Episod :Kakak Angkat

Dulu , kakak angkat adik angkat memang femes. Kakak angkat selalunya yang tinggal di tempat sama atau kenal kita melalui kawan. Tujuannya bukan apa hanya untuk "caring" saja.
Pada tahun 1985, ada juga yang anggap aku sebagai adik angkat. Semasa itu , baru Tingkatan 6 Biasanya meneman kakak angkat ke pasar malam , pergi KFC , jalan-jalan pergi jeti Pelabuhan Klang atau sembang-sembang kosong . Kakak angkat bujang lagi tapi berumur sedikit. Beza umur dalam.5-6 tahun.
Kakak angkatku seorang guru tadika. Nama pun dah lupa. Dua orang bekerja di tempat sama. Entahlah, kategori apa aku pun tak tahu mereka anggap aku seperti adik mereka. Kalau hari gaji , mereka mengajak aku ke KFC Pelabuhan Klang bersebelahan panggung wayang REX. Sehingga kini, KFC itu masih wujud.
Aku yang pertama kali ke KFC macam jakun juga. Dengan baju kemeja tangan panjang berlipat dua, seluar slack dan selipar BATA , kami berjalan kaki beriringan ke KFC dari Flat LPK. Banyaklah cerita itu ini tanya itu ini. Aku jawab saja. Pada masa itu , aku belum aktif menulis tapi sudah ada satu dua karya yang keluar surat khabar picisan seperti Bacaria dan Watan. Mungkinlah sebab itu mereka jadikan aku adik angkat . Mereka suka membacanya.
Lebih kurang , 30 minit berjalan kami pun sampai KFC . Aku dengan konfiden terus menarik pintu kayu sebelah KFC. Alamak , itu bilik stor simpan penyapu, kerusi, meja dan kayu mop.Aduhai , malunya! Rasanya muka aku jadi hijau. Aku pura-pura kata tersilap tetapi kakak-kakak angkatku senyum menahan ketawa.
Masuk saja ke dalam KFC , kami mencari tempat duduk tepi cermin. Tidak banyak kereta lalu lalang di jalan besar. Mereka meminta pesanan 'snack plate ' , Pepsi , dan beberapa hidangan sampingan. Aku memanglah pokai. Sekolah lagi mana ada duit. Duit sen-sen je ada. Kami makan sambil berborak . Kadang-kadang ketawa.Aku memang jenis pemalu dengan perempuan. Hati lembutlah.
Usai makan sudah hampir maghrib. Pergi jalan kaki balik pun jalan kaki. Sesampai di Flat LPK, kakak-kakak angkatku menapak pulang ke tadika KEMAS . Mereka juga tinggal di situ. Kadang-kadang aku berbasikal racing SHIMANO ke sana untuk berbual-bual di atas tangga. Rumah banglo papan dijadikan tadika KEMAS. Begitulah rutin mingguan.
Ada ketika , aku diminta menemani mereka ke pasar malam Pelabuhan Klang yang dibuka setiap hari Jumaat malam. Aku tidak membeli apa-apa sekadar mengekor saja. Kakak-kakak angkatku akan membelikan makanan dan minuman bungkus untuk aku bawa pulang nanti.
Pada tahun tersebut , belum ada telefon bimbit. Kalau pun ada harganya sangat mahal. Jadi, semasa aku ke tadika itulah janji temu dibuat . Hari apa pukul berapa . Tempat yang paling seronok ialah jeti. Sememangnya jeti tempat mencari idea. Ketika itu , ada bot-bot penambang untuk penduduk Pulau Lumut (sekarang Pulau Indah ) dan Pulau Ketam berulang-alik. Pekerja-pekerja jeti menaik turun barang dari tanah seberang termasuk kayu arang , sayur - mayur dan ikan.
Sejak aku mula bekerja selepas STPM , aku tidak lagi berhubung dengan kakak-kakak angkatku. Mereka juga sudah berhenti kerja dan berpindah. Mungkin sekarang sudah berkeluarga. Aku tidak pernah terserempak lagi dengan mereka. Persahabatan tidak mengenal usia dan kedudukan yang penting keikhlasan serta kejujuran !
Like
Comment
Share

Comments