Episod : AYOH

 

Aku menerima panggilan telefon sekitar jam 8.30 pagi. Ketika itu aku berada di dalam bilik darjah.
“Tok! Tok! Tok!” Kedengaran pintu bilik darjah diketuk berulang kali. Aku segera membuka pintu.

“Cikgu, emak cikgu telefon . Ayah cikgu pengsan,” kata Bib (Habibah) ,kerani pejabat menyampaikan pesanan. Aku terkejut dan segera ke pejabat.

 

Pada masa itu, Pengetua dan HEM sudah menunggu aku di pejabat . Mereka telah mendapat berita terlebih dahulu dimaklumkan oleh kerani.

“Cikgu terus balik. Uruskan keluarga , Cikgu dulu,” kata Pengetua, Mr. Bala. Tanpa melengah-lengahkan masa, aku menghubungi adikku yang bekerja di Bandar Baru Klang.
“Ayoh pengsan, “ kataku sebaik sahaja panggilanku dijawab.

“Aku datang sekarang, “ kataku. Aku segera ke tempat parkir di hadapan Maybank , Jalan Kepayang , Klang lalu memecut ke arah Bandar baru Klang. Sesampai di hadapan pejabat, adikku sudah menunggu dengan wajah cemas. Aku segera memecut kereta menuju ke Pelabuhan Klang. Adikku menelefon ibuku dan kata ibuku ayahku sudah sedar daripada pengsan. Hatiku berasa lega sedikit namun kereta Toyota UNSER GLX tetap memecut ke Pelabuhan Klang.

 

Ketika melewati hadapan Kompleks Sukan Pandamaran , aku menerima panggilan telefon daripada ibuku .

“Ayoh dah tak ada! , ” hancur luluh hatiku mendengar suara ibuku. Air mataku berderai laju. Aku menggenggam tangan adikku. Pemanduanku menjadi perlahan kerana tiada apa yang hendak dikejarkan melainkan sampai di rumah. Dari jauh, sudah ramai jiran tetangga dan kawan-kawan arwah di halaman rumah.

Aku memparkir kereta di seberang jalan dan menuju ke rumah. Adikku mengemas barang-barang di rumah dan sekujur tubuh kaku di tenah-tengah ruang tamu rumah. Ayoh sudah pergi buat selama-lamanya. Sebagai anak lelaki sulung, Haji Sagak memberitahu aku bahawa semua urusan kenderaan jenazah , mandi mayat dan kapan sudah diuruskan. Aku juga meminta Haji Sagak untuk membantu menguruskan urusan solat jenazah di surau berhampiran.

 

Abang Mat Kelantan jiranku juga memberitahuku liang lahad sudah digali dan dia telah menyuruh anaknya memantau dari tanah perkuburan. Aku ke Balai Polis Pandamaran  untuk membuat laporan kematian dan mendapatkan surat kebenaran penguburan jenazah di Tanah Perkuburan Lipat Kajang, Andalas bersebelahan Masjid Ar-Rahimiah, Klang.

 

Semakin ramai jiran , kenalan dan kawan-kawan aku serta adik-adik beradik aku sudah berkumpul di pekarangan rumah. Aku sempat bersalama-salaman dengan beberapa orang kenalan arwah yang pernah bekerja di LPK. Ada yang mengenali aku dan ada yang tidak pernah aku kenali. Ada kawan-kawan India dan Cina juga hadir memberikan penghormatan akhir.

 

Kawan-kawan sepejabat adik-beradik aku dan kawan-kawan guru di sekolahku juga hadir sama. Beberapa orang ibu bapa muridku , turut hadir setelah aku memaklumkan kepada mereka. Jenazah dimandikan oleh bapa mentua sahabatku , Haji Ahmad Sulong. Semua urusan berjalan lancar dan segera kerana aku sudah berbincang dengan adik-beradikku supaya jenazah dikebumikan segera. Aku tidak mahu menunggu kaum kerabatku dari Kuala Lumpur , Gombak dan Kota Bharu yang sedang dalam perjalanan. Mereka juga meminta aku meneruskan urusan pengkebumian tanpa menunggu mereka.

Selesai memandikan jenazah , van jenazah sudah pun menunggu di perkarangan rumah. Masing-masing diberi peluang untuk menatap jenazah arwah buat kali terakhir. Aku yang mulanya tidak mahu menangis tetapi aku tidak dapat menahan perasaan yang amat sedih dan kesal sehingga ditenangkan mereka yang berada di situ. Sehari sebelum arwah meninggal dunia, aku singgah di rumah usai mengajar tuisyen malam. Aku sempat berbual-bual dengan ibuku di luar rumah sambil duduk di atas tembok pagar rumah. Ayoh sedang makan malam di ruang tamu. Aku hanya singgah sebentar.

Aku sudah hendak bergerak pulang dan ketika itu ayoh muncul di depan pintu.

“Mu tak nak singgah?,” tanya ayoh sedikit melaung.

“Takpelah , Esok orang datang lagi ,” kataku lalu meninggalkan perkarangan rumah. Ayoh melihat aku hingga hilang dari pandangannya. Pagi ini, aku hanya menemui jenazah ayoh . Inilah kekesalan yang aku tanggung hingga saat aku menulis coretan ini dan selama-lamanya.

 

Selesai urusan pengkebumian jenazah , malam itu kami mengadakan kenduri tahlil. Semua rakan arwah dan jiran tetangga serta jemaah surau kujemput hadir selepas Isyak. Makanan disediakan oleh sepupuku yang memang peniaga kedai makan. Aku pun duduk di sebelah Pakcik hashim, kawan karib arwah.

“Ayah cikgu sakit apa?,” Pakcik Hashim melontar pertanyaan kepada aku.

“Tak ada sakit apa-apa. Masa arwah bermain dengan cucu-cucu tiba-tiba arwah pengsan kemudian sedar . Selepas itu mak beritahu sudah meninggal dunia,”, kataku perlahan. Pakcik Hashim menundukkan kepalanya memandang tanah agak lama. Aku fikir barangkali dia teringat akan arwah ayoh.

 

“Ayah cikgu ada cerita kepada saya, “ kata Pakcik Hashim memandang wajahku.

“Cerita apa, Pakcik?”

“Ayah cikgu ada sakit di dalam perut. Sudah lama. Sejak kerja lagi, “ sambung Pakcik Hashim lagi dan diam seketika. Aku sedikit terkejut kerana setahu aku arwah ayoh tidak pernah mengadu sakit perut kepada aku atau sesiapa.

“Dah lama , cikgu,” getus Pakcik Hashim.

“Arwah kata harga ubat RM500. Arwah tak nak menyusahkan anak-anak,” kata Pakcik Hashim dan sejurus itu air mataku gugur sederas-derasnya.

“Cikgu saja arwah pesan supaya jaga keluarga ,” sambung Pakcik Hashim membiarkan aku menangis sepuas-puasnya.

 

Setelah keadaan tenang kembali, aku teringat akan mimpuku seminggu lalu. Dalam mimpi itu, arwah ayoh menyerahkan sebentuk cincin di jarinya kepada aku dan berkata ,” Mu ambillah cincin ini ayoh dah tak mahu pakai lagi.” Pakcik Hashim menepuk-nepuk bahuku sambil aku teresak-esak teringat ayoh !

 

Sudah lebih 19 tahun arwah menemui penciptanya. Aku masih berkawan dengan kawan-kawan arwah untuk menyambung silaturahim yang ditinggalkan arwah.
“Saya tak boleh dengar kalau cikgu bercakap,” kata Haji Sagak.
“Kenapa, Haji?,” tanyaku.
“Saling tak tumpah macam suara arwah. Lenggang – lenggok suara semua sama betul, “ kata Hajo Sagak dalam lohgat Kedah. Aku hanya tersenyum.
“Tak pa , Haji. Sekurang-kurang pada diri saya ada ayah saya ,” kataku sambil memegang tangan Haji Sagak di tempat arwah dan kawan-kawannya bersarapan di deretan gerai MPK di Taman Pendamar Indah.

 

·        Semoga roh ayoh Che Wil (Ismail) Che Isa dan arwah Pakcik Hashim dicucuri rahmat Allah swt. Amin Ya Rabbal Alamin.

Comments

Popular posts from this blog