Kisah benar.

Episod: Tunjuk Perasaan
Ekoran kejadian kematian seorang murid sekolahku ditembak oleh pasukan polis timbul pelbagai versi cerita. Cakap-cakap yang memanaskan keadaan. Sedar-sedar keluar dalam televisyen tentang sekumpulan murid dan guru melakukan protes di luar rumah mendiang.
Sepanduk banner juga naik sambil murid-murid dan guru-guru menyatakan bantahan dan meminta keadilan. Pada pendapat aku kes ini lebih kepada "wrong time wrong place" . Mendiang sendiri mungkin tidak tahu hal sebenar kerana mendiang dikatakan pemandu kereta ketika kejadian . Mendiang baru berumur 18 tahun semasa kejadian .
Hal tersebut turut menarik perhatian pihak atasan syarikat kerana nama sekolah juga disebut dalam siaran berita. Keluarga mendiang bercadang untuk menyaman kerajaan dan pihak yang terlibat menyebabkan kematian mendiang. Beberapa orang peguam juga dilantik untuk mewakili kes tersebut di mahkamah.
Pihak sekolah hanya bersedia dengan dokumen-dokumen berkaitan jika diperlukan nanti . Aku kurang pasti sama ada kes tersebut benar-benar dibawa ke mahkamah atau sebaliknya. Selang seminggu , kerani pejabat menyampaikan pesanan.
"Cikgu, nanti hari Jumaat, pegawai polis dari Bukit Aman akan jumpa Cikgu," kata kerani. Bulan itu ialah bulan Ramadan.
Sehari sebelum perjumpaan aku , Pengetua dan pegawai polis dari Bukit Aman , seorang SB berpangkat Sarjan datang ke pejabat sekolah. Tujuannya untuk memaklumkan secara rasmi tentang kehadiran pegawai-pegawainya seramai 5-6 orang. Aku menunjukkan bilik mesyuarat yang ada di sekolah sebagai bilik perjumpaan dan kawasan parkir kereta untuk pegawai-pegawai polis tersebut. Hanya seorang pegawai bukan Muslim yang turut sama dalam perjumpaan itu dan aku mengarahkan kerani pejabat untuk menyediakan minuman petang ala kadar. Mereka dijangka tiba selepas solat Jumaat.
Hari berkenaan pun tiba , aku yang baru pulang dari solat Jumaat sudah bersedia mrnyambut rombongan pegawai polis dari Bukit Aman. Mereka diiringi sebuah MPV dan pegawai-pegawai yang datang memakai uniform lengkap. Itulah pertama kali aku melihat sekumpulan pegawai polis berpangkat tinggi masing-masing dengan paku bintang dan keris di bahu.
Aku menyambut mereka di kawasan parkir dan banyaklah mata memandang yang duduk makan minum di warung tepi jalan dan tertanya-tanya sebab begitu ramai pegawai kanan polis datang serentak. Beberapa orang SB mengiringi mereka dan ada yang duduk menunggu di bawah .
Ada seorang dua pegawai kanan polis yang biasa aku nampak di dalam televisyen apabila membuat sidang akhbar. Selepas bersalam-salaman , aku membawa mereka bilik mesyuarat utama dan setelah itu , aku memperkenalkan mereka kepada Pengetua dan beberapa orang kerani pejabat. Aku memberikan arahan kepada kerani agar murid-murid tidak dibenarkan berada di kawasan berdekatan bilik mesyuarat bagi mengelakkan bising atau gangguan .
Salah seorang pegawai kanan memperkenalkan aku dan Pengetua kepada setiap pegawai kanan yang berada di dalam bilik mesyuarat itu. Pangkat paling rendah di dalam bilik itu berjawatan ASP.Selebihnya, ACP, CP, SAC. Aku berasa teruja melihat pakaian seragam mereka kerana dulu selepas STPM tahun 1986 , aku pernah memohon jawatan pegawai kadet polis tetapi ditolak kerana bercermin mata. Bukan rezeki aku dan ada hikmah di sebaliknya. Mereka mewakili kerajaan Malaysia dalam kes saman keluarga mendiang .
(Bersambung...Episod: Briefcase )

Comments

Popular posts from this blog