Episod :Soal Hati

Pertemuan tanpa disengajakan itu tidak berakhir di situ. Aku dan M bertukar-tukar nombor telefon supaya kami dapat berhubung dan tidak terpisah lagi, itulah janjiku kepada M. Hari-hari yang berlalu penuh dengan momen yang indah. Hampir setiap hari aku dan M berbual-bual di telefon bimbit seakan memutar kembali suatu waktu yang tertinggal dulu.
" Saya fikir kita perlu membuat kata putus atas hubungan ini ," kataku suatu petang ketika kami mengunjungi KL. M mengajak aku singgah di kotanya itu. Banyak yang M ingin ceritakan kepada aku selama dia berhijrah di KL. Bagi aku , KL sebuah bandar kosmopolitan yang serba lengkap dan moden . Terdetik di hati kecilku bahawa M sudah mempunyai teman istimewa. Kata-kataku tadi tidak disahut oleh M. Apa yang kusedari , M kini sangat berahsia.
Kami duduk di sebuah restoran makanan segera. M yang mengajak aku ke sana kerana dia mahu aku mengenali kota itu.
"Hi, Z ," tiba-tiba M menyapa seorang lelaki berpakaian kemas dan bertali leher. Kukira lelaki itu seorang pegawai besar atau seorang ahli perniagaan di kota itu.
"Saya perkenalkan, Z temanku saya," ujar M sambil melihat wajahku yang sedikit terkejut.
Aku dan Z saling berkenalan manakala M kelihatan begitu gembira melihat kami berbual-bual seakan sudah lama saling mengenali. Z seorang lelaki berkarisma dan tutur katanya amat berhati-hati. Sesekali M mencelah perbualan kami dengan gelak ketawa. Perbualan kami berakhir di restoran itu dan Z menawarkan diri untuk menemani M pulang ke kediamannya. Aku hanya mampu tersenyum apabila M mengangguk setuju.
Aku memandu di Lebuh raya Persekutuan menuju ke kota K. Celoteh DJ menemani aku di sepanjang perjalanan. Radio Klasik FM memang saluran radio kegemaran aku . Perasaanku dibuai jauh saat berkumandang lagu 'Nilai Cintaku' lontaran suara Allahyarham Sudirman.
Hari itu aku menunggu M di tepi jalan kerana aku sudah berjanji untuk berjumpa dengannya . M menemani aku menyusuri jalan-jalan di kota K . Kami singgah di jeti tempat biasa kami berbual-bual dan melontar rasa. M amat suka mendengar aku membisikkan kata-kata puitis dan disulami dengan ketawa manja. M berambut pendek seperti Lady Diana tambahan lagi kulitnya yang cerah menambahkan keanggunannya di mataku.
"Apa makna 'Cinta'?, " tanya M hampir tergelak. M menarik tanganku memaksa aku menjawab pertanyaannya.
"Cinta ? " kuulang pertanyaan M. M mengangguk sambil tersenyum.
"Soal hati," jawabku ringkas. M ketawa riang dengan mata bersinar.
Bunyi hon kenderaan di sebelahku mematikan lamunanku. Kedengaran di corong radio Ibnor Riza melontarkan suara jantannya 'Mimpi Yang Tak Sudah'. Aku bernyanyi kecil menempuh perjalanan pulang ke kota K. Aku berasakan M sudah menemukan cinta hatinya di KL. Barulah aku tersedar sebab M sangat berahsia denganku.
Ada masa panggilan M kubiarkan saja berdering di atas meja. Pesanan 'whatsapp' M pun hanya kekadang aku membalasnya. Aku tidak mahu menjadi penyebab hubungan M dan Z terganggu. Aku mahu M menemui lelaki yang benar-benar mampu menjaganya dan lebih-lebih lagi membelai hatinya. Bukan salah M mencari kebahagiaannya . Akulah yang telah melukakan hatinya .
Telefon bimbitku berdering kembali dan tertera nama M di skrin . Aku mencapai telefon dan kedengaran suara perlahan M.Tapi , di sebaliknya kedengaran esakan suara M .
"Mengapa M?," pertanyaanku tidak berbalas. Suasana dipeluk sepi.
(Bersambung...)

Comments

Popular posts from this blog