Episod : SEMBANG BOLA
Aku bukanlah peminat bola sepak dani bukanlah kaki bangku. Setakat bermain dengan rakan-rakan sebaya di padang Flat LPK . Aku , Viji, Mohan , Ah Tuang , Man Gagak ,AA, Amir, Pian antara pemain harian dengan bola getah berwarna hijau sebesar kepala budak umur 5 tahun. Bola itu pun sudah lama ditendang kerana sifatnya ditendang bagai bola.
Pada suatu hari, entah macamana aku pun tidak berapa ingat bola hijau kepunyaan aku ditendang tinggi lalu tersangkut pada pagar berduri di tepi padang. Berakhirlah riwayat bola hijau sebesar kepala budak yang ditendang bagaikan bola.
Ah Tuang kawan Cina kami mencadangkan kami membuat bola kertas surat khabar. Viji, anak Aci kedai runcit tepi tong sampah Blok F mengambil kertas-kertas surat khabar lama di kedainya untuk digumpal membuat bola kertas. Viji memekakkan telinganya apabila dimarahi ibunya kerana menggunakan kertas surat khabar di kedai. Kami hanya terdiam dan duduk berlonggok atas rumput di pintu belakang rumah Aci. Ada yang membelek-belek kaki yang tidak berselipar, Amir Yenkie masih budak daripada kami tapi pandai main bola, AA mengunyah daun rumput dan dimarahi abangnya Man Gagak.
Sejak hari itu, kami bermain bola kertas hampir setiap hari dengan hampir 6 atau 7 orang rakan. Salah seorang pemain baru ,Martana budak flat blok G tingkat empat sebelah tong sampah. Kakinya amatlah keras seperti batu ! .Ada sekali dia menendang bola kertas tapi tertendang kaki aku. Sakit yang amat dan aku hampir menangis. Aku mengejar Martana keliling padang sambil disorak oleh kawan-kawan lain sehinggalah Maghrib. Permainan bola petang itu berakhir dengan kejar-mengejar antara aku dengan Martana. Sekarang aku mengajar tuisyen cucu saudara Martana. Kalau aku ceritakan kepada dia , kami berdekah-dekah ketawa. Martana pun sudah tidak begitu sihat.
Ah Tuang budak blok E tingkat 3 yang adiknya meninggal dunia dan kerandanya di letakkan di bawah tangga selama beberapa hari sebelum dihantar ke tempat pengkebumian . Peristiwa itu menjadi trauma kepada kami baik budak mahupun orang dewasa. Lebih-lebih lagi waktu malam apabila pulang dari mengaji kami berlumba-lumba berlari di tangga kerana takut akan keranda bawah tangga. Ah Tuah tinggi dan hensem macam Chaw Yun Fat pandai bermain bola. Tendangannya kencang dan bergaya tapi selalu ke longkang. Kini, Ah Tuang meminati sukan badminton dan bermain dengan rakan-rakan di Dewan MPK Taman Eng Ann.
Zaman 80-an itu , bola sepak menjadi kegilaan. Ada pertandingan bola sepak antara blok. Blok aku blok E juga mengambil bahagian . Kiranya semua blok terlibat dan penganjurnya Mat Koya blok A. Dia juga jurulatih pasukan Blok A. Bergaya , bermutu , unggul dan bersemangat. Pasukan Mat Koya lengkap berjersi dan kasut boot. Pasukan kami cap ayam. Tiada jersi tiada kasut hanya kaki ayam.
"Lantaklah," kata Viji apabila ada kawan-kawan tidak mahu bermain kerana sedar akan kalah teruk melihatkan persiapan latihan pasukan blok A bagaikan team England dengan Kevin Keegan.
Perlawanan berlangsung dan tentunya pasukan kami blok E mula-mula tersingkir. Martana bermain untuk blok G dan tersengih-sengih melihat kami keluar padang dengan kekalahan tipis 12-0. Viji membaling selipar Jepunnya yang berat macam batu ke arah Martana yang duduk di tepi longkang dan hampir kena. Martana tersengih-sengih di situ untuk menyakitkan hati pasukan blok E. Pasukan blok A menjadi juara pertandingan bola sepak antara blok Flat LPK. Itulah pertama kali dan terakhir pertandingan bola sepak diadakan oleh budak-budak flat.
Ada tiga orang pemain berbakat di Flat LPK . Anto , Yusof Ribut dan Lee Kevin Keegan, budak blok H. Hidup matinya bola. Semua gambar Kevin Keegan ditampal di rumahnya hinggakan rambutnya juga disimpan panjang stail Kevin Keegan. Dalam satu perlawanan persahabatan antara pasukan pilihan Flat LPK dangan Pasukan Bola Sepak Sekolah La Salle, pasukan flat telah menang bergaya walaupum terdapat insiden pergaduhan kecil di padang . Masing-masing membuka langkah silat dan taekwando.
Permainan ikut musim. Ada musim guli pitir, getah , gambar , konda- kondi dan galah panjang . Bola sepak tetap permainan utama budak-budak flat. Kadang-kadang tengah leka bermain , Gee datang membeli gula-gula di kedai Aci. Gee tinggal di kuaters rumah papan sebelah luar flat. Kurus dan tinggi berkulit putih dan pandai menyanyi. Ada masa-masa dia berjumpa adik perempuanku kerana sama sekolah . Tidak sangka Gee terkenal hingga hari ini dan orang lebih kenalnya ,Fauziah Latif. Ada budak-budak flat yang sudah usia bujang dan kaki lepak di tong sampah kedai Aci mengusik Gee. Gee mesra rakyat . Usikan itu hanyalah hiburan budak-budak flat sekadar suka-suka .
Aku membesar sezaman kegemilangan legenda Mokhtar Dahari . Arumugam , Soh Chin Aun , Santokh Singh, Abdah Alif, Khalid Ali , James Wong , Syukur Saleh , Jamal Nasir dan beberapa nama hebat pemain pasukan kebangsaan Malaysia. Pestabola Merdeka acara berprestij diadakan setiap tahun. Pelbagai negara antarabangsa mengambil bahagian termasuk Korea, Jepun , dan Ghana. Sorak sorai seluruh flat apabila pasukan Malaysia bermain pada malam itu di Stadium Merdeka. Setiap kali Mokhtar Dahari merembat bola laungan 'gooollll' menggegarkan flat LPK walaupun ketika itu hanya televisyen hitam putih. Kegembiraan diraikan seluruh penonton setia pasukan Malaysia. Pasukan Malaysia menjadi kebanggaan rakyat Malaysia dan menjadi juara Pestabola Merdeka.
Zaman bola sepak sudah berlalu yang tinggal hanyalah memori manis.Tiada lagi sorakan Mokhtar! Mokhtar!Mokhtar !.Stadium Merdeka menjadi saksi bisu. Kawan-kawan hanya tersenyum ketawa mengingati zaman bola kertas surat khabar!
Comments
Post a Comment