Kisah benar.
Episod : James Bond
Tugasan aku bukan sekadar mengajar murid-murid sesi pagi tetapi sesi petang hingga sesi malam. Yang gigih aku yang untung tokey. Tak kisahlah janji aku puas mengajar dan hari ini ramai muridku telah berjaya dalam pelbagai karier masing-masing. Ada doktor . Ada lawyer. Ada pengulas sukan TV. Ada pelakon dan pengarah drama. Ada guru . Ada Pengarah Jabatan. Ada juga kerabat raja kalau dia ingat aku dapatlah Datuk suatu hari nanti. Apabila famili muridku ini datang ke sekolah , ada 'escort' ada 'dayang' bersampin berselempang macam di istana.
"Cikgu , ada dua orang nak jumpa cikgu, " kata kerani menyampaikan pesanan kepadaku.
"Siapa , Kak?," tanyaku. Kakak kerani hanya mengangkat bahu dan berlalu pergi. Ada dua orang lelaki menunggu aku di tangga. Seorang berbadan agak gempal. Seorang lagi berbadan kurus dan wajah serius.
" Cikgu Azmi, guru disiplin?," lelaki berbadan kurus menyapa aku sambil menghulurkan salam. Aku menyambut tangannya dan kami berjabat tangan. Lelaki yang berbadan kurus wajahnya bengis . Kedua-dua mereka membawa beg selimpang. Kemudian, muncul seorang lagi lelaki lebih kurus. Sekilas pandang seperti penagih dadah. Aku masih tertanya -tanya siapakah mereka yang datang berkumpulan berjumpa aku.
"Macam ni , Cikgu. Kami datang berjumpa Cikgu Azmi ada tujuan mustahak ," kata lelaki yang baru muncul tadi. Kedua-dua lelaki yang mula-mula berjumpa aku kelihatan diam seperti menghormati lelaki yang kelihatan seperti penagih. Wajahnya cengkung. Seluar jeans yang dipakainya sedikit terlondeh kerana terlalu kurus.
"Kami nak masuk belajar di kelas cikgu. Kelas malam, " sambungnya lagi.
"Bolehlah daftar di pejabat," jawabku lurus.
"Saya dah bagi tahu Pengetua tapi kami tak daftar untuk masuk kelas malam cikgu, " katanya lagi. Aku bertambah keliru. Nak belajar tapi tak nak daftar.
"Cikgu kenal tak , Cikgu (nama dirahsiakan)," sambungnya lagi.
"Kenal. Cikgu baru di sekolah ini. Rasanya baru 2 bulan masuk bekerja," kataku setelah mendengar nama guru yang dimaksudkan.
"Beginilah , Cikgu. Kami berterus terang. Sebenarnya kami dari Cawangan Khas, SB," kata lelaki yang berwajah cengkung. Dia menyeringaikan giginya yang kekelabuan itu. Dua orang lagi turut menyeringaikan gigi yang berkarat.
"Wah, tiga SB depan aku ni ada projek besar apa pulak ?, " bisikan kata-kata itu tersekat di kerongkongku.
"Kami sedang mengintip kawan cikgu ( dia membahasakan kawan aku )kerana ada info dia mengedar di sini, " kata lelaki itu dengan wajah serius.
" Oklah. Saya tak ada masalah," jawabku.
" Tapi , Cikgu. Dalam kelas jangan tanya-tanya kamilah sebab kami bukan datang nak belajar pun cuma nak mengintip beberapa 'student' cikgu di dalam kelas yang 'kamcing' dengan kawan cikgu tu , " katanya jujur sambil tersenyum kambing. Aku sebenarnya tidak begitu faham maksudnya 'jangan tanya - tanya '.
Mereka bersalaman dengan aku sebelum berlalu pergi. Mesyuarat tergempar itu hanya berlangsung di tangga. Aku cuba mengingati sedikit sebanyak kelakuan guru yang dimaksudkan . Hanya yang aku perasan , guru ini akan ke luar waktu maghrib sebelum kelasnya mengajar bermula ke stesen bas kemudian kembali ke sekolah sambil membawa air tebu ( air warna hijau ) di dalam plastik.
Keesokan malamnya, kelas tuisyen bermula. Rata-rata murid kelas malam itu ialah mereka yang sudah bekerja , sudah berkahwin dan berumur. Latar belakang mereka berbagai-bagai tetapi tujuan mereka satu untuk meningkatkan potensi diri dalam kerjaya masing-masing. Mereka ialah calon-calon STPM yang belajar kelas malam secara 'part time'.
Aku masuk ke dalam bilik darjah . Suasana riuh dengan sembang dan gelak ketawa. Aku tidak menegur seperti mana murid-murid sesi pagi kerana mereka di dalam bilik itu sudah bergelar emak dan ayah orang. Aku memandang sekeliling dan ternampak tiga orang lelaki semalam yang aku gelar "mamat" supaya mudah aku mengingati mereka dan tidak tersasul bertanya itu ini. Aku hampir tergelak melihat mamat yang kurus dan seluar terlondeh semalam memakai baju 'long sleve' , seluar 'slack' dan kasut sukan.
"Bergayanya kau, " bisik hati kecilku. Manakala , dua orang mamat lagi duduk di tepi tingkap dan berpakaian biasa.
Aku tidak ambil pusing sangat pasal mamat tiga orang itu sebab pada aku mereka sedang menjalankan tugas. Mereka kelihatan seperti murid-murid lain cuma mereka kurang bercakap dan kerap menyelak langsir tingkap melihat ke bawah. Aku pun tidak tahu apa yang diintainya. Aku juga tidak pernah bertanya apa yang dibawanya di dalam beg selempang tapi aku yakin mamat-mamat ini membawa senjata api atau 'walkie talkie' . Takkanlah mereka bawa bom di dalam kelaskan ?.
Begitulah setiap malam kelas tuisyen berlangsung seperti biasa. Mereka hadir hampir setiap malam. Kalaupun salah seorang atau dua orang tidak hadir tinggallah seorang di dalam kelas. Apabila menulis esei aku akan meminta mereka menulis jawapan dan menghantarnya kepada aku untuk disemak. Mamat bertiga itu juga ada menghantar esei hanya setengah muka surat kertas kajang. Semasa menyemak kertas latihan , tiba kertas mereka aku ternganga dan tergelak besar. Mereka ini tulis esei ke tulis 'report polis. Aduhai !.
Hari demi hari, tiada apa-apa yang berlaku atau perkara pelik. Hanya pada suatu malam, aku ternampak di celah langsir bilik darjah ada beberapa buah kereta sedang parkir di tempat parkir dan beberapa orang lelaki sedang duduk di dalam kereta. Tiada sesiapa pun di luar kereta. Sesekali asap berkepul-kepul keluar dari tingkap kereta yang terbuka sedikit. Aku hanya beranggapan bahawa barang kali mereka itu gang mamat-mamat itu atau gang guru itu.
Aku juga perasan , apabila berbual-bual dengan guru itu dia agak berkhayal dengan mata kuyu walaupun badannya agak gempal juga. Malah, kuat berpeluh. Dia juga sentiasa berpakaian kemas dan bagi aku dia guru paling kemas dari aspek berpakaian dan bergaya. Aku tidak pernah menyelidik latar belakangnya tetapi kalau bercakap dan ketawa kadang-kadang ketawanya agak berlebih-lebihan walaupun ceritanya tidaklah lucu sangat.
Hinggalah pada suatu malam , aku ada mendengar bunyi bising di tangga. Aku bertegas tidak membenarkan sesiapapun keluar dari bilik darjah. Aku bergegas ke tangga dan melihat beberapa orang sedang bergelut dan aku mengenali mereka. Sejak hari itu, aku tidak lagi melihat guru itu sehingga hari ini. Keesokan malam, aku didatangi oleh mamat yang kurus itu dan mengucapkan ribuan terima kasih sambil memberitahu aku tugas mereka sudah selesai.
Aku tidak pernah terserempak dengan mereka lagi selepas itu kecuali salah seorang daripada mereka yang agak berumur di UiTM Shah Alam semasa aku mengikuti pengajian di sana (menumpang tempat belajar / peperiksaan tetapi aku mahasiswa UPM ketika itu). Dia sedang ' study' dengan beberapa orang mahasiswa UiTM di kafe dan aku sempat menyapanya tetapi sekilas pun dia tidak menoleh atau tersenyum kepadaku. Aku faham situasi itu kerana mamat ini seorang ' James Bond '.
(Bersambung ....Episod : Surat Saman Trafik )
Comments
Post a Comment