Setiap orang mempunyai hobi seperti memancing , melukis, menunggang basikal dan mematahkan dahan pokok hiasan rumah jiran ( masalah jiran aku ). Aku juga mempunyai hobi selain membaca dan menulis . Semasa sekolah , aku minat melukis . Hobi melukis bermula sejak sekolah rendah hingga tingkatan 3. Apabila naik tingkatan 4, aliran sains aku sudah kurang melukis.
Dulu, di pasar malam Pelabuhan Klang ada seorang peniaga menjual alat melukis pantas. Alat tersebut berupa kayu yang boleh digerakkan mengikut tangan kita. Di hujung kayu itu ada sebatang kayu lidi yang menjadi alat pengukur dan hujung satu lagi pensel. Kalau kita melukis potret sangat sesuai kerana bentuk wajah yang kita lukis sangat tepat . Apa yang penting kita mesti pandai menacap ton warna supaya lukisan nampak asli.
Sewaktu berkasih-kasihan, aku dan isteri sering mengunjungi Balai Seni Lukis Negara. Berjam-jam aku melayan lukisan-lukisan cantik yang mempesonakan . Isteriku bukan peminat lukisan . Aku pernah mengajar seorang anak muridku yang aku tidak begitu ingat namanya tetapi binti Yeusoff . Kata muridku , "Ayah saya seorang pelukis."
"Ayah awak lukis apa?," tanyaku.
"Lukis gambar Agong. Setiap kali Agong baru ditabalkan ayah saya diupah melukis gambar Agong."
"Wow, hebat," aku berasa teruja untuk mengetahui lebih lanjut tentang ayah muridku tetapi tidak kesampaian kerana muridku berhenti sekolah dan berpindah ke daerah lain. Sejak mendirikan rumah tangga , aku tidak lagi mengunjungi Balai Seni Lukis Negara . Minatku terhadap lukisan masih tebal . Sesekali aku cuba mengajak isteriku ke Balai Seni Lukis Negara dan isteriku menjawab," Abang pergilah sendiri ," kata isteriku tanpa menoleh melihat wajahku. Barulah aku tersedar bahawa semua ini hanyalah sandiwara dunia .
Satu lagi hobiku ialah mengecat. Ada berpuluh-puluh tin cat di rumahku.Jadi, aku boleh memgecat bila-bila masa aku suka. Barang kali juga, hobi mengecat ada kaitan dengan hobi melukis. Lebih tepat lagi melukis dan mengecat juga cabang seni. Masalah utama aku ialah kekangan masa. Aku pernah memanggil seorang bekas muridku yang menjalankan bisnes dalam bidang kontraktor.
Tujuannya untuk memintanya mengecat rumah luar dan dalam. Aku mendapat sebut harga upah RM3000 dan cat aku kena beli sendiri. Wah, mahalnya. Aku tidak jadi menggunajan perkhidmatannya jadi aku membuat keputusan untuk mengecat sendiri rumahku. Selang sebulann, muridku datang ke rumah dan tertanya-tanya tentang rumahku sudah bercat. Aku jawab," Saya mengecat sendiri lagi pun ada masa sikit ." Ternganga mulut muridku. Jimatlah wang aku dan isunya di sini 'kalau ada masa semua boleh jadi tapi kalau ada duit belum tentu boleh jadi.'
Sejak belakangan ini hobi aku terarah kepada seni pertukangan. Entah dari mana dan alasan apa tiba-tiba tanganku ini mampu bertukang. Aku tidak pernah bertukang. Semasa arwah Pak mentuaku membina rumah sewanya sendiri aku sering menjadi 'mangsa' disuruh menolong memaku. Beberapa kali batang paku melayang dan hampir terkena Pak mentuaku. Nasiblah arwah pandai bersilat dapatlah arwah mengelak atau menepis 'paku terbang tidak bermata'.
Kini, beberapa hasil tanganku seperti meja, kerusi dan pondok mini dapat kusiapkan. Kalaulah arwah masih ada entah-entah sebuah banglo kayu telah terbina di depan matanya. Angan-angankan percuma !
Hobi melapangkan fikiran. Hobi menyahkan stress.Hobi mengisi masa dengan perkara bermanfaat. Hobi boleh jana pendapatan . Jadi, ciptalah hobi agar anda bahagia !

Comments
Post a Comment