Episod : HUKUM KARMA
Satu peristiwa yang ingin aku kongsi dan tidak mungkin aku lupakan sampai hujung nyawaku. Hari itu aku bertugas menjaga peperiksaan SPM di SK Klang sebelah pejabat ibu sawat Telekom depan bukit mahkamah Klang. Oleh sebab , sekolah tempat aku mengajar sekolah swasta, jadi murid-murid SPM akan menumpang di sekolah kerajaan seperti mana arahan PPD Klang
Pagi-pagi, aku sudah bersedia untuk ke sekolah dengan menunggang motosikal RC80 Suzuki. Setibanya di sekolah, aku telah meminta murid-muridku beratur sebelum masuk ke bilik darjah. Walaupun kami dari sekolah swasta, disiplin wajib diutamakan. Guru-guru dari sekolah kerajaan berasa kami banyak membantu memudahkan tugas mereka .
Selaku guru disiplin, ketegasan aku sememangnya sudah dimaklumi murid-muridku. Namun begitu, masih ada muridku yang datang ke sekolah hanya berselipar Jepun. Aku sudah menyediakan kasut 'spare' . Mereka mesti gunakan kasut 'spare' untuk masuk ke dewan sekolah .Imej sekolah mesti dijulang.
Malang menimpaku pada hari ketiga peperiksaan SPM. Sewaktu aku hendak membelok di pagar sekolah, datang sebuah kereta dari arah belakang lalu merempuh motosikal aku. Aku tergolek atas jalan raya dan lutut seluarku sedikit terkoyak. Murid-muridku hanya melihat kejadian itu namun tiada seorang pun menghulurkan bantuan. Aku gagahkan diri bangkit dan menuntun motosikalku ke tepi pagar. Walaupun lutut dan siku berdarah tetapi memandangkan peperiksaan akan berlangsung kurang 30 minit lagi. Aku mengarahkan murid-muridku supaya beratur dan menjumlahkan kedatangan murid-muridku bagi subjek pada hari.
Pemandu yang melanggarku memberitahu aku dia akan membayar ganti rugi kerosakan motosikal aku dan membayar kos rawatan klinik. Usai murid-muridku masuk ke bilik darjah dan peperiksaan sudah berlangsung , barulah aku menguruskan hal aku. Kebiasaannya , hanya seorang sahaja guru bertugas setiap hari menjaga peperiksaan.
Aku menuntun motor ke kedai motosikal berhampiran dan mendapatkan rawatan di klinik yang berdekatan kedai motosikal. Setelah urusan bayaran membaiki motosikal selesai oleh pemandu kereta , aku berjalan kaki ke sekolah. Pada ketika itu , lututku amat sakit dan bengkak kerana semasa terjatuh dari motosikal aku menahan lututku agar badan aku tidak terhempas di atas jalan. Selesai peperiksaan, aku ke kedai motosikal untuk mengambil motosikal aku semula. Kerosakan motosikal sudah siap dibaiki. Keesokan hari aku bertugas seperti biasa.
Barang kali , aku guru yang garang . Padan muka ,Cikgu ! 

Comments
Post a Comment