Episod : Jaya (bukan nama sebenar)
Akibat senda gurau tidak bertempat akhirnya tercetus perang mulut. Kedua-dua muridku ini sememangnya aktif di sekolah. Amarah yang terpendam akhirnya meletus umpama gunung berapi.
"Cikgu , ada budak bergaduh," beritahu seorang pengawas ketika aku sedang mengajar di dalam kelas.
"Siapa?," tanyaku tetapi tidak dijawabnya. Aku menuruti dari belakang menuruni tangga. Kedengaran bunyi suara pertengkaran yang tinggi. Murid-muridku mengerumuni dua orang murid yang sedang cabar-mencabar. Aku menjerit menyuruh semua yang berada di situ masuk ke kelas masing-masing. Kesemuanya bertempiaran. Hanya dua murid yang masing-masing sedang menyinga masih tidak berganjak .
Aku memanggil kedua-duanya masuk ke bilik. Seorang demi seorang bercakap . Puncanya hanyalah disebabkan ejek - mengejek sehingga cabar-mencabar. Kedua-dua menjadi sasaran kemarahan aku .
"Kamu datang sekolah untuk apa?," tanyaku kepada Jaya. Suasana diam seketika. Masing-masing menundukkan kepala.
"Saya tanya, jawab ," ulangku lagi.
"Belajar ,Cikgu," jawab Jaya sambil menundukkan kepala.
"Kamu?," tanyaku kepada seorang lagi.
"Belajar,Cikgu." Jawapan yang sama.
"Kamu pun tahu , kamu datang sini untuk belajar," kataku dengan suara tinggi.
"Angkat tangan ," kataku separuh menjerit.
"Zzzaasss!". Kedua-duanya aku libas dengan rotan sebesar jari hantu.
"Kamu ni dah besar. Form 6. Dah boleh fikir mana baik mana buruk," aku mula berceramah. Kedua-duanya tidak berani mengangkat muka. Mereka tahu kalau aku naik angin lagi teruk mereka kena.
Seorang pengawas mengetuk pintu bilikku.
"Cikgu, Pengetua suruh datang ke pejabat. Mereka pun dipanggil ke pejabat," kata pengawas.
"Tengok, apa dah jadi. Kamu sendiri buat kecoh kamu tanggung akibatnya," kataku lalu menyuruh mereka mengikutku ke pejabat.
"Cikgu , sorry disturb you. Tadi, ada two students gaduh ," kata Pengetua menyambut aku sebaik aku melangkah masuk ke bilik Pengetua.
"Yes, I know ,Sir," jawabku ringkas.
"Mereka ada di luar,Sir," kataku lagi.
"Tell them to come in," kata Pengetua mengarahkan aku memanggil mereka berdua masuk ke bilik Pengetua.
"What happend?," tanya Pengetua spontan apabila kedua-duanya masuk ke bilik Pengetua. Aku hanya menanti apa yang akan berlaku.
"This is not first time," sambung Pengetua.
"Jaya, please tell me," pinta Pengetua.
Pintu bilik diketuk. Seorang guru wanita masuk ke bilik Pengetua. Aku hanya memerhatikan telatah guru wanita ini yang cuba menyebelahi seorang murid yang bertikam lidah dengan Jaya.
"Like this, tomorrow I want see your parents," kata Pengetua. Kedua-dua mereka diminta balik ke kelas masing-masing dan berjanji akan membawa ibu bapa mereka ke sekolah keesokan hari. Guru wanita itu kulihat bercakap-cakap sesuatu dengan murid itu dan menjeling ke arah aku.
Keesokan hari, aku dipanggil ke bilik Pengetua oleh kerani. Di dalam bilik Pengetua sudah ada ibu bapa murid itu dan guru wanita itu.
"Like this,Cikgu ," kata Pengetua kepadaku .
"I terpaksa buang Jaya dari sekolah . Dia punca pergaduhan semalam ," kata Pengetua.
"But,Sir. We must discuss first before ambil tindakan," kataku .
"No,Sir. That boy susah melampau," kata guru wanita itu tiba-tiba.
"Yes, I understand,Cikgu," jawab Pengetua.
Murid itu disuruh masuk ke kelas.
Kemudian , ahli keluarga Jaya pula muncul di pejabat. Aku meminta seorang pengawas untuk memanggil Jaya ke pejabat. Jaya melangkah perlahan memasuki bilik Pengetua.
"I already discuss , sekolah terpaksa berhentikan kamu ," kata Pengetua.
"Tolonglah, Sir. Beri satu lagi peluang," pinta kakak Jaya yang juga seorang guru di sebuah sekolah kerajaan.
"Kami bukan orang senang,Sir. Please,Sir," rayunya lagi. Guru wanita itu memasuki bilik Pengetua.
" Dia ini sudah melampau," katanya dengan suara tinggi.
"Begini,Sir. I setuju kalau sekolah beri lagi sekali peluang. If happen again , sekolah boleh buang," aku memberikan cadangan kepada Pengetua. Pengetua diam seketika.
"Tinggal 3 bulan lagi exam STPM,Sir ," kataku untuk menguatkan hujahku.
"Sorry,Cikgu," kata Pengetua memuktamadkan keputusannya. Kakak Jaya menangis lalu keluar dari bilik. Jaya juga menangis kerana tidak menyangka dia akan dibuang sekolah. Hari itu ,Jaya pulang awal dan diberikan surat diberhentikan sekolah. Aku memberikan nombor telefon bimbit aku kepada kakak Jaya dan memintanya menghubungi aku.
Petang itu, aku menerima panggilan daripada kakak Jaya. Aku menawarkan diri untuk membantu Jaya dengan mengajar tuisyen secara personal.Aku tidak meletakkan sebarang harga yang perlu dibayar. Niatku ikhlas. Sejak hari itu, Jaya akan datang ke pusat tuisyen aku untuk meneruskan pembelajarannya. Jaya akan membawa buah tangan ,iaitu sayur-sayuran segar. Ibu bapa Jaya seorang penjual sayur di pasar pagi . Jaya akan membantu ibu bapanya menjual sayur pada hari Sabtu dan Ahad.
Selepas peperiksaan STPM tamat, Jaya telah mendapat keputusan yang baik. Aku juga berasa terharu dan bangga kerana Jaya telah bersumpah kepadaku untuk membalas jasaku yang mengajarnya secara percuma. Jaya memberitahuku bahawa dia ingin memohon pekerjaan sebagai pegawai polis. Aku turut menyokong cita-citanya itu.
Suatu pagi, isteriku mengajak aku ke pasar pagi di Kampung Jawa,Klang. Orang di situ memanggilnya pasar monyet kerana terdapat banyak monyet di atas pokok di sebelah tapak pasar itu. Aku sebenarnya kurang gemar ke pasar pagi lebih-lebih lagi pasar malam. Bersesak-sesak. Walaupun ada sebuah pasar malam pada malam Jumaat berdekatan tempat tinggalku tetapi dua atau tiga kali sahaja aku ke pasar malam itu dalam tempoh setahun.
"Cikgu!" Kedengaran seseorang memanggil aku. Oh, rupa-rupanya Jaya. Dia membantu ibu bapanya menjual sayur di pasar pagi itu. Jaya berbahasa Tamil kepada kedua-dua ibu bapanya. Kedua-duanya merapatkan tapak tangan dan meletakkan ke dada. Wajah mereka sangat gembira.
"Ayya, angkat ini sayur masak," kata ibu Jaya yang sudah berusia tapi gigih berniaga.
"Kenapa sudah botak?," tanyaku kepada Jaya.
"Saya sudah masuk polis,Cikgu."
"Wah, tahniah! Tahniah!," kataku sambil menjabat tangan Jaya.
"Pangkat apa?," tanyaku.
"Inspektor ,Cikgu."
"Bagus-bagus,"kataku sambil menepuk-nepuk bahu Jaya.
"Cikgu pun selalu cerita di dalam kelas ,dulu Cikgu mahu jadi kadet ASP polis tapi tak dapat," kata Jaya segan-segan .
"Apa boleh buat. Bukan rezeki saya," kataku tersenyum. Hari itu, aku dan isteri pulang ke rumah dengan membawa pelbagai sayur diberikan oleh ibu bapa Jaya.
Kali terakhir aku bertemu Jaya semasa dia menjemput aku ke majlis perkahwinannya. Jaya sudah berpangkat ASP. Aku dan isteri dilayan dengan istimewa. Pada ketika ini, aku sudah terputus hubungan dengan Jaya. Aku selalu berpesan kepada Jaya 'gagal sekali bukan bererti gagal selama-lamanya'..

Comments
Post a Comment