Episod : Rentas

Aku tiba di pagar Balai Polis Daerah Klang Selatan sekitar jam 11 pagi. Bukan aku sahaja tapi lebih 30 orang sedang menunggu giliran untuk dipanggil ke dalam perkarangan balai.
Sementara menunggu di bawah khemah , aku sempat berbual-bual kosong dengan seorang wanita muda. Dia juga hendak memohon rentas negeri . Aku sekadar inginkan kepastian sama ada borang kebenaran PKP atau PKPB. Malu bertanya akan sesat jalan. Jangan pula tersalah borang selepas berjam-jam menunggu giliran .
"Pott pett pooonngg pettt". Bunyi trompet di balai pengawal. Beberapa orang anggota polis seperti pelatih yang baru tamat latihan sedang bersiap-siap untuk membuat kawad . Bunyi trompet sekejap bunyi sekejap keluar angin. Tiupan trompet 'The Last Post' jika didengar amat sayu macam dalam filem Bukit Kepong . Tapi yang ini ,aku tiada apa-apa 'feeling' .
Enam orang yang duduk menunggu dipanggil masuk ke pekarangan balai polis. Seorang makcik umur lingkungan 60-an mengepit sebuah beg plastik turut berjalan sama ke arah balai khas yang dibina untuk perhimpunan .
Kami disuruh duduk untuk menunggu giliran dipanggil. Seorang Inspektor, seorang koperal dan seorang CID berpakaian preman menjadi tukang chop borang . Seorang demi seorang ditanya tujuan untuk rentas negeri sebelum kebenaran diberikan. Koperal lebih garang daripada inspektor. Mereka perlu tegas bagi mengelakkan mereka yang sengaja mengambil kesempatan untuk merentas negeri hingga ke Langkawi dan keluar masuk gua.
"Susah ni kalau tak lepas. Aku sudah berjanji dengan anakku di UTeM Melaka untuk menghantar basikal 'mountain bike' bagi aktiviti riadah," bisik hati kecilku. Makcik yang mengepit beg plastik dipanggil koperal.
"Makcik nak rentas negeri untuk apa?," tanya koperal dengan suara tegas.
"Makcik nak balik ke rumah anak . Makcik ada krisis rumah tangga," jawab Makcik dengan suara bercampur sebak. Koperal mengangkat kepala memandang wajah makcik. Koperal tidak berkata apa-apa lalu menandatangani borang di atas meja.Kasihan makcik.
"Macam susah banyak tanya koperal ni. Nampaknya kena ayat ni," desis hatiku. Koperal melambai aku dan aku bingkas bangun dan belum sempat aku duduk , koperal tidak bertanya atau lebih tepat tiada sepatah kata meluncur dari mulutnya. Koperal terus menandatangan borang aku dan sepantas kilat dichop oleh CID yang duduk di sebelah koperal. Aku tak bercakap, koperal tak bercakap dan CID pun tak bercakap.
Aku melangkah pergi dan melalui balai pengawal yang bingit dengan bunyi trompet,"ngoong ngeengg ngoong ngeeng ". Aku terkenang andainya dulu selepas STPM permohonan aku untuk menjadi pegawai kadet polis berjaya mungkin pangkat aku sudah Supt. atau ACP. Allah Maha Perancang .
"Pott Pett Ngoong Ngeeng" .Bunyi trompet mengikut angin yang berlalu. Aku tersenyum sendiri, " Siapa? Maznah ke tu?".....

Comments

Popular posts from this blog