Episod : " Terima kasih, pakcik.."

Sudah dua hari aku bergeladangan di sini . Tiada tempat tinggal . Tiada sesiapa yang aku kenali. Aku hanya berharap pada ihsan orang. Ihsan orang yang mempunyai belas kasihan kepada aku.
Aku duduk di suatu sudut yang jauh daripada pandangan orang. Aku malu jika ada yang memandang jijik kepadaku. Aku hanyalah gelandangan yang tidak diundang . Orang halau aku lari . Orang panggil aku datang . Begitulah rutin hidupku saban hari.
Aku hanya mengharapkan secebis simpati untuk sesuap nasi. Ada ketika dapatlah aku merasa sisa makanan yang ditinggalkan. Aku tidak pandai hendak meminta-minta apatah lagi mencuri sekadar mengalas perutku yang berkeroncong . Apabila tiada sesiapa yang mempedulikan aku , aku akan merayau-rayau di sekitar belakang rumah orang . Kalau bernasib baik , dapatlah aku menjamah makanan yang diletakkan di belakang pintu.
Aku melihat sekeliling kalau-kalau ada mata yang sedang memerhatikan aku. Aku berasa takut sepanjang masa. Pernah sekali , kehadiranku tidak diundang . Aku dilempar dengan penyapu. Tiada pilihan lain melainkan melarikan diri dan nyaris aku digilis sebuah lori. Ajalku belum sampai hanyalah luka-luka kecil di kakiku berdarah. Kakiku sakit bukan kepalang . Tetapi, kepada siapa aku hendak mengharapkan pertolongan ?
Namun, setelah beberapa waktu luka pada kakiku kembali pulih walaupun aku berjalan terhincut-hincut. Aku gagahkan juga mencari sesuap nasi dari secebis simpati insan berhati mulia. Aku mesti belajar berdikari kerana di dunia ini aku tiada sesiapa . Aku terbuang tanpa rela. Aku dibenci hanya kerana mengotorkan lantai tempat aku duduk setiap hari. Barang kali , mereka sudah tidak mahu menjaga aku maka mereka memberi alasan aku pengotor.
Sejak itu , aku bergeladangan di sini . Di sini , orang ramai keluar masuk membeli makanan dan minuman. Kadang-kadang ada insan mulia yang sudi memberiku makan.Aku hanya mampu mengucapkan terima kasih di dalam hati. Tidak kurang juga yang memandang tajam kepadaku. Maaflah, tuan . Aku segera beredar ke sudut lain supaya aku tidak dilihat orang. Kadang-kadang kerana keletihan aku tertidur di situ. Aku tersedar apabila ada orang memanggil aku untuk memberikan sedikit makanan. Tetapi , sampai bila aku harus begini mengharapkan ihsan orang. Aku tidak mahu berpeluk tubuh semata dan berserah kepada takdir.
Pagi itu , hujan turun mencurah-curah. Sesudah subuh hujan renyai-renyai dan semakin lebat. Aku berkerekot kesejukan. Lama lagikah hujan akan reda ? Aku memandang sekeliling, tiada sesiapa yang lalu lalang di situ. Perutku mula berkeroncong. Petang semalam dapatlah aku merasa seketul ikan yang ditinggalkan di tepi kaki meja. Aku makan sepuas-puasnya dengan berselera. Itulah makanan yang aku makan sehingga pagi ini sebutir nasi belum masuk ke perutku.
Hujan tiada tanda-tanda akan reda. Langit gelap awan hitam berarak. Aku mengeluh sendirian mengenangkan nasibku yang malang. Tiada tempat untukku curahkan perasaan. Tiada tempat untukku ku mengadu rasa. Tiada tempat untukku menumpang kasih .
Sebuah kereta berhenti di bahu jalan dan keluar seorang lelaki umur separuh abad. Lelaki itu menoleh kepadaku dan tersenyum. Lelaki itu mengambil seketul daging dan meletaknya di atas sehelai kertas bersih. Aku amat bersyukur kerana masih ada tangan yang sudi berkongsi rezeki denganku. Aku menjamah dengan berselera. Sesekali aku memandang wajah lelaki itu dengan air mata bergenang. Lelaki itu tersenyum memandang aku. Senyumannya ikhlas.
Aku berdiri di tepi kereta lelaki walaupun hujan lebat dan guruh berdentum kuat. Lelaki itu tersenyum kepadaku apabila melihat aku berdiri di tepi pintu keretanya. Lelaki itu seolah-olah memahami hasratku untuk memintanya menjaga aku. Aku hanyalah geladangan yang tiada punya apa-apa. Lelaki itu berlari-lari anak menghampiri keretanya.
"Awak nak ikut pakcik tak?" tanya lelaki itu membahasakan dirinya pakcik. Aku hanya tertunduk. Aku berasa malu untuk menyatakan hasrat sebenarku.
"Mari naik kereta pakcik," kata pakcik itu spontan dan membuka pintu keretanya. Aku segera masuk dan duduk di kerusi.
"Awak ni tinggal di mana ," tanya pakcik itu sambil tangannya memegang kejap pada stereng kereta. Aku menyapu mukaku beberapa kali. Aku tidak tahu jawapan yang harus kuberikan. Biarlah pakcik itu berteka-teki.
Sesampai di rumah , pakcik itu menjemput aku masuk.
"Ha, inilah rumah baharu awak," kata pakcik itu kepadaku. Alangkah girangnya hatiku. Aku memegang kaki pakcik .Pakcik memeluk aku sambil mengelap badanku yang basah lencun dengan sehelai tuala. Aku diberikan makanan istimewa. Belum pernah aku merasai kelazatan makanan yang diberikan pakcik.
"Awak jangan ke mana-mana lagi. Tinggal sahaja di sini selama-lamanya," kata pakcik kepadaku. Aku mencium pipi pakcik saat aku dipeluk oleh pakcik.
"Terima kasih, pakcik". Aku mencium pakcik berkali-kali dan pakcik tersenyum memelukku.



Comments

Popular posts from this blog