Kisah benar..

Episod : Naik langit ke-7
Kebanyakan guru di sekolah ini ialah guru-guru Melayu dan dua orang guru India. Tiada guru Cina yang mengajar di sekolah ini. Perjalanan sekolah berjalan seperti biasa . Aku mengajar dan menjalankan tugas sebagai guru disiplin dengan dibantu hampir 2- hingga 30 orang pengawas lelaki dan perempuan.
Sesuatu yang aku lihat seperti kelaziman di tempat-tempat lain ialah cinta kawan ofis. Jadi , dalam ramai guru itu adalah yang bermadu kasih bersumpah janji bulan dan bintang . Aku tidak ambil pusing sangat kerana pada ketika itu aku sudah bekerluarga dan mempunyai anak perempuan seorang . Sebenarnya , hampir 6 tahun usia perkahwinan kami dianugerahkan 3 orang cahaya mata perempuan yang comel dan lasak. Penantian demi penantian seorang putera tidak kesampaian.
Pada suatu hari , semua guru diarahkan pergi ke tingkat bawah di bahagian belakang blok utama sekolah. Di situlah Pengetua dan keluarganya tinggal. Manakala, murid-murid telah diarahkan pulang awal. Aku juga pelik kerana tiada sebarang info berkaitan murid-murid dibenarkan balik awal. Maklumat hanya disampaikan oleh kerani pejabat kepada guru-guru di bilik guru. Tiada notis awal diberikan. Guru-guru beragama Islam sahaja sahaja dikehendaki hadir di tempat yang telah ditetapkan . Jam ketika itu menunjukkan pukul 2.00 petang .
Kami juga diarahkan supaya mengambil wudhu' sebelum ke tingkat bawah. Sesama kami tertanya-tanya apakah perkara yang sebenarnya sedang berlaku kerana inilah kali pertama arahan seumpama ini . Setelah itu seorang demi seorang masuk ke ruang tamu rumah Pengetua. Di situ , sudah menunggu Pengetua dan suami serta ahli keluarganya yang lain.
Kami duduk bersila dan guru-guru perempuan duduk bersimpuh. Pengetua memulakan bicara yang kami tertanya-tanya sejak tadi. Kami dimaklumkan bahawa salah seorang rakan sekerja kami , guru perempuan telah jatuh sakit dan mengalami suatu pengalaman yang sukar untuk diceritakan. Guru perempuan yang dimaksudkan muncul dari dalam bilik dan duduk di tengah-tengah lingkungan kami . Berpakaian serba putih lengkap tetapi tudung kepalanya diturunkan ke bawah sambil menunduk . Jadi aku yangkepalanya sejak tadi cuba mencari jawapan tidak dapat melihat apa-apa . Hanya sebatang tubuh yang sedang duduk dengan kepalanya tertunduk ke bawah sepanjang masa.
Perjumpaan dimulai dengan bacaan surah Ya-sen. Kami mula membaca surah Ya-Sen bersama-sama semua kakitangan sekolah termasuk kerani dan pekerja kantin sekolah. Usai bacaan surah Ya-Sen , suasana menjadi diam seketika. Pengetua memberitahu bahawa guru perempuan itu akan menceritakan pengalamannya yang dialami semasa bermimpi. Hatiku berdebar-debar menunggu cerita yang hendak disampaikan tapi aku tidaklah pula berasa takut kerana sudah beberapa kali aku menyertai bapa mertuaku dalam operasi menangkap hantu (episod : Hantu akan diceritakan kemudian ).
Guru perempuan mula bercerita tentang pengalaman mimpi yang dialaminya. Semasa dia bermimpi itu, dia sedang naik ke atas langit. "Ah, sudah," bisik hatiku. Wajah guru-guru lain serius mendengar cerita naik ke langit.
"Tapi tak sampai langit paling atas, langit ke-7 . Saya melihat keluarga Pengetua ( disebutlah nama-nama ahli keluaraga Pengetua ) ada di atas langit itu, " katanya dengan suara agak perlahan. Penceritaan itu berhenti setakat itu sahaja. Pengetua terus memeluk guru perempuan itu yang sebenarnya bakal adik ipar Pengetua tidak lama lagi.
Jadi , kami diminta mengambil ikhtibar supaya beramal soleh dan memperbanyakkan amal. Guru-guru lelaki diarahkan supaya memakai songkok bermula esok . Arahan , mandatori !. Aku memandang kawan-kawan sekerja aku dan kami berkomunikasi dengan gerak mata kami menggunakan kod yang kami sahaja faham. Kami pun ada ilmu kesaktian tapi malas nak tunjuk. Cikgu yang duduk sebelah aku tercuit-cuit bawah paha aku sambil tersenyum menunduk ke bawah . Badannya menggigil seolah-olah hendak ketawa atau terkencing aku tidak pasti.
Kami diarahkan menyambung kerja. Sepanjang perjalanan ke bilik guru, masing-masing diam tidak berkata apa-apa. Aku bertanya kepada guru yang mencuit paha aku. Dia ketawa kecil sambil menutup mulutnya dengan tapak tangan agar bunyi ketawanya tidak begitu jelas. Aku masih tertanya-tanya apa yang kudengar tadi dari segi logik akal atau kebenaran dari sudut agama. Apa pun boleh jika Allah menghendakinya. !
Keesokan hari , bermulalah suatu pemandangan yang laur biasa. Semua guru lelaki bersongkok terutamanya yang ada pertalian dengan keluarga Pengetua tetapi aku dan kawanku tidak memakai songkok. Pengetua menjeling ke arah aku . Aku memberikan salam tetapi salamku tidak berbalas. Begitu juga apabila aku memberikan salam kepada ahli keluarganya yang juga bekerja di situ tetapi salam aku tidak dibalas. Aku diam dan membiarkan perkara itu berlalu.
Sejak perjumpaan itu, keadaan sudah berubah sangat. Ayat-ayat suci Al-Quran berkumandang di dalam blok bangunan. Murid-murid Cina dan India seperti terganggu dengan suasana baharu itu. Aku terus menjalankan amanah aku seperti biasa tetapi situasi hambar di sekolah kerana seperti sudah ada dua pasukan di sekolah itu. Satu pasukan bersama-sama aku dan satu pasukan bersama pengurusan. Salah seorang guru yang berpendidikan agama membebel tidak berhenti tentang hal semalam . Dia memang tidak setuju langsung mempercayai perkara yang diceritakan. Kami lebih mengenali guru perempuan itu dan aktiviti di luar sekolah.
Keadaan itu berlarutan sehingga sampai perhimpunan sekolah sudah ada suasana baharu ala-ala sekolah agama. Sebulan atau dua bulan selepas itu , meletuplah satu kes yang kami sendiri tidak menjangkakan yang membawa kepada 12 guru meletakkan jawatan serta-merta..!
(Bersambung ....Episod : Tangkap Hantu )

Comments

Popular posts from this blog