Episod : Gua Musang
Entahlah nak kata seram tak tahulah sudah baca bolehlah dinilai seram ke tak seram. Sebenarnya , saya penakut . Kisah ini berlaku sebelum Lebuh Raya Pantai Timur dibina. Perjalanan pulang ke Tumpat menggunakan Jalan Gua Musang (lama).
Aku sudah merancang untuk pulang ke Palekbang, Tumpat. Kebetulan cuti sekolah yang agak panjang dapatlah aku membawa keluargaku menjenguk sanak-saudara di kampung. Perjalanan bermula lewat petang kerana aku selesai mengajar aku akan tidur sejam dua sebelum mula memandu. Perjalanan menggunakan jalan darat dari Klang ke Kelantan sejauh hampir 446km. Hampir 7 atau 8 jam jika tiada halangan akan sampai ke Kelantan tetapi sekali dua berhenti di sesetengah tempat untuk solat dan makan serta berehat seketika.
Walaupun isteriku lebih 'terror' memandu kereta daripada aku tetapi aku lebih suka memandu sendiri dan isteriku menemani aku berbual-bual sebelum matanya pejam. Maghrib di jalanan. Cuaca sangat baik. Cahaya bulan terang menerangi jalan. Aku memutarkan tombol radio dan melayan lagu-lagu lama dan baharu.
Perjalanan melalui Gua Musang memang agak mencabar kerana jalannya berbengkang-bengkok dan gelap- gelita. Isteriku masih menyuap makanan ke mulut sambil tanganku kejap memegang stereng kereta. Anak-anakku seramai empat orang sudah lama lena dibuai mimpi. Jarum jam menunjukkan pukul 11.00 malam. Tidak banyak kenderaan yang lalu -lalang sepanjang perjalanan itu.
Aku teringat satu peristiwa yang agak seram lucu. Semasa itu , aku menaiki bas ekpress MUTIARA dari Shah Alam ke Kelantan. Aku pulang ke kampung kerana 'bekwoh' makcikku di Rantau Panjang. Aku dan anakku duduk di kerusi paling depan kira sebelah pintu automatik. Di depan bas, sebuah van jenazah berwarna putih . Di dalamnya ada seorang pemandu dan penumpang di kerusi depan.
Apabila bas perlahan, van jenazah ikut perlahan. Apabila bas laju, van jenazah ikut laju. Apabila driver bas memotong, van jenazah akan memotong semula. Apabila berhenti di restoran tepi jalan, van jenazah akan ikut berhenti sama. Begitulah sepanjang perjalanan malam itu dari Shah Alam ke Kota Bharu ditemani van jenazah putih.
Mataku mulai rasa berat. Isteriku sudah terlena di sisiku. Tinggallah aku seorang diri memandu malam itu. Kadang-kadang kelihatan sebuah dua kereta berselisih itupun sejam sekali. Memang berjalan malam ini tidak sesuai bagi jarak perjalanan jauh. Pesan orang tua-tua, berjalan siang mata lebih cerah !
Aku menukar 'chanel' radio tetapi satu pun tidak menarik. Siaran radio juga putus-putus kerana 'chanel' sudah bertukar arah. Aku memulas tombol radio dan menutup radio. Suasana sangat sunyi. Dalam hati , aku membaca ayat-ayat surah lazim untuk menenangkan hati. Tiada apa-apa yang mendebarkan perasaan. Jarum jam menunjukkan pukul 2.00 pagi. Jika tiada aral aku akan sampai Kota Bharu kira-kira jam 7.00 pagi nanti.
Aku terus memandu dengan berhati-hati kerana pesan orang, Jalan Gua Musang kadang-kadang gajah melintas. Setakat ini, aku belum terserempak gajah atau binatang-binatang lain. Kiri kanan jalan sangat gelap. Pendingin hawa Toyota UNSER sememangnya sejuk. Aku melayan stereng kereta menuju ke destinasi.
Dari kejauhan , aku ternampak sesuatu sedang bergerak-gerak. Kira-kira 200 meter ke hadapan ada cahaya bergerak-gerak. Aku memperlahankan kereta sedikit dan cuba mengejutkan isteriku tetapi isteriku tidak terjaga. Maklumlah, dia baru tidur. Aku semakin mendekati benda yang bergerak. Di kiri kanan jalan gelap gelita hanya hutan sepanjang jalan., Tiada cahaya lampu rumah dan tiada sebuah rumah pun di kawasan itu. Bukit-bukit hitam berbalam-balam di kiri kanan jalan.
Dekat semakin dekat. Kelihatan seorang wanita muda berkebaya sedang menolak sebuah kereta sorong kanak-kanak seperti kereta sorong tahun 70-an yang diperbuat daripada besi. Dalam hatiku tertanya-tanya hendak ke mana-mana malam-malam buta dengan kereta sorong bayi. Kampung tak ada. Rumah tak ada. Hutan kiri kanan. Aku tidak menoleh kepada wanita itu tetapi aku perasan dia berhenti saat aku melintasnya dan memandang aku. Sumpah, aku tidak memandang wajah wanita itu kerana perasaan berdebar-debar dan takut yang amat. Bulu romaku dan tengkukku meremang. Wajahku panas berpijar seperti dilumur cili api.
Tiada apa-apa yang menakutkan terjadi. Aku terus memandu dan tidak memandang cermin belakang. langir sedikit cerah. Jarum jam menunjukkan pukul 6.30 pagi. Aku berhenti di sebuah restoran tepi jalan kerana pada masa itu tiada R&R lagi. Beberapa buah bas dan kereta parkir di hadapan restoran dan terdapat sebuah ruang solat yang agak sempit disediakan di restoran itu.
Aku menceritakan kejadian yang aku alami kepada isteriku. Tetapi isteriku hanya tersenyum dan mengungkapkan sepatah kata paling lunak " penakut". Pada aku isteriku memang seorang yang berani kerana tiga sebab: Pertama, dia anak Pendekar Mahabon bukan Pendekar Mustar , kedua dia pernah menterbalikkan sebuah lori berisi gas memasak ke dalam parit kepunyaan kakaknya dan pulang ke rumah memberitahu bapanya lori 1 tan di dalam parit dan ketiga , sebuah bas MARA pernah naik atas boot kereta Proton Wiraku sehingga meletup tayar kereta dan isteriku memarahi driver bas MARA kerana cuai ...
Comments
Post a Comment