Episod : Encik Awang
Kali ini aku ingin berkongsi sebuah kisah tentang nilai sebuah persahabatan yang luar biasa. Aku mendapat tawaran menyambung pengajian di Universiti Putra Malaysia pada tahun 2004 secara ' tidak sengaja'. Mulai detik itu, aku bergelar mahasiswa Program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ).
Pusat pembelajaran aku bertempat di Universiti Teknologi Mara, Seksyen 17 Shah Alam. Di dalam kelas terdapat 16 orang mahasiswa berbilang bangsa . Kami mengambil jurusan Bahasa Melayu Moden dan Komunikasi selama empat tahun. Di dalam kelas itu, hanya dua orang bukan kalangan guru sekolah kerajaan termasuk aku.
Aku mengambil 32 mata pelajaran dan setiap mata pelajaran aku dibekalkan dengan modul. Yuran setiap semester sebanyak RM2400.00 dan aku membiayai sendiri kos pengajian selama empat tahun sebanyak hampir RM 23,000.00 tidak termasuk kos petrol, makan dan minum. Barangkali keseluruhan kos yang telah aku bayar sebanyak RM28,000.00.
Setiap mata pelajaran , seorang tutor akan ditugaskan mengajar mengikut hari dan masa seperti mana jadual yang telah ditetapkan. Setiap Sabtu dan Ahad , aku akan memandu Toyota UNSER GLX ke UiTM Shah Alam. Kelas bermula pada jam 8.00 pagi hingga 4.00 petang. Hanya pada cuti umum atau selepas peperiksaan semester , aku akan bercuti selama beberapa minggu sebelum ke semester seterusnya.
Program Pembelajaran Jarak Jauh diselia oleh Encik Nik dan anaknya, Encik Rizal. Setiap minggu, mereka akan hadir ke pusat pembelajaran di Shah Alam untuk meninjau perjalanan tutorial. Setiap kelas mempunyai seorang Ketua atau dipanggil Penghulu. Pada hari pertama, semua rakan sekelas aku bersetuju untuk melantik aku sebagai Penghulu Pusat Pembelajaran di Shah Alam bagi jurusan BABM.
Aku tidak kekok dengan tugasan yang diberikan kerana pada masa itu aku sendiri merupakan Ketua 'Internal Exam' yang dilantik oleh sekolah swasta tempat aku mengajar. Jadi, tugasan pentadbiran tidak menjadi masalah kepada aku. Tugasan aku menyelaraskan jadual tutor-tutor , mengumpul assignment, merekod kehadiran , dan beberapa tugasan lain. Tujuan aku menerima tugasan itu adalah untuk menimba ilmu pentadbiran dan ilmu inilah yang mendorong aku menjalankan perniagaan sendiri pada tahun 2005 selepas aku berhenti bekerja makan gaji.
Salah seorang tutor aku ialah Encik Awang. Encik Awang seorang guru di sebuah sekolah kerajaan tetapi melakukan kerja 'part time ' sebagai tutor dengan UPM. Encik Awang mengajar mata pelajaran Linguistik Melayu . Kesusasteraan Melayu dan Sosiolinguistik. Pada aku, Encik Awang sangat bijak dan pandai mengajar . Ilmunya sangat luas. Tambahan pula, aku meminati mata pelajaran Linguistik Melayu sehingga aku mendapat skor A bagi subjek itu dalam peperiksaan. Encik Awang selalu memberikan aku nota-nota berkaitan dengan mata pelajaran yang diajarnya dan aku diberikan perhatian khusus. Hari demi hari, hubungan aku dengan Encik Awang semakin akrab.
Encik Awang lain daripada tutor-tutor yang mengajar di situ. Encik Awang pandai bergaul dengan kami walaupun Encik Awang bertaraf tutor dan kami pelajar. Tiada sempadan antara aku dan Encik Awang. Memandang aku sudah terlibat dalam perniagaan sendiri selepas tahun kedua di UPM , jadi aku tidak kekok menjalin persahabatan dengan Encik Awang dari segi interpersonal. Encik Awang berumur lingkungan 50-an dan agak kuat merokok Aku ada juga menasihati Encik Awang supaya mengurangkan tabiat merokok kerana Encik Awang pernah mengadu dia sering sakit dada dan kesukaran bernafas. Antara aku dan Encik Awang , kami seperti abang dan adik kerana banyak perkara peribadi kami berkongsi sama.
"Mie, awak ganti saya, ye," kata Encik Awang kepadaku semasa kami keluar makan tengah hari di sebuah Restoran Pantai Timur di Seksyen 17 Shah Alam.
"Kenapa?," tanyaku spontan.
"Saya pun dah lama mengajar . Rasanya nak berhenti mengajar. Selepas graduat nanti , saya boleh rekomen Mie dengan Encik Nik," sambung Encik Awang lagi sambil tersenyum. Aku juga menyedari Encik Awang kelihatan kepenatan .
"Mie, boleh mengajar dengan baik. Pengetahuan Mie banyak tentang bahasa," kata Encik Awang bersungguh-sungguh. Aku hanya diam atas cadangan Encik Awang itu. Hampir kerap kali , aku akan keluar bersarapan atau makan tengah hari dengan Encik Awang setiap kali giliran jadual Encik Awang mengajar. Encik Awang juga bercerita tentang keluarganya dan isterinya juga seorang guru. Encik Awang berasal dari Terengganu dan sudah lama menjadi guru sekolah.
"Encik Awang tak sambung PhD? ," tanyaku pada suatu hari. Encik Awang hanya terdiam dengan pertanyaan aku dan memandang jauh seperti ada sesuatu yang mengusik perasaannya. Aku menjadi serba salah dengan lontaran pertanyaan itu.
"Sebenarnya , saya pernah mengikuti program PhD di UPM," jawab Encik Awang perlahan. Diam.
"Tapi, saya berhenti separuh jalan. Semacam ada usaha menyekat saya untuk menghabiskan PhD saya," kata-kata Encik Awang itu mengandungi perasaan kekecewaan yang mendalam. Aku tidak dapat berkongsi sebab Encik Awang terpaksa menarik diri daripada meneruskan pengajian PhD kerana maklumat itu aku rasakan amat sensitif*.
"Nanti, Mie sambung buat Master jangan berhenti setakat degree," kata Encik Awang seakan mahu mengelak perbualan tentang hal itu. Aku hanya tersenyum. Sememangnya , niat aku untuk meneruskan pengajian hingga ke peringkat PhD jika boleh. Aku pernah memberitahu anak-anak aku bahawa aku akan belajar lebih tinggi daripada pencapaian mereka dalam akademik. Aku mencabar anak-anak aku. Namun akhirnya , aku berhenti setakat degree kerana aku perlu membiayai kos pengajian 3 orang puteriku yang melanjutkan pengajian di universiti secara serentak di UMSabah , UIAM dan Kolej Mara.
Hari demi hari, peperiksaan demi peperiksaan, semester demi semester dilalui dan akhirnya aku bergraduasi pada bulan Syawal 22 Oktober 2008. Encik Awang tidak kelihatan pada hari aku bergraduasi mungkin Encik Awang sedang bertugas di sekolahnya. Sejak hari itu, sekali sekala aku akan ke UiTM Shah Alam untuk bertemu dengan Encik Awang sama ada pada hari Sabtu atau Ahad ketika gilirannya mengajar batch mahasiswa yang baharu. Kadang-kadang aku hanya menghubungi Encik Awang melalui telefon bimbitnya jika aku tidak berkesempatan berjumpa dengannya.
Encik Awang akan mengajak aku datang ke UiTM jika gilirannya mengajar pada hari itu. Encik Awang selalu meluahkan perasaan seronoknya dapat mengajar batch aku . Sehinggalah pada suatu hari . aku menerima panggilan telefon daripada Encik Awang dan memberitahu aku bahawa dia kini sedang dirawat di Hospital Serdang kerana serangan jantung. Aku berjanji untuk berjumpa dengannya pada hujung minggu di rumahnya atau di hospital jika dia masih dirawat di situ.
Malangnya, sebelum sempat aku menziarahinya pada hari yang dijanjikan , aku mendapat panggilan telefon daripada isteri Encik Awang.
"Asalamuailakum Encik Azmi. Saya isteri Encik Awang. Saya nak beritahu Encik Awang telah meninggal dunia sebentar tadi,".
"Innalillahiwainailahirojiun.."
Aku tidak dapat berkata apa-apa hanya air mata terasa panas menuruni pipi. Hampir terlepas telefon bimbit dalam genggaman aku. Aku mengenangkan kebaikan Encik Awang sebagai seorang guru, sahabat dan abang yang sangat baik dan berhati mulia. Cita-citanya tidak kesampaian hingga akhir hayatnya. Semoga tenanglah roh Encik Awang di dunia yang abadi dan dicucuri rahmat Allah swt. Amin.
Al-Fatehah (dibaca) untuk Encik Awang.
Comments
Post a Comment