Episod : Pulanglah.
Selepas panggilan telefon daripada M , kami telah berjumpa di suatu tempat yang dijanjikan .Aku memberhentikan keretaku lalu M melabuhkan punggungnya di sebelahku. Seketika , tiada kata-kata yang terluah . M melemparkan pandangan ke luar tingkap kereta dan tiada sepatah kata yang terbit daripada bibir M. Aku hanya membiarkan M melayan perasaannya. Wajahnya bungkam.
" Kadang-kadang bercakap benar akan meracuni diri sendiri, " getus M perlahan. Ada getar pada suaranya seakan menahan tangis.Aku hanya mendiamkan diri dan memegang kejap stereng kereta. Aku memandu kereta ke arah TH. Di situ , laut terbentang luas. Batu-batu besar menjadi tembok penghalang hakisan ombak. Tempat itu menjadi tumpuan terutamanya pada hujung minggu. Sewaktu remaja, TH menjadi tempat aku dan kawan-kawan bersantai hingga senja melabuhkan tirai. Kami berbasikal dari bandar PK menyusuri jalan yang jauh dan sempit serta berlumba-lumba dengan kenderaan berat .
Aku membukakan pintu untuk M. M memijak sebuah anak tangga kecil lalu duduk di bangku batu di tepi tembok . Lantas, aku duduk di sisi M . Wajah M masih muram. Hembusan angin laut mengusap pipi M yang kemerah-merahan .
"Mengapa,M ?," aku memberanikan diri melontarkan pertanyaan itu. M tidak segera menjawab hanya menoleh memandang wajahku dengan perasaan yang meruntun. Air mata M terjun perlahan dan mengalir ke dagu lalu menitis satu persatu.
"Saya teepaksa membuat keputusan ," kata M perlahan.
"Keputusan apa ,M ?" .Aku tidak mengerti .
"Dulu , hati awak pernah mengisi hati saya," kata M dengan sedikit esak. Aku mengangguk lemah dan melemparkan pandangan jauh ke tengah lautan. Dahiku berkerut.
"Saya yang bersalah ," kataku.
"Itu pilihan awak . Awak tidak mengerti perasaan saya terhadap awak," ujar M . Beburung camar melayah menongkah angin. Sayap sang camar terkuak luas.
"Saya tidak boleh lagi bertemu dengan awak," keluh M tiba-tiba. Aku memandang wajah M tetapi M melarikan wajahnya .
"Saya faham."
" Z , tidak mengizinkan saya berkawan dengan awak ," kata M. Barulah , aku faham situasi sebenar.
"Z ialah tunangan saya ," ujar M dan bagaikan halilintar menerjah gegendang telingaku . Aku berdiri di sisi M. Aku berasa bersalah kerana M sudah mempunyai teman dan bakal mempunyai seorang suami. M terus membisu.
"Ya, saya faham ,M. Bukan salah awak. Kita harus menerima ketentuan ini," kataku .
"Kita bertemu kembali saat awak sudah mempunyai Z," kataku. Aku cuba menahan air mata terus gugur. M tidak seharusnya melihat aku dalam keadaan itu. Aku tidak mahu melukakan hati M lagi. Aku tidak M berasa serba salah .
"Esok saya akan kembali ke KL ," ujar M .
"Kembalilah kepada Z. Itulah sebaik-baiknya," kataku seakan sudah membuat keputusan untuk tidak lagi menemui M. Aku menghantar M ke tempat yang sama kami berjumpa tadi.
"Semoga awak bahagia ,M ," itulah kata-kata akhirku buat M.
"Maafkan saya ," balas M. M menoleh ke arahku saat keretaku mulai bergerak . Sejak hari itu, aku tidak lagi menghubungi M malah aku sudah berjanji tidak akan lagi menjawab panggilan telefon M walaupun M ada menitipkan pesanan melalui whatsapp. Aku membiarkan semua itu tanpa jawapan .
Sejak hari itu juga , aku kembali berseorangan . Aku menyibukkan diri dengan pekerjaanku sebagai seorang kerani di sebuah jabatan kerajaan . Sebulan selepas itu, aku menerima sekeping kad undangan . M akan mendirikan rumahtangga dengan Z.
Hari itu, aku mencapai kunci keretaku dan memandu ke arah utara. Tiada arah tuju. Hari itu juga M akan bersanding dengan lelaki pilihan hatinya, Z. Aku tidak sanggup memandang M sedang duduk di atas pelaminan. Aku memutarkan tombol radio.
".....mengapa waktu itu kita harus berjumpa
Oh mengapa kini kita harus berpisah lagi.." Aku melayan lagu Broery Marantika di sepanjang perjalananku....
-TAMAT-
Comments
Post a Comment