Episod : JUTAWAN

Zaman sekolah akhir 80-an dulu , bas MARA Klang-Banting merupakan pengangkutan utama . Dari Kuala (Pelabuhan Klang) ke bandar Klang . Semasa itu , stesen bas Pelabuhan Klang di seberang jalan Standard Charted manakala stesen bas Klang di hadapan Perpustakaan Awam atau bawah Great Wall (lama).
Salah seorang kalendan bas MARA Klang-Banting yang kukenali ialah Abang 'N' (nama dirahsiakan). Kami berkawan kerana setiap hari aku ke sekolah swasta di bandar Klang dengan menaiki bas MARA. Lama-kelamaan , hubungan persahabatan itu kekal hingga sekarang. Selepas tamat persekolahan, aku masih menggunakan perkhidmatan bas MARA untuk pergi bekerja di Institut Hafiz Klang (lama).
Cumanya , kami tidak keluar makan minum bersama memandangkan aku tidak mempunyai kenderaan sendiri kecuali sebuah basikal lama di rumah. Jadi, hubungan persahabatan kami berlangsung di dalam bas sahaja.
Sekitarvakhir 90-an , Abang 'N' sekarang Haji 'N' , berhenti bekerja dengan Syarikat Bas MARA Klang-Banting apabila mendapat tawaran sebagai penjawat awam , iaitu pembantu makmal sekolah. Kebetulan , aku sudah mempunyai sebuah motosikal Suzuki RC80, mudahlah aku ke makmal sekolah tempat Abang 'N' bekerja. Di situlah, aku melepak selepas selesai bekerja. Alhamdulillah, kami sama-sama memiliki kapchai buruk.
Pada masa yang sama , Abang 'N' menjalankan perniagaan kecil-kecilan sebagai 'supplier' peralatan makmal sekolah dan aku pula menjalankan perniagaan membekal 'stationary' dan mesin fotostat. Kami sama-sama menjalankan perniagaan berkaitan keperluan sekolah secara 'part time'. Kiranya , ' customer ' aku juga 'customer' Abang 'N'. Aku dan Abang 'N' sama-sama cari makan hampir di seluruh negeri Selangor. Syarikat aku E.O.E (Edaran Office Equipment) sebagai pembekal di bawah LO ( Local Order) yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri melalui Pejabat-pejabat Daerah di negeri Selangor.
Sebarang 'order' berkaitan perkhidmatan aku akan diberikan oleh Abang 'N' dan begitulah sebaliknya. Boleh dikatakan tahun-tahun itu kami umpama 'mencetak duit' . Dari pembekalan di Selangor sama ada dengan kerajaan negeri hinggalah peringkat Kementerian kami berdua 'layan' . Memang tak menang tangan sebagai pembekal. Ada masa-masanya , hampir 40 buah unit mesin syarikat aku bekalkan ke sekolah , jabatan kerajaan dan kementerian , Ahli Parlimen dan Adun , pejabat parti hinggalah masjid-masjid.
Abang 'N' berhenti kerja makan gaji sebagai penjawat awam manakala aku masih meneruskan pekerjaan hakiki sebagai guru sekolah swasta (kini 'freelance tutor' sepenuh masa) dan pembekal mesin secara 'part time' . Oleh sebab terlalu banyak 'order' Abang 'N' mengimport sendiri peralatan makmal dari negara China . Jadi, volume peralatan makmal sudah menggunakan kontena. Kami masih melepak di ofis aku atau ofis Abang ' N'. Aku mempunyai 3 pejabat pada masa itu sebuah bangunan Tingkat Atas (Pejabat UMNO) sebelah Crystal Crown , sebuah di Bukit Tinggi dan sebuah lagi di bandar Klang.
Daripada peralatan makmal , Abang 'N' sudah bertukar perniagaan kepada perkhidmatan bas. Abang 'N' mempunyai hampir 20 buah bas ekspres! Kalau aku dan Abang ' N' melepak , aku selalu mengusik Abang 'N' "Oii, orang kaya". Kami akan ketawa terkekek-kekek . Kini , aku masih dengan pekerjaan sebagai 'freelance' tutor dan membekalkan peralatan mesin dan Abang (Hj.)'N' dengan deretan bas ekspresnya. Kini, Hj.'N' sudah kukira jutawan dan tetap merendah diri. Dari seorang kalendan bas hingga menjadi jutawan !
Bukan senang nak senang . Aku dan Hj.'N' bermula dari bawah berbekalkan motosikal kapchai untuk mendaki kejayaan. Itulah asam garam dalam perniagaan. Ada masa naik ada masa turun.Hasad dengki orang abaikan saja. Namun , jangan berputus asa dan hati mesti cekal. Gagal bangun semula. Kejayaan sebenar ialah bangkit daripada kegagalan. Gagal bukan bererti mati. Kalau sudah di atas jangan lupa rumput di tanah dan banyakkan bertolak ansur dalam urusan perniagaan , insyallah kita akan kekal lama dalam industri perniagaan !.

Comments

Popular posts from this blog