Episod : Kerinduan
Pak Mid masih berteleku di jendela rumah kayunya. Beberapa ekor ayam kampung sedang mematuk sisa-sisa nasi kenduri semalam. Anak menantu dan cucu sudah pulang semula ke bandar selepas seminggu berkumpul di rumah Pak Mid.
Pad Mid menoleh ke ruang dapur . Isteri Pak Mid sedang membersihkan pinggan mangkuk. Pak Mid memandang kosong. Pak Mid teringat kepada isterinya yang pernah memintanya membaiki ruang dapur yang hampir roboh. Lantai-lantai kayu banyak yang sudah terkopak di sana sini. Walaupun Pak Mid boleh meminta bantuan anak-anaknya tetapi Pak Mid tidak sampai hati untuk menyusahkan anak-anaknya. Pak Mid sedar anak-anaknya yang tinggal di bandar mempunyai bebanan yang lebih berat.
Tanpa disedari air mata Pak Mid bercucuran membasahi pipinya yang sudah berkedut. Air mata mengalir di alur-alur kedutan pad usianya 86 tahun. Pak Mid berasa sunyi yang amat di rumahnya sendiri yang dibina di atas tanah pusaka arwah ayahnya. Pokok-pokok buah-buahan yang ditanam di sekeliling rumahnya menjadi tempat dia dan isterinya berehat pada setiap petang. Pak Mid membuat bangku kayu untuk dia dan isterinya menikmati udara nyaman di halaman rumah.
Sewaktu anak menantu dan cucunya berada seminggu di rumah , di bawah pokok-pokok buah-buahan itulah mereka mengait rambutan dan langsat yang sedang lebat berbuah. Dulu, isteri Pak Mid akan menyuruh Pak Mid memanjat pokok langsat tetapi apabila kudrat dia semakin rapuh , Pak Mid hanya menggunakan galah mengait buah-buahan yang diidamkan isterinya yang menadah dengan bakul .
Pak Mid melihat isterinya menudung makanan di atas meja. Kenduri malam semalam adalah yang terakhir selepas tujuh hari berturut-turut diadakan di rumah itu. Hampir semua penduduk di kampung itu hadir memenuhi undangan Pak Mid. Pak Mid orang lama di kampung itu. Tok Ketua kampung itu juga suku sakat Pak Mid sendiri.
Anak menantu Pak Midlah yang bertungkus-lumus menyediakan itu ini selama seminggu kenduri di rumah. Pak Mid melihat isterinya masuk ke bilik dan keluar membawa sebuntil kain untuk dilipat. Isterinya duduk bersimpuh di lantai lalu melipat kain . Pak Mid berasa dadanya kosong. Pak Mid melemparkan pandangan jauh ke hutan kecil di sebelah rumahnya. Hutan itu sebenarnya tanah pusaka yang kini menjadi hak Pak Mid kerana Pak Mid anak tunggal dalam keluarganya.
Sudah beberapa kali, Pak Mid mengajak anak menantunya membina rumah di kampung kerana tanah seluas 5 ekar itu sudah cukup untuk anak menantunya. Namun, Pak Mid sedar anak menantunya bekerja di bandar dan sudah mempunyai kediaman sendiri . Tinggallah pak Mid dan isterinya berdua di kampung. Hanya semasa cuti sekolah atau cuti hari raya ruang rumah Pak Mid menjadi riuh-rendah dengan suara cucu-cucu Pak Mid seramai tujuh orang itu. Isteri Pak Mid paling gembira kalau cucu-cucunya pulang ke kampung. Semua kehendak cucu-cucunya dilayan . Nak kejar ayam. Nak mandi sungai di seberang jalan. Nak panjat pokok. Hati Pak Mid berasa sungguh bahagia.
Kenangan itu hilang seketika apabila seekor ayam jantan mengejar seekor ayam betina hingga ke bawah rumah. Pak Mid teringat kata-kata isterinya yang pernah mengajaknya tinggal sehari dua di rumah anak-anaknya di bandar tetapi Pak Mid tidak berasa seronok tinggal di sana. Pernah Pak Mid dan isterinya ke rumah anak sulung mereka di Petaling Jaya. Seawal pagi, anak menantunya bersiap-siap hendak ke tempat manakala cucu-cucunya dihantar ke taska . Tinggallah Pak Mid dan isteri melangut di rumah sehingga anak menantu pulang ke rumah hampir maghrib. Atas alasan itulah, Pak Mid menolak ajakan isterinya ke rumah anak menantunya.
Sekarang , Pak Mid berasa keseorangan tanpa anak menantu bersama-sama menemaninya. Dari jauh, kelihatan Tok Ketua sedang menunggang motosikal menuju ke rumah Pak Mid. Pak Mid menoleh seketika isterinya masih melipat baju. Hati Pak Mid meruntun-runtun sedih tidak tergambarkan dengan kata-kata.
"Asalamualaikum, Mid?," kedengaran suara Tok Ketua dari bawah rumah. Enjin motosikal dimatikan. Kedengaran derap kaki Pak Mid melangkah ke muka pintu.
"Waialaikumsalam," jawab Pak Mid sambil mengesat air mata yang tersisa.
"Sabarlah, Mid," getus Tok Ketua sambil menepuk-nepuk bahu Pak Mid. Pak Mid tidak terkata apa-apa.
"Aku sayang sangat ke Lijah , " kata Pak Mid setelah beberapa ketika suasana diam.
"Aku pun sedih juga, Mid. Lijah tu bukan orang lain. Adik ipar aku juga, " kata Tok Ketua perlahan dan menundukkan kepala menahan sebak.
"Cepat sangat dia pergi. Patutnya aku yang pergi dulu," kata Pak Mid menahan esak kecil.
"Nanti aku suruh Si Anjang menemankan kau semalam dua . Anak menantu kau pun dah balik ke bandar. Mereka pun ada kerja masing-masing," kata Tok Ketua menyabarkan perasaan Pak Mid.
Pak Mid menjenguk ke dalam . Kosong.
Sudah seminggu Lijah isteri Pak Mid meninggal dunia kerana sakit yang ditanggung hampir 3 bulan. Selama itulah, Lijah hanya terbaring di ruang tamu hinggalah isteri Pak Mid menghembuskan nafas terakhirnya pada pagi Jumaat selepas Subuh.
Pak Mid sukar menerima kenyataan bahawa isterinya sudah kembali kepada Pencipta-Nya. Lijah masih terbayang-bayang di mata Pak Mid. Seolah-olah Lijah masih ada bersama-samanya. Segala kenangan Pak Mid dengan Lijah tidak pernah padam.
Petang itu, Anjang anak Tok Ketua menongkat basikalnya di bawah rumah. Pak Mid ditemani oleh Anjang bagi meringankan perasaan sedih dan kekosongan yang dirasainya sejak isteri Pak Mid meninggal dunia. Anak menantunya berjanji akan pulang ke kampung pada hujung bulan itu. Anjang akan bermalam di rumah Pak Mid sehari dua.
Pak Mid memandang ke ruang dapur. Lijah sudah tiada. Pak Mid memandang ke ruang tengah rumah. Lijah sudah tiada. Kerinduan Pak Mid terhadap isterinya hanya air mata sebagai pengganti.
Comments
Post a Comment