Kisah benar.
Episod : Bunuh Diri
Kisah ini melibatkan tiga orang muridku. Demi memelihara keharmonian, aku namakan ketiga-tiga mendiang sebagai X,Y dan Z. Mereka murid Tingkatan 6 ( STPM) di sekolahku. Setiap kejadian ada asbab . Aku mulakan dengan kisah X dulu.
Muridku ini seorang pelajar lelaki. X seorang murid baharu. Kiranya, dia mendaftar lewat selepas di Tingkatan 6 Atas. X sangat pendiam dan berperwatakan sedikit pelik. Apabila X bercakap denganku, dia akan berdiri tegak dengan kepalanya mendongak dan dada mendabik. Gaya seorang anggta polis. Memang betul . X seorang bekas anggota polis di Singapura. Khabarnya, X telah diberhentikan daripada perkhidmatan dan kembali menetap bersama-ssma keluarga.
"Cikgu, mereka tidak mahu kawan dengan saya," kata X pada suatu hari apabila X datang berjumpa aku di pejabat.
"Kenapa ni?," tanyaku semula. X membungkam dengan wajah muram. Kelihatan jalur-jalur kesedihan di raut wajahnya.
"Mereka belum mengenali awak lebih dekat," kataku sambil memeluk bahunya. Itulah caraku memujuk muridku untuk mengambil hati mereka. Murid perempuan aku tidak peluklah aku hanya melemparkan senyuman saja.
Pertemuan itu tidak berakhir di situ. Aku juga meminta beberapa orang muridku yang rapat denganku agar berkawan dengan X. Hari demi hari, situasi X dengan suasana sekeliling tidak banyak berubah. Walaupun aku lihat X sudah mempunyai dua tiga orang rakan tetapi dia agak pendiam atau lebih tepat kekok untuk berkawan .
Selepas hampir 3 bulan berlalu, pada suatu pagi aku sedang 'merempit' ke sekolah dengan menunggang motosikal RC80 Suzukiku. Aku ternampak X berjalan seorang diri. Cuaca cerah tetapi X memakai baju hujan? Pertanyaan itu bermain-main di fikiranku.
Aku parkir motosikalku di ruang pakir. Beberapa orang pegawai bank muda yang bekerja di bank harimau di bawah bangunan sekolahku sedang membeli makanan dan minimum di warung tepi jalan. Bergaya dan cantik tapi masing-masing muka ketat. Pegawai lelaki yang muda dan bertali leher pula bergaya dengan kereta.
"Cikgu ," tegur X dari belakang. Aku segera menoleh. X berdiri rapat dengaku dan hampir bersentuh muka denganku. Aku menapak satu langkah ke belakang .
"Cikgu tak sayang saya. Semua orang tak suka saya," terhambur kata-kata X seperti meluahkan isi hatinya yang sekian lama terbuku.
"Eh , jangan cakap begitu," aku cuba memujuknya.
Belum sempat aku menyambung kata-kataku ,X sudah berpaling dan berjalan laju ke arah jambatan . Aku menyuruh dua orang pengawasku mengekori X .
Aku naik ke tingkat atas dan setelah menyimpan barang-barangku di bilik guru, aku masuk ke dalam kelas. Sesi sekolah bermula jam 8.00 pagi.
"Tok!Tok!Tok!" Pintu bilik darjah diketuk keras dan berulang kali. Aku segera membuka pintu.
"Cikgu, X terjun jambatan !," kata salah seorang pengawasku. Aku terduduk di atas kerusi.
"Allahuakbar!" . Mayat X ditemukan pasukan bomba dan penyelamat di kawasan perangkap sampah di Padang Jawa keesokan hari.
Comments
Post a Comment