Episod : Cinta

Dulu ada sebuah judul lagu C.I.N.T.A. tetapi aku tidak ingat nama kumpulan muzik itu kerana tidak minat . Kemudian muncul pula frasa "cinta buta " . Kemudian muncul lagu "Derita Cinta" nyanyian Jamal Abdillah dan " Cinta Kristal" nyanyian Rahim Maarof. Perkataan cinta ini tidak boleh dibuat main-main . Kata orang ," kerana cinta boleh jadi angau " .
Ada juga sanggup bunuh diri kerana putus cinta. Tidak kurang juga yang menjadi gila akibat cinta tidak berbalas. Penangan cinta ini amat berbisa lebih daripada racun. Silap langkah boleh merana seumur hidup. Setiap orang mempunyai definisi masing-masing tentang cinta. Dari mata turun ke hati dari hati lahirnya cinta. Jamal Abdillah pernah berduet dengan Fransisca Peter dalam lagu "Kehebatan Cinta". Ya, penangan cinta sangat
hebat
!
Pada aku , cinta ini bersifat prejudis atau sangkaan sahaja kerana kadang-kadang kita berasa diri sedang dilamun cinta tetapi sebaliknya . Ungkapan " bertepuk sebelah tangan " paling tepat berkaitan prejudis tentang cinta. Bermodalkan seulas senyuman berputiklah cinta. Kata pujangga ," orang bercinta kurang berkata-kata ." Entahlah , aku kurang pasti sama ada betul atau tidak.
Berbagai-bagai cara orang hendak menunjukkan perasaan cinta. Ada yang bermodalkan sejambak atau sekuntum bunga mawar merah untuk memikat hati yang dicintai. Ada yang menabur kemewahan sebagai aspirasi cinta tetapi ada juga terjerat dengan "cinta scammer". Pelik memanglah pelik. Hati mudah cair hanya kerana si jejaka berkereta mewah walaupun hakikatnya berhutang atau kereta sewa. Cinta terkait dengan hati. Tiada hati bermakna tiada cinta !
" Jerat Percintaan" paling membingungkan kerana ramai yang menjadi mangsa. Yang menjerat dan dijerat sama-sama mempunyai agenda masing-masing. Mangsa ingin rasa dicintai dan mencintai tetapi si penjerat hanya mahu mempermainkan perasaan mangsa. Kadang-kadang bertahun-tahun lamanya, mangsa baru menyedari dirinya dalam "jerat percintaan". Lebih teruk , mangsa hanyalah boneka si pemangsa.
Kalaulah cinta itu dapat digambarkan dengan kata-kata atau sebuah lukisan tentu lebih mudah untuk memahaminya. Sebuah lukisan hati menjadi lambang cinta dan diwarnai merah terlahirlah "merah hati". Tapi, adakah itu sebenarnya gambaran cinta ? Rumit untuk mentafsirkannya. Ada yang bercinta dahulu baru kahwin ada pula yang berkahwin dulu baru bercinta. Tapi, kebanyakannya bercinta dahulu baru berkahwin dengan alasan mahu mengenal hati budi tetapi berapa ramai orang bercinta benar-benar mahu mengenal hati budi.
Hati budi yang buruk akan kelihatan cantik dan indah saat bercinta. Semasa bercinta sudah mula kontrol itu ini belum lagi sudah bertunang. Kalau sudah berkahwin barulah tersingkap hati budi sebenar. Kata orang . " masa bercinta bau kentut pun wangi." Selepas berkahwin , bunyi kentut pun boleh meletuskan perang dunia.
Kalau bercinta tidak sah kalau tidak 'dating' . ' Dating' ini macam kembar cinta. Sejak mata bertentang mata lalu turun ke hati sudah mula 'dating'. Ada orang 'dating' di tepi tasik. Ada orang 'dating' di pusat beli-belah. Ada orang 'dating' di taman bunga. 'Dating' paling menyedihkan di rumah bakal ibu bapa mentua saja . Kawan aku, kalau tanya "nak pergi mana ? ". Dengan yakin dia jawab , 'dating'. Tapi, sebenarnya dia pergi rumah tunang dia , makan minum dari sarapan sampai makan malam. Untung 'dating' begini. Poket pun tak bocor. Kawan aku seorang lagi memang bergaya kalau keluar 'dating' . Dia mampu sebab abang kakak 'support' beli kasut baju seluar.
Aku pula masa bercinta rasanya paling singkat kerana aku sudah bekerja semasa bercinta. Bekerja pula dari pagi hingga malam. Sabtu dan Ahad pun kerja. Jadi, kalau 'dating' sempatlah 30 minit dari Medan MARA Klang ke 'Bus Station' bawah Great Wall Klang. Dia naik bas, aku pun berlari pulang ke sekolah yang terletak di seberang Great Wall kerana kelas tuisyen malam bermula jam 6.00 petang. Dia keluar 'office' pukul 5.30 petang , teman berjalan-jalan melalui KFC Jalan Taiping singgah membeli minuman di Emporium Makan sampai stesen bas pukul 6.00 petang.
Namun , cinta paling abadi dan agung hanyalah kepada-Mu, Ya Rabb !

Comments

Popular posts from this blog