Episod : Sebentuk Cincin
Sebiji batu cincin pemberian makcikku yang tinggal di Kampung Palekbang, Tumpat. Siapa tak kenal Che Yam @Jimmy @ Mariam @Awang Kechik. Mereka yang berasal dari Kampung Palekbang sangat mengenalinya. Makcikku ini menyimpan 1001 cerita suka duka pahit manis. Sejak kecil makcikku suka berpakaian lelaki tetapi berperawakan wanita dengan lenggang lenggoknya. Sekarang usianya sudah mencapai lebih 80 tahun.
Sejak belakangan ini , aku kerap menziarahi Che Yam apabila pulang ke kampungku. Semasa muda Che Yam berkahwin dengan seorang lelaki Inggeris. Namun , jodoh mereka tidak panjang kerana mereka berpisah dan membawa haluan masing-masing. Che Yam sangat tangkas semasa muda atau gelaran orang sana "gedebe" . Aku paling suka pulang ke kampung seawal tahun 70-an kerana Che Yam akan membawa aku dan adik-adikku bermandi-manda di tali air. Manakala, arwah tok aku yang dipanggil 'Che' menarik lembu dan menambat lembu di pokok kelapa di hadapan rumah kayu.
Rumah lama di kampung pun sudah lama roboh . Di bahagian dapur , ada pelantar diperbuat daripada buluh. Kemudian , tangga setinggi 4 anak tangga. Dapur kayu dan perlu ditiup dengan batang besi untuk menghidupkan api. Terdapat sebuah perigi di luar rumah dan pokok-pokok jambu batu ditanam sebaris . Air perigi sangat sejuk . Menurut cerita arwah ibuku , arwah nenek yang dipanggil 'Mak Tua' pandai memasak kerana sewaktu muda nenekku bekerja sebagai tukang masak di istana Kelantan zaman dulu kalau tidak silap semasa Almarhum Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Muhammad IV. Manakala , Che berkhidmat sebagai hulubalang Sultan Kelantan juga di istana Kelantan.
Che seorang pendiam dan berbadan kecil serta rendah. Apabila kami pulang ke kampung, Che melayan cucu-cucunya sambil menyalakan lampu zaman dulu yang dipam minyak beberapa kali. Apabila malam tiba kami adik-beradik tidur di ruang tamu lantai papan . Apabila berjalan satu rumah bergegar kerana sudah kebiasaan tinggal di rumah batu (Flat) lantai simen .Che akan berkata ,, " Jangan ganggu cucu-cucu aku balik rumah " . Aku tidak tahu dengan siapa Che bercakap.Che dan Mak Tua tidak meninggalkan harta untuk anak-anak kerana setahu aku Che dan Mak Tua bukan orang senang. Semua adik-beradik ibuku perempuan seramai lima orang dan yang masih ada Che Yam dan Moksu Melah (Ramlah) .
Barang kali ,ada beberapa perkara yang aku dengar berkaitan Che semasa mudanya dan tidak sesuai diceritakan. Biarlah rahsia dan beberapa pesan serta pantang larang Che kepadaku sewaktu aku berumur 13 tahun aku masih ingat hingga sekarang . Ini untuk kebaikan aku , isteri , anak-anak dan cucu-cucuku.
Che Yam sejak muda suka mengumpul barang-barang 'misteri'. Ada beberapa barang ditunjukkan kepadaku tetapi mati-mati Che Yam tidak akan memberi barang yang aku minta atau 'kecek'. Salah satu barang yang Che Yam hadiahkan kepadaku sebiji batu cincin. Che Yam berpesan kepadaku supaya batu cincin itu diikat menjadi sebentuk cincin. Sehingga sekarang, kalau aku pulang berjumpa Che Yam , dia akan bertanya dan hendak melihat cincin yang aku pakai dengan batu cincin pemberiannya.
Sejarah aku memakai cincin ini tiadalah perkara 'pelik' . Cincin yang aku pakai ini pernah hilang tiga kali. Sekali hilang semasa hujan lebat dan sesampai di rumah aku tersedar cincinku tiada di jari manisku. Isteriku berkata bukan rezeki aku namun aku bertegas untuk mencari cincinku yang hilang.
Aku terus menghidupkan enjin motosikal dan menunggang di sepanjang jalan yang aku lalui. Hujan lebat menggila. Dari Meru hingga ke Teluk Pulai aku mencari cincinku yang hilang. Perasaan sayang akan cincinku ini amat mendalam. Aku yakin akan menemukan cincinku semula malam itu dalam hujan lebat.
Aku berpatah balik dari Klang ke Meru dan Meru ke Klang. Dari kejauhan ada sesuatu yang bersinar-sinar di tepi jalan. Aku mendekati benda yang bersinar-sinar itu. Ya,Allah. Cincinku di celah-celah rumput. Aku menunggang motosikal pulang ke rumah dan setibanya di rumah aku memberitahu isteriku aku telah menemukan semula cincinku yang hilang. Kalau sudah rezeki tidak akan salah alamat.
Kali kedua cincinku hilang di rumah. Mungkin anak-anakku bermain dengan cincinku tetapi mereka tidak nampak cincinku . Aku mencari di dalam dan di luar rumah pun tidak menemukan cincinku. Sudah puas aku mencari di celah-celah kerusi meja almari di dapur di depan pintu . Aku sudah berputus asa . Beberapa hari sudah berlalu, cincin yang aku cari tidak ditemukan. Sejak kehilangan cincinku aku sering teringat cincinku.
Selepas seminggu , pagi itu aku telah bersiap-siap hendak ke sekolah. Kubuka pintu , cincinku yang hilang betul-betul terletak di hadapan pintu rumah. Bukan kepalang gembira aku menemukan cincinku semula. Aku menjerit memanggil isteriku dan memberitahunya cincinku sudah pulang. Rezeki tidak pernah salah alamat.
Selang beberapa tahun kemudian , sekali lagi cincinku hilang. Kali ini tiada petanda tempat cincinku hilang . Seluruh tempat sudah kucari . Dalam hatiku berkata ," dia merajuk agaknya" sambil tersenyum. Bukan bermakna aku percaya ' cincinku' memiliki kuasa mistik kerana semua itu syirik dan kurafat ! Sebenarnya , sebelum itu hampir sebulan aku tidak menyarung cincinku di jari manisku. Aku letakkan di atas meja tetapi apabila aku hendak memakainya semula , cincinku tiada di situ.
Cincinku yang hilang akhirnya aku temukan di dalam lengan bajuku. Sewaktu aku menyarung baju kemeja, aku terasa ada benda di lenganku seperti batu. Setelah aku membuka bajuku, benarlah benda yang aku sangka batu ialah sebentuk cincinku.

Comments
Post a Comment