Episod: Aku dan buku

Seingat aku , bahan bacaan ilmiah pertama aku ialah surat khabar. Aku tidak pernah menghadiri pra-sekolah kerana pada zaman awal 70-an , tadika untuk golongan yang berkemampuan. Masa aku belajar membaca dibantu oleh arwah ibuku yang tamat sekolah darjah enam. Kalau tidak kerana dilarang oleh Che , arwah ibuku menjadi seorang guru sekolah pada zaman 60-an .
Setiap hari , ayahku akan pulang dari kerja dengan senaskhah surat khabar Utusan Malaysia. Ayahku memberitahu datuk saudaraku ialah pengarang Utusan Melayu di Singapura. Pada masa itu, aku tidak begitu tahu tentang nama-nama besar dalam dunia persuratan Melayu. Meskipun , ayahku seorang buta huruf namun pelajaran anak-anak menjadi keutamaannya manakala ibuku mengajar aku dan adik-adik mengaji Muqaddam. Apabila naik Al-Quran barulah aku dan adik -adikku dihantar menuntut ilmu Al-Quran di rumah tok guru . Ketika itu , kaedah membaca Al-Quran lebih kepada kaedah Talaqi.
Aku juga menonton televisyen dari situ aku belajar membaca dan memahami ayat daripada sarikata yang terpampang di kaca televisyen. Sebuah peti televisyen yang mempunyai pintu boleh dibuka dan ditutup. Perkataan pertama yang aku bertanya kepada ibuku ialah 'enggan' .
"Apa maksud 'enggan' ?, " tanyaku kepada ibuku yang sedang membaca surat khabar.
"Makna 'enggan' tidak mahu ," jawab ibuku sambil tersenyum.
Tahun 1974, aku mula bersekolah darjah 1 di Methodist Boys School (MBS) ,Pelabuhan Klang. Kesukaan aku ialah giliran kelas pergi ke Khutub Kanah ( perpustakaan). Semua murid akan beratur dan kedua-dua tangan di atas bahu kawan di hadapan dan kami berjalan seperti sebuah kereta api ke tingkat dua bangunan sekolah yang asalnya sebuah gereja Methodist.
Di perpustakaan sekolah , banyak buku disusun rapi di atas rak kayu . Ada buku baharu dan ada buku lama.Seorang sister menjaga murid-murid yang memasuki perpustakaan . Bahasa perbualan ialah bahasa Inggeris. Sebarang pertanyaan atau arahan dalam bahasa Inggeris.
Apabila tamat darjah 6 , aku mula bersekolah di Sekolah Menengah Dato Hamzah ,Pelabuhan Klang pada tahun 1980. Aku dilantik sebagai pengarang buletin bulanan naskhah surau sekolah. Akulah pengarang dan akulah penulis. Aku dibimbing oleh Ustaz
Abdul Shukur Idris
dan Ustaz
Saifudin Ahmad
. Sebuah buku yang sangat penting tetapi aku tidak mampu membelinya ialah Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka.
Pada tahun 1984, perpustakaan sekolah mengadakan pertandingan menulis esei . Hadiah tempat pertama ialah Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka. Aku tidak melepaskan peluang itu dan menghantar esei yang bertajuk "Profesor Dr. HAMKA" . Semasa perhimpunan sekolah , nama aku diumumkan pemenang tempat pertama . Hari itu aku menerima hadiah sebuah Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka daripada Pengetua , Tuan Zackhariah (arwah).
Apabila aku ke Tingkatan 6 , aku menjadi Ketua Pengarang Majalah Sekolah dan menganjurkan pertandingan berkaitan bahasa Melayu. Kiranya,aku ini memang gila bahasa Melayu. Kata-kata puitis yang tersiar di dalam surat khabar atau majalah akan aku gunting dan tampal pada buku atau album gambar. Pada masa lapang, aku membacanya sebagai ilham menulis karya sastera . Sejak itu , aku sudah mula menulis dan menghantar karya seperti sajak dan cerpen kepada Ketua Pengarang surat khabar dan majalah popular seperti URTV dan Varia Pop .
Zaman pekerjaan, aku sudah berjinak-jinak membeli buku bacaan. Sebelum itu, aku pengunjung tetap Perpustakaan Awam Klang berhadapan 'bus stand' MARA (sekarang tapak bas sudah terbina sebuah hotel yang dicat hitam ). Di perpustakaan , aku memilih majalah Sastera . Aku tidak mampu membeli majalah Sastera kerana harganya agak mahal. Aku kurang minat membaca novel apatah lagi jenis novel tebal tetapi aku lebih cenderung membaca kumpulan cerpen atau sajak. Dari situ aku mengenali nama-nama besar seperti A. Samad Said, Kemala, Usman Awang , Shahnon, Keris Mas , Anwar Ridhuan , Zaen Kasturi, Siti Zainon Ismail, Zurinah Hasan , Sri Diah , Zaharah Nawawi dan ramai lagi.
Apabila petang, aku melayan rancangan radio RTM ( nama rancangan tidak berapa ingat ) . Apa yang menariknya, juruhebah akan memetik kata-kata puitis atau sajak dan diselang seli dengan lagu-lagu berirama ' tangkap leleh ' seperti Jamal Abdillah dengan Derita Cinta dan Keluhan Perantau, Sudirman dengan Nilai Cinta dan Terasing, Broery Marantika dengan Angin Malam dan Senja Indah di Kuala Lumpur, Sohaimi Meor Hasan dengan Episod Cinta dari Bromley, M Nasir dengan Kekasih dan beberapa kumpulan band popular seperti Gingerbread, Flybaits, D'Loyd, Carefree dan Alleycats. Juruhebah bersuara lunak dan manja , Shahizan Jelas dan Lutfi bersurau garau sudah cukup menghanyutkan aku dalam kata-kata puitis.
Kini, aku akan membeli buku setiap bulan sebagai bacaan wajib bagi menambahkan ilmu. Tidak kira sama ada genre sastera, agama, politik, motovasi, kewangan dan sejarah. Ada sesetengah buku yang aku beli sejak 2010 belum sempat kubaca harap-harap cucu atau cicitku akan menjadi seorang pencinta ilmu dan buku !

Comments

Popular posts from this blog