Kisah benar..
Episod:Tangkap Hantu
Selepas perjumpaan hari itu , aku dipanggil Pengetua sekolah ke pejabat.
"Apa hal pulak ni?, " hatiku tertanya-tanya kalau ada isu yang timbul. Aku mengetuk pintu bilik Pengetua dan menolak daun pintu.
"Duduk,Cikgu," kata Pengetua dengan wajah ketat.
"Begini , Cikgu. Saya nak minta tolong Cikgu . Nak minta Cikgu bagi tau pak mertua. Cikgu (guru perempuan itu ) tak berapa sihat. Ada gangguan," kata Pengetua sebelum sempat aku bertanya. Aku hanya mendiamkan diri.
"Nak minta pak mertua Cikgu tengok-tengokkan. Saya rasa ada orang tak suka dengan dia, " sambung Pengetua lagi.
"Baiklah , Cikgu. Nanti saya sampaikan," kataku sambil mengangguk faham.
Malam itu aku memberitahu pak mertuaku tentang pesanan Pengetua itu. Pak mertua mendengar dengan teliti apa yang diberitahu oleh Pengetua siang tadi.
"Beginilah. Esok kau bagi tau Pengetua , kita pergi ke rumah Cikgu tu," jawab pak mertuaku.
"Esok kau kerja tak?," tanya pak mertuaku.
"Tak pak.Esok hari Ahad," jawabku.
Pak mertuaku seorang pengamal perubatan tradisional , seorang ustaz, seorang pak kiyai, kawan pesanteren Gus Dur , bekas Jenderal tentera zaman Soekarno dan guru silat . Gelarannya di kampung "Wak Haji ". Aku juga turut berasa bangga menjadi menantunya kerana pak mertua seorang yang warak dan merendah diri. Solat malam dan berpuasa sudah menjadi rutinnya. Kalau aku pulang ke kampung , aku tidur di sebelah tilamnya dan aku tidur nyenyak tapi setiap kali aku terjaga, pak mertuaku sedang solat. Tak tahu sebenarnya bila pak mertuaku tidur. Aku hanya membantu pak mertuaku menjalankan tugas yang disuruh walaupun pak mertuaku mempunyai beberapa orang murid lain. Aku hanya menolongnya.
Keesokan hari , aku dan pak mertuaku ke rumah guru itu. Kami sampai lebih kurang 6.00 petang . Keluarga guru itu sudah menanti kedatangan kami.Aku sudah maklum akan tugasku lalu aku hanya mengekori pak mertuaku keluar masuk rumah dari pintu depan ke pintu belakang .
"Kau jaga pintu belakang. Kalau dapat tangkap ," arah pak mertuaku. Aku mengangguk faham .Pak mertuaku memulakan langkah silat di pintu depan dan aku berjaga-jaga di pintu belakang. Semua yang ada di dalam rumah duduk diam tidak berkata apa-apa hanya aku dan pak mertuaku yang 'beroperasi' .
Tiba-tiba, bunyi dentuman kuat di atas bumbung rumah berlari-lari. Aku tetap menunggu di pintu belakang. Aku tidak lari kerana aku sudah diamanahkan menjaga kawasan pintu belakang.
"Panggggg," bunyi dentuman kuat seperti bunyi parang jatuh ke lantai. Pak mertuaku meluru ke pintu belakang dan mengambil sebiji telur berwarna hitam . Setelah membaca ayat-ayat suci Al-Quran keadaan kembali tenang. Tiada lagi kedengaran bunyi bising seperti orang berlari-lari di atas bumbung. 'Operasi' sudah dianggap selesai !.
Setelah solat naghrib di rumah itu,kami bergerak pulang.
"Apa pak," tanyaku.
"Ooo..tuju-tuju," jawab pak mertuaku sambil ketawa.Aku turut ketawa kerana pak mertua aku suka bergurau. Sesampai di rumah 'benda' itu sudah 'dineuteralkan' dan tiada lagi 'gangguan' .
Pengalaman menangkap 'benda' ghaib sudah beberapa kali aku ikut serta dalam 'operasi' . Pernah sekumpulan pelajar perempuan sekolah berasrama diserang histeria. Beberapa orang guru telah datang menjemput pak mertuaku ke sekolah untuk membantu memulihkan pelajar-pelajar histeria.
Kami tiba di sekolah itu , pelajar-pelajar perempuan yang diserang histeria sedang 'mengamuk' di bilik makmal. Mereka sebenarnya sudah dikurung oleh guru-guru yang turut berada di luar makmal. Aku membontoti pak mertua aku ke dalam makmal. Beberapa orang pelajar perempuan sedang menjerit, menangis , termenung dan berbagai-bagai kelakuan aneh.
"Azmi , kau tunggu sana ," arah pak mertuaku. Aku berdiri di suatu tempat yang ditunjuk oleh pak mertuaku. Seorang guru lelaki turut berdiri di sebelahku. Wajahnya agak cemas.
"Nak buat apa , Encik?," tanya guru lelaki itu.
"Tunggu saja sini. Jangan lari," kataku cuba menakutkannya. Pelajar-pelajar perempuan itu dipeluk oleh guru-guru perempuan dan sebahagian lagi menunggu di asrama dan dilarang turun ke makmal kerana dibimbangi mereka turut mendekati kawasan makmal.
Seorang demi seorang telah berjaya dipulihkan dan dipapah ke luar ke bilik guru. Hanya seorang lagi yang tinggal dan sangat agresif. Setelah 'didera' dengan cara tertentu barulah mangsa itu mengaku asal usulnya . Rupa-rupanya sebuah banglo lama yang terletak lebih kurang 300 meter dari bangunan sekolah itu tempat 'dia' tinggal dan 'disuruh' balik ke tempat asalnya . Keadaan pulih sepenuhnya dan kami pulang ke rumah.
"Bagaimana kawan kau tu," tanya pak mertuaku sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah.
"Sudah baik,pak ," jawabku.
"Pak , nak tanyalah, hari itu kawan saya kata dia bermimpi naik ke langit ke -7.Betul ke, pak," tanyaku .
"Huiii, orang sakit lagi kau percaya cakap dia. Jangan percayalah cakap dia ," kata pak mertuaku sambil ketawa kecil. Selang beberapa bulan kemudian, guru perempuan itu berkahwin dengan adik Pengetua.
Kenangan yang tidak dapat aku lupa apabila pak mertua aku memanggil aku ke biliknya. Banyak kitab dan 'barang' tertentu di bilik itu . Kitab-kitab di dalamnya ayat-ayat Al-Quran bertulisan tangan pak mertuaku.
"Aku berikan ayat ini untuk kegunaan kau masa kecemasan sahaja. Masa lain tak boleh ," kata pak mertuaku menyerahkan sepotong kertas bertulisan ayat Al -Quran .Apakah hikmahnya? . Punca aku menerima ayat itu ekoran peristiwa yang terjadi semasa aku dan pak mertuaku pulang dari merawat orang sakit. Tiba-tiba, kami terserempak sekumpulan anggota polis trafik membuat 'road block' . Aku pulak lesen L motosikal naik berdua masaklah. Jalan lurus tak ada belok-belok. Berpeluh ketiak. Pak mertua aku menepuk-nepuk bahuku.
"Kau jalan saja," arah pak mertua aku. Sebuah demi sebuah motosikal kena tahan polis trafik disuruh berhenti di bahu jalan. Aku buat-buat berani. Alhamdulillah, lepas. Tiada seorang pun anggota polis yang berdiri di papan tanda " BERHENTI" menahan motosikal yang kami naiki walaupun anggota-anggota polis itu berdiri jarak sekaki. Sungguh, mereka langsung tidak nampak kami. Tiada apa-apa reaksi daripada anggota-anggota polis di situ. Mereka menahan semua motosikal kecuali motosikal yang kami tunggang.
"Pak,polis tu tak nampak kita ?," tanyaku selepas melewati 'road block'.
"Tak," hanya sepatah kata jawapan pak mertuaku . Aku hanya diam lalu memecut meninggalkan kawasan itu. Itu belum lagi cerita tangki motosikal aku kehabisan minyak di tengah jalan. Pak mertua aku menyuruh aku membuka penutup tangki dan mrnghembus ke dalam tangki lalu ditutup semula.
"Dah jalan. Jumpa stesen minyak berhenti. Kita pinjam sekejap saja," kata pak mertuaku. Aku berhenti di stesen minyak yang kira-kira jarak 10 minit menunggang dengan kelajuan 50-55km/jam lalu mengisi tangki moyosikal. Tiada setitik minyak di dalam tangki !. Aku tidak mahu bertanya nanti pak mertua ketawakan aku.
Pada suatu hari, kebetulan ,datuk kepada seorang muridku berbangsa Cina mengenali pak mertuaku dan mengetahui aku menantunya. Tokey kedai yang sudah berumur lingkungan 80 tahun itu memberitaku ," Cikgu punya bapa sudah banyak tolong saya, nasib baik saya tak mati," katanya menggeleng-geleng kepalanya sambil tertunduk .Barang kali ada sesuatu yang masih segar di dalam memorinya.
"Itu masa 13 Mei 1969, saya sini tinggal satu orang Cina depan jalan Cikgu punya pak rumah. Semua orang Melayu sudah kumpul depan rumah saya .Jerit-jerit marah suruh kita orang semua keluar," cerita taukey itu dan tertunduk seperti sangat sedih.
"Saya ingat itu hari saya mesti mati," sambungnya lagi. Aku hanya mendengar saja ceritanya.
"Cikgu punya pak datang mahu kasi tahu semua orang jangan bikin apa-apa sama saya punya keluarga. Cikgu punya pak pun dia orang marah kuat-kuat."
Suasana sepi seketika.
"Cikgu punya pak halau semua orang balik. Satu barang apa pun dia tak pegang," katanya lagi.
"Tak ada sesiapa pun dengar dia punya cakap."
"Dia kutip satu batu kecil besar macam guli . Dia baling batu itu kena pokok getah . Itu pokok tumbang, woo," cerita taukey itu sungguh-sungguh.
"Apa jadi taukey lepas tu?," tanyaku pula setelah aku hanya mendengar cerita taukey itu .
"Semua orang balik rumah. Saya banyak terima kasih sama cikgu punya pak, saya punya nasib banyak baik," kata taukey itu mengakhiri ceritanya.
Sebenarnya , banyak lagi kisah ' istimewa ' tentang pak mertuaku yang aku akan simpan sebagai kenang-kenangan .Satu lagi peristiwa , pak mertuaku dijemput kereta rasmi pengiring ( Almarhum ) Sultan Selangor pada suatu malam ke Istana Besar,Klang. Tuanku permaisuri telah lama gering dan Tuanku Sultan memanggil semua bijak pandai datang ke istana.
Bunyi siren polis sedetik di luar rumah.
"Wak Haji, serah diri," kedengaran bunyi pembesar suara. Keluar seorang anggota polis yang juga pengawal peribadi Tuanku yang aku kenali.
"Bapak ada di rumah, cikgu?"
"Ada tu .Ketawa je," kataku apabila menoleh melihat pak mertuaku.
"Pak, saya diarahkan bawa pak ke istana sekarang juga," kata pegawai polis itu yang juga salah seorang muridnya. Sebelum bergerak ke istana malam itu, pak mertuaku berpesan kepada aku agar bermalam saja di rumahnya untuk menemani ibu mertuaku.
"Azmi, kau jaga rumah. Jangan keluar rumah walau apa pun berlaku. Tutup pintu tingkap semua," pesan pak mertuaku.
"Baik, pak." Mereka berlalu pergi dengan kereta pengiring Tuanku Sultan diikuti oleh sebuah MPV polis.
Aku bersila di ruang tamu manakala ibu mertuaku dan isteriku berbual-bual seperti berbisik bertemankan cahaya samar-samar lampu kalimantang dari dapur. Tidak lama kemudian, sekitar jam 1 pagi , kedengaran bunyi benda jatuh di atas bumbung rumah dengan sangat kuat. Bunyi berderap-derap atas bumbung dan senyap.
Kami tidak bersuara. Mak mertuaku membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Tiba-tiba telefon di rumah berdering. Aku segera mengangkat gagang telefon.
"Azmi, tak ada apa-apa ye?," suara pak mertuaku kedengaran di hujung talian.
"Tadi ada bunyi benda berat jatuh atas bumbung," beritahuku tapi pak mertuaku diam sahaja.
"Pak , di mana?" tanyaku pula.
"Masih di istana dengan Tuanku, Ustaz Haron Din dan Ustaz Ismail Kamus.Tengku Ampuan baru mangkat. Tuanku Sultan hendak bercakap dengan kami," kata pak mertuaku lalu meletakkan gagang telefon.
Allahyarham pak mertuaku meninggal dunia pada hari Jumaat, penghulu segala hari. Jenazahnya dimandikan di atas pangkuan aku dan anak serta menantu lelaki. Kami duduk bersilang-silang di lantai. Seusai dikapankan , jenazahnya dibawa ke masjid untuk disolatkan selepas solat Jumaat. Solat jenazah diimami adiknya sendiri Imam masjid di kampung itu. Masyallah , jemaah yang bersolat jenazah melimpah hingga ke luar masjid yang kuanggarkan ribuan orang. Allah mempermudah urusan jenazah pak mertuaku. Semoga roh Allahyarham pak mertuaku diberi keampunan dan dicucuri rahmat Allah.Al - Fatehah (dibaca). Amin Ya Rabbal Alamin.
(Bersambung...Episod : Dadah )
Comments
Post a Comment