Episod: Gred Jusa C
Hari ini sudah seminggu aku memulakan operasi sebuah pusat tuisyen.
"Proses untuk mendapatkan lesen mengambil masa yang agak lama," kata kawanku yang sudah berkecimpung dalam perniagaan cabang pusat tuisyen. Aku hanya termanggu mendengar kata-katanya itu.
"Selagi belum ada lesen, pusat tuisyen tidak boleh beroperasi," tambahnya lagi. Aku memikirkan cara bagaimana untuk memohon lesen pusat tuisyen yang dikatakan susah dan rumit.
Keesokan hari, aku ke Pejabat Pendidikan Daerah Klang,Jalan Meru (PPDKlang). Di sebelah pejabat ini sebuah jirat Cina lama . Aku memasuki ruang legar pejabat PPD , seorang pegawai sedang melayani seorang pelanggan. Usai urusan pelanggan itu, aku menghampiri kaunter. Pegawai itu seperti aku kenali . Ye, Encik Murad , senior aku semasa di sekolah menengah . Sudah lama aku tidak bertemunya walaupun aku sering berurusan di pejabat PPD . Encik Murad menyuruh aku berjumpa dengan Cikgu Saari sebagai Ketua Sektor Institusi Swasta.
Aku memasuki ruang pejabat di dalam dan apabila terlihat Cikgu Saari , kami sama-sama tersenyum . Cikgu Saari melambaikan tangannya menyuruh aku masuk ke biliknya. Bilik yang sangat sempit memuatkan tiga buah kerusi dan sebuah meja. Fail bertimbun di kiri kanan. Kami berjabat tangan dan saling bertanya khabar kerana sudah lama tidak berjumpa. Sebenarnya, Cikgu Saari merupakan pelanggan di kedai fotostat tempat aku pernah bekerja part time.
"Cikgu , ambil borang ini. Selepas siap isi, hantar kepada saya semula," kata Cikgu Saari dengan ceria. Cikgu Saari memang seorang yang ceria dan kuat bekerja. Aku mengambil borang pendaftaran pusat tuisyen lalu meninggalkan pekarangan PPD.
Malam itu, aku 'study' cara menyiapkan kertas kerja permohonan lesen pusat tuisyen. Bukanlah susah sangat untuk menyediakan kertas kerja itu kerana semua panduan dan contoh telah disediakan. Masih terngiang-ngiang di telingaku, " Kalau upah buat kertas kerja lebih kurang RM2000," kata kawanku. Malam itu aku tidur lewat untuk melengkapkan kertas kerja itu. Kira-kira 2.00 pagi semuanya selesai. Segala dokumen yang diperlukan sudah lengkap.
Seperti kebiasaannya, selepas selesai kerja mengajar sepenuh masa di sebuah sekolah swasta di bandar Klang, aku akan ke pusat tuisyen aku di Taman Eng Ann,Klang. Sebuah pekan kecil dan majoriti penduduknya ialah Cina. Aku pernah membaca sebuah cerita tentang 'Mat Jenin' yang menjadi seorang pemanjat pokok kelapa dan kemudian menjual buah kelapa tetapi tiada sesiapa pun yang mahu membelinya kerana di kampung Mat Jenin hampir setiap rumah menanam pokok kelapa! .Aku tidak mahu berangan-angan seperti Mat Jenin sebaliknya aku memikir cara lain. Aku mengajar subjek bahasa Melayu di tengah-tengah pekan yang majoriti orang Cina. Satu-satu peniaga dan pusat tuisyen yang menawarkan kelas tuisyen bahasa Melayu di Taman Eng Ann yang berkapasiti lebih 20 ribu orang penduduk. Umpama seekor tikus yang terjatuh di dalam kepuk beras !
Bunyi bising di bawah menyebabkan aku terpaksa memberhentikan sesi pembelajaran di dalam bilik darjah. Sekumpulan anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) menaiki tangga pusat tuisyen dan diketuai seorang pegawai .
"Kami mendapat aduan ,Cikgu buka pusat tuisyen tanpa lesen," beritahu pegawai MPK.
"Saya sudah kemukakan permohonan kepada PPD," kataku berterus-terang.
"Begini Cikgu, kami menerima aduan pusat tuisyen Cikgu tiada lesen . Jadi , kami mendapat arahan untuk menutup pusat tuisyen ini," jelas pegawai MPK dan profesional.
"Saya mohon diberikan masa untuk mendapatkan lesen kebenaran daripada PPD," kataku .
"Baiklah,Cikgu.Selepas seminggu, saya akan datang semula untuk memeriksa premis,Cikgu," kata pegawai itu lalu beredar. Dari tingkap aku melihat dua buah lori besar menunggu dan sebuah pajero. Kalaulah tiada timbang rasa hari itu semua peralatan pusat tuisyen dan pejabat sudah diangkut oleh penguatkuasa.
Petang itu juga, aku menerima panggilan telefon dari pejabat sebuah pusat tuisyen yang bersebelahan bangunan pusat tuisyen aku. Aku dijemput berjumpa pemilik puaat tuisyen itu yang aku sudah kenali sejak pertengahan tahun 90-an. Selepas selesai kelas, kira-kira jam 10.30 malam aku berjalan kaki melintas jalan raya dan menapak anak tangga pusat tuisyen.
Aku menolak daun pintu. Ada lebih kurang lima orang kerani perempuan sedang sibuk bekerja. Kehadiran aku seolah-olah tidak dipedulikan sesiapa. Aku melihat-lihat papan notis pusat tuisyen . Pelajar-pelajarnya terdiri daripada murid sekolah rendah dan sekolah menengah. Kemudian kedengaran bunyi loceng . Semua pelajar menuruni tangga dan keadaan agak bising seketika.
Mr.L menjenguk di pejabat dan melihat aku di hadapan papan notis. Mr.L datang berjabat tangan denganku dan memeluk aku sambil memanggil aku 'sifu' dalam bahasa Mandarin. Aku pernah bekerjasama dengan Mr.L tetapi bukan bekerja dengannya seperti sangkaan beberapa pengusaha pusat tuisyen di sekitar bandar Klang.
"Saya panggil 'sifu' kerana hendak bincang tentang rancangan pusat tuisyen," kata Mr.L memulakan perbincangan di dalam sebuah dewan kuliah umpama panggung wayang TGV dengan skrin besar dan tempat duduk berkusyen.
"Rancangan macamana tu," aku bertanya lebih lanjut.
"Begini 'sifu' . I nampak 'sifu' ada buka pusat tuisyen baru . Murid-murid di sini juga ada yang berpindah ke pusat tuisyen 'sifu'," kata Mr.L. Aku sudah dapat membaca niat hati Mr.L.
"Saya cadangkan 'sifu' tutup pusat tuisyen itu dan gabung dengan I. Semua murid 'sifu' bawa datang sini. 'Sifu' kerjalah dengan I as bisnes partner," kata Mr.L berterus-terang dan sama seperti jangkaan aku. Aku tidak memberikan sebarang kata putus.
"I offer 'sifu' gaji RM15000 sebulan. RM17000 sebulan," kata Mr.L memancing aku. Tawar-menawar sudah bermula.
"Sifu tak perlu fikir nak bayar sewa, bil elektrik bil air ," Mr.L berusaha memikat hati aku. Hatiku berdetik juga kalau aku menerima tawaran itu memang aku tidak akan bersusah-payah membayar sewa dan itu ini.
Tiba-tiba , muncul isteri Mr.L yang dulunya anak muridnya juga sambil memegang tali seekor anak anjing berbulu lebat. Anak anjing itu beberapa kali hendak melompat ke arah aku.
"Begini, Encik Azmi. Kalau you join kita semua kelas Bahasa Melayu kita bagi kepada Encik Azmi, " kata isteri Mr.L.
"Saya akan fikir dahulu," kataku agak kurang selesa dengan kehadiran anak anjing itu.
"Encik Azmi tidak perlu buka pusat tuisyen sini. Di sini sudah ada pusat tuisyen. All this bull****," kata isteri Mr.L. Aku menahan geram dan berasa hendak menampar mukanya. Sikapnya yang kasar dan kurang ajar kepadaku sudah memberikan gambaran awal apa yang bakal berlaku kepadaku jika aku bersetuju menerima tawaran itu. Pada aku , suatu percubaan untuk melenyapkan nama aku dalam industri ini sedang dirancang rapi. Pembunuhan karektor akan terjadi secara halus.
*Maaf, L. Saya akan berikan jawapan nanti," aku meninggalkan Mr.L dengan isterinya dan si anjing yang meronta-ronta dengan kuat. Aku meninggalkan pusat tuisyen itu dan kembali ke pusat tuisyen aku. Aku sempat melihat wajah Mr.L yang sebal dan barang kali terkejut dengan kata-kata yang keluar dari mulut isterinya.

Comments
Post a Comment