EPISOD : REZEKI
Kali ini aku ingin bercerita tentang beberapa orang penduduk Flat LPK
yang berniaga sam ada secara harian , mingguan atau bermusim. Mereka berniaga
untuk menambahkan pendapatan keluarga kerana
tahun 70-an dan 80-an kebanyakannya bergaji rendah. Ditambah lagi anak
ramai dan keperluan asas sekolah memerlukan perbelanjaan agak besar.
Salah seorang peniaga di Flat LPK ialah makcik Saadiah. Orangnya rendah
, berbadan gempal dan berkulit cerah . Makcik Saadiah terkenal dengan nasi
lemak. Ada juga kuih-muih yang dijual selain nasi lemak. Nasi lemaknya masih
panas dan aromanya menggoncang selera. Ada telur rebus sebiji dipotong empat,
timun, kacang goreng , ikan bilis goreng dan sambalnya yang istimewa. Nasi
lemak dibungkus dengan daun pisang di dalam dan kertas surat khabar di luar.
Kebiasaanya, aku membeli 4-5 bungkus dengan berbekalkan wang RM3. Apabila
dibuka tudung bekas nasi lemak terasa wangiannya.
Setiap pagi ,sebelum pergi ke sekolah aku sudah menapak dari Blok E ke
Blok A dalam kegelapan . Di situ sudah ramai beratur kawan-kawan flat , Malik
(Alik), Saleh King, Azie , Jamal Jepun, Man Mail, Udin dan pekerja kilang
Motorola yang menunggu bas di pagar Blok A. Kini, tiada lagi nasi lemak makcik
Saadiah dan anak-anaknya tidak mewarisi perniagaan nasi lemak ibu mereka.
Pakcik Usop Misai dan makcik Bibah di Blok E tingkat bawah selang 2
pintu dari rumahku terkenal dengan putu piringnyanya yang lembut. Mereka
berniaga di pasar malam Pelabuhan Klang pada setiap hari Jumaat. Kadang-kadang
mereka dibantu oleh anak-anak mereka , Ahmad Kucing dan Pyan. Jualan putu
piring mereka sentiasa laris dan kadang-kadang aku juga terlepas peluang tetapi
mereka selalu membawa sebungkus putu piring untuk kami apabila pulang berniaga.
Kini, Ahmad Kucing yang meneruskan perniagaan putu piring mengikut tempahan ibu
bapa mereka yang sudah berhijrah ke Melaka selepas pencen kerja LPK .
Orang Flat LPK zaman 80-an , tentu kenal kedai Aci. Kedai runcit di Blok
F tingkat bawah sebelah tong sampah. Semua ada. Kelapa parut , rempah ratus,
gula garam , dan segala barang runcit. Apabila tiba musim gambar atau guli ,
kedai Aci menjadi tumpuan. Sekeping gambar 20 sen ada 12 keping. Permainan
paling popular baling gambar. Selipar dipotong depan atau bekakang dan paling
penting berat supaya tidak melayang apabila dibaling. Pemain-pemain akan
meletakkan sejumlah gambar yang disusun bertimbun dan 'one two jus' untuk
menentukan siapa yang akan mula baling selipar. Berapa banyak gambar yang
terbang dan masih tertinggal di tempat dilonggok akan dikira . Tangan pengkau
selalu kalah main baling gambar.
Ais kepal pakcik Mail Blok D tingkat 2. Ais kepal dicampur sirap dan
gula merah. 20 sen satu kepal dan dilapik kertas surat khabar. Budak-budak
paling suka ais kepal kerana untuk menghabiskannya agak mengambil masa juga
dihisap sepanjang masa. Sebelah merah sebelah coklat gelap (air gula). Kaki ais
kepal hingus tak berhentilah asyik makan ais!.
Pakcik Zakaria , orang Kelantan Blok A rumah hujung . Setiap kali bulan
Ramadan, mereka sekeluarga berniaga kuih-muih di depan pintu masuk pasar
Pelabuhan Klang. Anak-anak mereka Zanariah , Lani, Din , dan Mie akan membantu
berniaga. Kini, anak-anak Pakcik Zakaria @Pak Ya ada mewarisi perniagaan ibu
bapa mereka.
Ada sebuah lagi kedai runcit yang menjalankan perniagaan ikut pintu
belakang. Semua yang datang membeli ikut pintu belakang. Kedai Mok Song orang
Kelantan . Barang-barang mentah dan basah boleh dibeli di kedai Mok Song.
Biasanya Mok Song akan mengirim sayur atau apa-apa saja kepada ibuku. 'Bui ko
mok mu ," kata Mok Song sambil mengunyah sirih.
Pak Din ikan . Walaupun Pak Din bukan penduduk Flat LPK tetapi Pak Din
akan memandu lori kecil menjual segala jenis barang mentah dan basah. Kiranya,
pasar bergerak. Boleh berhutang ditulis dalam buku tiga lima. Dulu peniaga
Melayu menguasai pasaran kini sudah diganti dengan kedai Acheh yang tumbuh
bagai cendawan selepas hujan . Berkerumum kaum ibu membeli sayur ikan di lori
Pak Din, orang Kelantan juga.
Seorang lagi , Pak Din gunting rambut bapa Si Amy . Hampir setiap petang
, Pak Din membuka stesen gunting rambut. Kanak-kanak RM1 , remaja RM2 dan
dewasa RM5. Pada ketika itu , aku tinggal di Blok F tingkat 3. Rumah Pak Din
bertentangan blok F , Blok G. Ibuku akan melaung kepada Pak Din yang pulang
dari kerja untuk menempah 'slot' gunting rambut aku dan adik-adik lelaki.
Berbekalkan alatan gunting dan kerusi rotan ,Pak Din membuka stesen di
tepi longkang di hujung rumah arwah Usop Yenkie. Berbaris-baris pelanggan Pak
Din menunggu. Bukanlah stail sangat tapi upahnya murah dan dekat dengan rumah.
Pak Din sekeluarga berhijrah ke Banting selepas pencen kerja LPK .
Pakcik Mail bas ,Blok J. Satu-satu pengusaha bas di Flat LPK. Noorjaya ,
syarikat Pakcik Mail. Beberapa buah bas kilang menghantar pekerja kilang. Kira,
Pakcik Mail orang kaya di Flat LPK dan kini perniagaan Noorjaya diuruskan oleh
anaknya, Man . Perniagaan Noorjaya sebagai Sekolah Memandu di Pelabuhan Klang
paling lama bertahan hingga sekarang.
Nenek Minah @ Aminah. Nenek sebelah bapaku. Setiap bulan , nenekku
datang dari Kuala Lumpur dengan berkain batik dan berbaju kebaya pakaian rasminya.
Nenekku menjual keropok, kain batik dan barangan dari Kelantan. Datuk dan
nenekku berniaga di rumahnya di Pantai Dalam (lama) . Sekarang sudah jadi
perumahan PPR. Di situ terdapat banyak loji IWK. Setiap kali ibu bapaku membawa
kami ke Pantai Dalam terfikir juga peluang untuk mandi kolam . Kini barulah
kutahu kolam renang itu ialah loji kumbahan IWK! Kebanyakan pelanggan nenekku
ialah penduduk flat yang membeli jualannya secara hutang . Setiap bulan nenekku
datang untuk menjual atau mengutip hutang. Kadang-kadang aku melihat nenekku
menangis apabila datang ke rumahku barang kali orang tak bayar hutangnya !
Sememangnya, kaum kerabatku di Kelantan ramai yang berniaga sama ada barangan
makanan dan emas permata. Mungkin darah berniaga itu ada dalam diriku, 'Ke mana
tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi'. Sepupu-sepupuku juga berniaga dari firma
arkitek , intan emas permata dan macam-macam ada.
Seorang lagi peniaga tersohor, Makcik Minoh Kelantan , Blok C tingkat
dua. Kedai Mokcik Minoh Kelantan di tepi pasar Pelabuhan Klang yang menjual
masakan Kelantan .Nasi kerabu, nasi dagang, laksam, nasi berlauk dan kuih-muih.
Mokcik Minoh Kelantan dan suaminya Pok Wei (Ismail) dibantu oleh anak-anaknya.
Mokcik Minoh Kelantan dan Pok Wei sudah arwah dan anak-anaknya yang mewarisi
perniagaan peninggalan ibu bapa mereka. Prit, salah seorang anak Mokcik Minoh
Kelantan kini seorang peniaga ayam mentah yang berjaya di dalam pasar Pelabuhan
Klang.
Itulah antara peniaga legend Flat LPK . Rezeki boleh dicari jika ada
usaha.
Comments
Post a Comment