Episod : TENAT
Aku diangkat dengan berhat-hati di atas stretcher . Beberapa orang pembantu hospital KPJ sudah sedia menunggu di pintu kecemasan. Pembantu ambulans St.John terlebih dahulu menghubungi pihak Jabatan Kecemasan KPJ bahawa mereka dalam perjalanan dari Hospital Shah Alam. Hujan turun sangat lebat. Aku hanya berserah kepada Allah jika ditakdirkan ajalku pada hari itu memandangkan kecederaan kaki akibat kemalangan motosikal amat parah. Kakiku hampir putus !
Aku disorong dengan segera ke bilik Zon Merah memandangkan bacaan tekanan darahku sudah mencecah 220 dan terus naik. Ada dua kebimbangan doktor , iaitu serangan jantung dan stroke secara tiba-tiba. Segala jenis wayar pelbagai warna dan saiz di pasang pada badan aku. Pasukan jururawat seramai empat orang segera mengambil alih tugas pegawai ambulans yang sudah menjalankan tugas mereka dengan baik. Walaupun , kadang-kadang aku menunjukkan reaksi tidak selesa sepanjang perjalanan meredah hujan lebat yang menggila.
Doktor yang datang meninjau keadaan aku mengarahkan jururawat supaya menyediakan aku untuk dimasukkan ke dewan bedah bila-bila masa. Tanpa berlengah, jururawat menggunting baju , seluar, tali pinggang, seluar dalam dan kasut aku kerana aku tidak mampu bergerak dalam keadaan kakiku yang sudah terkulai dan wayar yang berselirat di badan aku. Tekanan darah aku masih tinggi. Doktor memberitahu aku bahawa pembedahan tidak dapat dilakukan jika keadaan aku belum stabil.
Kakiku mula berasa kebas dan berdenyut-denyut. Sebuah baldi kecil diletakkan betul-betul di bawah katil aku terbaring . Kain ' gouze' bergumpal-gumpal di dalam baldi bagi mengelap darah yang masih mengalir sejak aku sampai di hospital. Botol darah silih berganti. Aku hanya berzikir sepanjang terbaring di situ. Tiada perkara lain yang aku fikirkan. Segala-galanya aku sudah letak ke tepi melainkan persediaan sekiranya terjadi kemungkinan ajalku telah tiba. Aku sudah redha.
Doktor mendekati aku sekali lagi dan mengarahkan jururawat membuat persediaan untuk memindahkan aku ke bilik bedah pada pukul 2.00 petang. Sementara menunggu proses pemindahan , aku menenangkan diri. Satu persatu umpama 'slaid ' berputar di mataku selama perjalanan hidupku. Pahit manis suka duka semuanya terpampang jelas. Tiada sesiapa dibenarkan berada di sisiku kerana proses persediaan ke dewan bedah amat menitikbertakan aspek kebersihan. Aku dipakaikan pakaian khusus untuk pembedahan dan sarung kepala seperti yang digunakan ketika mandi.
Tirai bilikku dibuka dan aku ternampak isteri , anak-anak, menantu di situ menunggu aku. Masing-masing bersalaman dan mencium memeluk aku dan mendoakan kejayaan pembedahan . Hanya dua harapan yang dimaklumkan oleh doktor sama ada kakiku berjaya 'direpair' atau dipotong !.Aku sememangnya sudah berserah kepada Allah dan memohon agar pertolongan Allah menyelamatkan aku. Aku diletakkan di suatu ruang khas kerana jururawat masih memantau tekanan darahku yang semakin stabil.
Seorang doktor berpakaian hijau dan memakai pelitup muka menghampiri aku dan memperkenalkan dirinya sebagai doktor pakar bius.Doktor menerangkan beberapa SOP berkaitan sesi pembedahan tersebut dan menjangkakan akan tamat dalam tempoh sembilan jam bermakna bermula pukul 3.00 petang hingga 11.00 malam. Doktor juga memberitahu aku bahawa bius yang digunakan nanti jenis 'epidural' dan menyebabkan aku berasa kebas dari parang pinggang ke bawah. Aku diminta menandatangani sehelai borang persetujuan SOP yang diterangkan kepada aku.sebentar tadi.
Doktor pakar bius sambil dibantu oleh seorang jururawat mengeluarkan sebatang jarum dan doktor memulakan proses suntikan aku dengan Bismilah dan bacaan Al - Fatehah dan aku terkumat-kamit mengikut bacaan dan juga jururawat yang berdiri di sisi doktor. Serentak itu, airmataku panas dan mengalir laju . Sekali lagi, doktor membaca Bismilah dan menyuntik bahagian tulang belakang aku dengan berhati-hati dan sangat lembut. Selepas lima minit, barulah aku berasa sebahagian tubuhku kebas dan kaku.
Aku disrorong ke dewan bedah oleh dua orang jururawat berpakaian seperti PPE. Lampu dewan bedah terang benderang . Suasana di dalam dewan bedah sangat lengkap dengan peralatan dan segala jenis mesin. Aku dipindahkan di atas katil khas untuk pembedahan. Wayar dipasang di tubuhku dan doktor pakar bius duduk di sebelahku. Doktor yang akan membedahku memberitahu masa dijangkakan selama sembilan jam dan doktor pakar bius memberitahunya bius mencukupi tempoh ditetapkan dan aku akan dipengsankan jika pembedahan mengambil masa yang lebih panjang.
Sepanjang pembedahan doktor dibantu oleh beberapa orang petugas lelaki dan perempuan.,Bunyi besi jatuh ke lantai bagaikan sebuah bengkel kereta dan bunyi vakum sepertimana bunyi vakum di rumahku. Segala-galanya berjalan lancar. Aku teringat kata-kata doktor bedah bahawa mereka akan makan di kafe sebelum pembedahan memandang tiada waktu rehat antara sesi pembedahan yang panjang. Sungguh benar mereka berkorban demi menyelamatkan satu nyawa !. Tempoh pembedahan memasuki masa dua jam. Aku dalam keadaan sedar dapat melihat detik jarum jam dinding bergerak sejak mula pembedahan.
Tiba-tiba , pembedahan terganggu seketika kerana tubuhku mula menggeletar dan kedudukan aku ketika itu mengganggu doktor dan pasukannya. Doktor pakar bius meninggalkan aku seketika dan membawa sehelai selimut seperti baju dipakai angkasawan . Tubuhku diselimuti dan keadaan kembali stabil. Rupa-rupanya , suhu yang sangat sejuk di dewan bedah itu membuatkan aku mengeletar lebih daripada menggigil. Doktor bedah melihat jam di dinding. Aku cuba mencongak bahawa sudah tujuh jam masa berlalu. Doktor bedah memandang doktor pakar bius yang duduk di sisiku sejak jam tiga petang .
Aku hampir terlelap kerana kepenatan tetapi doktor dan petugas yang membantu tidak menunjukkan keletihan. Jam di dinding menunjukkan jarum 11.00. Pembedahan telah selesai. Segala wayar dan alat mesin yang dipasang ditanggalkan. Aku disorong keluar dewan bedah. Pada masa itu , baru dapat kulihat dengan jelas beberapa petugas yang membantu doktor bedah tadi sudah terbaring di lorong dan tepi dinding baik lelaki mahupun perempuan. Kepenatan maksimum. Ada yang menjamah roti dan air mineral kerana kelaparan. Aku ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka tetapi keadaan aku terlalu lemah.
Aku ditempatkan di ruang mula-mula aku masuk jam 2.00 petang tadi. Bermulalah, simptom yang tidak pernah aku alami , iaitu muntah berterusan dan lebih banyak muntah angin. Sebuah bekas khas dipegang oleh jururawat beberapa ketika untuk menadah muntah aku. Doktor pakar bius mendekati aku dan mengucapkan syukur kerana pembedahan itu telah selesai. Doktor bedah juga datang dan memanggil nama aku beberapa kali kerana aku seakan mamai antara dengar dan tidak. Doktor tersenyum lebar tanpa memberitahu aku sama ada pembedahan itu telah berjaya atau kakiku telah dipotong.
Comments
Post a Comment