang tempat aku bekerja tinggal sekampung dengan aku berkawan dengan Rizal. Dari situlah, Rizal dapat menjejaki alamat rumahku. Hubungan aku dengan Rizal kembali terjalin setelah terpisah tanpa khabar berita hampir setahun.

Hari demi hari terus berlalu. Rizal masih setia mengirimkan surat kepadaku tanpa gagal. Aku akan mencoret sepucuk surat balas kepada Rizal dan biasanya aku meminta bantuan Leman jiran sebelah rumahku untuk mengepos surat itu di Pejabat Pos. Leman seorang pemuda yang hampir seusia aku. Namun , Leman tidak seperti orang lain kerana dia dilahirkan bisu sejak dilahirkan. Leman membantu ayahnya di kebun pisang kepunyaan keluarganya seluas tiga ekar setengah.

Pada suatu petang , emak memanggil aku duduk di atas pangkin bersama-samanya. Wajah emak berseri-seri. Aku berasa pelik dengan kelakuan emak.

“Emak nak tanya sikit,” kata emak sambil mengusap tanganku. Lagilah aku berasa pelik.

“Ada apa , emak ?,” tanyaku pula. Ayahku sudah keluar bekerja menggantikan kawannya yang tidak dapat datang bekerja .

“Ada orang nak datang merisik, Mia,” kata emak spontan. Emak tersenyum-senyum . Aku terdiam seketika. “ Eh, ‘abang’ tak beritahu pun nak hantar rombongan merisik minggu ini. Entah-entah , ‘abang’sengaja nak buat ‘surprise’,” bisik hati kecilku.

“Siapa , mak,” tanyaku sedikit gusar. Wajahku berkerut. Aku teringat surat Rizal tempoh hari. Kata Rizal dia akan menghantar rombongan merisik. Aku membalas surat Rizal dan memberitahu Rizal supaya memberitahu hasratnya itu kepada emak dan ayahku  sebagai menghormati adat. Aku tersenyum mendengar kata-kata emak. Mungkinkah , Rizal sudah memberitahu emak dan ayah tentang hasratnya. Emak memeluk bahuku mesra.

Hujung minggu itu , satu rombongan merisik datang menemui emak dan ayah. Aku hanya duduk di dalam bilik dengan kakak. Hatiku berdebar-debar. Kakak mengusik aku .

“Tak lama lagi , kakak dapatlah adik ipar,” kata kakak tersenyum sipu. Aku mencubit paha kakak. Kami ketawa sambil menekup mulut kalau-kalau didengar oleh rombongan merisik. Usai rombongan itu pulang , emak menemui aku dan kakak di dalam bilik. Ayah masih di ruang tamu.

“Macamana , emak?,” tanya kakak dulu. Aku memandang kakak sambil menjengilkan mata. Kakak tersenyum terkekeh-kekeh melihat kelakuan aku.
“Eh, kau ni. Belum apa-apa kau pula yang sibuk,” jawab emak tersenyum.

“Haah, kakak tu bila lagi? Nak tunggu putera raja masuk meminang agaknya, “ kataku mencebik bibir.

“Tadi, rombongan merisik Mia. Mia tentu dah tahu, “ kata emak tersenyum.

“Siapa nama bakal menantu , mak,” tanya kakak terburu-buru masih menyakat aku.

“Budak lelaki tu, namanya Zaid,” kata emak ringkas. Aku hampir menangis mendengar kata-kata emak. Kakak yang menyedari perubahan wajah aku segera memeluk aku. Aku sendiri tidak mengenali Zaid. Siapa Zaid?. Aku tidak berkata apa-apa kepada emak. Emak meninggalkan aku dan kakak di dalam bilik berdua. Aku menangis di bahu kakak.

Keesokan hari, aku ke rumah nenek dengan menunggang basikal. Rumah nenek tidak jauh dari rumahku. Nenek sebelah emak orang yang paling rapat denganku.

“Asalamualaikum , Nek. Asalamuailaikum, Nek, “ aku memberi salam sambil mengetuk daun pintu rumah nenek. Nenek tinggal bersendirian sejak datukku meninggal dunia lima tahun yang lalu. Kedengaran suara nenek perlahan menjawab salamku. Nenek menolak daun pintu dan menjengulkan wajah nenek yang sudah berkedut seribu.

“”Eh.Mia. Datang dengan siapa? Masuklah,Mia ,” pelawa nenek. Aku memeluk nenek dengan erat dan seakan tidak mahu melepaskannya. Air mata yang kutahan sejak keluar rumah tadi tumpah di hadapan nenek.

“Kenapa, Mia?” tanya nenek. Nenek seakan dapat membaca gerak laku aku pagi itu. Wajahku sedih. Aku tidak mahu mengganggu perasaan nenek dan cepat-cepat menyapu air mata dengan hujung bajuku.
“Nenek tahu,” kata nenek secara tiba-tiba. Aku melepaskan pelukan. Wajah nenek kerenung seolah-olah apa yang sedang berlaku ini sudah diketahui oleh nenek.

“Kalau , Mia tidak setuju biar nenek bercakap dengan emak Mia,” kata nenek berterus-terang. Wajahku berubah sedikit ceria. Aku memeluk nenek dengan mesra.

“Mia, tidak kenal lelaki itu, nek,” kataku perlahan apabila nenek melabuhkan punggung di kerusi. Aku duduk merapat dengan nenek.

‘Iya, siapalah yang sanggup berkahwin dengan orang yang tidak dikenali,Mia,” kata nenek.

‘Ini sebenarnya sudah kali kedua, Mia orang datang merisik,” kata nenek lagi. Aku terkejut mendengar kata-kata nenek. Aku tidak tahu menahu hal ini.

“Emak, Mia tidak bawa bincang dulu. Nenek dah beritahu emak, Mia bawa bincang dengan Mia dulu. Jangan buat keputusan melulu,” ujar nenek panjang lebar. Akhirnya,, air mataku gugur satu persatu. “Tidak sayangkah emak kepadaku? ,” pertanyaan itu bermain di fikiranku.

 

Sekembali ke rumah, emak menyambut aku di muka pintu. Wajahku masam. Emak memandang aku tanpa berkata apa-apa. Aku membiarkan emak berteka-teki sendiri.

“Ayah tidak setuju kalau Mia tidak setuju, “ kata ayah sewaktu pulang dari bekerja. Aku hanya mendiamkan diri dan mendengar kata-kata ayah. Ayah selalu menyebelahi aku. Pada aku, ayah lebih memahami aku. Sikap ayah dan emak berbeza. Emak sering membuat keputusan sendiri dan kadang-kadang menjadi perbalahan dengan ayah. Ayah bersikap tenang dalam menghadapi situasi. Memang, aku anak emas ayah.

 

Sepucuk surat daripada Rizal aku terima lewat beberapa hari selepas rombongan merisik yang datang ke rumah. Aku membaca setiap baris kandungan surat Rizal. Gugur air mataku apabila Rizal menyampaikan  hasratnya untuk meminang aku. Berat lidahku untuk menceritakan hal yang sebenar. Aku bimbang pilihan aku bukan pilihan emak. Emak bersikap tegas dalam lembut. Aku bimbang kalau emak meminta aku memutuskan hubungan dengan Rizal. Wajah Rizal segera muncul di fikiranku. Perasaan sayang aku kepada Rizal berubah menjadi simpati. Aku kasihan akan Rizal jika emak mengatakan ‘tidak’ setelah aku memberitahu emak.

Aku jatuh sakit selama beberapa hari. Aku mengalami migran dan muntah-muntah yang teruk. Aku dimasukkan ke wad hospital untuk menerima rawatan lanjut. Kakakku mengambil cuti selama aku dirawat untuk menemani aku di hospital. Kakak amat memahami keadaan aku. Kakak sedar aku banyak memikirkan hal yang berlaku tempoh hari. Kakak menasihati aku agar melupakan perkara itu kerana ayah telah memberitahu kakakku bahawa ayah tidak mahu menerima pilihan emak. Kata kakak, emak dan ayah bertegang urat di rumah . Air mataku terjun menuruni pipi saat mendengar kata-kata kakak kerana aku emak dan ayah bertengkar.

Sepulang aku ke rumah , ayah menyambut aku dengan penuh kasih sayang. Emak belum balik dari tempat kerja. Aku terlihat sebuah telefon di atas meja kecil di tepi jendela.

“Ayah masukkan perkhidmatan talian telefon supaya senang keluarga kita untuk berhubung,” kata ayah apabila menyedari aku terpandang sebuah telefon. Aku terfikir barang kali ayah melakukan ini kerana peristiwa orang datang merisik tempoh hari. Barang kali juga, ayah tidak mahu peristiwa yang sama berulang lagi dan mengganggu fikiran aku. Aku hanya hendak berehat selepas empat hari dirawat di wad hospital. Sebelum ini , perkhidmatan talian telefon amat sukar disambung di kampungku kerana kedudukan jauh dari bandar.

“Mia, kau sebenarnya dah ada pakwe ke?,” tanya kakak suatu petang ketika kami mengait buah rambutan di belakang rumah.

“SSyyhhh,” aku menekup mulut kakak. Kakak terkejut dengan tindakan spontan aku. Aku khuatir kata-kata kakak didengari oleh emak. Memang pantang emak kalau anak-anak perempuannya menjalinkan hubungan dengan lelaki tanpa pengetahuannya.

‘Ada, kak. Tapi kami hanya berutus surat sahaja. Setiap kali ,Mia menerima surat ,Mia kata surat daripada kawan. Emak tidak mengesyaki apa-apa,” kataku sambil melabuhkan punggung di atas pangkin di bawah pokok rambutan.

‘Kawan Mia ada nombor telefon tak,” tanya kakak lagi . Aku tersenyum.
“Ada , kak. Dalam kepala , Mia,” kataku dengan senyuman ceria. Kakak juga tersenyum.

“Nanti , Mia bagi nombor telefon tu biar kakak yang bercakap ,” kata kakak memberanikan diri. Aku hanya tertunduk malu. Hatiku berbunga-bunga dan tidak sabar-sabar untuk bercakap dengan Rizal. Suara Rizal sudah lama tidak kudengar sejak aku berpindah ke sini. Hanya surat-surat menjadi lidah untuk berkata-kata. Aku tidak pernah menelefon Rizal selepas Rizal memberikan nombor telefon rumahnya dulu semasa di tempat kerja lamanya kerana di rumahku tiada perkhidmatan telefon .

Setelah hampir setahun lebih , akhirnya aku dapat bercakap dengan Rizal. Kakaklah yang beria-ia hendak menelefon Rizal . Aku tidak dapat menggambarkan perasaan gembira dan seronok apabila mendengar suara Rizal di hujung corong telefon.

“Asalamuailaikum, ‘adik’. Apa khabar?,” tanya Rizal dengan suara yang lembut.

“Khabar baik, ‘abang’.”

“Lama ‘abang’ tidak mendengar suara, ‘adik’,” kata Rizal dengan suara yang tersekat-sekat semacam ada sedikit getaran di hujung suara Rizal. Aku memahami keadaan Rizal saat itu. Kami saling merindui setelah lama terpisah.

“Abang’ rindu sangat dengan adik ,” kata Rizal seperti menyimpan perasaan yang sudah lama terbuku di hatinya.

“Adik, pun rindu kepada ‘abang’,” kataku berterus-terang. Lidahku kelu untuk memberitahu Rizal tentang kehadiran dua rombongan yang merisik aku. Aku bimbang hati Rizal akan terluka. Aku juga tidak mahu mendesak Rizal agar segera menghantar rombongan merisiknya bagai perigi mencari rimba.

Sejak perbualan hari itu, aku lebih kerap berbual-bual dengan Rizal  melalui telefon. Itupun, apabila emak dan ayah sudah pergi bekerja. Abangku tidak pernah mengambil tahu tentang hal aku melainkan kakakku.

Kakakku sentiasa menyokong aku dari belakang .Kadang-kadang aku berasa kasihan kepada kakak kerana emaklah kakak berjauh hati. Pernah rombongan merisik kakak datang ke rumah tetapi emak menolaknya mentah-mentah. Alasannya emak tidak mengenali lelaki dan keluarga pilihan kakak. Hancur hati kakak ketika itu. Itulah satu-satunya teman kakak. Kakak memberitahu aku bahawa dia lebih rela tidak berkahwin kerana kecewa dengan sikap emak. Ayah tidak dapat berbuat apa-apa kerana emak menolaknya tanpa berbincang dengan ayah atau kakak.

Aku kadang-kadang tidak mengerti dengan sikap emak. Emak hendak menentukan kehidupan anak-anak tanpa memikirkan perasaan anak-anaknya. Aku pernah merisik dengan nenek sebab emak berkelakuan begitu. Barulah aku tahu , dahulu datuk telah menolak pilihan hati emak dan memilih ayah sebagai pasangan hidup emak. Kata nenek, bertahun juga emak dan ayah kurang mesra. Kini, barulah aku sedar mengapa emak dan ayah sering bertelagah walaupun tentang hal yang sekecil-kecilnya tetapi aku melihat ayah lebih suka mengalah dengan sikap emak. Pada aku, jodoh di tangan Tuhan tetapi biarlah kita senang dengan pilihan hati kita sendiri. Aku turut berasa simpati dengan nasib emak . Mungkin aku juga akan bersikap seperti emak jika apa yang berlaku kepada emak juga berlaku terhadap diriku.

 

Hari itu, aku menunggu panggilan telefon daripada Rizal. Aku sudah berjanji dengan Rizal masa yang sesuai untuk menelefon aku di rumah. Kebiasaannya, pada waktu pagi kerana semua orang di rumah itu sudah keluar bekerja. Aku pula sudah berhenti kerja selepas jatuh sakit yang teruk dan masalah migran yang aku alami.

“Abang’ nak bagi tau , adik. Keluarga ‘abang’ akan datang merisik adik minggu depan,” suara Rizal kedengaran ceria.

“Ya, ‘abang’. Adik faham. Nanti adik beritahu emak dan ayah,” jawabku perlahan. Hatiku melonjak kegembiraan . Petang itu, aku memberitahu kakak tentang hajat Rizal itu. Wajah kakak sedikit muram.

“Mengapa ,kak?,” tanyaku sedikit gusar.
“Emak,” kata kakak ringkas.
“Kenapa dengan , emak?,” ulangku lagi.
“Kakak bimbang emak akan menolak,” kata kakakku sambil menundukkan kepala.

Tiba-tiba perasaan bimbang dan sedih menguasai diriku. Aku baru terfikir tentang kata-kata kakak.

”Mahukan emak menerimanya nanti?,” tanyaku kepada kakak. Kakak hanya berdiam diri. Aku memeluk kakak sambil esak tangisan kecil. Aku bimbang.

Seperti yang dijanjikan, rombongan merisik keluarga Rizal berkunjung ke rumahku. Aku dan kakak duduk di dalam bilik. Tiada kedengaran suara Rizal. Hanya suara rombongan keluarga Rizal dan emak ayah sahaja. Nenek hanya duduk di tepi mendengar perbincangan antara dua buah keluarga.

“Baiklah, kami akan memberikan kata putus beberapa hari lagi ,” kata ayah dan aku dapat mendengarnya dari dalam bilik. Rombongan keluarga Rizal meninggalkan halaman rumah.

“Saya tak setuju! ,” kedengaran suara emak sangat jelas di cuping telingaku. Aku menangis semahu-mahunya sambil memeluk kakak yang turut menangis sama.

 

Bermacam-macam soalan terbit dari bibir emak tentang Rizal. Emak seakan tidak berpuas hati kerana emak tidak diberitahu tentang Rizal .Selama ini, emak berfikir bahawa aku tiada teman lelaki. Kakak juga ditanya oleh emak tentang Rizal tetapi kakak mengunci mulut . Bagi kakak, dia sudah serik dengan emak. Akhirnya , emak memberitahu dia tidak mahu menerima lelaki yang dia tidak kenal. Aku faham maksud emak itu bahawa emak mahu menolak risikan Rizal. Aku menangis sepuas-puas hati dengan kelakuan dan keputusan emak. Aku tidak mahu berbantah dengan emak kerana Rizal biarlah segalanya ditentukan Tuhan.

“Suruh Rizal datang jumpa ayah,” kata ayah setelah beberapa hari berlalu. Aku tahu ayah akan membela aku kerana aku anak ayah yang paling disayanginya. Ada sedikit harapan di hatiku bahawa ayah akan menerima Rizal seperti mana aku menerima Rizal. Ayah memberitahu aku bahawa ayah hendak berkenalan dengan Rizal lebih dekat. Aku menghubungi Rizal dan memintanya supaya datang berjumpa ayah. Aku tidak memberitahu Rizal sebabnya kerana aku sendiri kurang pasti.

Emak masih bersikap keras hati dengan aku. Emak kurang bercakap dengan aku selepas peristiwa hari itu. Aku cuba bermesra dengan emak tetapi emak bersikap acuh tak acuh. Aku hanya memendam perasaan sedih dan berdoa sepanjang masa agar Tuhan melembutkan hati emak kerana perasaan sayang aku kepada Rizal tidak akan kubiarkan sia-sia begitu sahaja. Kakak sentiasa memberikan kata-kata semangat kepada aku agar tidak berputus asa dan bersedih hati. Kakak juga menitipkan doa untukku. Hanya emak.

Pertemuan Rizal dengan ayah mengurangkan kegusaran di hatiku. Aku melihat Rizal berbual-bual mesra dengan ayah seperti sudah lama kenal. Hatiku berasa sangat bersyukur dan membenihkan harapan agar emak dan ayah dapat menerima Rizal seadanya. Rizal memperkenalkan dirinya kepada emak dan ayah . Rizal menceritakan hal keluarganya juga. Wajah emak sedikit berkerut. Aku ingin sangat bercakap dengan Rizal berdepan tetapi aku malu kepada emak dan ayah yang ada bersama-sama ketika itu. Hanya mata aku dan mata Rizal yang berbicara.

Selepas Rizal berkenal-kenalan dengan emak dan ayah , aku berasa harapan lebih baik daripada sebelumnya. Ayah sangat terbuka hati dan dapat menerima Rizal tetapi emak tidak sebegitu.

“Kau sudah fikir masak-masak nak kahwin dengan Rizal ?.” tanya emak kepadaku. Wajah emak masam.

“Ayahnya pun berkahwin dua. Kau tak takut nanti nasib kau pun sama ,” kata emak panjang lebar. Aku terdiam mendengarkan kata-kata emak. Aku tidak pernah terfikir sejauh itu emak berfikir. Timbul konflik baharu antara emak dan ayah.

“Saya ni wali . Saya ada hak, “ kata ayah sebelum turun dari rumah ke tempat kerja. Aku terdengar suara ayah meninggi. Emak terkedu mendengar kata-kata ayah. Aku pula yang berasa sangat sedih . Aku kasihankan ayah kerana emak sering membelakangkan ayah. Ayah tahu apa yang dia lakukan. Ayah mempunyai keyakinan bahawa Rizal mampu menjaga aku dengan baik. Walaupun wajah Rizal nampak macam sombong tetapi hatinya sangat baik.

Akhirnya emak mengalah jua dengan pilihan hatiku. Ayahlah yang selalu membela aku dan ayah tidak sanggup melihat aku berendam air mata. Ayah juga kasihan kepada kakak. Ayah tidak mahu nasibku seperti kakak. Ayah sudah tiada kata-kata hendak memujuk hati kakak menerima lelaki lain sebagai seorang suami. Teman lelaki kakak pun sudah berumah tangga dengan wanita lain. Kasihan kakak terpaksa berlawan dengan hatinya sendiri demi sebuah kebahagiaan.

 

Sejak rombongan merisik Rizal , hubungan aku dengan Rizal bertambah intim. Namun , kami tidak bertemu muka kerana ayah tidak mahu aku terlalu bebas . Apatah lagi, kami tinggal di kampung dan banyak mulut yang akan bercakap perkara yang bukan-bukan . “Maruah keluarga kita kena jaga baik-baik,” kata ayah kepadaku selepas Rizal pulang daripada berkenalan dengan ayah tempoh hari. Aku berpegang kepada janjiku sendiri bahawa biarlah aku menunggu saat bahagia kami disatukan tiba nanti.

 

Sebentuk cincin belah rotan di jari manisku sebagai tanda hatiku sudak dimiliki orang kutatap tanpa jemu. Aku berasa cukup bahagia kerana akhirnya Rizal bakal menjadi suamiku. Sikap emak masih dingin terhadap ayah. Emak sering mengungkit tentang pilihan hatinya yang aku tolak, Zaid. Kini, Zaid telah berhijrah ke Kuala Lumpur. Zaid membawa hatinya yang lara jauh dari kampung. Zaid berasa malu apabila pinangannya ditolak. Aku turut berasa simpati terhadap Zaid namun jodoh ditentukan Tuhan.

 

Ada masanya Rizal menghubungi aku dan bertanya khabar aku serta keluarga. Keadaan itu berlarutan beberapa ketika sepanjang pertunangan kami. Ayah juga tidak melarangnya. Namun , emak semakin menjauhkan diri daripada aku dan hubungannya dengan ayah semakin renggang. Aku sering mendengar emak dan ayah bertengkar tentang aku dan Rizal. Betullah, kata orang ‘ syurga di bawah tapak kaki ibu.’ Aku menjadi dilemma dengan sikap emak.

 

Akhirnya , hubungan renggang antara emak dan ayah berterusan agak lama. Ayah telah membuat keputusan drastik berpindah ke rumah lain dan tinggal berasingan dengan kami. Emak dan aku serta adik-beradik lain masih tinggal sebumbung. Kadang kala, kakak mengajak aku melawat ayah di rumahnya.  Aku berasa amat sedih kerana ayah mengambil keputusan itu. Emak tidak menunjukkan sikap kesal atas tindakan ayah itu. Keadaan itu berlarutan sehinggalah tiba hari pernikahan aku dengan Rizal.

 

Ayah membantu aku membuat semua persiapan untuk menikah. Majlis pernikahan aku diadakan di rumah dan ayah hanya hadir sebagai wali untuk menikahkkan aku. Walaupun hari pernikahan sepatutnya hari penuh bahagia dan gembira tapi hatiku bergolak sendiri. Rizal banyak membantu menerima takdir itu dengan hati yang terbuka. “Semua yang berlaku ini ada hikmahnya,” kata Rizal yang kini menjadi suamiku yang sah.

 

Rutin aku dan Rizal melawat ayah di rumahnya. Aku memasak dan membawakan makanan untuk ayah. Aku amat bersimpati dengan keadaan ayah yang sedang dipanjat usia. Adik – beradik yang lain juga sama seperti aku melawat ayah tetapi emak masih keras hati terhadap ayah. Sakit pening ayah dibantu oleh suamiku. Barulah kusedar mengapa ayah memilih Rizal sebagai menantunya. Rizal sangat baik dan mengambil berat terhadap diri ayah . Ayah pula amat menyayangi suamiku.

 

Tahun demi tahun terus berlalu dengan suka dan duka. Cabaran demi cabaran hidup berumah tangga. Ayah masih sayang akan anak-anaknya yang tidak pernah lupa melawat ayah. Aku dan suami pernah memujuk ayah supaya kembali tinggal bersama-sama kami.

‘Tak pelah, Mia. Mia datang lawat ayah selalu pun sudah cukup menggembirakan hati ayah,” begitulah kata ayah kalau aku dan suami mengajak ayah pulang. Air mataku laju apabila mendengar kata-kata ayah itu. Akulah yang paling rapat dengan ayah . Akulah anak kesayangan ayah. Kadang kala, aku berasa bersalah terhadap ayah. Aku berasa aku hanya mementingkan diri sendiri. Apakan daya, sudah suratan takdir begitu , aku terimanya dengan hati yang berat.

 

Ayah tidak pernah menunjukkan kesedihannya kepada aku, suami dan adik –beradik lain. Ayah tetap ceria menyambut kami termasuk pada pagi raya. Ayah tidak bersendirian menyambutnya dengan kami. Hanya emak menanti di rumah. Aku akan menyediakan juadah untuk kami makan bersama-sama dan juadah yang sama juga aku sediakan di rumah. Aku dan suami menyambut Hari Raya di dua buah rumah . Rumah emak. Rumah ayah. Ayah tidak bertanya tentang emak kepada aku. Aku juga mahu menjaga hati ayah dan tidak menceritakan apa-apa tentang emak di rumah kepada ayah. Dilema yang aku hadapi ditenangkan oleh suamiku yang berhati lembut. Tidak salah aku memilih Rizal sebagai suamiku. Walaupun pada awalnya, emak menentang hubungan aku dengan suamiku tetapi Allah Maha Perancang dan Maha Mengetahui.

 

Kini, sudah 18 tahun ayah ‘merajuk’. Aku sudah tidak lagi memujuk ayah pulang ke pangkuan kami. Ayah jatuh sakit dan suamikulah yang menjaga ayah dan menguruskan ayah. Suamikulah yang memandikan ayah. Suamikulah yang membersihkan ayah. Suamikulah yang menyuapkan makanan ke mulut ayah. Aku sendiri tidak mampu berbuat begitu. Begitulah kasihnya suamiku terhadap ayah. Suamiku terhutang budi terhadap ayahku yang sanggup menerimanya sebagai menantu walaupun emak tidak pernah bersetuju. Aku sendiri sudah belajar makna redha dan segala ketentuan yang terjadi adalah takdir Tuhan .

 

Akhirnya , ayah meninggalkan kami di sisi aku, suami dan abang serta kakak. Pada saat akhir nyawa ayah, emak telah datang ke rumah ayah. Emak memohon ampun kepada ayah sambil menangis tidak keruan sebelum ayah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Ayah hanya tersenyum melihat emak sebelum menutup matanya buat selama-lamanya. Jenazah ayah diuruskan oleh suamiku dengan penduduk kampung untuk disemadikan di tanah perkuburan di hujung kampung. 

 

Semua barang ayah di rumah itu kukemas dan bawa pulang ke rumah emak. Ada barang-barang tertentu yang menjadi kesayangan ayah kubawa pulang ke rumahku sebagai melepaskan rindu terhadap ayah. Sekeping potret ayah dan aku semasa aku berusia 6 tahun masih kusimpan dengan kemas di dalam sebuah bingkai kaca. Air mataku pasti gugur  tatkala memandang potret itu di atas meja sudut di rumahku.

 

Peristiwa yang berlaku hampir 30 tahun yang lalu mendidik hati aku dan suami suatu kekuatan dan keinsafan . Aku masih menjaga emak yang sudah lanjut usia. Giliran aku berbakti kepada emak pula. Setiap hari aku memandikan emak dan membersihkan emak. Aku akan memasakkan emak makanan yang digemarinya dan menemaninya makan. Emak sudah tidak keras hati seperti dulu. Emak juga sudah dapat menerima kehadiran suamiku selepas kematian ayah. Aku tidak menganggap segala-galanya sudah terlambat kerana emak dan ayah bertemu jua di akhir hayat ayah. Sebentuk cincin di jari ini menjadi saksi!

 

Comments

Popular posts from this blog