Episod : Rezeki di tangga
Asalamualaikum,Prof. Mungkin Prof tidak ingat saya kerana lebih 13 tahun selepas konvokesyen kita tidak berjumpa . Saya, Che Azmi Bin Che Wil , bekas murid Prof. Nombor metrik saya J29617.
Sebenarnya , kita dipertemukan-Nya secara tidak sengaja. Hari itu saya menemani seorang kawan saya yang akan mendaftar sebagai mahasiswa. Jadi, selepas kawan saya beratur di ruang lobi Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) saya duduk di tangga. Sememangnya , Prof saya suka memerhatikan orang . Sebab itulah , sekali saya berjumpa saya ingat orang itu sampai bila-bila.
Bakal-bakal mahasiswa dan mahasiswi sedang rancak bersembang sesama mereka sementara menunggu giliran pendaftaran mereka. Sesekali, seorang dua memandang saya dan saya hanya melemparkan senyuman . Prof tahu tak , bagaimana perasaan saya semasa itu? . Susah untuk saya gambarkan dengan kata-kata. Saya ini kategori pelajar yang tercicir. Tercicir macamana? Begini Prof , semasa sekolah dulu boleh dikatakan saya antara pelajar cemerlang di sekolah menengah .
Selepas peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) saya mendapat keputusan cemerlang dan kemudian saya terpilih naik ke tingkatan 4 aliran sains . Ibu bapa saya paling gembira . Habis semua jiran tetangga mereka beritahu saya dapat keputusan cemerlang SRP dan masuk aliran sains . Tapi Prof, saya sebenarnya kurang berminat untuk mengikuti kelas sains kerana saya lebih meminati sastera. Saya suka membaca cerpen , sajak , pantun dan cerita-cerita hikayat.
Jiwa saya tidak serasi belajar di aliran sains. Prof tahu tak , ibu bapa saya tidak bersetuju dengan keputusan saya untuk memohon pertukaran kelas sastera. Guru-guru Melayu di sekolah juga memberitahu saya bahawa sangat kurang pelajar-pelajar Melayu masuk aliran sains . Hendak tak hendak , saya turutkan saja kehendak mereka . Saya tertekan sangat sehingga saya tidak dapat memberikan sepenuh perhatian dalam pelajaran terutama subjek Fizik, Kimia , Biologi dan Matematik Tambahan.
Sudah takdir saya, Prof. Saya tidak mendapat keputusan yang diharapkan selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) . Saya hanya layak mendapat Sijil Am Pelajaran (SAP). Setelah mengambil slip keputusan SPM di pejabat sekolah, saya terus meninggalkan sekolah. Saya melangkah mengikut kaki tanpa arah tujuan. Pada saat itu, Prof fikiran saya sangat berkecamuk.
Saya malu dengan diri sendiri , kawan-kawan dan lebih-lebih lagi dengan ibu bapa saya. Betulkan Prof, ibu bapa saya tentunya malu dengan jiran tetangga. Manakan tidak , ibu bapa saya meletakkan harapan yang tinggi kepada saya . Sedar tak sedar, saya berjalan kaki dari sekolah saya di Pelabuhan Klang ke bandar Klang. Masih terngiang-ngiang suara kawan-kawan sekelas bersorak gembira mendapat keputusan cemerlang .
Prof tahu tak , saya berpatah balik ke rumah sudah senja. Hanya berjalan kaki. Ibu bapa saya paling risau kerana saya tidak balik-balik selepas mengambil keputusan SPM. Apa lagi yang hendak disorokkan , saya memberitahu ibu bapa saya keputusan SAP yang saya dapat. Bapa saya yang tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah bertanya sama ada saya pass periksa atau tidak ? Ibu saya tidak bercakap banyak selain berkata "tak mengapalah kalau sudah begitu keputusan periksa".
Saya tahu Prof, mereka sangat kecewa. Ayah saya siang malam bekerja sebagai pemandu folklift di dermaga Pelabuhan Utara. Setiap kali keluar bekerja , ayah saya menunggang basikal ke pekan. Di situ, dia menumpang kawan membonceng motosikal. Ayah saya tidak pandai menunggang motosikal kerana saya tidak pernah nampak. Tetapi Prof, ayah saya mempunyai lesen 'full'. Beberapa tahun selepas saya sudah bekerja tetap saya memberikan sebuah kereta Kancil kepada ayah saya supaya dia boleh memandunya ke pasar atau berjumpa kawan-kawan. Ayah saya tidak memandu kereta yang saya berikan hanya membiarkan kereta itu di hadapan rumah .
Rezeki Allah siapa tahu. Prof tahu tak , sifat saya sekali gagal saya tidak akan mengulangi lagi membuat perkara yang sama . Ayah saya menyuruh saya mengulang SPM tapi saya tidak mahu. Saya berhasrat mengambil STPM di sekolah swasta di bandar Klang.
"Mana nak cari duit bayar bulan-bulan duit sekolahmu. Ayahmu bukan gaji besar. Adik-adikmu sekolah lagi," kata-kata ibu saya hampir-hampir memadamkan hasrat saya, Prof. Tapi saya yakinkan mereka bahawa saya akan belajar dengan bersungguh-sungguh. Ayah saya hanya berkata," ikut sukamu".
Dua tahun saya bertungkus lumus belajar di tingkatan 6 akhirnya saya mendapat keputusan 4 Prinsipal dan subjek ekonomi saya gagal. Betullah Prof, saya bukan pandai Matematik. Saya mengambil keputusan STPM pun dah lewat sebenarnya. Semua kawan saya sudah beredar dari kawasan sekolah. Saya mengayuh basikal dari Pelabuhan Utara ke bandar Klang untuk mengambil keputusan periksa.
Pengetua tersenyum melihat saya di depan pejabat sekolah .
"Kenapa datang lambat .Semua kawan tunggu awak tadi," kata Pengetua.
"Maaf Cikgu. Saya kerja tadi," jawab saya sedikit kepenatan.
"Awak kerja mana?," tanya Pengetua.
"Saya kerja cleaner, Cikgu."
Pengetua hanya tersenyum mendengar jawapan saya.
Saya pulang dengan slip STPM di dalam kocek seluar. Basikal saya kayuh laju-laju supaya saya sampai cepat ke rumah . Prof tahu tak, kenangan mengambil keputusan SPM dulu masih segar dalam ingatan saya. Saya tidak akan lupa sampai bila-bila. Ibu bapa saya paling gembira hari itu setelah mengetahui saya lulus STPM. Saya memberitahu ibu bapa saya hasrat saya untuk menyambung belajar ke universiti. Mereka terdiam seketika.
"Mana nak cari duit masuk universiti. Adik-adikmu semua sekolah lagi ," kata ibu saya. Prof, slip STPM itu saya lipat semula dan simpan di dalam kocek seluar. Saya menunggang basikal ke tempat kerja saya sebagai cleaner pejabat Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).
Bukan saya tidak pernah memohon masuk universiti, Prof. Saya mendapat surat panggilan temuduga dari Institut Teknologi Mara (ITM) ,Shah Alam. Tapi Prof, entah macamana kawan saya yang sudah berjanji hendak menghantar saya pada pagi hari temuduga itu datang lambat. Saya sampai di Menara ITM tempat temuduga pun dah hujung waktu. Peperiksaan yang sepatutnya saya duduki pun sudah terlepas. Saya tahu Prof, harapan saya untuk belajar MASCOM di ITM tidak kesampaian. Itulah cita-cita sebenar saya hendak menjadi wartawan. Semuanya berkecai,Prof.
Semua kisah itu saya semat di dalam hati saya sampai bila-bila. Semasa saya termenung di tangga , bahu saya dicuit dari belakang. Seorang lelaki bersongkok dan berjanggut lebat tersenyum melihat saya.
"Buat apa di sini? Tak mendaftar?," tanya lelaki itu. Saya tidak kenal ,Prof. Lelaki itu mengajak saya mengikutnya ke biliknya. Di bilik itu , saya mengisi borang berkomputer. Lelaki itu menyuruh saya menyambung pelajaran yang sudah tergendala 19 tahun yang lalu. Selesai mengisi borang dan membayar yuran pengajian , hari itu saya seorang mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) selama 4 tahun tempoh pengajian .
Sebagai mahasiswa Pembelajaran Jarak Jauh (PJJ), saya berasa sangat bersyukur,Prof. Tetapi kegembiraan itu tidak dapat saya berkongsi dengan ayah saya kerana ayah saya telah pergi selama-lamanya dua tahun sebelum itu. Saya hanya sempat berkongsi kenangan itu dengan ibu saya.
Semasa itu Prof, saya sudah mempunyai empat orang anak yang masih bersekolah. Saya bersyukur mempunyai seorang wanita besi bernama isteri. Isteri saya yang menguruskan segala urusan berkaitan sekolah, mengaji dan tuisyen anak-anak saya. Semuanya, Prof. Pada hari biasa, saya bekerja . Saya membuat tiga kerja pada satu masa. Saya menjadi 'salesman' menjual fotostat mesin , saya menjadi guru sambilan tuisyen dan mengajar sepenuh masa di sebuah sekolah swasta di bandar Klang. Sabtu dan Ahad pula, saya menghadiri kuliah. Kenduri - kendara saya tidak pergi kerana saya hendak fokus kepada pengajian saya.
Akhirnya, setelah bertungkus lumus akhirnya saya berjaya menamatkan pengajian saya selama empat tahun dengan penuh warna-warni dan rasa. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur ke hadrat Allah swt yang menyusun perjalanan hidup saya. Hanya Dia sebaik-baik perancang . Hanya Kamu yang kusembah dan hanya kepada Kamu aku meminta pertolongan.
Lelaki yang mencuit bahu saya semasa saya duduk di tangga. Lelaki yang bersongkok dan berjanggut lebat itulah sebenarnya Prof. Saya juga tidak menyangka tetapi setelah Prof masuk ke dewan kuliah untuk mengajar subjek Semantik , barulah saya tersedar lelaki itu ialah Profesor Madya Dr. Ahmad Mahmood Musanif. Saya ingin sekali melawat Prof di FBMK ,UPM untuk mengucapkan terima kasih dan Allah menemukan kita. Tiada sesiapa yang menyangka rezeki di tangga . Saya mendoakan semoga Prof sentiasa dilindungi Allah dan sihat walafiat bersama-sama keluarga. Amin Ya Rabbal Alamin. Wasalam.

Comments
Post a Comment