Episod: Dia
Kali terakhir aku memijak kaki di sini sekitar tahun 1989. Selepas dari itu , aku semakin sibuk mengejar nikmat dunia. Kalau dulu , di sinilah duniaku . Aman dan damai. Tenang seperti air di dalam dulang tidak diusik angin.
Di sini , berjam-jam punggungku berlabuh di atas kerusi berkusyen lembut. Kedinginan memeluk tubuhku erat hingga terasa ke tulang-temulang . Buku-buku seperti kayu dan lalang di belukar tersusun rapi di atas rak kayu separuh usang.
Kepala- kepala tertunduk menghadap buku atau surat khabar di atas meja dan ada yang terkulai mata terpejam rapat. Dilamun mimpi yang tidak seindah zaman remaja. Beberapa anak dara sunti asyik berbisik-bisik dan ketawa kecil. Usia si dara tertonjol pada tubuhnya yang bulat seperti babi berkulit merah jambu.
Aku meneleku di hadapan sebuah karya agung A.Samad Said : Salina. Kutemui bait-bait cinta di dalam Salina . Beberapa potong kisah menggamit rasa yang mendalam lantas memeluk jiwa yang kosong. Seorang pustakawati melihat aku lalu tersenyum . Aku sengaja membiarkan senyuman itu tumpah di merata-rata .Di meja. Di lantai. Di pintu. Senyuman kubalas dan wajah pustakawati berbunga . Matanya dan mataku berbalas senyuman .
Hari ini , aku singgah di sini mengenang memori kecil yang ingin kulupakan . Seindah namanya wajah yang mulus dan bibir kemerahan asli. Aku cuba menepis nostalgia itu agar tidak singgah di hatiku apatah lagi untuk mengingatinya.
" Nanti saya belanja awak ABC," kataku tersenyum. Dia hanya ketawa kecil seolah-olah kata-kataku itu amat melucukan. Di hadapan bangunan perpustakaan ini terdapat sederetan kedai yang menjual makanan dan minuman. Sebuah taman mini dengan bangku batu menjadi tempat pasangan yang sedang dilamun perasaan. Di situ mereka bersetia sambil melafazkan janji suci.
"Awak tidak bosan ke asyik membaca," tanya dia kepadaku sementara menunggu dua mangkuk ABC sampai di meja.
"Itulah dunia sebenar saya," balasku sambil melihat dalam-dalam matanya yang berwarna coklat. Aku tidak mahu memandang lama-lama wajahnya kerana aku seakan sedar bahawa wajah mulus itu bukan milikku.
" Biarlah dunia yang saya pilih ini menjadi teman setia saya," sambungku lagi.
"Bukankah saya ini teman setia awak?," tanya dia seperti mendesak suatu jawapan dari mulutku. Aku melemparkan wajahku di tengah jalan dari seberang sini. Diam.
" Atau awak sudah ada teman setia yang lain!," katanya cuba meneka sesuatu. Diam. Aku hanya tersenyum memandangnya.
" Setia ?" ujarku ringkas. Dia mengangguk dan tersenyum kepadaku. Bibir nipis dan hidungnya yang mancung sebenarnya racun di hatiku.
"Adakah kesetiaan itu mesti dipertontonkan sebegitu rupa seakan tingkah yang disengajakan, " kataku memuramkan wajahnya sejenak.
"Benar, kesetiaan lahir dari hati bukan kata-kata yang terlontar dari dua ulas bibir ," katanya berfalsafah. Dia memang bijak dan aku tidak pernah menafikannya. Oleh sebab itu juga, terlintas di benakku bahawa perjalanan seterusnya penuh ranjau.

Comments
Post a Comment