Episod : Padang jarak padang tekukur
Semalaman di Kampung Sungai Udang Klang , akhirnya kami pulang ke rumah keesokan pagi.Di sepanjang perjalanan , kedai-kedai tidak terurus dengan pintu terkangkang luas tanpa penghuni. Deraian kaca berserakan atas jalan raya . Anggota-anggota FRU dan PPH mengambil alih menjaga kawalan keselamatan.
Dari kejauhan kedengaran bunyi siren bomba dan ambulans. Asap hitam pekat dari gudang Pelabuhan Selatan yang meletup awal pagi semalam masih kelihatan berbalam-balam. Aku menjangkakan kebakaran di situ sudah terkawal sepenuhnya. Ada anggota bomba yang berjalan kaki dalam kumpulan 4-5 orang tanpa uniform lengkap. Sesetengahnya , hanya berkasut boot dan berseluar panjang tanpa berbaju. Sememangnya , kejadian semalam amat dahsyat sehingga keadaan anggota-anggota bomba tidak terurus dan keletihan.
Aku sampai di tembok Flat LPK . "Oh, Tuhan ! " Kaca bertaburan di koridor , langsir tercabut , bumbung rumah-rumah papan di luar pagar flat tercabut dan ranap. Masing-masing yang sudah kembali ke rumah dengan wajah sugul.Segala peralatan rumah tunggang-langgang . Ayahku muncul di sebalik orang ramai yang berkerumun di bawah flat untuk berkongsi cerita kejadian semalam.
"Syukur, semua selamat," kata ayahku dengan wajah gembira. Sebuah khemah besar didirikan oleh pasukan FRU dengan katil lipat , pakaian seragam bergantungan , periuk dan kawah besar. Mereka telah berkampung di situ sejak semalam untuk menjaga keselamatan rumah-rumah yang ditinggalkan . Kebanyakan penduduk sehelai sepingang melarikan diri kerana bimbang tangki minyak Caltex akan meletup. Aku dan adik-beradik mengemas barang-barang di dalam rumah yang bertaburan .
Kejadian letupan gudang Pelabuhan Selatan menjagi ingatan hingga hari ini . Perdana Menteri Malaysia , Tun Husein Onn telah turun padang melawat tempat kejadian . Beliau bersama rombongan jemaah menteri melakukan lawatan di kawasan-kawasan tempat tinggal yang terjejas teruk sambil mengagihkan bantuan makanan.
Pada sebelah malamnya , aku berasa seram kerana tanpa lampu suasana gelap gelita. Tiada kedengaran suara riuh rendah budak-budak flat bermain di bawah. Tiada kedengaran bunyi kenderaan lalu lalang. Suasana sangat sunyi umpama selepas diserang garuda raksasa dalam filem alih suara Jepun "Giant Robot". Aku hanya mengintai dari koridor , anggota-anggota FRU dan polis lengkap bersenjata melakukan rondaan. Penduduk flat terutamanya kaum lelaki melakukan kawalan keselamatan demi menjaga harta benda penduduk. Makanan dan minuman disediakan oleh Pasukan Bulan Sabit Merah yang membuka khemah mereka untuk memasak nasi kawah.
Keesokan hari , cerita dari mulut ke mulut mulai tersebar. Aku mendengar daripada kawan-kawanku, salah seorang rakan kami bernama Tee telah terbunuh malam semalam. Tee pemuda Tionghua yang tinggal di rumah papan di luar kawasan flat dikatakan terkena serpihan besi rel kereta api yang melayang .Kebetulan Tee berdiri di tingkap rumahnya dan kepalanya tersangkut di tingkap tetapi badannya telah bercerai. Tee yang selalu menunggang motosikal scramblernya tiada lagi di dunia ini.
Ada juga yang memberitahu punca letupan raksasa semalam itu disebabkan bom Perang Dunia Kedua . Bom peninggalan tentera Jepun. Namun , negara Jepun meminta kerajaan Malaysia mengemukakan bukti kerana bom tentera Jepun akan meninggalkan piring jika berlaku letupan . Sehingga hari ini , tiada sebarang bukti dan tuntutan daripada kerajaan Malaysia berkaitan tragedi itu. Kalaulah benar punca kejadian itu disebabkan bom dapatlah kami, mangsa-mangsa menerima pampasan duit Jepun.
Aku dapat berkumpul dengan kawan-kawan dari blok yang sama dan blok-blok lain . Budak-budak sudah mula bermain galah panjang , guli dan konda kondi di bawah flat. Seorang kawan aku berbangsa Tionghua juga turut serta bermain. Kawanku tinggal selang tangga dengan rumahku. Namun , sejak kejadian itu aku tidak pernah melihat kakak dan abangnya. Mereka tidak bergaul dengan budak-budak flat kecuali adik-adik mereka. Daripada bisik-bisik kawan-kawan mengatakan mereka lari masuk hutan Pahang pikul senjata. Pada awal tahun 80-an , memang anasir subversif sedang giat mencari kader-kader baharu dalam kalangan anak muda.
Peristiwa itu sudah berlalu hampir 41 tahun lalu. Budak-budak Flat LPK dan Kampung Berembang , Sungai Aur dan Taman Kem masih berkawan sehingga hari ini . Masing-masing sudah berkeluarga dan beranak pinak namun setiap kali disebut letupan Pelabuhan Selatan seolah-olah baru berlaku semalam...

Comments
Post a Comment