Episod: Selamat Tinggal

Hari ini sudah masuk hari kelima ibuku dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah,Klang. Tulang paha kaki ibuku patah kerana terjatuh di ruang tamu rumah .
Aku bersegera pulang ke rumah ibuku setelah dimaklumkan oleh adikku bahawa ibu kami terjatuh. Keadaan ibu tidak begitu baik dan aku sudah dapat mengagak paha kaki ibuku patah kerana kesakitannya yang amat. Lantas, aku dan adik-beradik bersepakat untuk membawa ibuku ke hospital.
Kami bersama-sama memapah ibuku ke dalam Toyota Avanzaku. Menantuku memandu laju menuju ke hospital sementara aku dan adik-beradik lain menaiki kereta masing-masing ke destinasi sama. Setibanya di hospital, ibuku diletakkan di atas 'stratcher' lalu ditolak masuk ke Zon Kritikal.
Aku dan adik-beradik serta menantu hanya menanti di ruang lobi. Perasaan berdebar-debar memandangkan ibuku pernah mengalami serangan lemah jantung ditambah lagi penyakit 3 serangkai. Seorang doktor memberitahu kami bahawa ibu kami akan ditempatkan di wad dan mengesahkan paha kakinya patah.
Sejak ibuku di tempatkan di wad, kami bergilir-gilir menjaga ibu di wad. Ibuku tidak dapat bergerak bebas kerana kakinya diikat pada sebuah takal dengan pemberat. Menurut doktor, risiko tinggi jika pembedahan dilakukan memandangkan faktor umur dan tahap kesihatannya yang tidak memuaskan. Aku mendengar dengan teliti penjelasan doktor . Aku diminta oleh doktor supaya berbincang dengan keluarga sama ada pembedahan dilaku tetapi berisiko tinggi.
Dua hari sudah berlalu.Kami membuat keputusan tidak melakukan pembedahan sebaliknya menggunakan kaedah yang sesuai dengan bantuan ubat-ubatan . Ibuku berbual-bual sambil mengadu sakit. Aku cuba menenangkannya agar banyak bersabar dan bertahan meskipun aku tahu keadaannya sangat sakit. Kakinya membengkak.
Doktor memberitahuku bahawa keadaan terkini ibuku dijangkiti kuman yang semakin merebak. Keadaan ini membahayakan nyawanya. Hanya ubat-ubatan dan pemerhatian rapi diperlukan oleh ibuku. Beberapa kali ibuku telah pengsan dan sedar kembali .
Ketika aku sedang mengajar di bilik darjah, aku menerima panggilan telefon daripada adikku bahawa ibu kami telah koma. Aku menamatkan kelas awal lalu bergegas ke hospital . Tubuh ibuku kaku di atas perbaringan. Wayar-wayar berselirat di tubuhnya. Sebuah alat bantuan pernafasan dipasang untuk membantunya bernafas.
Menurut doktor , harapan untuk kembali sedar sangat tipis. Aku dan adik-beradikku hanya mampu berdoa dan bermohon kepada Allah agar ibuku selamat dan pulih kembali. Walaupun begitu , harapan kami untuk melihat ibu sedar daripada koma amat sukar digambarkan.
Seorang doktor perempuan datang berbincang dengan kami untuk memindahkan ibuku ke sebuah bilik rawatan khas bersebelahan kaunter jururawat bagi memudahkan pemantauan. Aku bergilir-gilir mengawasi ibu kecuali sebelah malam kami tidak dibenarkan menunggu dan jururawat akan menjaganya.
Aku teringat kata-kata akhir sebelum ibuku koma supaya jangan bekerja terlalu kuat dan berjimat-cermat. Kata-kata ini selalu diulang-ulang ibuku. Tapi, bagiku kata-kata itu seperti suatu azimat doa yang tidak putus-putus. Hari keempat, keadaan ibuku masih tiada perubahan. Aku membacakan surah Ya-Sen di telinganya berulang-ulang kali sambil membacakan kalimah syahadah.
Tubuh ibuku kaku hanya dadanya turun naik disebabkan alat pernafasan yang dipasang pada tubuhnya. Aku memanggil adik-beradikku dan menberitahu mereka supaya pasrah dengan keadaan ibuku dan menyerahkan kepada keputusan doktor. Doktor telah dimaklumkan keputusan kami. Doktor menyuruh aku memanggil adik-beradik atau saudara-mara terdekat untuk melawat ibuku buat kali terakhir.
Sanak saudara, sepupu sepapat telah tiba di hospital. Masing-masing silih berganti membaca surah Ya-Sen dan mendoakan ibuku. Aku masih tidak berganjak di sisi ibuku yang terbaring dan tidak putus-putus membisikkan kalimah syahadah di telinganya. Aku meminta adik-adikku membisikkan ke telinga ibuku untuk meminta maaf dan mengucapkan selamat tinggal untuk selama-lamanya. Masing-masing tidak dapat menahan air mata dan beremosi.
Setelah itu, aku mengambil kedudukan di sisi ibuku dan terus-terusan membisikkan kalimah syahadah. Aku berkata-kata kepada ibu agar mengampunkan dosaku kepadanya dan mendoakan agar ibuku bersama-sama orang-orang beriman di sana nanti. Airmataku bercucuran laju. Bibir ibuku bergerak seketika lalu menghembuskan nafas terakhir. Aku redha Allah redha.
Aku mengarahkan adikku menghubungi Haji Saqak untuk memaklumkan pemergian ibuku sebentar tadi sekitar jam 11.10 malam. Urusan jenazah dilakukan di hospital untuk mandi dan kafan . Jiran aku Tengku Jalil telah menunggu sejak tadi hingga selesai semua urusan sekitar jam 3 pagi. Jenazah ibuku dibawa pulang ke Taman Pendamar Indah sementara menunggu pagi untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Pendamar.
Seusai subuh, jemaah surau taman telah datang ke rumah untuk mengadakan majlis tahlil. Pagi itu , semua urusan berjalan lancar dan aku dibantu beberapa orang karib sejak malam tadi hingga selesai urusan pengkebumian.
Seorang demi seorang adik - beradikku mengucup ibuku sebelum dibawa ke tanah perkuburan. Aku yang terakhir menatap wajah ibuku dan aku tidak dapat menahan air mata walaupun aku berjanji kepada hati untuk tidak menangis. Kutatap sepuas-puas wajah ibuku yang tenang dan senyum buat kali yang terakhir. Dan, berakhirlah tanggungjawabku menguruskan urusan ibuku berulang-alik ke hospital sebelum ini.
Van jenazah meninggalkan perkarangan rumah dan diiringi keluarga dan sanak saudara yang hadir sama serta jiran tetangga sahabat handai. Hari ini, genaplah 3 tahun pemergian ibu kembali ke rahmatullah semoga rohnya di tempatkan bersama-sama orang beriman. Amin Ya Rabbal Alamin.
(Al Fatehah untuk arwah Rogayah Bt. Ku Awang Kechik ..dibaca )😭♥️

Comments

Popular posts from this blog