Episod:Rombongan ke Kelantan

Peristiwa ini berlaku sekitar tahun 1982 semasa aku di Tingkatan 3. Sebuah parti politik Melayu telah menaja rombongan ke Kelantan. Dulu, Kelantan tersohor sebagai syurga beli-belah. Peserta rombongan terdiri daripada penduduk Flat LPK , Jalan Ventoren , Taman Kem dan Kampung Sungai Berembang.
Aku juga ikut sama menemani ibuku yang sangat gembira dapat pulang ke negeri kelahirannya, Palekbang dalam daerah Tumpat. Semua ahli rombongan berkumpul di pintu pagar Blok A,Flat LPK . Masing-masing sungguh teruja dapat mengikuti rombongan ke Kelantan . Sosek-sosek ada hendak membeli kain batik , barang dapur daripada tembaga , keropok lekor dan kain baju.
Sebuah bas kilang yang disewa khas pun sampai di pintu pagar Flat LPK. Arwah Pakcik Ali Pairan menjadi ketua rombongan dan berdiri di atas tangga bas . Nama-nama peserta dipanggil mengikut giliran dan aku dan ibuku duduk di bahagian tengah bas. Selepas semua beg disimpan di dalam perut bas , pemandu menekan pedal minyak . Bas yang separuh uzur terhinggut-hinggut meninggalkan Flat LPK. Anak-anak yang tidak dapat mengikut ibu masing-masing mula berteriak seperti dirasuk jin.
Perjalanan pada malam itu lancar dan cuaca sangat baik. Pemandu bas memasang kaset lagu Hindustan , lagu Inggeris dan lagu Melayu silih berganti. Sekejap lagu filem Bobby, Sanggam, Andaz ," Teletum teletum teletum teletum ..." Masing-masing asyik melayan lagu yang berkumandang di corong radio bas. Kemudian ,lagu Ahmad Jais , Razis Ismail , Zaiton Sameon dan Uji Rashid .
Apabila jam menunjukkan pukul 2.00 pagi , pemandu bas mematikan radio maka kedengaran bunyi dengkuran . Bunyi burung , bunyi seperti roda basikal dipusing , bunyi gajah dan tentunya mataku tidak boleh pejam sepanjang perjalanan itu. Sesekali ,terdengar suara orang bercakap-cakap . Makcik gemuk mengigau .
Bas berhenti di sebuah restoran di tengah-tengah perjalanan ke Kota Bharu. Ada yang mengambil kesempatan untuk mengisi perut yang sudah berkerongcong. Ada yang tergesa-gesa mencari tandas tetapi terpaksa berbaris panjang . Beberapa buah bas ekspres lain turut berhenti di kawasan sama seperti bas Mutiara . Peniaga restoran tidak menang tangan. Pemandu-pemandu bas mempunyai ruang khas di belakang restoran untuk menjamu selera.
Kami solat Subuh di surau sementara yang dibina di kawasan restoran itu. Oleh sebab penumpang terlalu ramai , ada yang bersolat di tepi tayar bas . Dulu belum ada R&R seperti hari ini. Penumpang mula menaiki bas dan mengambil tempat duduk masing-masing. Sekali lagi, Pakcik Ali Pairan mengira jumlah penumpang. Pakcik Ali Pairan sangat terkenal di Pelabuhan Klang dan dia seorang yang serba boleh.Tutur katanya lemah lembut dan merendah diri .Pakcik Ali Pairanlah yang menjadi wakil semasa aku bertunang hinggalah aku menikah.
Kami tiba di Kota Bharu sekitar jam 8.00 pagi. Masing-masing menggeliat selepas perjalanan hampir sembilan jam . Wajah masing-masing ceria kerana hajat untuk pergi ke Kelantan tercapai juga. Pakcik Ali Pairan mengingatkan ahli-ahli rombongan supaya kembali ke tempat turun bas sekian-sekian masa.
Walaupun ibuku berasal dari Kelantan tetapi kami tidak selalu pulang ke kampung. Seumur hidupku hanya sekali aku pulang beraya di Kelantan , tahun 2019 iaitu semasa Hari Raya Haji kerana anak buahku mendapat jodoh dengan orang Kelantan. Itulah kali pertama aku beraya di sana. Kos pulang ke Kelantan agak mahal. Ayahku akan menyewa teksi rakannya untuk membawa kami sekeluarga ke Stesen Keretapi Kuala Lumpur. Tambang kereta api mel yang dicat separuh kuning separuh coklat dan bingkai tingkap kayu. Kalau pakai baju putih sampai Kelantan sudah bertukar kelabu kerana asap kereta api. Kebiasaannya , ayahku membeli tiket tempat tidur agak selesa berbanding tiket duduk di kerusi. Perjalanan menaiki kereta api dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu hampir sehari suntuk . Sangat lama dan meletihkan.
Sesampai di Stesen Kota Bharu , kami akan tidur di atas bangku batu di Jambatan Diraja kerana bot penambang ke Palekbang hanya bergerak pada sebelah siang. Situasi ini sudah menjadi kebiasaan apabila pulang ke kampung. Kesempitan hidup tidak memungkinkan kami selalu pulang ke kampung . Semasa arwah nenek dan Che meninggal dunia , ibuku tidak pulang ke kampung kerana kesempitan wang. Hanya air mata menangisi pemergian nenek dan Che (panggilan untuk datuk mengikut dialek Kelantan) .Cucu-cucuku aku biasakan memanggil aku dengan panggilan 'Che' bukan atok supaya cucu-cucuku tahu bahawa darah daging mereka keturunan Kelantan ! .
Masing-masing berpecah mengikut arah masing-masing. Ada yang menuju ke kedai makan. Ada yang berkejar-kejar ke Pasar Siti Khadijah. Ada yang berjalan-jalan sekitar bandar Kota Bharu . Aku dan ibuku berjumpa dengan saudara mara yang turun ke Kota Bharu selepas ibuku menelefon mereka sehari sebelum bertolak. Masa agak singkat kerana rombongan ini balik hari tidak bermalam. Mengikut rancangan , kami akan singgah di Rantau Abang ,Terengganu sebelum bergerak pulang ke Pelabuhan Klang.
Lebih kurang 4 jam kemudian , masa yang ditetapkan untuk kembali ke bas , masing-masing menjinjing bermacam-macam barang belian . Dan paling dahsyat , makcik gemuk membeli dua buah periuk bersaiz besar sebesar periuk untuk masak nasi minyak semasa kenduri kahwin. Aku melihat dengan mulut terlopong kerana di dalam fikiranku di mana hendak disumbat periuk sebesar itu di dalam bas. Suara-suara tidak puashati mula kedengaran . Pakcik Ali Pairan sudah berpesan di dalam bas supaya membeli barang-barang yang perlu sahaja dan tidak ada dijual di Selangor. Periuk , kuali , sudep , batu lesung pun ada yang beli untuk dibawa pulang dengan alasan , "bila lagi nak beli bukan dapat pergi Kelantan percuma." .
"Kak , kat kedai Raju kan ada jual batu lesung ," kata salah seorang penumpang dengan wajah sebal.
"Alah , sana lain ," jawab seorang makcik yang mula tertunduk-tunduk mencari ruang di bahagian kaki untuk disumbat batu lesung, kain batik , keropok dan bermacam-macam lagi.
"Lain apa ke nya, batu lesung mana-mana tempat pun sama," suara pakcik itu semakin meninggi. Sebenarnya , penumpang bas rombongan ini lebih ramai perempuan daripada lelaki .
"Ini macamana ?," tanya Pakcik Ali Pairan dengan suara lembut.
"Periuk ni kan ada jual di tempat kita ," kata Pakcik Ali Pairan semakin bingung memikirkan cara untuk menyimpan periuk sebesar itu di dalam bas . Ada seorang dua yang berani mencebek bibir di belakang makcik gemuk. Akhirnya , suatu penyelesaian dibuat oleh Pakcik Ali Pairan. Periuk-periuk itu diletakkan di kerusi makcik gemuk itu duduk. Pandai-pandailah dia 'adjust' tempat duduknya. Seorang budak perempuan usia lingkungan 11 tahun duduk beriba dengan emaknya. Wajah emaknya memandang jauh ke luar tingkap dengan mata berkaca sambil mengetap bibir. Aku berasa simpati kepada makcik itu kerana perjalanan pulang selama sembilan jam bukanlah mudah sambil meriba anak perempuannya.
"Makcik duduk je dalam periuk tu," kataku sedikit menjerit. Ibuku menarik tanganku dan memandang keluar tingkap. Masing-masing diam sepanjang perjalanan ke Rantau Abang,Terengganu.
"Uwek,uwekkkk,uweeekkk".
"Kenapa kau Nab?".
Makcik gemuk membuka serkup kepalanya dan makcik yang duduk di kerusi belakang muntah hijau. Masing-masing menekup hidung kerana tidak tahan bau seperti bangkai itik dimakan biawak ! Aku redha saja dan hampir ketawa dalam tangisan.

Comments

Popular posts from this blog