SEBENTUK CINCIN DI
JARI
Karya : CHE AZMI CHE WIL
Aku hanyalah seorang gadis biasa yang berasal dari kampung. Aku
dibesarkan oleh emak dan ayahku dengan penuh tanggungjawab serta kasih sayang
yang tidak pernah luak. Aku dididik oleh mereka supaya menghormati orang tua
lebih daripada segala-galanya. Setiap tindakan dan keputusan adalah di tangan
emak dan ayah aku.
Aku hanya mampu mendapat keputusan sederhana dalam peperiksaan Sijil
Pelajaran Malaysia ( SPM ) di sekolah. Kegagalan aku mendapat keputusan
cemerlang dalam peperiksaan SPM adalah kerana kelalaian aku sendiri . Aku akui
aku kurang memberikan tumpuan dalam pelajaran . Emak dan ayahku telah
memberikan aku peluang untuk belajar kerana mereka amat mementingkan pelajaran
kepada aku dan abang serta kakakku.
Aku bukanlah dikategorikan sebagai pelajar pandai. Selepas SPM , aku
telah bekerja di sebuah kilang yang terletak tidak jauh dari rumahku. Bermula
dari situlah , aku mula mengenalinya. Pada mulanya, terkedu aku melihat
wajahnya yang seperti pernah hadir di dalam mimpiku namun lama-kelamaan wajah
itulah yang sering bermain di ruang mataku.
Jejaka yang bernama Rizal kupanggil ‘abang’ itu amat mesra denganku.
Entahlah. Aku sendiri kurang pasti , mengapa ? Namun , hubungan kami kian akrab
hari demi hari. Sebagai remaja belasan tahun , tentulah usik-mengusik sudah
menjadi mainan di bibir kawan-kawan aku setiap kali aku berada di tempat kerja
aku. Aku membahasakan diriku kepada Rizal sebagai ‘adik’.
Kemesraan antara aku dan Rizal dapat dihidu oleh beberapa orang rakan
rapatku . Aku menjadi bahan usikan mereka. Namun, aku gembira pabila
rakan-rakanku mengaitkan aku dengan Rizal . Aku berasakan bahawa setiap hariku
sangat ceria. Kalau hujung cuti , perasaan aku gelisah teringat kepada Rizal.
Di tempat kerja yang sama , ada seorang ‘supervisor’ yang sangat tegas,
Hishamnya. Sikap aku yang gila-gila bahasa , kadang-kadang membuatkan Hisham
tersenyum . Senyuman itulah yang kurasakan paling mahal daripada Hisham kerana
Hisham seorang yang sukar melemparkan senyuman. Satu daripada sebab aku sengaja
mengusik Hisham adalah kerana senyumannya . Pada aku , Hisham memiliki senyuman
manis dan cukup mengetarkan hati seorang gadis seperti aku. Ketika Hisham di
dalam bilik mesyuarat , aku sering mengusiknya . Ya, aku sengaja mengusiknya.
Aku sengaja ingin tahu sejauh mana ketegasan Hisham. Rupa-rupanya , di dalam
hati Hisham ada taman !
Aku hampir tergelak apabila Hisham masuk ke dalam bilik ‘meeting’,
akulah akan menjadi mangsanya. Aku seolah-olah dapat menghidu bahawa Hisham
menyukai aku. Rakan-rakanku selalu mengusik aku kononnya Hisham telah jatuh
hati kepada aku. Berderailah ketawa kami apabila aku dibahankan oleh
rakan-rakanku semasa makan di kantin kilang.
“Aku ingatlah, Hisham itu syok kat kau, “ kata Rosni rakan karibku.
“Eh, kau jangan macam-macam, Rosni, “ aku cuba menepis.
“Ala, kau tengoklah. Kalau Hisham masuk ‘ meeting’, kaulah yang
disapanya. Kaulah yang ditanya. Kaulah…,” sambung Rosni lagi.
“Kaulah apa?,” aku mendesak Rosni menghabiskan kata-katanya.
“Kaulah , kekasihnya !,” pecah ketawa antara kami dan aku juga hampir
menitiskan air mata kerana kata-kata Rosni itu melucukan. Namun, di sudut
hatiku terdetik sesuatu tentang Hisham !
Aku sentiasa menjaga pergaulan aku di tempat kerja kerana itulah pesan
ayahku. Ayahku sangat menjaga aku bukan kerana mahu mengongkong aku tetapi
sayang akan aku melebihi adik-beradik lain. Ayahku hanyalah seorang buruh
kasar. Setiap hari ayahku akan menghantar dan menjemputku pulang ke rumah
seusai tamat waktu kerja. Aku tidak mahu dianggap sebagai anak yang tidak
mengenang budi hanya semata-mata kerana inginkan kebebasan seperti
rakan-rakanku yang lain.
“ Kenapa ayah kau hantar dan ambil kau setiap hari?,” tanya Kamariah
rakan sekerjaku sewaktu kami menunggu Hisham masuk ke bilik ‘meeting’.
“Aku takutlah kalau naik bas ,” jawabku ringkas .
“Kenapa pulak?”, tanya Kamariah lagi.
“Yelah, aku takut nak tekan loceng macam menyeramkan sangat ,” kataku
dengan dahi yang berkerut.
“Loceng pun kau takut dengan Hisham kau tak takut,” kata Kamariah sambil
ketawa kecil.
“Kau ni memangkan ,” aku hendak mencubit paha Kamariah tetapi
cepat-cepat dia mengelak.
Hisham menolak daun pintu dan mengambil tempatnya. Sebagai ‘supervisor’
, Hisham sangat serius dalam memastikan semua kerja yang diamanahkan berjalan
dengan lancar. Aku memandang Hisham dengan senyuman dan Hisham cuba melarikan
wajahnya ke luar tingkap. Aku tahu Hisham menahan ketawa apabila melihat
gelagat aku.
Hubungan antara aku dan Rizal seperti hari-hari biasa. Rizal terlalu
baik kepadaku. Walaupun , wajah Rizal macam sombong tapi aku tetap hendak
berkawan dengannya.. Setiap hari , aku cuba untuk mendekati Rizal kerana aku
berasa selamat ketika bersama Rizal. Hisham telah melantik aku sebagai penolong
‘ supervisor’. Pada mulanya, aku menolak pemilihan itu tetapi hatiku sendiri
tidak mampu menolaknya kerana Hisham. Aku pulang ke rumah dengan perasaan
bercampur baur.
Pada hari itu , tanpa disengajakan aku terlihat Hisham sedang
bersendirian makan di kantin . Aku duduk betul-betul bertentangan dengan meja
Hisham. Aku memandang mata Hisham . Dalam ketegasannya Hisham mempunyai hati
yang sangat lembut. Barang kali aku sahaja yang menyedarinya kerana mata Hisham
seakan-akan berkata-kata apabila aku memandangnya. Aku hanya tersenyum sendiri.
Emaklah insan paling gembira apabila aku memberitahunya bahawa aku
dilantik sebagai penolong ‘ supervisor’ di tempat aku bekerja. Bermakna
bertambahlah sedikit gaji bulanan aku dengan elaun sebagai ‘ supervisor’... Aku
tidak mahu membebankan emak dan ayah aku jadi setiap hari aku mengumpul wang
sakuku. Aku berasa bersyukur kerana emak dan ayahku banyak mendorong aku
bekerja dengan bersungguh-sungguh.
Pada suatu hari , aku amat terkejut kerana Rizal memberitahu aku bahawa
dia akan berhenti kerja kerana telah mendapat peluang pekerjaan di tempat lain.
Aku terdiam seketika kerana aku tidak menyangka Rizal akan berhenti kerja . Ada
juga terlintas di hatiku bahawa Rizal seperti menghidu sesuatu tentang hubungan
aku yang semakin akrab dengan Hisham. Lidahku menjadi kelu untuk berkata-kata .
Aku berasa Rizal sangat mengambil berat tentang diriku. .
“Abang ‘ telah mendapat pekerjaan baharu di tempat lain, “ kata Rizal
berterus-terang kepadaku. Aku hanya mampu menahan air mata yang bergenang di
bibir mata. Aku berasa akan kehilangan Rizal. Sukar bagiku untuk menggambarkan
perasan aku pada saat itu. Segala-galanya berubah begitu pantas.
Keesokan hari seperti biasa , aku hadir ke tempat kerja tetapi Rizal
tidak aku temui. Aku terpaksa menerima hakikat bahawa Rizal telah tiada untuk
aku bermanja seperti seorang ‘adik’. Hari demi hari kebosanan membelenggu
perasaan aku. Hisham seakan-akan sedar perubahan pada diri aku yang kurang
bercakap atau menyakatnya seperti selalu. Baru kutahu apa erti perpisahan. Aku
menjadi murung beberapa ketika.
Pada suatu pagi , ketika aku sedang menolong emak menanam pokok bunga di
halaman rumah , sebuah motosikal posmen membelok ke rumahku.
“Pin!Pin!Pin!. Posmen membunyikan hon motosikalnya. Aku menyambut
sepucuk surat daripada tangan posmen itu.
“Surat siapa tu, Mia?,” tanya emak menoleh sekejap kepadaku.
“Surat Mia, emak,” kataku sedikit melaung.
“Daripada siapa ?,” tanya emak lagi.
“Daripada kawan Mia, “ balasku segera. Aku sebenarnya tidak tahu
pengirim surat tersebut . Emakku mencabut rumput-rumput yang tumbuh meliar di
dalam pasu. Aku berlari-lari anak ke bilikku. Hatiku berdebar-debar dan
tertanya-tanya tentang pengirim surat misteri itu. Pada masa itu, kampungku
belum mempunyai kemudahan telefon.
“Eh, surat ‘abang’,” bisikku . Senyuman terukir kerana gembira menerima
surat daripada Rizal setelah terputus hubungan seketika. Sejak itu , aku dan
Rizal saling berutus surat bertanya khabar dan bercerita tentang diri
masing-masing. Hatiku kembali berbunga. Wajah aku tidak lagi muram dan
kawan-kawan aku turut menumpang gembira melihat keceriaan aku. Hanya
kawan-kawan karibku sahaja yang tahu bahawa Rizal selalu mengirim surat kepada
aku.
Tanpa kusangka Hisham sudah mempunyai teman baru. Sebenarnya, aku
terserempak dengan Hisham di perhentian bas di luar kilang. Aku hanya
melihatnya dari jauh . Aku dapat berasakan kebahagiaan Hisham di samping teman
barunya tak ubah bagai dua merpati sejoli. Aku terpaksa menerima hakikat bahawa
Hisham telah menemukan kebahagiaannya. Aku hanya mampu berdoa semoga Hisham
akan berbahagia di sisi teman baharunya itu. Lewat hari itu, aku pulang ke
rumah dengan linangan air mata yang bercucuran . Ayah tidak menyedari keadaan
aku ketika itu.
Aku telah berpindah ke tempat kerja yang baharu selepas hampir lima
tahun bekerja di kilang lama. Hisham telah menitipkan kata-kata perangsang
kepada aku agar berusaha dengan bersungguh-sungguh dan sentiasa menjaga diri
sebelum aku melangkah kaki pada hati terakhir aku bekerja di kilang itu. Jauh
di sudut hatiku aku enggan berpisah dengan Hisham tetapi takdir hanya Tuhan
yang tahu. Sejak berpindah ke tempat kerja baharu, aku tidak lagi menemui
Hisham atau dihubungi oleh Hisham. Aku cuba belajar melupakan Hisham manakala
Rizal masih setia mengirimkan surat kepadaku. Hanya surat-surat Rizal menjadi
temanku. Apabila aku berasa bosan bersendirian di rumah , aku akan membuka
lipatan surat daripada Rizal dan membacanya sepuas-puas hati. Aku berdoa agar
dipertemukan seorang suami sebaik Rizal.
Aku terputus hubungan dengan Rizal hampir setahun kemudian kerana rumah
aku terlibat dalam kejadian banjir besar. Rumah yang aku diami sejak kecil
musnah sama sekali. Aku dan keluarga hanya tinggal sehelai sepinggang. Kami
sekeluarga terpaksa berpindah rumah. Hubungan aku dengan Rizal telah terputus
seketika. Barangkali, Rizal masih mengirimkan surat kepada aku dengan alamat
rumah lama tetapi aku kini sudah berpindah jauh dari rumah asalku . Kebetulan,
semua surat kiriman Rizal turut musnah . Aku pula tidak pernah menyimpan alamat
Rizal melainkan alamat yang tertera pada surat-surat kirimannya. Aku juga
bukanlah seorang pemberani untuk keluar rumah . Lebih-lebih lagi , emak sangat
mengawasi aku dan melarang aku keluar rumah sesuka hati.. Aku hanya
berulang-alik ke tempat kerja dan dihantar oleh ayah setiap hari. Aku juga
sudah terputus hubungan dengan kawan-kawan aku di tempat kerja lama.
Aku cuba memohon berbagai-bagai pekerjaan lain yang lebih baik dan
sesuai dengan kelayakan SPM aku namun nasib tidak menyebelahi aku. Sementara
aku menjadi pekerja kilang atau gelaran popular ‘ Minah Karen ’ , aku juga
mengambil tanggungjawb membantu emak di rumah. Emak yang bekerja dengan sebuah
jabatan kerajaan tidak banyak mempunyai masa di rumah. Jadi, emak mengharapkan
aku untuk menguruskan hal ehwal di rumah termasuk memasak untuk kami
sekeluarga.
Aku tidak pernah terfikir soal jodoh. Pada aku jodoh di tangan Tuhan.
Ada juga kawan-kawan sekerja yang mengusik aku ketika bertugas di QA.
“Eh. Mia. Kau ni bila nak kahwin ?” tanya Zainab sambil tersenyum.
‘Alah Nab , jodohkan di tangan Tuhan. Belum ada lagi,” kataku tenang dan
membalas senyuman Zainab.
“Kalau dah ada teman tu cepat-cepatlah kahwin,” kata Zainab lagi
disambut derai ketawa rakan-rakan lain. Walaupun kami masih baharu berkawan
tetapi kemesraan antara kami seperti sudah lama terjalin. Aku begitu seronok
bekerja di kilang baharu ini.
Aku hanya tersenyum mendengar celoteh Zainab. Wajah Rizal muncul di
ruang mataku. Aku hanya tersenyum sendiri. Wajah Rizal juga kadang-kadang
muncul . Aku sebenarnya malas untuk memikirkan soal kahwin. Apabila diasak oleh
kawan-kawan tentang kahwin aku cuba mengelak memberikan jawapan kerana aku sendiri
tidak pasti perasaan sebenar Rizal terhadap aku. Entah-entah, aku ini hanyalah
dianggap sebagai adik angkat sahaja tetapi aku pula yang terhegeh-hegeh bagai
hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Bertepuk sebelah tangan.
Entah macamana, suatu hari posmen membelok ke rumah aku. Dari jauh, aku
sudah terdengar bunyi hon motosikal posmen. Kebiasaannya surat yang dihantar
oleh posmen ialah surat-surat emak atau abang. Aku seakan-akan mengenali
tulisan tangan pada sampul surat itu. “Rizal”, detik hatiku. Rupa-rupanya,
salah seorang pekerja di kilang tempat aku bekerja tinggal sekampung dengan aku
berkawan dengan Rizal. Dari situlah, Rizal dapat menjejaki alamat rumahku.
Hubungan aku dengan Rizal kembali terjalin setelah terpisah tanpa khabar berita
hampir setahun.
Hari demi hari terus berlalu. Rizal masih setia mengirimkan surat
kepadaku tanpa gagal. Aku akan mencoret sepucuk surat balas kepada Rizal dan
biasanya aku meminta bantuan Leman jiran sebelah rumahku untuk mengepos surat
itu di Pejabat Pos. Leman seorang pemuda yang hampir seusia aku. Namun , Leman
tidak seperti orang lain kerana dia dilahirkan bisu sejak dilahirkan. Leman
membantu ayahnya di kebun pisang kepunyaan keluarganya seluas tiga ekar
setengah.
Pada suatu petang , emak memanggil aku duduk di atas pangkin
bersama-samanya. Wajah emak berseri-seri. Aku berasa pelik dengan kelakuan
emak.
“Emak nak tanya sikit,” kata emak sambil mengusap tanganku. Lagilah aku
berasa pelik.
“Ada apa , emak ?,” tanyaku pula. Ayahku sudah keluar bekerja
menggantikan kawannya yang tidak dapat datang bekerja .
“Ada orang nak datang merisik, Mia,” kata emak spontan. Emak
tersenyum-senyum . Aku terdiam seketika. “ Eh, ‘abang’ tak beritahu pun nak
hantar rombongan merisik minggu ini. Entah-entah , ‘abang’sengaja nak buat
‘surprise’,” bisik hati kecilku.
“Siapa , mak,” tanyaku sedikit gusar. Wajahku berkerut. Aku teringat
surat Rizal tempoh hari. Kata Rizal dia akan menghantar rombongan merisik. Aku
membalas surat Rizal dan memberitahu Rizal supaya memberitahu hasratnya itu
kepada emak dan ayahku sebagai menghormati adat. Aku tersenyum mendengar
kata-kata emak. Mungkinkah , Rizal sudah memberitahu emak dan ayah tentang
hasratnya. Emak memeluk bahuku mesra.
Hujung minggu itu , satu rombongan merisik datang menemui emak dan ayah.
Aku hanya duduk di dalam bilik dengan kakak. Hatiku berdebar-debar. Kakak
mengusik aku .
“Tak lama lagi , kakak dapatlah adik ipar,” kata kakak tersenyum sipu.
Aku mencubit paha kakak. Kami ketawa sambil menekup mulut kalau-kalau didengar
oleh rombongan merisik. Usai rombongan itu pulang , emak menemui aku dan kakak
di dalam bilik. Ayah masih di ruang tamu.
“Macamana , emak?,” tanya kakak dulu. Aku memandang kakak sambil
menjengilkan mata. Kakak tersenyum terkekeh-kekeh melihat kelakuan aku.
“Eh, kau ni. Belum apa-apa kau pula yang sibuk,” jawab emak tersenyum.
“Haah, kakak tu bila lagi? Nak tunggu putera raja masuk meminang
agaknya, “ kataku mencebik bibir.
“Tadi, rombongan merisik Mia. Mia tentu dah tahu, “ kata emak tersenyum.
“Siapa nama bakal menantu , mak,” tanya kakak terburu-buru masih
menyakat aku.
“Budak lelaki tu, namanya Zaid,” kata emak ringkas. Aku hampir menangis
mendengar kata-kata emak. Kakak yang menyedari perubahan wajah aku segera
memeluk aku. Aku sendiri tidak mengenali Zaid. Siapa Zaid?. Aku tidak berkata
apa-apa kepada emak. Emak meninggalkan aku dan kakak di dalam bilik berdua. Aku
menangis di bahu kakak.
Keesokan hari, aku ke rumah nenek dengan menunggang basikal. Rumah nenek
tidak jauh dari rumahku. Nenek sebelah emak orang yang paling rapat denganku.
“Asalamualaikum , Nek. Asalamuailaikum, Nek, “ aku memberi salam sambil
mengetuk daun pintu rumah nenek. Nenek tinggal bersendirian sejak datukku
meninggal dunia lima tahun yang lalu. Kedengaran suara nenek perlahan menjawab
salamku. Nenek menolak daun pintu dan menjengulkan wajah nenek yang sudah
berkedut seribu.
“”Eh.Mia. Datang dengan siapa? Masuklah,Mia ,” pelawa nenek. Aku memeluk
nenek dengan erat dan seakan tidak mahu melepaskannya. Air mata yang kutahan
sejak keluar rumah tadi tumpah di hadapan nenek.
“Kenapa, Mia?” tanya nenek. Nenek seakan dapat membaca gerak laku aku
pagi itu. Wajahku sedih. Aku tidak mahu mengganggu perasaan nenek dan
cepat-cepat menyapu air mata dengan hujung bajuku.
“Nenek tahu,” kata nenek secara tiba-tiba. Aku melepaskan pelukan. Wajah
nenek kerenung seolah-olah apa yang sedang berlaku ini sudah diketahui oleh
nenek.
“Kalau , Mia tidak setuju biar nenek bercakap dengan emak Mia,” kata
nenek berterus-terang. Wajahku berubah sedikit ceria. Aku memeluk nenek dengan
mesra.
“Mia, tidak kenal lelaki itu, nek,” kataku perlahan apabila nenek
melabuhkan punggung di kerusi. Aku duduk merapat dengan nenek.
‘Iya, siapalah yang sanggup berkahwin dengan orang yang tidak
dikenali,Mia,” kata nenek.
‘Ini sebenarnya sudah kali kedua, Mia orang datang merisik,” kata nenek
lagi. Aku terkejut mendengar kata-kata nenek. Aku tidak tahu menahu hal ini.
“Emak, Mia tidak bawa bincang dulu. Nenek dah beritahu emak, Mia bawa
bincang dengan Mia dulu. Jangan buat keputusan melulu,” ujar nenek panjang
lebar. Akhirnya,, air mataku gugur satu persatu. “Tidak sayangkah emak
kepadaku? ,” pertanyaan itu bermain di fikiranku.
Sekembali ke rumah, emak menyambut aku di muka pintu. Wajahku masam.
Emak memandang aku tanpa berkata apa-apa. Aku membiarkan emak berteka-teki
sendiri.
“Ayah tidak setuju kalau Mia tidak setuju, “ kata ayah sewaktu pulang
dari bekerja. Aku hanya mendiamkan diri dan mendengar kata-kata ayah. Ayah
selalu menyebelahi aku. Pada aku, ayah lebih memahami aku. Sikap ayah dan emak
berbeza. Emak sering membuat keputusan sendiri dan kadang-kadang menjadi
perbalahan dengan ayah. Ayah bersikap tenang dalam menghadapi situasi. Memang,
aku anak emas ayah.
Sepucuk surat daripada Rizal aku terima lewat beberapa hari selepas
rombongan merisik yang datang ke rumah. Aku membaca setiap baris kandungan
surat Rizal. Gugur air mataku apabila Rizal menyampaikan hasratnya untuk
meminang aku. Berat lidahku untuk menceritakan hal yang sebenar. Aku bimbang
pilihan aku bukan pilihan emak. Emak bersikap tegas dalam lembut. Aku bimbang
kalau emak meminta aku memutuskan hubungan dengan Rizal. Wajah Rizal segera
muncul di fikiranku. Perasaan sayang aku kepada Rizal berubah menjadi simpati.
Aku kasihan akan Rizal jika emak mengatakan ‘tidak’ setelah aku memberitahu
emak.
Aku jatuh sakit selama beberapa hari. Aku mengalami migran dan
muntah-muntah yang teruk. Aku dimasukkan ke wad hospital untuk menerima rawatan
lanjut. Kakakku mengambil cuti selama aku dirawat untuk menemani aku di hospital.
Kakak amat memahami keadaan aku. Kakak sedar aku banyak memikirkan hal yang
berlaku tempoh hari. Kakak menasihati aku agar melupakan perkara itu kerana
ayah telah memberitahu kakakku bahawa ayah tidak mahu menerima pilihan emak.
Kata kakak, emak dan ayah bertegang urat di rumah . Air mataku terjun menuruni
pipi saat mendengar kata-kata kakak kerana aku emak dan ayah bertengkar.
Sepulang aku ke rumah , ayah menyambut aku dengan penuh kasih sayang.
Emak belum balik dari tempat kerja. Aku terlihat sebuah telefon di atas meja
kecil di tepi jendela.
“Ayah masukkan perkhidmatan talian telefon supaya senang keluarga kita
untuk berhubung,” kata ayah apabila menyedari aku terpandang sebuah telefon.
Aku terfikir barang kali ayah melakukan ini kerana peristiwa orang datang
merisik tempoh hari. Barang kali juga, ayah tidak mahu peristiwa yang sama
berulang lagi dan mengganggu fikiran aku. Aku hanya hendak berehat selepas
empat hari dirawat di wad hospital. Sebelum ini , perkhidmatan talian telefon
amat sukar disambung di kampungku kerana kedudukan jauh dari bandar.
“Mia, kau sebenarnya dah ada pakwe ke?,” tanya kakak suatu petang ketika
kami mengait buah rambutan di belakang rumah.
“SSyyhhh,” aku menekup mulut kakak. Kakak terkejut dengan tindakan
spontan aku. Aku khuatir kata-kata kakak didengari oleh emak. Memang pantang
emak kalau anak-anak perempuannya menjalinkan hubungan dengan lelaki tanpa
pengetahuannya.
‘Ada, kak. Tapi kami hanya berutus surat sahaja. Setiap kali ,Mia
menerima surat ,Mia kata surat daripada kawan. Emak tidak mengesyaki apa-apa,”
kataku sambil melabuhkan punggung di atas pangkin di bawah pokok rambutan.
‘Kawan Mia ada nombor telefon tak,” tanya kakak lagi . Aku tersenyum.
“Ada , kak. Dalam kepala , Mia,” kataku dengan senyuman ceria. Kakak
juga tersenyum.
“Nanti , Mia bagi nombor telefon tu biar kakak yang bercakap ,” kata
kakak memberanikan diri. Aku hanya tertunduk malu. Hatiku berbunga-bunga dan
tidak sabar-sabar untuk bercakap dengan Rizal. Suara Rizal sudah lama tidak
kudengar sejak aku berpindah ke sini. Hanya surat-surat menjadi lidah untuk
berkata-kata. Aku tidak pernah menelefon Rizal selepas Rizal memberikan nombor
telefon rumahnya dulu semasa di tempat kerja lamanya kerana di rumahku tiada
perkhidmatan telefon .
Setelah hampir setahun lebih , akhirnya aku dapat bercakap dengan Rizal.
Kakaklah yang beria-ia hendak menelefon Rizal . Aku tidak dapat menggambarkan
perasaan gembira dan seronok apabila mendengar suara Rizal di hujung corong
telefon.
“Asalamuailaikum, ‘adik’. Apa khabar?,” tanya Rizal dengan suara yang
lembut.
“Khabar baik, ‘abang’.”
“Lama ‘abang’ tidak mendengar suara, ‘adik’,” kata Rizal dengan suara
yang tersekat-sekat semacam ada sedikit getaran di hujung suara Rizal. Aku
memahami keadaan Rizal saat itu. Kami saling merindui setelah lama terpisah.
“Abang’ rindu sangat dengan adik ,” kata Rizal seperti menyimpan
perasaan yang sudah lama terbuku di hatinya.
“Adik, pun rindu kepada ‘abang’,” kataku berterus-terang. Lidahku kelu
untuk memberitahu Rizal tentang kehadiran dua rombongan yang merisik aku. Aku
bimbang hati Rizal akan terluka. Aku juga tidak mahu mendesak Rizal agar segera
menghantar rombongan merisiknya bagai perigi mencari rimba.
Sejak perbualan hari itu, aku lebih kerap berbual-bual dengan Rizal
melalui telefon. Itupun, apabila emak dan ayah sudah pergi bekerja. Abangku tidak
pernah mengambil tahu tentang hal aku melainkan kakakku.
Kakakku sentiasa menyokong aku dari belakang .Kadang-kadang aku berasa
kasihan kepada kakak kerana emaklah kakak berjauh hati. Pernah rombongan
merisik kakak datang ke rumah tetapi emak menolaknya mentah-mentah. Alasannya
emak tidak mengenali lelaki dan keluarga pilihan kakak. Hancur hati kakak
ketika itu. Itulah satu-satunya teman kakak. Kakak memberitahu aku bahawa dia
lebih rela tidak berkahwin kerana kecewa dengan sikap emak. Ayah tidak dapat berbuat
apa-apa kerana emak menolaknya tanpa berbincang dengan ayah atau kakak.
Aku kadang-kadang tidak mengerti dengan sikap emak. Emak hendak
menentukan kehidupan anak-anak tanpa memikirkan perasaan anak-anaknya. Aku
pernah merisik dengan nenek sebab emak berkelakuan begitu. Barulah aku tahu ,
dahulu datuk telah menolak pilihan hati emak dan memilih ayah sebagai pasangan
hidup emak. Kata nenek, bertahun juga emak dan ayah kurang mesra. Kini, barulah
aku sedar mengapa emak dan ayah sering bertelagah walaupun tentang hal yang
sekecil-kecilnya tetapi aku melihat ayah lebih suka mengalah dengan sikap emak.
Pada aku, jodoh di tangan Tuhan tetapi biarlah kita senang dengan pilihan hati
kita sendiri. Aku turut berasa simpati dengan nasib emak . Mungkin aku juga akan
bersikap seperti emak jika apa yang berlaku kepada emak juga berlaku terhadap
diriku.
Hari itu, aku menunggu panggilan telefon daripada Rizal. Aku sudah
berjanji dengan Rizal masa yang sesuai untuk menelefon aku di rumah.
Kebiasaannya, pada waktu pagi kerana semua orang di rumah itu sudah keluar
bekerja. Aku pula sudah berhenti kerja selepas jatuh sakit yang teruk dan
masalah migran yang aku alami.
“Abang’ nak bagi tau , adik. Keluarga ‘abang’ akan datang merisik adik
minggu depan,” suara Rizal kedengaran ceria.
“Ya, ‘abang’. Adik faham. Nanti adik beritahu emak dan ayah,” jawabku
perlahan. Hatiku melonjak kegembiraan . Petang itu, aku memberitahu kakak
tentang hajat Rizal itu. Wajah kakak sedikit muram.
“Mengapa ,kak?,” tanyaku sedikit gusar.
“Emak,” kata kakak ringkas.
“Kenapa dengan , emak?,” ulangku lagi.
“Kakak bimbang emak akan menolak,” kata kakakku sambil menundukkan
kepala.
Tiba-tiba perasaan bimbang dan sedih menguasai diriku. Aku baru terfikir
tentang kata-kata kakak.
”Mahukan emak menerimanya nanti?,” tanyaku kepada kakak. Kakak hanya
berdiam diri. Aku memeluk kakak sambil esak tangisan kecil. Aku bimbang.
Seperti yang dijanjikan, rombongan merisik keluarga Rizal berkunjung ke
rumahku. Aku dan kakak duduk di dalam bilik. Tiada kedengaran suara Rizal.
Hanya suara rombongan keluarga Rizal dan emak ayah sahaja. Nenek hanya duduk di
tepi mendengar perbincangan antara dua buah keluarga.
“Baiklah, kami akan memberikan kata putus beberapa hari lagi ,” kata
ayah dan aku dapat mendengarnya dari dalam bilik. Rombongan keluarga Rizal
meninggalkan halaman rumah.
“Saya tak setuju! ,” kedengaran suara emak sangat jelas di cuping
telingaku. Aku menangis semahu-mahunya sambil memeluk kakak yang turut menangis
sama.
Bermacam-macam soalan terbit dari bibir emak tentang Rizal. Emak seakan
tidak berpuas hati kerana emak tidak diberitahu tentang Rizal .Selama ini, emak
berfikir bahawa aku tiada teman lelaki. Kakak juga ditanya oleh emak tentang
Rizal tetapi kakak mengunci mulut . Bagi kakak, dia sudah serik dengan emak.
Akhirnya , emak memberitahu dia tidak mahu menerima lelaki yang dia tidak
kenal. Aku faham maksud emak itu bahawa emak mahu menolak risikan Rizal. Aku
menangis sepuas-puas hati dengan kelakuan dan keputusan emak. Aku tidak mahu
berbantah dengan emak kerana Rizal biarlah segalanya ditentukan Tuhan.
“Suruh Rizal datang jumpa ayah,” kata ayah setelah beberapa hari
berlalu. Aku tahu ayah akan membela aku kerana aku anak ayah yang paling
disayanginya. Ada sedikit harapan di hatiku bahawa ayah akan menerima Rizal
seperti mana aku menerima Rizal. Ayah memberitahu aku bahawa ayah hendak
berkenalan dengan Rizal lebih dekat. Aku menghubungi Rizal dan memintanya
supaya datang berjumpa ayah. Aku tidak memberitahu Rizal sebabnya kerana aku
sendiri kurang pasti.
Emak masih bersikap keras hati dengan aku. Emak kurang bercakap dengan
aku selepas peristiwa hari itu. Aku cuba bermesra dengan emak tetapi emak
bersikap acuh tak acuh. Aku hanya memendam perasaan sedih dan berdoa sepanjang
masa agar Tuhan melembutkan hati emak kerana perasaan sayang aku kepada Rizal
tidak akan kubiarkan sia-sia begitu sahaja. Kakak sentiasa memberikan kata-kata
semangat kepada aku agar tidak berputus asa dan bersedih hati. Kakak juga
menitipkan doa untukku. Hanya emak.
Pertemuan Rizal dengan ayah mengurangkan kegusaran di hatiku. Aku
melihat Rizal berbual-bual mesra dengan ayah seperti sudah lama kenal. Hatiku
berasa sangat bersyukur dan membenihkan harapan agar emak dan ayah dapat
menerima Rizal seadanya. Rizal memperkenalkan dirinya kepada emak dan ayah .
Rizal menceritakan hal keluarganya juga. Wajah emak sedikit berkerut. Aku ingin
sangat bercakap dengan Rizal berdepan tetapi aku malu kepada emak dan ayah yang
ada bersama-sama ketika itu. Hanya mata aku dan mata Rizal yang berbicara.
Selepas Rizal berkenal-kenalan dengan emak dan ayah , aku berasa harapan
lebih baik daripada sebelumnya. Ayah sangat terbuka hati dan dapat menerima
Rizal tetapi emak tidak sebegitu.
“Kau sudah fikir masak-masak nak kahwin dengan Rizal ?.” tanya emak
kepadaku. Wajah emak masam.
“Ayahnya pun berkahwin dua. Kau tak takut nanti nasib kau pun sama ,”
kata emak panjang lebar. Aku terdiam mendengarkan kata-kata emak. Aku tidak
pernah terfikir sejauh itu emak berfikir. Timbul konflik baharu antara emak dan
ayah.
“Saya ni wali . Saya ada hak, “ kata ayah sebelum turun dari rumah ke
tempat kerja. Aku terdengar suara ayah meninggi. Emak terkedu mendengar
kata-kata ayah. Aku pula yang berasa sangat sedih . Aku kasihankan ayah kerana
emak sering membelakangkan ayah. Ayah tahu apa yang dia lakukan. Ayah mempunyai
keyakinan bahawa Rizal mampu menjaga aku dengan baik. Walaupun wajah Rizal
nampak macam sombong tetapi hatinya sangat baik.
Akhirnya emak mengalah jua dengan pilihan hatiku. Ayahlah yang selalu
membela aku dan ayah tidak sanggup melihat aku berendam air mata. Ayah juga
kasihan kepada kakak. Ayah tidak mahu nasibku seperti kakak. Ayah sudah tiada
kata-kata hendak memujuk hati kakak menerima lelaki lain sebagai seorang suami.
Teman lelaki kakak pun sudah berumah tangga dengan wanita lain. Kasihan kakak
terpaksa berlawan dengan hatinya sendiri demi sebuah kebahagiaan.
Sejak rombongan merisik Rizal , hubungan aku dengan Rizal bertambah
intim. Namun , kami tidak bertemu muka kerana ayah tidak mahu aku terlalu bebas
. Apatah lagi, kami tinggal di kampung dan banyak mulut yang akan bercakap
perkara yang bukan-bukan . “Maruah keluarga kita kena jaga baik-baik,” kata
ayah kepadaku selepas Rizal pulang daripada berkenalan dengan ayah tempoh hari.
Aku berpegang kepada janjiku sendiri bahawa biarlah aku menunggu saat bahagia
kami disatukan tiba nanti.
Sebentuk cincin belah rotan di jari manisku sebagai tanda hatiku sudak
dimiliki orang kutatap tanpa jemu. Aku berasa cukup bahagia kerana akhirnya
Rizal bakal menjadi suamiku. Sikap emak masih dingin terhadap ayah. Emak sering
mengungkit tentang pilihan hatinya yang aku tolak, Zaid. Kini, Zaid telah
berhijrah ke Kuala Lumpur. Zaid membawa hatinya yang lara jauh dari kampung.
Zaid berasa malu apabila pinangannya ditolak. Aku turut berasa simpati terhadap
Zaid namun jodoh ditentukan Tuhan.
Ada masanya Rizal menghubungi aku dan bertanya khabar aku serta
keluarga. Keadaan itu berlarutan beberapa ketika sepanjang pertunangan kami.
Ayah juga tidak melarangnya. Namun , emak semakin menjauhkan diri daripada aku
dan hubungannya dengan ayah semakin renggang. Aku sering mendengar emak dan ayah
bertengkar tentang aku dan Rizal. Betullah, kata orang ‘ syurga di bawah tapak
kaki ibu.’ Aku menjadi dilema dengan sikap emak.
Akhirnya , hubungan renggang antara emak dan ayah berterusan agak lama.
Ayah telah membuat keputusan drastik berpindah ke rumah lain dan tinggal
berasingan dengan kami. Emak dan aku serta adik-beradik lain masih tinggal
sebumbung. Kadang kala, kakak mengajak aku melawat ayah di rumahnya. Aku berasa
amat sedih kerana ayah mengambil keputusan itu. Emak tidak menunjukkan sikap
kesal atas tindakan ayah itu. Keadaan itu berlarutan sehinggalah tiba hari
pernikahan aku dengan Rizal.
Ayah membantu aku membuat semua persiapan untuk menikah. Majlis
pernikahan aku diadakan di rumah dan ayah hanya hadir sebagai wali untuk
menikahkkan aku. Walaupun hari pernikahan sepatutnya hari penuh bahagia dan
gembira tapi hatiku bergolak sendiri. Rizal banyak membantu menerima takdir itu
dengan hati yang terbuka. “Semua yang berlaku ini ada hikmahnya,” kata Rizal
yang kini menjadi suamiku yang sah.
Rutin aku dan Rizal melawat ayah di rumahnya. Aku memasak dan membawakan
makanan untuk ayah. Aku amat bersimpati dengan keadaan ayah yang sedang
dipanjat usia. Adik – beradik yang lain juga sama seperti aku melawat ayah
tetapi emak masih keras hati terhadap ayah. Sakit pening ayah dibantu oleh
suamiku. Barulah kusedar mengapa ayah memilih Rizal sebagai menantunya. Rizal
sangat baik dan mengambil berat terhadap diri ayah . Ayah pula amat menyayangi
suamiku.
Tahun demi tahun terus berlalu dengan suka dan duka. Cabaran demi
cabaran hidup berumah tangga. Ayah masih sayang akan anak-anaknya yang tidak
pernah lupa melawat ayah. Aku dan suami pernah memujuk ayah supaya kembali
tinggal bersama-sama kami.
‘Tak pelah, Mia. Mia datang lawat ayah selalu pun sudah cukup menggembirakan
hati ayah,” begitulah kata ayah kalau aku dan suami mengajak ayah pulang. Air
mataku laju apabila mendengar kata-kata ayah itu. Akulah yang paling rapat
dengan ayah . Akulah anak kesayangan ayah. Kadang kala, aku berasa bersalah
terhadap ayah. Aku berasa aku hanya mementingkan diri sendiri. Apakan daya,
sudah suratan takdir begitu , aku terimanya dengan hati yang berat.
Ayah tidak pernah menunjukkan kesedihannya kepada aku, suami dan adik
–beradik lain. Ayah tetap ceria menyambut kami termasuk pada pagi raya. Ayah
tidak bersendirian menyambutnya dengan kami. Hanya emak menanti di rumah. Aku
akan menyediakan juadah untuk kami makan bersama-sama dan juadah yang sama juga
aku sediakan di rumah. Aku dan suami menyambut Hari Raya di dua buah rumah . Rumah
emak. Rumah ayah. Ayah tidak bertanya tentang emak kepada aku. Aku juga mahu
menjaga hati ayah dan tidak menceritakan apa-apa tentang emak di rumah kepada
ayah. Dilema yang aku hadapi ditenangkan oleh suamiku yang berhati lembut.
Tidak salah aku memilih Rizal sebagai suamiku. Walaupun pada awalnya, emak
menentang hubungan aku dengan suamiku tetapi Allah Maha Perancang dan Maha
Mengetahui.
Kini, sudah 18 tahun ayah ‘merajuk’. Aku sudah tidak lagi memujuk ayah
pulang ke pangkuan kami. Ayah jatuh sakit dan suamikulah yang menjaga ayah dan
menguruskan ayah. Suamikulah yang memandikan ayah. Suamikulah yang membersihkan
ayah. Suamikulah yang menyuapkan makanan ke mulut ayah. Aku sendiri tidak mampu
berbuat begitu. Begitulah kasihnya suamiku terhadap ayah. Suamiku terhutang
budi terhadap ayahku yang sanggup menerimanya sebagai menantu walaupun emak
tidak pernah bersetuju. Aku sendiri sudah belajar makna redha dan segala
ketentuan yang terjadi adalah takdir Tuhan .
Akhirnya , ayah meninggalkan kami di sisi aku, suami dan abang serta
kakak. Pada saat akhir nyawa ayah, emak telah datang ke rumah ayah. Emak
memohon ampun kepada ayah sambil menangis tidak keruan sebelum ayah
menghembuskan nafasnya yang terakhir. Ayah hanya tersenyum melihat emak sebelum
menutup matanya buat selama-lamanya. Jenazah ayah diuruskan oleh suamiku dengan
penduduk kampung untuk disemadikan di tanah perkuburan di hujung kampung.
Semua barang ayah di rumah itu kukemas dan bawa pulang ke rumah emak.
Ada barang-barang tertentu yang menjadi kesayangan ayah kubawa pulang ke
rumahku sebagai melepaskan rindu terhadap ayah. Sekeping potret ayah dan aku
semasa aku berusia 6 tahun masih kusimpan dengan kemas di dalam sebuah bingkai
kaca. Air mataku pasti gugur tatkala memandang potret itu di atas meja sudut di
rumahku.
Peristiwa yang berlaku hampir 30 tahun yang lalu mendidik hati aku dan
suami suatu kekuatan dan keinsafan . Aku masih menjaga emak yang sudah lanjut
usia. Giliran aku berbakti kepada emak pula. Setiap hari aku memandikan emak
dan membersihkan emak. Aku akan memasakkan emak makanan yang digemarinya dan
menemaninya makan. Emak sudah tidak keras hati seperti dulu. Emak juga sudah
dapat menerima kehadiran suamiku selepas kematian ayah. Aku tidak menganggap
segala-galanya sudah terlambat kerana emak dan ayah bertemu jua di akhir hayat
ayah kerana sebentuk cincin di jari ini menjadi saksi!
Kebahagiaanku yang aku kecapi dengan suamiki bagaikan dipanggang di atas
api. Pelbagai onak kami tempuhi bersama-sama meskipun ada hati yang terluka
hingga akhir hayat . Kenangan terhadap ayah tidak pernah luput dari ingatanku
untuk selama-lamanya. Emak telah menerima kesilapannya dan Rizal menjadi
menantu harapan emak. Takdir Allah tiada siapa yang tahu.
Setelah bertahun-tahun Hisham , aku terserempak dengan Hisham. Dulu ,
Hisham yang kukenali segak orangnya , wajahnya serius tetapi memiliki seulas
senyuman yang manis. Namun, Hishamkah di depan mataku ini ? Aku melihat Rizal
sedang berbual-bual dengan rakannya di bawah khemah. Majlis persandingan anak
kawanku Rosni amat meriah .
"Kau ke jemput Hisham tu? Kat mana kau jumpa dia ?," tanyaku
merapati Rosni. Rosni sedang sibuk melayan tetamu-tetamu yang bertali arus
keluar masuk dewan.
"Mananya?," tanya Rosni semula dengan dahi berkerut.
"Eh, betul ke itu Hisham. Kenapa lain sangat,?," pertanyaan
Rosni aku biarkan saja tanpa jawapan kerana Hisham di depan mataku . " Ah,
perlukan aku bertanya ?, " pertanyaan itu tersekat di kerongkongku.
Aku memberanikan diri mendekati lelaki yang berbadan kurus dan jambang
yang tidak terurus.
"Maaf, ini Encik Hisham ke?" tanyaku memberanikan diri. Lelaki
berjambang itu memandangku agak lama dan kemudian tersenyum. Sahlah, Hisham.
Walaupun dia sangat berbeza tetapi senyumannya masih tetap aku kenali .
“Saya , Hisham,” jawab Hisham dengan suaranya yang lembut dan mesra.
“Mana ?,” pertanyaan aku terputus. Hisham tersenyum.
“Maaf ,” kata Hisham sambil menundukkan kepalanya memandang ke lantai.
Matanya sedikit berkaca.
“Dia telah tiada,” jawab Hisham dengan suara sedikit bergetar. Aku membiarkan
Hisham seketika.
“Kami tidak sempat berkahwin kerana dia pergi meninggalkan saya
selama-lamanya kerana kanser hati , “ kata Hisham perlahan menahan perasaan
sayu. Aku hanya terdiam. Terkejut. Bermacam-macam perasaan berbaur di dalam
hatiku.
“ Selama ini, awak menghilangkan diri, “ kataku mahu meneka.
“Tidak . Saya berhijrah ke Singapura dan bekerja di sana selepas dia
tiada . Saya tidak sanggup menatapi kenangan kami di sini, “ kata Hisham
sedikit tenang.
Aku melambai-lambai tangan kepada suamiku,
“Abang kenal tak?,” tanyaku kepada Rizal. Berkerut wajah Rizal untuk
mengingati sosok tubuh kurus yang berdiri di hadapannya tika itu.
“Ya, Allah . Hisham ,” kata Rizal lalu menarik tangan Hisham dan
memeluknya denga erat. Seorang rakan yang hilang sejak 30 tahun yang lalu
akhirnya bertemu kembali di sini. Berdiri di hadapanku dan Rizal. Rosni kulihat
memandang dari jauh. Kamariah baru sahaja sampai.
Rizal mengajak Hisham duduk di satu sudut agak jauh dari hiruk-pikuk
tetamu yang bertandang ke majlis walimah Rosni. Aku duduk di sebelah Rizal.
Wajah Hisham sedikit keruh.
“Akhirnya, kamu berdua kahwin juga,” kata Hisham sambil tersenyum.
Aku hanya membalas senyuman Rizal.
“Ye , sudah hampir 30 tahun usia perkahwinan kami. Anak pun dah empat .
Semua dan dewasa, “ kata Rizal bersahaja. Hisham memandang wajahku. Aku berasa
tidak keruan.
“Itulah , dulu hendak kepada orang lain tetapi orang lain pula yang
dapat ,” kata Hisham seakan menduga aku. Rizal tersenyum sahaja dan ketawa
kecil.
“Ala, semua inikan sudah jodoh Tuhan,” kata Rizal . Hisham mengangguk
mendengar kata-kata Rizal. Ye, Rizal tidak tahu. Sebenarnya , aku dan Hisham
sudah berkawan semasa di tempat kerja. Rizal hanyalah seorang kawan biasa aku.
Apabila aku terserempak Hisham dengan temannya , aku mula menjauhkan diri. Aku
tidak tahu bahawa teman yang aku maksudkan hanyalah seorang teman biasa. Hisham
juga tidak pernah menerangkan semua itu.
Setelah itu, barulah aku mendekati Rizal . Namun , perasaan sayang
kepada Hisham sudah lama lenyap di dalam diriku. Aku sudah melupakannya sejak
lama dulu tetapi kehadiran Hisham menjentik perasaanku. Aku cuba menepis semua
perasaan itu apatah lagi Rizal kini suamiku.
“Ya, saya faham, “ kata Hisham setelah lama berdiam diri dan melemparkan
pandangannya jauh dan kosong. Aku sebenarnya simpati terhadap Hisham. Tidak ku
ketahui selama ini Hisham menderita sehingga membawa diri jauh ke Singapura.
“Bersalahkah, aku, “ detik hati kecilku. Aku menarik nafas dalam-dalam.
“Bukan semua orang yang perpasangan akhirnya hidup bersama bahagia
dengan pasangannya, “ sambung Hisham.
“Mengapakah kau berkata begitu, Hisham?, “ desis hatiku.
“Tapi , kita hanya manusia biasa tiada daya upaya untuk mengubah
semuanya kembali seperti dulu, “ kata Hisham dengan nada merajuk.
“Sudahlah, Hisham. Hentikanlah kata-kata itu, “ hatiku berperang.
“ Kita tidak boleh memaksa orang menyukai kita. Inikan soal hati, “ kata
Hisham . Wajahnya serius. Rizal hanya tersenyum .
“Oh, Rizal, suamiku. Adakah engkau mengerti kata-kata Hisham itu?,’ aku
memegang tangan Rizal dan Rizal menoleh aku lalu tersenyum. Mata Hisham
melihatnya lalu tertunduk. Mata Hisham seakan berbicara kepada aku.
Aku cuba melarikan pandangan mataku. Kamariah mendekati kami bertiga di
meja.
“Macam kenal saja, “ kata Kamariah setelah terlihat Hisham. Aku
tersenyum melihat Kamariah .
“Yelah, Hisham. ‘Supervisor’ kita dulu yang tersenyum manis, “ kataku
seakan memuji Hisahm di hadapan Kamariah.
“Bukankah ?,” kata – kata Kamariah terhenti di situ setelah aku
menyenggol kakinya . Kamariah tersenyum memandang aku.
“Awak , apa khabar ?,” tanya Hisham.
“Alhamdulillah,” jawab Kamariah sambil melabuhkan punggung di sisiku.
Aku memandang ke dalam mata Kamariah seakan hendak memberitahunya supaya
jangan membuka cerita di depan Rizal. Nahas nanti. Memang semasa di kilang,
akulah paling kuat menyakat Hisham sehingga Hisham menaruh hati kepada aku.
Cumanya hasrat kami tidak kesampaian.
Kasihan aku melihat Rizal yang tidak tahu-menahu apa-apa. Aku juga bersimpati
terhadap Hisham sebagai seorang teman lama. Pertemuan kami pada hari itu penuh
debaran terutamanya diri aku . Hisham meninggalkan kami .
“Nanti kita jumpa lagi, “ kata Hisham memandang tepat wajah aku. Rizal
bersalam-salaman dan berpelukan dengan Hisham. Aku hanya tersenyum dengan hati
yang bergetar.
Comments
Post a Comment