Episod : Pili Berdarah


Kisah ini berlaku sekitar tahun 90-an . Aku tidak pasti tahun sebenar kisah ini terjadi. Pada malam itu, rumah Pak Mentuaku didatangi sekumpulan anggota bomba dari balai bomba Shah Alam. Kedatangan mereka disambut oleh Pak Mentuaku dengan ramah. Aku duduk di tepi pintu kalau Pak Mentuaku meminta sesuatu disediakan.

Daripada cerita yang disampaikan oleh salah seorang anggota bomba , rakan mereka mengalami gangguan misteri. Setiap kali pulang ke kuaters kelamin, kejadian aneh berlaku. Pili air dibuka akan mengeluarkan darah. Semua pili di bilik air , sinki dapur malah di dalam tandas juga mengalami kejadian yang sama , Aku hanya menumpang dengar cerita anggota bomba tersebut.

Kejadian misteri itu ada berkaitan isu kenaikan pangkat anggota yang mengalami gangguan aneh. Barang kali , ada perasaan iri hati menyebabkan anggota tersebut sekeluarga hidup dalam dilema dan ketakutan. Anggota-anggota bomba yang datang dalam kumpulan itu mengunjungi Pak Mentuaku untuk meminta pertolongan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakan mereka.

Aku diminta mengambil sebatang lidi. Kebiasaannya, lidi digunakan sebagai kayu ukur sama ada hajat yang disampaikan dapat dibantu atau sebaliknya. Ukuran antara jari kelingking dengan ibu jari. Apabila lidi dipatahkan ukuran kali kedua dilakukan.Seandainya, ukuran tersebut lebih panjang bererti ada harapan masalah itu dapat diselesaikan dan begitu juga sebaliknya . Lidi yang diukur menandakan masalah tersebut dapat diselesaikan dengan izin Allah.

Pak Mentuaku meminta mereka datang keesokan malam . Kebetulan malam esok ialah malam Jumaat. Mereka juga diminta membawa seberapa ramai anggota dan serawan jaring yang lebar dan panjang. Setelah bersalam-salaman , mereka memohon diri untuk pulang dan kembali pada keesokan harinya.

"Apa kes Pak?," tanyaku setelah kumpulan anggota bomba itu pulang.
"Ada 'benda' ," kata Pak Mentuaku perlahan. Aku tidak bertanya lebih lanjut tetapi aku tertanya-tanya di dalam hati , "Apakah yang akan berlaku esok?".

Hari dan malam yang dijanjikan tiba. Sebuah jentera dan sebuah van bomba memasuki perkarangan halaman rumah Pak Mentuaku. Lebih kurang 15 orang anggota bomba kesemuanya. Mereka mengeluarkan serawan jaring dari dalam kotak simpanan barang di dalam perut jentera bomba. Pak Mentuaku berjumpa mereka di dalam rumah dan sebahagian menunggu di luar rumah.

Jaring itu akan digunakan untuk memerangkap ' benda' yang mengganggu rakan mereka. Jaring itu akan direntangkan menghadap jalan raya betul-betul di hadapan jambatan kayu masuk ke halaman rumah Pak Mentuaku. Sekitar jam 11.30 malam , kami merentangkan jaring yang lebar dan panjang itu dan masing-masing memegang bahagian atas jaring manakala bahagian bawah jaring dipijak dengan kaki. Semua anggota bomba berkasut boot dan setelah semua bersedia , Pak Mentuaku berjalan ke hadapan menghadap jalan raya.

Perlahan-lahan Pak Mentuaku berjalan dan sesekali menoleh melihat kami yang sudah bersedia menghadapi segala kemungkinan yang berlaku. Kami diingatkan supaya terus bertahan walau apapun yang berlaku. Malam itu . Pak Mentuaku akan menangkap 'benda' itu. Suasana malam itu tenang dan hening. Tiada angin tiada ribut tiada hujan tiada bunyi cengkerik tiada salakan anjing.

Tepat jam 12.00 tengah malam. Pak Mentuaku membuka langkah silat di tempat dia berdiri. Pada masa yang sama , ribut melanda . Pokok-pokok getah di kebun sebelah rumah dan seberang jalan bergoyang dan desiran daun-daun sangat kuat. Kemudian salakan anjing bersahut-sahutan dan panjang tanpa henti. Pak Mentuaku masih bersilat di situ dan kami terus memegang jaring dengan kuat. Pasir menghujani kami dan aku menutup mata mengelakkan mataku dimasuki pasir. Kedengaran suara beberapa anggota bomba menyebut " Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!".

Tiba-tiba 'benda' itu menyentuh jaring dengan laju dan menyebabkan jaring itu melendut tetapi semua anggota bomba dan aku memegang jaring itu dengan kejap dan tidak akan melepaskannya walau apapun terjadi. Beberapa kali 'benda' itu melanggar jaring dan seolah-olah mencari jalan keluar untuk melepaskan diri. Ribut berhenti secara tiba-tiba. Salakan anjing diam tiba-tiba. Keadaan kembali tenang. 'Benda' itu sudah terperangkap di bawah jaring. Pak Mentuaku berlari ke arah kami lalu menekup 'benda' itu dengan kedua-dua belah tangannya. Berlaku pergelutan kecil dan anggota-anggota bomba masih memegang jaring dan ' benda' itu cuba melepaskan diri sehingga ada yang tertiarap di tanah untuk memastikan ' benda ' itu benar-benar dapat ditangkap.

Kami berjaya menangkap ' benda' itu dan kini di dalam genggaman Pak Mentuaku. Pak Mentuaku masuk ke dalam rumah sambil diikuti beberapa orang anggota bomba dan selebihnya terduduk di atas tanah kepenatan. Jaring yang dipasang sudah terbarai di atas tanah. Aku mengikuti Pak Mentuaku masuk ke dalam rumah.

Malam itu, kami melihat ' benda ' itu berupa sebilah keris kecil tidak bersarung dan kehitam-hitaman, Pak Mentuaku memegang keris itu dengan genggaman yang kuat sambil membaca ayat-ayat Al-Quran . Setelah itu, barulah genggaman tangan di buka dan kelihatan dengan jelas sebilah keris . Pada pandangan aku, keris itu seperti keris lama zaman dahulu kala. Mata anggota-anggota bomba terbeliak melihat keris di hadapan mereka dan mungkin kejadian malam ini sangat misteri yang pernah mereka lihat dengan mata kepala mereka.

Keris itu digunakan sebagai 'tuju-tuju' oleh seseorang yang dikenali oleh anggota yang mengalami gangguan misteri itu. Seperti biasa, Pak Mentuaku tidak akan memberitahu nama atau siapa gerangan yang melakukan perbuatan itu. Aku sudah faham benar dengan sikap Pak Mentuaku demi menjaga keharmonian .
"Orang yang melakukannya tahu barang yang dihantar sudah ditangkap," kata Pak Mentuaku untuk menjawab pertanyaan salah seorang anggota yang terlibat dalam operasi malam itu. Kira-kira jam 2.00 pagi, anggota-anggota bomba mengemas barang-barang dan jaring dan bersalam-salaman dengan Pak Mentuaku dan aku. Kami bersyukur masalah itu dapat diselesaikan. Beberapa hari kemudian, aku mendapat tahu kejadian misteri anggota berkenaan tidak lagi berlaku..... 

Comments

Popular posts from this blog