Episod:Destinasi

Sejak pagi lagi kawan , guru , jiran , murid dan kenalan jauh dan dekat mengunjungi rumahku. Ramai hingga melimpah ke luar rumah.
"Duduklah , kat luar pun ada bangku. Bangku tu saya buat sendiri , "kataku mempersilakan Ustaz Z duduk memandangkan di dalam rumah sudah terlalu sempit dengan ahli keluargaku, ipar duai dan kaum kerabat terdekat.
"Allahuakbar, ustaz pun datang," kataku kepada Tuan Imam masjid lalu mencium dahi dan pipiku kedua-dua belah . Sungguh kasih sesama hamba-Nya.
"Maafkanlah , saya. Tak dapat nak layan sangat. Ramai sangat yang datang ," kataku.
"Tadi , D yang call aku . Terkejut juga , tiba-tiba," kata sahabatku yang sama-sama sekolah dulu.
"Engkau sampai-sampai tak sempat nak bersalam, " kataku kepada G. G sahabat karibku juga mencium dahiku agak lama dan terdengar esakan kecil saat bibirnya menyentuh dahiku.
Murid-muridku dari pusat tahfiz juga berbondong-bondong datang. Aku menjemput mereka masuk ke rumah. Mereka yang sedang berdiri dan berbual-bual memberikan laluan. Aku berasa sungguh gembira dengan kedatangan mereka. Masing-masing berpakaian lengkap seragam jubah putih dan berserban putih. Wajah-wajah mereka berseri-seri.
Isteriku bangkit dari duduknya memeluk ibunya yang datang dengan adik-beradiknya. Anak-anakku juga bersalam-salaman tanda hormat. Sejak kecil, aku sudah mendidik mereka agar menghormati orang lain tanpa mengira darjat atau jawatan. Kaya atau miskin . Kulit putih atau gelap . Pangkat tinggi atau rendah. Semuanya sama sahaja. Tiada makna lagi selepas kita sudah tiada .
Abang K baru saja sampai. Dia bersalam-salaman dengan rakan-rakanku dan mereka yang berkumpul di hadapan pagar rumahku. Ustaz Z sedang berbual-bual dengan Tuan Imam . Wajahnya serius. Abang K memeluk aku dengan penuh kasih sayang dan mencium dahiku berkali-kali. Aku tersenyum melihat gelagat abang K yang setiap kali berjumpa aku akan memeluk aku.
"Eh, kenapa pulak ?," kutanya abang K yang menangis mengesat air matanya dengan hujung lengan baju kemejanya. Abang K tidak menjawab tetapi dia keluar ke arah sekumpulan jemaah masjid yang berdiri di luar sana.
"Ini bunga-bunga , semua Cikgu yang buat sendiri. Minat betul dia ," kata R . Mereka yang mendengar mengangguk-angguk sambil tersenyum.Ada yang memegang bunga yang baru hendak berkembang.
"Ye, saya yang tanam . Bukanlah pandai sangat tapi minat saja. Nak cantikkan halaman rumah, " kataku kepada mereka. Mereka asyik membelek-belek pokok bunga yang kutanam itu.
"Kalau ada masa, saya juga buat meja atau bangku dengan kayu terpakai. Saya pun tak adalah kemahiran cuma yakin saja,"kataku kepada Ustaz Z yang sedang duduk di kerusi berwarna biru.
"Agaknya lama juga Cikgu nak buat semua ini," kata Ustaz Z kepada Tuan Imam.
"Kalau saya bersembang dengan Cikgu, dia selalu kata suka-suka buat," balas Tuan Imam.
Kereta yang diparkir di luar rumah semakin banyak .
"M kau tolong dia orang yang baru sampai. Boleh parkir kereta kat lorong belakang sana. Jiran-jiran faham . Hari ni saja," kataku kepada M. Suara tetamu yang datang sedikit bising di luar rumah . Mr.K dan Mr.P kelihatan dari jauh. Mereka sahabatku yang banyak membantu aku sewaktu susah mahupun senang .
"Silalah , masuk ," jemputku. Mr.K dan Mr .P berbual-bual sesama mereka .
"Baru dua hari lepas saya jumpa, Cikgu," kata S.
"Betul. Masa tu saya nak beli sarapan terserempak di kedai," tambahku lagi. S rancak berbual-bual dengan rakan-rakan sekolahku. Tiba-tiba Tuan Imam meninggikan suaranya sedikit.
"Saya nak menyampaikan pesan , Cikgu," kata Tuan Imam. Aku sudah memberitahu Tuan Imam agar mewakili aku kerana aku kurang mahir bercakap depan khalayak ramai. Usai ucapan Tuan Imam , masing-masing masuk ke dalam rumah. Tuan Imam melihat jam di tangan.
Anakku yang belajar di maahad tahfiz menjadi imam. Itulah yang sangat aku harapkan.Biarlah anakku sendiri menjadi imam.Tuan Imam berdiri di belakang anakku. Selesai solat , Tuan Imam membacakan doa ringkas. Aku mengaminkan doa Tuan Imam. Begitu juga , mereka yang hadir mengaminkan doa Tuan Imam.
Tuan Imam dan Ustaz Z berlutut di sisiku. Ustaz Z mencium dahiku lagi. Suasana di dalam rumah agak padat. Alat pendingin hawa yang baru dipasang berfungsi dengan baik. Jadi, terasa nyaman walaupun ramai orang. Tuan Imam membaca penghulu segala surah. Semua yang hadir mengikuti bacaan Tuan Imam.
Mereka bergerak keluar dari rumah. Aku turut mengikuti mereka. Masing-masing bantu- membantu untuk melancarkan urusan hari itu. Ustazah M menyuruh isteriku menunggu di rumah hanya anak-anakku dan kaum kerabat serta tetamu yang datang mengikuti rombongan yang bergerak.
Tidak lama , kami telah sampai ke tempat yang dituju. Aku melihat mereka bersungguh-sungguh untuk membantu aku pada masa itu.
"Terima kasih sajalah kepada semua yang hadir dan membantu. Semoga Allah jua yang membalasnya dengan sebanyak-banyak pahala", kataku . Usai segala urusan .Hujan mulai turun renyai-renyai. Aku melihat mereka semua telah pulang . Aku bersendirian di situ untuk memulakan perjalananku ke destinasi ABADI !

Comments

Popular posts from this blog