Episod : REZEKI
Kali ini aku ingin bercerita tentang beberapa orang penduduk Flat LPK yang berniaga sama ada harian , mingguan atau bermusim. Mereka berniaga untuk menambahkan pendapatan keluarga kerana tahun 70-an dan 80-an kebanyakanya bergaji rendah. Ditambah lagi , anak ramai dan keperluan asas sekolah memerlukan perbelanjaan agak besar.
Salah seorang peniaga di Flat LPK ialah makcik Saadiah. Orangnya rendah , berbadan gempal dan berkulit cerah . Makcik Saadiah terkenal dengan nasi lemak. Ada juga kuih-muih yang dijual selain nasi lemak. Nasi lemaknya masih panas dan aromanya menggoncang selera. Ada telur rebus sebiji dipotong empat, timun, kacang goreng , ikan bilis goreng dan sambalnya yang istimewa. Nasi lemak dibungkus dengan daun pisang di dalam dan kertas surat khabar di luar. Kebiasaanya, aku membeli 4-5 bungkus dengan berbekalkan wang RM3. Apabila dibuka tudung bekas nasi lemak terasa wangiannya.
Setiap pagi ,sebelum pergi ke sekolah aku sudah menapak dari Blok E ke Blok A dalam kegelapan . Di situ sudah ramai beratur kawan-kawan flat , Malik (Alik), Saleh King, Azie , Jamal Jepun, Man Mail, Udin dan pekerja kilang Motorola yang menunggu bas di pagar Blok A. Kini, tiada lagi nasi lemak makcik Saadiah dan anak-anaknya tidak mewarisi perniagaan nasi lemak ibu mereka.
Pakcik Usop Misai dan makcik Bibah di Blok E tingkat bawah selang 2 pintu dari rumahku terkenal dengan putu piringnyanya yang lembut. Mereka berniaga di pasar malam Pelabuhan Klang pada setiap hari Jumaat. Kadang-kadang mereka dibantu oleh anak-anak mereka , Ahmad Kucing dan Pyan. Jualan putu piring mereka sentiasa laris dan kadang-kadang aku juga terlepas peluang tetapi mereka selalu membawa sebungkus putu piring untuk kami apabila pulang berniaga. Kini, Ahmad Kucing yang meneruskan perniagaan putu piring mengikut tempahan ibu bapa mereka yang sudah berhijrah ke Melaka selepas pencen kerja LPK .
Orang Flat LPK zaman 80-an , tentu kenal kedai Aci. Kedai runcit di Blok F tingkat bawah sebelah tong sampah. Semua ada. Kelapa parut , rempah ratus, gula garam , dan segala barang runcit. Apabila tiba musim gambar atau guli , kedai Aci menjadi tumpuan. Sekeping gambar 20 sen ada 12 keping. Permainan paling popular baling gambar. Selipar dipotong depan atau bekakang dan paling penting berat supaya tidak melayang apabila dibaling. Pemain-pemain akan meletakkan sejumlah gambar yang disusun bertimbun dan 'one two jus' untuk menentukan siapa yang akan mula baling selipar. Berapa banyak gambar yang terbang dan masih tertinggal di tempat dilonggok akan dikira . Tangan pengkau selalu kalah main baling gambar.
Ais kepal pakcik Mail Blok D tingkat 2. Ais kepal dicampur sirap dan gula merah. 20 sen satu kepal dan dilapik kertas surat khabar. Budak-budak paling suka ais kepal kerana untuk menghabiskannya agak mengambil masa juga dihisap sepanjang masa. Sebelah merah sebelah coklat gelap (air gula). Kaki ais kepal hingus tak berhentilah asyik makan ais!.
Pakcik Zakaria , orang Kelantan Blok A rumah hujung . Setiap kali bulan Ramadan, mereka sekeluarga berniaga kuih-muih di depan pintu masuk pasar Pelabuhan Klang. Anak-anak mereka Zanariah , Lani, Din , dan Mie akan membantu berniaga. Kini, anak-anak Pakcik Zakaria @Pak Ya ada mewarisi perniagaan ibu bapa mereka.
Ada sebuah lagi kedai runcit yang menjalankan perniagaan ikut pintu belakang. Semua yang datang membeli ikut pintu belakang. Kedai Mok Song orang Kelantan . Barang-barang mentah dan basah boleh dibeli di kedai Mok Song. Biasanya Mok Song akan mengirim sayur atau apa-apa saja kepada ibuku.
'Bui ko mok mu ," kata Mok Song sambil mengunyah sirih.
Pak Din ikan . Walaupun Pak Din bukan penduduk Flat LPK tetapi Pak Din akan memandu lori kecil menjual segala jenis barang mentah dan basah. Kiranya, pasar bergerak. Boleh berhutang ditulis dalam buku tiga lima. Dulu peniaga Melayu menguasai pasaran kini sudah diganti dengan kedai Acheh yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan . Berkerumum kaum ibu membeli sayur ikan di lori Pak Din, orang Kelantan juga.
Seorang lagi , Pak Din gunting rambut bapa Si Amy . Hampir setiap petang , Pak Din membuka stesen gunting rambut. Kanak-kanak RM1 , remaja RM2 dan dewasa RM5. Pada ketika itu , aku tinggal di Blok F tingkat 3. Rumah Pak Din bertentangan blok F , Blok G. Ibuku akan melaung kepada Pak Din yang pulang dari kerja untuk menempah 'slot' gunting rambut aku dan adik-adik lelaki.
Berbekalkan alatan gunting dan kerusi rotan ,Pak Din membuka stesen di tepi longkang di hujung rumah arwah Usop Yenkie. Berbaris-baris pelanggan Pak Din menunggu. Bukanlah stail sangat tapi upahnya murah dan dekat dengan rumah. Pak Din sekeluarga berhijrah ke Banting selepas pencen kerja LPK .
Pakcik Mail bas ,Blok J. Satu-satu pengusaha bas di Flat LPK. Noorjaya , syarikat Pakcik Mail. Beberapa buah bas kilang menghantar pekerja kilang. Kira, Pakcik Mail orang kaya di Flat LPK dan kini perniagaan Noorjaya diuruskan oleh anaknya, Man . Perniagaan Noorjaya sebagai Sekolah Memandu di Pelabuhan Klang paling lama bertahan hingga sekarang.
Makcik Minah @ Aminah. Nenek sebelah bapaku. Setiap bulan , nenekku datang dari Kuala Lumpur dengan berkain batik dan berbaju kebaya pakaian rasminya. Nenekku menjual keropok, kain batik dan barangan dari Kelantan. Datuk dan nenekku berniaga di rumahnya di Pantai Dalam (lama) . Sekarang sudah jadi perumahan PPR. Di situ terdapat banyak loji IWK. Setiap kali ibu bapaku membawa kami ke Pantai Dalam terfikir juga peluang untuk mandi kolam . Kini barulah kutahu kolam renang itu ialah loji kumbahan IWK! Kebanyakan pelanggan nenekku ialah penduduk flat yang membeli jualannya secara hutang . Setiap bulan nenekku datang untuk menjual atau mengutip hutang. Kadang-kadang aku melihat nenekku menangis apabila datang ke rumahku barang kali orang tak bayar hutangnya ! Sememangnya, kaum kerabatku di Kelantan ramai yang berniaga sama ada barangan makanan dan emas permata. Mungkin darah berniaga itu ada dalam diriku, 'Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi'. Sepupu-sepupuku juga berniaga dari firma arkitek , intan emas permata dan macam-macam ada.
Seorang lagi peniaga tersohor, Makcik Minoh Kelantan , Blok C tingkat dua. Kedai Mokcik Minoh Kelantan di tepi pasar Pelabuhan Klang yang menjual masakan Kelantan .Nasi kerabu, nasi dagang, laksam, nasi berlauk dan kuih-muih. Mokcik Minoh Kelantan dan suaminya Pok Wei (Ismail) dibantu oleh anak-anaknya. Mokcik Minoh Kelantan dan Pok Wei sudah arwah dan anak-anaknya yang mewarisi perniagaan peninggalan ibu bapa mereka. Prit, salah seorang anak Mokcik Minoh Kelantan kini seorang peniaga ayam mentah yang berjaya di dalam pasar Pelabuhan Klang.
Itulah antara peniaga legend Flat LPK . Rezeki boleh dicari jika ada usaha.





Comments
Post a Comment